Pada sekitar Jun 2020, saya ke kedai emas di Ketereh untuk menjual barang kemas lama mek. Waktu itu trend gelang pulut dakap sedang menguasai pasaran emas perhiasan. Demi terpandang gelang dengan rekaan begitu di kedai tersebut, hati saya meronta-ronta mahu memilikinya. Dek terlalu teruja, saya tidak bertanya secara terperinci tentang harga dan berat gelang itu. Silap saya kerana terlalu mahu cepat. Saya membayar dengan seutas gelang lama saya dan sedikit tambahan duit.
Pulang ke rumah, barulah saya rasa ralat. Saya tahu tuan kedai itu sudah mengambil kesempatan atas kelalaian saya dengan mengenakan harga yang tinggi. Tiada resit pun diberi untuk saya semak berat dan harganya. Dia cuma menulis di kertas kecil, berat seutas gelang dan sebentuk cincin design pulut dakap itu ialah 20g. Waktu itu musim Covid, jadi harga emas agak tidak menentu. Saya cuba mengira dan saya dapati harga yang dikenakan kepada saya menjangkau RM290 segram. Mahal! Tapi nasi sudah menjadi bubur. Saya reda sahaja.
Tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada Mac 2021, saya ke kedai emas lagi. Kali ini saya membeli seutas gelang bercorak ketum dengan berat 30.39 gram, berharga RM7172. Di sini segalanya jelas kerana setiap harga dan berat tertera dengan jelas pada resit yang diberi.
Lalu saya pun bergayalah dengan gelang-gelang itu. Saya pakai bergilir-gilir mengikut mood saya. Tetapi, ada perkara yang saya tidak gemar dengan gelang-gelang itu.
Gelang pulut dakap itu sangat tidak selesa. Rekaan "stamping" menyebabkan ia berbekas di lengan saya dan selalu memberi saya rasa tajam bila memakainya. Jadi saya simpan saja dan terlalu jarang saya memakainya.
Gelang ketum pula, suka tersangkut di mana-mana. Rekaannya yang ada daun-daun menyebabkan ia mudah saja tersangkut jika saya tidak berhati-hati. Dan sudahnya, sehelai daunnya tercabut menyebabkan gelang itu kelihatan cacat.
Aduhai, apalah gunanya jika kedua-dua ini tidak saya pakai. Bukan mudah menyimpan emas di rumah. Kami selalu ke sana ke mari, risau juga membiarkan barang berharga tidak terjaga.
Saya memutuskan untuk menjual sahaja kedua-dua gelang itu.
Semalam, saya mengajak suami ke kedai emas di Tunjong. Saya beri kedua-dua gelang itu untuk ditimbang. Gelang ketum masih seberat 30.05g. Maksudnya daun yang tercabut itu ialah seberat 0.34g. Kemudian gelang pulut dakap itu beratnya ialah 18.91g. Kedai itu mengambil harga RM477 segram dan saya bersetuju untuk menjual dengan harga itu. Maka dapatlah saya sejumlah RM23,354.00 yang dkreditkan ke akaun saya. Alhamdulillah.
Begitu kisah dua utas gelang milik sementara saya. Kenyataannya, saya bersyukur kerana mendapat keuntungan yang menghampiri 50% untuk kedua-dua gelang itu. Akan saya manfaatkan wang yang ada demi kemakmuran sejagat. Amin.