Entah kenapa, doktor yang merawat saya tidak pula mencadangkan terapi itu kepada saya dan saya pun tidak juga bertanya. Selepas luka saya sembuh pada minggu ketiga pembedahan, doktor menamatkan terus temujanji saya dengan klinik O&G HUSM yang saya hadiri sejak 1998 lagi, tanpa sebarang perancangan perubatan pasca pembedahan. Saya akur sahaja.
Dalam usia begini, berhadapan dengan gejala menopause pula, saya perlu juga mengetahui tentang apa yang perlu saya buat. Maksud saya, dari segi pengambilan suplemen dan ubat-ubatan. Saya risau jika kesihatan saya terganggu tanpa penjagaan yang betul.
Jujurnya, saya berasa lebih sihat kini berbanding sebelum pembedahan. Selera makan saya sangat tinggi, juga kecergasan saya bertambah. Saya boleh mendaki tangga dari aras satu ke aras tiga tanpa mengah. Saya boleh bergerak turun naik tangga berkali-kali tanpa rasa letih. Bukankah itu perkembangan positif selepas 80 hari pembedahan?
Tetapi untuk jangka panjang, saya perlu lakukan sesuatu. Saya risau dengan risiko osteoporosis dan juga penyakit jantung yang teruk. Saya perlukan nasihat perubatan tetapi bagaimana?
Untung juga saya masih ada temujanji dengan Klinik Pakar Perubatan HUSM berkaitan tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah jantung saya. Boleh saja saya bertanya doktor apabila hadir temujanji pada awal Julai nanti.
Pun, sementara menanti tarikh itu saya telah membeli vitamin B12 sebagai suplemen saya. Dari pembacaan di Google, vitamin ini bagus untuk wanita menopause. Vitamin ini tidak boleh diambil secara pemakanan kerana ia dihasilkan daripada tindakbalas bakteria. Jadi saya membeli dari Shopee sebotol vitamin B12 (kapsul sayuran) dan sudah hampir seminggu saya mengambilnya sebiji sehari.
Semoga Allah merezekikan saya dengan kesihatan yang baik sepanjang hayat saya, dan dapat memberi sumbangan terbaik semampu daya kepada insan-insan yang memerlukan. Amin.
No comments:
Post a Comment