Jam 6.47 kereta Toyota Camry kami meluncur keluar dari rumah dan sampai di garaj PK HEM pada 6.56 pagi. Terus saya melangkah dengan semangat membara untuk mengetip kad kedatangan di pejabat. Tersua beberapa orang guru yang sama-sama tiba dengan saya, kami bersapa bertanya khabar. Selamat hari raya.
Sampai di bilik peperiksaan, saya terkesima melihat meja dan tempat duduk saya yang tidak terurus. Meja saya penuh dengan buku-buku dan fail yang tidak sempat saya kemas hari itu. Tak apa, hari ini saya akan menyelesaikan semuanya.
Tugas pertama saya ialah menyediakan jadual relief. Sewaktu saya bercuti, Niswati dan Laili yang membuat jadual relief jadi hari ini saya sudah kembali, bolehlah mereka berehat. Niswati datang juga menjenguk bertanya khabar jika saya memerlukan bantuan. Tak apa dik, akak ok. Terima kasih banyak kerana membantu kerja akak selama dua bulan.
Tidak lama, Hanani teman sebilik saya tiba dan juga Hasnah, guru baru tetapi juga sahabat saya sewaktu di Salor dulu. Gembiranya dapat bertemu kawan lama, diberi pula tempat duduk di bilik peperiksaan ini bersama saya. Alangkah!
Selesai relief, kami ke kantin untuk sarapan. Semua bertanya khabar dan saya menyapa dengan penuh kesyukuran. Sepinggan nasi putih dicampur mi goreng berlaukkan hati ayam goreng dan telur mata hanya RM5. Segelas teh ais mencukupkan RM7. Alhamdulillah.
Pulang ke bilik, saya mula mengemas. Kelas saya akan bermula pada 9.40, sempatlah saya selesaikan dahulu meja saya yang bersepah itu.
Seterusnya saya ke kelas 4C1 (9.40 - 10.40), 4C2 (11.10 - 12.10) dan 4C4 (12.10 - 1.10). Tiga jam bersama anak-anak ini sesungguhnya begitu menyeronokkan. Lama saya tidak mengajar, rasa begitu puas dapat menghadapi mereka mencurah seupaya yang ada.
Jam 1.10, saya kembali ke bilik dan menyiapkan proses mengemas yang terhenti tadi. Alhamdulillah, selesai juga akhirnya. Jam 2.20 saya bersedia untuk pulang.
Begitu saya di sekolah hari ini. Entah kenapa saya rasa suka, gembira dan tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah esok.
Semoga Allah memberi keredaan untuk saya terus menjadi seorang guru sehingga saya bersara nanti. Amin.
No comments:
Post a Comment