Saya sebenarnya tidaklah begitu teruja bercuti jauh-jauh pada hujung minggu begini. Ia memenatkan, walaupun seronok itu ada. Penat kerana ruang untuk saya mengurus rumah dan diri sendiri jadi terbatas.
Rabu semalam, saya penat benar. Pulang dari sekolah saya terus mengemas kain baju. Basuh yang kotor, lipat yang kering, susun yang perlu dan pilih yang mahu diisi dalam beg nanti. Kemudian menggosok pula. Seterusnya saya perlu menyediakan tempat tidur penjaga rumah kami nanti beserta makanan kudapan untuknya.
Penat fizikal tidak setara mana, tetapi penat minda yang begitu mendera.
Kerja di sekolah sangat banyak. Seharian hari Rabu itu saya menyiapkan susun soalan peperiksaan tanpa sempat menyelesaikan tugas lain. Guru Kanan saya tiba-tiba bertanya, Kak Ti dah buat buku pengurusan? Allah, Kak Ti dah buat tapi belum siap. Hari ini tak sempat nak sentuh pun, sibuk dengan kertas soalan. Kak Ti hantar minggu depan boleh ke?
Mujur Guru Kanan itu baik hati, memberi saya masa lagi. Terima kasih.
Tapak analisis SPM 2022 belum siap, headcount juga masih dalam proses. Eh, semua tu memerlukan saya memaku diri di depan komputer pada kadar yang lama.
Tetapi saya enggan menekan dan mendera perasaan. Sekejap lagi, saya akan bergerak ke Cameron dan bercuti sebaiknya. Ahad nanti barulah saya mahu memikir tugasan-tugasan itu.
Semoga Allah melindungi perjalanan kami dan memberi keceriaan selama kami berehat di sana. Amin.
No comments:
Post a Comment