Tuesday, July 25, 2023

Selamat Pengantin Baru

Seorang sahabat guru saya selamat melangsungkan perkahwinan pada Jumaat lalu. Alhamdulillah dan tahniah.

Sahabat saya ini sangat baik orangnya. Saya memanggilnya Mas. Dia begitu suka menolong orang dan manis budi bahasanya. Sewaktu suaminya meninggal pada April tahun lepas, kami semua turut berduka bersamanya. 

Dalam sedih dan hiba, Mas menghimpun kekuatan untuk meneruskan hidup demi empat orang cahaya mata tercinta. Berbekalkan semangat yang tersisa, Mas tabah menghadapi setiap cabaran. Sangkanya, dia akan mampu bersendirian dalam menghadapi setiap liku kehidupan.

Tiba-tiba muncul seorang jejaka yang baru kehilangan isteri, melamar Mas. Jejaka itu bukan asing bagi Mas kerana mereka berjiran, malah juga ada pertalian saudara dengan arwah suami Mas.

Mulanya Mas menolak. Hatinya masih kuat merindui arwah suaminya. Dia belum bersedia untuk mencari pengganti. Tetapi jejaka itu tidak jemu-jemu berusaha, malah keluarganya juga turut memujuk Mas agar menerima. Mas dalam dilema.

Mas beristikharah. Mohon Allah melorongkan yang terbaik untuknya. Dalam tangis dan harap, Mas tidak berhenti berdoa.

Dan telah tertulis jodoh mereka ada. Lalu pada Jumaat lalu mereka disatukan dalam majlis yang sederhana, disaksikan saudara mara. 

Saya turut merasa bahagia untuk Mas. Semoga perkahwinan Mas ini diredai Allah dan bahagia sampai syurga. Amin.


No comments:

Post a Comment