Wednesday, May 24, 2023

Tentang Haji

Musim haji tiba lagi. Penerbangan pertama KT01 sudah pun berlepas pada 20 Mei lalu. Semoga semua jemaah kita dipermudah urusan di sana, sihat selalu dan beroleh haji mabrur.

Ada beberapa isu berkaitan haji yang mengetuk benak fikiran saya. Pertama, tentang kos. Apabila kerajaan mengumumkan ada tiga kos berbeza mengikut kategori, saya jadi keliru. Pandangan saya, jika kerajaan tidak lagi mampu menanggung subsidi haji, usahlah dipilih-pilih begini. Biar semua rakyat membayar penuh walaupun mahal, barulah adil. Usah dibezakan B, M, dan T kerana kita semua rakyat Malaysia yang sama-sama menyumbang untuk negara. Bukankah haji ini diwajibkan kepada yang mampu sahaja? Jadi jika kewangan belum cukup, mereka tidak wajib pun mengerjakan haji.

Selain kos yang berbeza begini, satu lagi isu yang saya dengar dari orang-orang yang suka merungut ialah tentang tiada lagi cenderahati yang banyak dari Tabung Haji untuk jemaah tahun ini. Katanya, tiada lagi beg pakaian ke Arafah, buku-buku doa, selipar, juga barang-barang keperluan lain yang sebelum ini diberi percuma. Hanya tikar dan beg sangkut sahaja diberi. Penginapan di Movenpick sebelum berlepas juga perlu dibayar sedangkan sebelum ini percuma saja.

Hati saya berdetak menahan rasa mendengar kata-kata begini. Pada saya, itu semua adalah ihsan Tabung Haji dan bukan hak jemaah. Tidak perlu diungkit pun perkara ini kerana situasi kewangan TH sentiasa berbeza setiap tahun. Mereka yang mengungkit isu ini rasa saya mahu menghentam kerajaan baru yang mereka tidak gemari seolah-olah kerajaanlah punca jadi begini.

Pada saya, bagus juga TH hadkan pemberian percuma. Kosnya boleh diguna untuk membayar dividen kepada penyimpan. Itu lebih utama, bukan?

Isu seterusnya ialah tentang bila giliran haji akan sampai. Ada yang hanya menunggu tanpa berusaha membuat rayuan. Mereka berpegang pada prinsip jika sampai masa mereka nanti, Allah akan panggillah.

Jika lima belas tahun dulu, bolehlah menunggu begini kerana giliran tidak lama. Lima atau enam tahun selepas mendaftar akan naiklah nama. Kini tidak lagi begitu. Ada yang mendaftar pada tahun 2009 tetapi masih lagi belum dipanggil, sedangkan yang mendaftar pada 2012 sudah mendapat tawaran. Kenapa? Kerana yang mendaftar pada 2012 itu sentiasa merayu setiap tahun, tanpa jemu. Nama mereka ada dalam sistem dan mudahlah terpilih. Bukankah itu dinamakan usaha? 

Apa pun, semoga setiap kita yang mampu tidak lalai dalam memenuhi kewajipan yang satu ini. Amin.

No comments:

Post a Comment