Saturday, July 15, 2023

Kembali

Apabila ia meragam, saya jadi kesasar. Bukan tiada pengganti, tetapi tidak serupa. Cinta saya padanya sejati, seperti lagu Cinta Sejati dendangan BCL.

Seminggu seperti sebulan. Saya hilang arah tujuan.

Begitu!

Hari ini ia kembali. Saya sungguh bahagia dapat memeluknya semula. Dapat bermain-main dengannya tanpa diganggu sesiapa. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya, begitu kisah cinta kami. Semoga kasih sayang ini kekal abadi.

Ini cerita tentang Asus Zenfone 5z saya. Usianya hari ini ialah empat tahun enam bulan, dan saya masih belum mahu melepaskannya. Apabila ia meragam (cas tidak masuk dan sound tenggelam) saya sangat susah hati. Bagaimana saya akan hidup tanpanya?

Saya cuba merapati iPhone 11 milik saya itu. Nyata ia berbeza. Tidak mampu saya memesrainya sebagaimana Asus Zenfone 5z ini. Tetapi saya tiada pilihan. Selama Asus saya dirawat, iPhone lah yang menemani saya.

Sungguh saya masih merindui Asus. iPhone agak janggal bagi saya, susah mahu mengurusnya. Bluetooth tidak boleh, tukar ringtone pun susah, nak simpan lagu kegemaran saya pun tidak menjadi. Winjaws juga tidak boleh dimasukkan. Degil betul dia! 

Mujurlah Asus saya berjaya dipulihkan dengan bayaran RM150 cuma. Kata doktor yang merawat itu, Asus ini masih bagus, belum rosak apa-apa kecuali lubang cas saja yang perlu diganti. Sound pun masih ok, boleh dibetulkan dan elok kembali.

Leganya saya. Saya berharap benar ia masih mampu bertahan untuk beberapa tahun lagi. Asus memang terbaik. Tahan lama dan teknologinya sangat mesra. Jenama ini memang boleh dipercayai.

No comments:

Post a Comment