Salam sejahtera. Tanggal 29 Jun 2023 baru-baru ini, kami menyambut hari raya Aidil Adha dengan meriahnya. Suasana negara yang sudah pulih daripada ancaman Covid 19 memberi ruang untuk rakyat beragama Islam melaksanakan ibadah korban secara terbuka dan penuh persaudaraan.
Pada hari Khamis tersebut, saya bangkit awal untuk menyediakan sarapan berupa nasi lemak ringkas untuk dinikmati sebelum acara korban bermula. Solat Aidil Adha dimulakan pada jam 8 pagi di masjid Batu Lapan dan selesai lebih kurang pada 8.30 pagi. Saya dan suami tanpa lengah terus bergerak menuju ke rumah keluarga kami untuk membantu mereka menyelesaikan ibadah korban. Emak saya dan emak suami saya berkongsi lembu yang sama, maka suami sayalah berpenat lelah bersama-sama beberapa orang petugas yang ada untuk mengagih-agihkan daging lembu itu kepada tujuh bahagian. Saya hanya menunggu di rumah emak sambil bermesra-mesraan dengan adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara.
Jam menghampiri 1.00 tengah hari, barulah selesai semua urusan. Saya pun pulang ke rumah untuk meneruskan agenda di rumah pula. Memasak makan tengah hari berlaukkan daging goreng tidaklah selama mana. Alhamdulillah, kami berselera menikmatinya.
Badan saya memang penat hari ini. Selepas sekesai makan dan solat Zohor, saya lena agak lama. Asar baru saya bangun. Alhamdulillah badan kembali segar.
Pada Jumaat keesokannya, suami saya menyembelih korbannya pula iaitu seekor kambing betina peliharaannya.Proses penyembelihan sekejap sahaja, dibantu oleh beberapa orang rakan jiran kami. Semua daging diagih-agihkan kepada keluarga, jiran dan asnaf. Sedikit sahaja kami simpan untuk dimasak selepas ini.
Begitulah hari raya kami kali ini. Semoga Allah menerima korban kami dan mengampuni dosa-dosa kami.
Amin.
No comments:
Post a Comment