Wednesday, July 19, 2023

Lauk Ayam

Pagi semalam, di kaunter lauk pauk kantin sekolah saya, seorang guru perempuan sedang termenung dan merenung hidangan yang ada, sambil memegang pinggan berisi nasi. Saya yang beratur di belakangnya bertanya, "kenapa kak, tak ada yang berkenan ke?"

Dia tergelak. "Entahlah Ti, kak tengah berfikir. Kalau lauk ayam ni.. orang tua tak suka. Ikanlah kot, tapi yang mana eh" Ujarnya sambil merujuk kepada lauk ayam masak paprik di depannya. Ikan pula ada ikan kerisi goreng, ikan gelama goreng, ikan kembung berlada dan ikan cencaru air asam.

Saya mencapai senduk lalu mengambil seketul ayam paprik itu dan meletakkan ke dalam pinggan saya sambil berkata, "Saya muda lagi kan kak.." dan dia tergelak lagi.

Begitulah saya, masih boleh menerima lauk ayam walaupun orang kata itu makanan budak-budak, orang tua tak suka.

Teringat zaman kanak-kanak saya dulu. Ayam menjadi lauk mewah yang jarang-jarang boleh dimakan. Selalu lauk kami hanyalah ikan kerana harganya lebih murah. Dulu ia dijual dengan bilangan ekor. Ikan kembung empat ekor seringgit, selar kuning lapan ekor seringgit, macam tu. Murah, kan? Tetapi harga ayam sekilo dekat tiga ringgit dan seekor hampir lima ringgit, mahallah dengan gaji bulanan ayah cuma enam ratus. Awal bulan ayah belilah ayam, dan waktu itu saya akan keriangan. Tetapi emak selalu pesan, jimat-jimat sikit makan lauk tu. Jadi seketul ayam goreng kena kongsi dengan adik beradik lain.

Bila masuk MRSM, saya dapat ayam seketul makan seorang. Wah, seronoknya! Syukur sungguh saya kerana sepanjang di asrama saya tidak langsung bermasalah dengan lauk di dewan makan. Bagilah apa pun, saya berselera sentiasa. Alhamdulillah.

Kini dalam usia senja, saya masih tidak cerewet dengan makanan. Ayam, daging, ikan, semua saya suka. Semua masih mampu tekak saya terima. Saya berdoa agar Allah tidak menarik kenikmatan ini dari diri saya sehingga akhir hayat saya.

Amin.

No comments:

Post a Comment