Sunday, May 07, 2023

Terengganu

Rabu itu, kami pulang dari sekolah agak lewat kerana ada taklimat daripada Pengetua tentang beberapa perkara sebelum beliau bercuti tujuh minggu. 

Jam tiga petang baru kami bergerak keluar dari perkarangan sekolah. Suami saya tiba-tiba bertanya, "esok kita sarapan nasi dagang di Gong Nering nak?" Saya setuju saja, sedap juga. "Lepas tu kita pergi makan ICT di Penarik, dan langsung ke Kuala Terengganu dan bermalam di sana." 

Hah?

"Kalau macam tu, kena siapkan beg pakaianlah, mana boleh pergi gitu je..." jawab saya.

Sudahnya, kami bercuti di Terengganu semalaman tanpa perancangan awal. Kali ini kami cuma bercuti, sungguh-sungguh bercuti tanpa berjumpa sesiapa pun - kawan atau saudara di Terengganu.

Jam sepuluh pagi Khamis kami bergerak (rancangan untuk sarapan nasi dagang di Gong Nering terpaksa dibatalkan) menuju ke Kedai Makan Hasnik di Penarik untuk makan ICT di situ, dan seterusnya langsung ke Hotel Grand Puteri untuk menginap semalaman. Saya sudah menempah bilik di hotel itu pagi sebelum bertolak dengan harga RM214.

Jam 3.15 petang kami keluar makan di Batu Buruk, dan dalam jam 5.00 petang kami ke A&W pula untuk Root Beer Float dan Curly Fries. 

Malam, saya berehat di bilik sementara suami saya bersolat di Masjid Abidin. Jam 9.00 malam beliau pulang bersama dua bungkus nasi lemak yang diagihkan di masjid untuk tahlil. Alhamdulillah, tidak perlulah kami keluar malam ini. 

Esoknya, kami bersarapan di Restoran Hotel. Banyak makanan di sini, puas hati rasanya. Kemudian kami kembali berehat di bilik sebelum keluar jam 10.45 pagi untuk check out dan pulang ke rumah.

Begitulah perjalanan kami. Singkat sahaja, hanya untuk berehat.

No comments:

Post a Comment