Pada usia 54 tahun ini, Umi bukan lagi seorang guru muda yang baru mengenal dunia pendidikan. Umi ialah seorang wanita yang telah melalui hampir tiga dekad kehidupan sebagai pendidik. Sejak tahun 1998, sudah ribuan anak murid yang Umi ajar. Sudah banyak ilmu yang Umi curahkan. Ramai anak murid Umi yang telah berjaya kerana sentuhan didikan Umi, barangkali.
Umi mungkin tidak mengingati semua wajah mereka, tetapi Umi percaya ada antara mereka yang masih mengingati Umi hingga hari ini.
Pada usia ini, langkah Umi sudah tidak sepantas dahulu. Umi lebih mudah berasa letih dan saban pagi Umi berharap dapat berehat lebih lama di rumah. Tetapi itu bukan tanda Umi semakin lemah. Itu tanda Umi telah berjalan jauh, bekerja keras dan memberikan begitu banyak daripada diri Umi kepada orang lain.
Usia 54 tahun bukan usia untuk membuktikan apa-apa lagi kepada sesiapa. Umi sudah membuktikan kemampuan Umi melalui puluhan tahun pengabdian. Sekarang, Umi mahu bekerja dengan tenang, mengajar dengan hati yang lapang. Umi tidak mahu terlalu membebankan diri untuk menjadi sempurna tetapi tetap memberi yang terbaik mengikut kemampuan, dan selebihnya Umi serahkan kepada Allah.
Umi yakin bahawa tidak semua kejayaan diukur melalui pangkat dan penghargaan. Ada kejayaan yang tersembunyi dalam doa seorang anak murid, ada pahala yang terus mengalir daripada ilmu yang pernah umi ajarkan, dan ada kemuliaan pada seorang wanita yang tetap menjalankan amanahnya dengan ikhlas, walaupun tubuhnya semakin dimamah usia.
Umi kini semakin menghampiri persaraan pada Januari 2032. Lebih kurang lima tahun sahaja lagi sebelum Umi menutup sebuah bab yang sangat panjang dalam kehidupan. Jadi, Umi mahu menikmati tahun-tahun terakhir sebagai seorang guru ini dengan rasa nyaman. Umi tidak lagi mengejar kesempurnaan sehingga terlupa menikmati perjalanan. Cukuplah Umi menjadi guru yang hadir dengan hati yang baik dan pulang dengan hati yang tenang.
Umi bukan sekadar seorang guru. Umi juga seorang isteri, seorang anak, seorang kakak, dan yang paling penting, seorang insan yang berhak menikmati kebahagiaan dan ketenangan hidup Umi sendiri.
Doa Umi, semoga Allah memberi Umi kesihatan yang baik, melapangkan segala urusan, memudahkan tugas mengajar dan memberkati setiap langkah umi. Umi bersyukur kerana pada usia 54 tahun ini, Allah masih memberikan Umi kesempatan untuk menjadi seseorang yang bermanfaat kepada orang lain.

No comments:
Post a Comment