Monday, September 14, 2009

Cuba renungkan artikel ini pulak...

Saya jumpa artikel ni kat sini

DAKWAH ADALAH ALASAN SAMPAH

Menjengkelkan apabila melihat sebilangan pengguna Internet hari ini.

Mula-mula boikot Friendster kerana alasan sosial.
Kemudian boikot FaceBook dan fotoPages kerana alasan Yahudi.
Akhirnya keduanya dihalalkan atas alasan dakwah.

Menggunakan Friendster, FotoPages dan FaceBook atas alasan dakwah adalah sampah penipuan terbesar pernah saya dengar.


Kenapa begitu? Kita lihat dari kaca mata seorang yang kuat berpegang teguh bahawa Friendster adalah sosial, dan FaceBook/FotoPages adalah hasil Yahudi:

Macam laa terdesak sangat nak berdakwah sehingga sanggup terjun ke dalam lembah maksiat. Macam laa terdesak sangat hingga sanggup menyumbang kepada Yahudi. Sedangkan rangkaian Friendster serta FaceBook tidaklah sebesar mana. FaceBook lebih keji, apabila limited access diberikan kepada Non-Friend. Maka seluas manakah rangkaian dakwah kamu?

Alasan dakwah, tapi Wall dipenuhi Mesej dan Kuiz lagho. Komen gedik menggedik bersama perempuan. Foto-foto entah pape beraksi di depan kamera. Guna FaceBook atas alasan dakwahkah begini?

Andaikata menghantar Buletin atau Notes agama sekalipun, tengok tajuk pun belum tentu bakal diklik dan dibaca. Maklumlah, tajuknya sahaja sudah typical, boring dan membosankan. Dakwah yang tidak sampai maksud dan tujuan.

Manusia yang benar-benar berdakwah di FaceBook, setiap hari menaip nasihat agama di Wall rakan-rakan mereka. Setiap hari meletak link-link berunsur keagamaan. Bersengkang mata membuat kuiz-kuiz Islamik. Tak putus-putus menukar status bermesejkan Islam. Itu pun belum lagi diambil kira meng-add rakan-rakan yang lagho lalu menasihati mereka. Ataupun setiap hari memeriksa koleksi Album foto mereka, ditegur mana yang beraurat, mana yang tergedik, mana yang melampau. Itu baru Dakwah di FaceBook.

Jika tidak, tak perlu gunakan alasan dakwah untuk kekal di FaceBook. Mengakulah bahawa kamu memang seorang yang lagho, suka main FaceBook walaupun ianya produk Yahudi. Saya pun takkan menyampah.

Golongan kedua yang menjadikan alasan dakwah adalah Blogger. Mereka juga telah menyampahkan perkataan dakwah tersebut.

Post pertama yang ditulis golongan sebegini biasanya "Moga-moga blog ana akan memberi kebaikan kepada orang lain. InsyaAllah ana akan berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan ilmu Islam.Bla bla bla"

Kemudian apa yang terjadi?

Samada blog tersebut dipenuhi entry-entry yang tiada faedah, atau berhabuk bersawang. Kalau yang berterusan menulis pula, biasanya lebih kelakar - tidak ingin blog mereka dikenali. Malahan kalau ada sesiapa yang meletak link blog mereka dalam mana-mana list, dengan marahnya menyuruh dibuang.

Promosi percuma, tapi tak nak. Dulu menggunakan alasan dakwah kononnya. Memang pun, ini namanya dakwah seorang diri. Lain kali kalau tak nak famous lalu riak, jangan kata kamu ingin berdakwah di blog. Tulis "Ini catatan peringatan untuk diri sendiri." Saya pun tak menyampah.

Manusia yang berdakwah di blog, setiap hari sejam sebelum tidur, melakukan blogwalking. Melompat dari satu blog ke blog lain yang tidak dikenali pemiliknya, untuk promosi artikel dan program. Mereka sentiasa menulis up-to-date dengan isu semasa, konsisten tidak menjadikan blog mereka seperti gua. Jalan mencari kefamosaan adalah jalan mencipta authoriti. Sudah terkenal, maka blog anda bakal menjadi wadah dakwah terhebat.

Jangan gunakan perkataan dakwah sebagai penyedap hati. Jika anda gemarkan karutan, maka tuliskan perkataan "Karutan".

Jangan jadi seperti peribahasa Melayu, "Kepala yu, ekor babi".

Facebook: Antara Pro dan Kontra

(Artikel ini adalah tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.

“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.

“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.

Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.

“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.

“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.

PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK

Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.

Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.

Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.

Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.

Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.

Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.

BOLEH MENJADI HARAM

Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.

Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

23_1-3

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.

Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.

EMAIL

Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.

Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.

Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.

Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.

Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?

Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.

Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.

Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.

Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).

Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.

TAGGING DI DALAM FACEBOOK

Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.

Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.

Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.

Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.

Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud:

“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]

FACEBOOK DAN YAHUDI

Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.

Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.

Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.

markzuckerberg

Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.

Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:

“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.

ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI

Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:

“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]

Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.

Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:

“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]

Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.

Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“

Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.

Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.

Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.

Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Tepuk dada, tanyalah Iman!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah

Tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.


Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

Sunday, September 13, 2009

Munajat seorang hamba

Pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk hari ke 23 Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu, tanpa pernah ingin menoleh kepada insan-insan yang tertinggal di belakang. Entahkan sempat atau tidak untuk kembali bertemu dengan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang, kerana ajal menanti entah siapa yang tahu.

Sepuluh malam terakhir adalah fasa pembebasan dari api neraka. Alangkah bertuahnya insan yang ketemu dengan Lailatulqadar, dan alangkah malangnya jika kesempatan yang dianugerah setahun sekali ini tidak digapai semaksima mungkin.

Pun, hati yang penuh dengan noda dan dosa ini sering tidak keruan dan dalam ketidakpastian tentang nasib pada hari kebangkitan. Semoga Allah mengampuni kita semua, dan melindungi kita dari segala azab pedih Naar Nya.
















Di kala malam sunyi sepi

bani insan tenggelam dalam mimpi
musafir yang malang ini
pergi membasuh diri
untuk mengadapMu oh Tuhan

Lemah lututku berdiri
di hadapanMu tangisanku keharuan
hamba yang lemah serta hina
engkau terima jua mendekati
bersimpuh di bawah duli kebesaranMu

Tuhan
hamba belum pasti
bagaiman penerimaanMu di kala mendengar
pengaduanku
kuyakin Kau tak mungkiri
dalam wahyu yang Kau nuzulkan
Kau berjanji menerima pengaduanku
dan kau berjanji
sudi mengampunkanku
dari segala dosa yang kulakukan

AmpunanMu Tuhan
lebih besar dari kesalahan insan
hamba yakin pada keampunanMu Tuhan
bukan tidak redha dengan ujian
cuma hendak mengadu padaMu
tempat hamba kembali nanti di sana.....

ALLAH sayang kita

Betapa sayang nya Allah pada kita sehingga di dalam al-Quran diselitkan dengan motivasi supaya hamba-hambaNya ini tabah dalam menghadapi segala dugaan sebelum menuju ke perhentian abadi...

Kenapa AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Kenapa AKU TAK DAPAT APA yang AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216

Kenapa UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286

rasa FRUST?
"janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-Surah Al-Imran ayat 139


BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
-Surah Al-Baqarah ayat 45


APA YANG AKU DAPAT daripada SEMUA INI?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."
-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tiada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
-Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

Saturday, September 12, 2009

Berlapik apa salahnya...

Di suatu hari, seorang teruna dan dara sedang berchatting melalui Yahoo Messenger.
-------------------------------

Ahmad: Assalamualaikum wbt, ini Aisyah SMK Tampin ke? Kenal lagi tak aku.

Aisyah: Waalaikumussalam wbt. Weh Kau Mat. Hah apa khabar. Lama aku tak dengar berita kau. Mana kau hilang.

Ahmad: Hahah, kau lah lama menghilang. Ui bila kita nak buat reunion dengan kawan-kawan sekolah kita ni. Aku rindu siot dengan member-member sekolah kita.

Aisyah: Hah, apa kata kau plan untuk cuti nanti.

Ahmad: Okey juga.

Aisyah: Kau ada friendster tak? Kalau ada add lah aku aisyah @ budakbaik.com

Ahmad: Ada, ada, kejap aku add kau.

-----

Ahmad: Hah dah add pun. Heheh aku tengah explore FS kau ni. Wah kau ada boyfriend ye sekarang.

Aisyah: Huhuhu, kenapa kau jeles ke?

Ahmad: Tak mainlah jeles-jeles. Ui kau pegang tangan balak kau slumber je. Mak kau tak marah ke?

Aisyah: Mak aku mana tahulah. Kau gila aku nak pegang tangan balak depan mak aku.

Ahmad: Hmm, so kau kalau keluar dengan balak kau, memang kau pegang tanganlah ye.

Aisyah: Iyo, rasa selamat sikit.

Ahmad: Oooo rasa selamat. Apa yang selamat?

Aisyah: Yelah, nanti kalau orang tengok tahulah aku dah ada boyfriend. Tak adalah kacau aku.

Ahmad: Ooo. Aku tanya kau jangan marah hek. Kau agak-agak boleh ke tak pegang tangan lelaki bukan mahram ni.

Aisyah: Hmmm

Ahmad: Kenapa tak jawab. Ke kau rasa tak boleh.

Aisyah: Hehehhe, kalau yang ustaz aku ajar tak bolehle.

Ahmad: Habis tu kenapa kau pegang juga.

Aisyah: Banyak soal lah kau ni. Tapi bukan ada ulama' kata boleh ke. Sebab tu ada ulama' kata sentuh perempuan tak batal wudhu. So bolehlah pegang.

Ahmad: Yelah, memanglah ada yang kata tak batal wudhu. Tapi mereka bukan kata boleh pegang.

Aisyah: Eh, kalau dah tak batal wudhu bolehlah.

Ahmad: Ooo aku rasa kau confuse ni. Okey mencarut batal wudhu' tak?

Aisyah: Hahaha soalan bodohlah kau ni. Mestilah tak.

Ahmad: Tapi mencarut berdosa tak.

Aisyah: Berdosalah, kan tak elok tu guna perkataan mencarut.

Ahmad: Okey, lagi satu, buang air besar batal wudhu' tak?

Aisyah: Mestilah batal, apalah kau ni, sekolah rendah kita dah belajar dah.

Ahmad: Buang air besar berdosa tak?

Aisyah: Gila kau, kalau berdosa buang besar teruklah kita.

Ahmad: Hahah tahu pun kau. So kau kena faham, bukan semua benda yang berdosa tu batalkan wudhu, dan bukan semua benda yang batalkan wudhu' tu berdosa kalau kita buat.

Aisyah: Hehehhe baru aku faham. Ingatkan apahallah kau dok tanya soalan bodoh ni. Eh tapi kalau berlapik boleh kan?

Ahmad: Boleh apa?

Aisyah: Yalah kalau berlapik bolehkan pegang, salam, bukan bersentuh pun.

Ahmad: Ooo. Okey, kalau macam tu, kalau adik lelaki kau pegang breast kau dari luar baju kau marah tak?

Aisyah: Ihh apa ni. Kau ni jahatlah cakap benda lucah. Kau ingat adik aku nak buat ke macam tu.

Ahmad: Aik, apsal pula kau marah, bukan berlapik ke kalau dari luar baju, dah lah yang sentuh tu adik kau, mahram kau.

Aisyah: Mana boleh. Berdosa.

Ahmad: Hah tahupun. So tak ada beza berlapik ke tak berlapik. Kalau nak main berlapik, punyalah banyak bahagian berlapik, takkan boleh sentuh juga.

Aisyah: Erkkk.

Ahmad: Okeylah aku nak tidur ni. Nanti aku YM kau kalau cormfirm kita buat reunion nanti. Ui jangan lupa tengok FS aku.

Aisyah: Okeh.

Friday, September 11, 2009

Nenek Mariam

Susah juga hendak menentukan kedudukan agama seorang yang seperti Nenek Mariam. Kita tidak jelas dengan pegangannya, tetapi jika kita berada di posisi anak-anaknya tentu kita akan bertindak serupa. Siapa yang mahu mengakui seorang ibunya telah keluar daripada Islam, kan?

Ini perkembangan terbaru untuk sama-sama kita renungkan.

Nenek Mariam disahkan Islam

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengesahkan Mariam Johari, 88, yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu, masih beragama Islam.

Ini berdasarkan bacaan Fatihah dan pengucapan kalimah syahadah yang dilafazkan Mariam di hadapan dua anaknya, Jelani Sonni,72, dan Ramlah, 73, ketika tiga beranak itu bertemu semula di Seoul pada Julai 2007 serta sewaktu warga emas yang menetap di Korea sejak 64 tahun lalu itu pulang ke Malaysia sebulan selepas itu.

Mariam juga menyatakan tidak pernah makan daging babi atau anjing.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan MAIJ, Yosree Ikhsan, berkata perkara itu jelas menunjukkan Mariam pada zahirnya seorangIslam dan MAIJ sedia mengebumikan jenazahnya mengikut syariat Islam.

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa keadaan Mariam yang tertekan di Korea menyebabkan beliau tidak dapat melaksanakan ibadatseperti seorang Muslim.

Kita menganggap beliau seorang Islam yang sewajarnya dikebumikan cara Islam," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebelum ini, Wisma Putra cuba membawa pulang jenazah Mariam tetapi buntu apabila wanita itu disahkan bukan lagi warga Malaysia dan mewasiatkan supaya jenazahnya disemadikan mengikut adat masyarakat Korea.

Bagaimanapun, 10 dermawan Korea dilaporkan bersetuju menanggung kos menerbangkan jenazah Mariam supaya dapat dikebumikan diMalaysia.

Jenazah Mariam kini ditempatkan di Universiti Suwon, Seoul untuk proses pengawetan sebelum diterbangkan ke Malaysia.

Yosree menjelaskan tidak timbul lagi keraguan terhadap pengebumian Mariam kerana menjadi fardu kifayah bagi masyarakat setempat untuk menyempurnakan jenazahnya mengikut Islam.


"Dalam kes ini, menjadi tanggungjawab MAIJ sebagai pengurus kebajikan umat Islam setempat mengebumikan Mariam.

"Pengebumian akan disempurnakan di Kota Tinggi oleh Kadi Taufik Shamsuddin," katanya.

Jelani ketika dihubungi pula berharap kebuntuan untuk membawa pulang dan mengebumikan jenazah ibunya akan berakhir secepat mungkin.

"Saya berdoa supaya perkara ini benar-benar terjadi," katanya.

Penolong Kanan Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Import Eksport, Ibu Pejabat KDRM, Ismail Abdul Rahman, pula berkata proses menuntut jenazah Mariam dijangka dapat dilakukan dalam masa singkat jika tiada masalah dalam proses dokumentasi sama ada di Korea Selatan mahupun di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan yang akan menjalankan pemeriksaan ke atas mayat sejurus tiba di lapangan terbang.



Thursday, September 10, 2009

Hang Tuah gagal SPM!!!

Hahahaha!!! Kelakar gila video ni, baik korang tengok. Kreatif....

Selamatkan Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa

Selamatkan Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa
(Artikel ini adalah tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, dipetik dari blognya Saifulislam.Com)


“Ya Allah, susah sangat ke nak picit ubat gigi ni elok-elok?” rengus si suami.

Geram melihat tiub ubat giginya penyek-penyek dipicit isteri. Dia memicit ubat gigi itu dengan tertib, dari bawah ke atas.

Kemas.

Si isteri pula memicit sesuka hati.

Setiap pagi kerja si suami ialah membetul dan mengemaskan tiub ubat giginya yang penyek di sana sini.

“Hishh, geramnya aku. Kau tak faham-faham ke? Aku ceraikan engkau talak satu!” sumpah si suami.

Bergegar arasy Allah Subhanahu wa Ta’aala!

BENCANA RUMAHTANGGA

Kisah di atas adalah di antara kisah paling pelik yang pernah diceritakan kepada saya tentang mudahnya pasangan hari ini memutuskan ikatan perkahwinan. Hanya kerana masalah ubat gigi, ikatan akad AKU TERIMA NIKAHNYA boleh terbubar begitu sahaja.

Baru berkahwin seminggu, atau sudah dua puluh tahun bersama, faktor masa itu juga sudah tiada makna.

Seminggu, sepatutnya masih hangat dengan bulan madu. Tetapi talak jatuh dengan begitu mudah.

Dua puluh tahun, sepatutnya sudah begitu saling serasi lagi memahami. Tetapi talak jatuh bagi semua itu tiada ertinya lagi.

Kehancuran institusi rumahtangga masyarakat kita semakin membimbangkan. Kita itu adalah kita yang Muslim. Melayu yang Muslim. Penceraian sudah menjadi kebiasaan. Daripada artis hingga kepada orang kebanyakan. Bercerai dan meruntuhkan masjid yang dibina, sudah menjadi perkara enteng bagai tidak punya sebarang harga dan makna.

Salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada kesengsaraan sosial ini ialah hilangnya daya kawalan diri.

Bacalah apa sahaja buku motivasi, ceramah yang hebat-hebat, tips yang bersusun tersenarai, segalanya hilang daripada pertimbangan apabila manusia hilang kawalan diri.


ERTI GAGAH YANG SEBENAR

Renungkan pesanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

syadid

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Hadith Muttafaq ‘alayh]

Juara gusti gagal mempertahankan rumahtangganya jika gagahnya hanya pada menumpaskan musuh di gelanggang, tetapi tidak pada daya kawalan diri yang tinggi semasa baran menguasai emosi.

Seorang CEO tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya yang hanya ada satu perempuan dan dua remaja, sedangkan dirinya begitu sukses mentadbir sebuah syarikat yang ada 500 orang pekerja. Segalanya gara-gara hilang kawalan diri.

Justeru itu, Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperlihatkan bagaimana khutbah nikah dibina dengan tiga petikan ayat al-Quran yang setiap satunya menyentuh soal TAQWA.

Membina rumahtangga dengan TAQWA itu bukan retorik. Ia adalah sendi terpenting dalam menjaga kesejahteraan rumahtangga yang belayar dengan indah dan payah.

ERTI TAQWA

Seperti ungkapan dialog di antara Ubay bin Ka’ab dengan Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhuma:

taqwa-hati-hati

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab radhiyallaahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan):,”Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?” Umar menjawab, “Sudah tentu!” Ubay bertanya, “Justeru apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Aku akan mengangkat sedikit kainku dengan aku akan melangkah dengan berhati-hati.” Ubay berkata, “Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA”

Jelas sekali perumpamaan yang diberikan oleh Ubay kepada Umar.

Andaikata TAQWA itu diterjemahkan ke dalam konteks sebuah rumahtangga, ia seumpama daya melangkah dan memandu diri yang baik dalam menempuh segala onak dan duri serta liku-liku perjalanan sebuah rumahtangga. Melangkah dengan berhati-hati, yakni hasil suatu daya kawalan diri yang baik.

Kata seorang isteri, “saya benci dengan sikap abang yang mendiamkan diri. Kalau abang dah tak sudi dengan saya…!”

Berhenti!!!

Jangan dihabiskan ayat itu.

Belajarlah mengawal diri dengan baik. Jangan diikutkan perasaan yang sedang panas dan bergejolak itu. Jangan terlalu mudah meminta dilepaskan. Jangan senang sangat meminta CERAI!

Namun dari satu sudut, jika hilang kawalan diri itu banyak berlaku di kalangan sang isteri, sekurang-kurangnya ada ruang untuk kita memahaminya. Mereka insan yang kaya perasaan. Emosinya bagai lautan. Justeru hilang pertimbangan itu memang mudah terjadi.

Mulut yang mudah meminta cerai itu, janganlah para suami tidak bersedia untuk mendepaninya.

Akan tetapi, bagaimana pula jika suami pun emosi sama?

Terlalu mudah hilang pertimbangan, melenting, sama ada kerana tekanan hidup yang berat, atau ego yang menggunung. Sesungguhnya kejantanan seorang lelaki itu bukanlah keutamannya pada misai melintang, badan berbulu atau suara garau ala-ala Suhaimi Mior Hasan. Kejantanan besar seorang lelaki itu adalah pada kuatnya daya kawalan diri, dalam mengemudi kehidupan, khususnya dalam bahtera rumahtangga.

Berfikir panjang.

Bertenang.

Bertindak dengan pertimbangan rasional.

Bukan emosional.

RAMADHAN DENGAN HIKMAHNYA

Besarlah khasiat Ramadhan dalam membantu kita menyelamatkan rumahtangga.

Rumahtangga yang sendinya adalah TAQWA, bukankah Ramadhan datang untuk itu?

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]

Sayangnya Allah kepada kita, diberikan-Nya satu bulan dalam setahun, untuk kita belajar mencapai TAQWA. Bekalan untuk kesejahteraan hidup, kesejahteraan perkahwinan dan rumahtangga.

Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa?

Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!

Itulah Taqwa.

Kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumahtangga, anak dan bini.

HAMBA KEPADA DIRI SENDIRI

Apabila seseorang itu tidak mampu untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan dirinya, ia menjadi bencana yang amat membinasa. Renunglah firman Allah:

45_23

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]

Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala.

Cukup dengan Allah berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai tuhan! Siapakah golongan itu? Iaitulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri.

Tidak mampu mengawal diri.

Dia menjadi hamba, kepada kepentingan dirinya sendiri, semata-mata.

Manusia sebegini, biar pun ilmunya banyak, ilmu itu menjadi lumpuh kerana segala-galanya bukan lagi atas keputusan ilmu tetapi di atas keputusan kemahuan diri yang tidak terkawal itu.

Profesor.

Ustaz.

Ahli pemikir.

Tumbang, apabila ilmu gagal melepaskan dirinya daripada dorongan kemahuan diri yang mengundang binasa.

Di sinilah datangnya hikmah Ramadhan.

Puasa dan segala pakejnya mengajar kita untuk mampu mengawal diri. Mampu berkata tidak kepada diri sendiri, tatkala apa yang dimahukan itu, mudharat dan bukan lagi manfaat!

TENANG DALAM PROVOKASI

akuberpuasa

“Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa” [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Secara khusus di bulan Ramadhan ini, andaikata kita terperangkap dalam satu situasi yang sangat mengajak kepada berasapnya kepala dengan kemarahan, tindakan yang diajar oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah melepaskan kejadian itu tanpa perlu membalas atau melawan. Cukup sekadar diluahkan dengan kenyataan, “sesungguhnya aku berpuasa!”

Bukan mahu memangsakan diri.

Tetapi belajar untuk mengawal diri.

Teladan inilah seni terbesar dalam mengawal kelangsungan sebuah rumahtangga.

Jangan semua leteran mahu dibalas dengan leteran. Jangan semua cakap menghina mahu dibalas dengan penghinaan. Jangan semua tingkah laku yang menimbulkan kemarahan itu dibalas dengan kemarahan. Belajarlah mengawal diri, belajarlah untuk tidak melatah dan jangan bertindak mengikut rangsangan.

Semoga dengan hikmah Ramadhan, kuranglah pertengkaran. Kuranglah pergaduhan. Kuranglah penceraian.

Selamatkanlah rumahtangga, dengan hikmah Ramadhan dan Taqwa.

Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa;
Kerana ribut badai melanda,
Tersalah sebut buruk akibatnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Bonus kakitangan awam

PM dah umumkan semalam, hanya kakitangan sokongan sahaja akan dibayar bonus RM500. Itu pun dua kali bayar, RM250 bulan ini dan RM250 lagi bulan lagi satu (tak hengat dek non!! Bulan berapa ek?)

Apa reaksi anda?

Sisi positifku berkata:
Tak apalah. Kakitangan sokongan lebih memerlukan bonus kerana gaji mereka kecil. Lagipun RM500 je. Ekonomi negara sekarang tak menentu, kenalah terima kenyataan. Kena faham beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Ikhlaskanlah hati kita. Yang penting kerja kita lillahi taala. Setakat nak raya, bukan kena belanja ribu riban kan? Lagi pun, depa dapat RM250 je untuk bulan ni. Harga perfume aku pun tak lepas.... hehehehe!!!

Sisi negatifku bersuara juga:
Uwaaaaaaa!!!! Tak aci!!! Aku kerja lagi penat dari depa. Depa pi pejabat dok borak lagi banyak dari dok kerja, lepas tu kerajaan nampak sumbangan depa ni aje. Aku menyumbang jugak hapa!! Tak nampak ke? Tak berharga ke sumbangan aku ni? Kenapa kami dianaktirikan? Dahlah gaji depa naik berganda-ganda hari tu. Gaji kami naik ciput je. Kerajaan memang tak adil. Golongan pengurusan dan profesional dah tak dihargai!!!!!!

Wednesday, September 09, 2009

Wadi Unung












Mula-mula saya dengar iklan promo di Astro tentang siaran drama ini (saya tak tengok pun, dengar aje sebab mata saya selalunya membaca surat khabar, majalah atau mengadap komputer), rasa tak tertarik langsung dengan tajuknya. Wadi Unung. Apa tu? Saya ingatkan kisah purbakala...

Tetapi bila "ter"menonton untuk kali pertama - itu pun episod yang sudah entah ke berapa - saya rasa sangat tertarik.

Pertamanya, selama ini saya sudah muak dihidangkan dengan drama Melayu yang bertema korporat. Sana Datuk, sini Tan Sri, naik Mercedes, pakai kot memanjang. Ta realistik. Bosan dan menyampah lagi. Sudah lama saya impikan drama Melayu seperti drama Opah, Anjang Aki dan Anjung Batu yang begitu dekat dengan hati dan jiwa saya. Apabila saya menonton drama ini, semua itu terhidang dengan indah sekali! Sungguh. Saya dapat rasakan keakraban persahabatan antara Azrin, Fatihah dan Nazir di suatu kampung yang begitu damai, dengan bebelan emak Azrin yang begitu "mesra telinga", serta kenakalan budak-budak kampung. Begitu indah. Begitu realistik.













Kedua, kisah persahabatan antara dua kanak-kanak perempuan sehingga mereka dewasa dan membawa haluan masing-masing, tetapi kasih-sayang masih kekal utuh. Jarang benar kisah begini diketengahkan. Malahan, kemanisan alam percintaan antara Azrin dan Nazir juga digambarkan dengan cara tersendiri, tidak stereotaip.

Dan akhir sekali, pelakon-pelakonnya memang berjaya me"watak"kan diri mereka. Eja sebagai Azrin sangat menyerlah. Menjadi benar keras kepalanya itu. Walaupun nampak berusia, tetapi Eja manis sekali. Intan Azura sebagai Fatihah juga tidak kurang hebatnya. Saya suka Faizal Yusof sebagai Nazir, kerana wajahnya nampak jujur sekali, berbeza dengan wataknya sebagai Faryzal dalam Manjalara yang tegas dan agak garang. Juga kemunculan Zakaria Yusof memegang watak orang tua di kampung (bapa Fatihah), memang berbeza dengan watak garangnya dalam drama-drama 80-an.

Tidak lupa juga, saya amat sukakan lokasi yang digunakan dalam drama ini. Lokasi Wadi Unung yang cukup indah dan nyaman, hinggakan saya terasa ingin ke sana. Tahniah buat Raja Ahmad Alaudin kerana mengarahkan drama yang begini menyentuh hati dan jiwa saya.

Cuma saya sedikit terkilan, kerana waktu siarannya terlalu hampir dengan waktu berbuka puasa.

Sunday, September 06, 2009

Bapa borek anak rintik

Sama-sama kita nilaikan sendiri gambar tiga pasangan bapa dan anak lelaki ini. Siapa yang lebih handsome?

Lutfi dan Afnan



















Rifqi dan Amin
















Muhammad dan Areef

Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Memberi pendapat yang berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan. Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya.

Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran yang lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan yang kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’.

Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri. Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam. Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama samada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian.

Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas. Dalam perkara hukum atau selainnya yang tiada nas yang jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat yang berbeza di kalangan sarjana. Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya.

Maka sebab itu, setiap individu muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka. Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.

Makruh Gosok Gigi

Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali.


- Gambar Hiasan

Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya. Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut:

“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini.

Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?! Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda:

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.

Tidak Lojik

Nabi s.a.w dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat:

“Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim).


- Gambar Hiasan

Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; “yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya.” (lihat: ms 143).

Pada andaian mereka, ini membantu kusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar?! Atau mungkin sebaliknya berlaku. Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini?! Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka?!. Andaian atau tambahan yang dibuat ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.

Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi’i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat berbagai-bagai andaian yang pelik seperti

“jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260).

Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi..”. Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan. Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memandai-mandai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.

Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya. Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan.

Biasanya, golongan agama yang cuba mengujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka. Kita memberikan pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama tertentu, bukan bererti kita disuruh biadap atau tidak menghormati mereka.

Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasulNya.

Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita. Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasulNya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan kemunasabah untuk umat.

Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasulNya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja?!.

Tahniah buat Aziah dan Syahiman














...yang bakal menimang cahaya mata pertama selepas sepuluh tahun usia perkahwinan mereka. Memang sesuatu yang cukup membahagiakan buat pasangan ini. Maklumlah, sepuluh tahun bukan tempoh yang sekejap.

Petang Jumaat lalu, emak menelefon saya. Dia bertanya, "ada Aziah bagi tau dia mengandung kat Yati?"
"Tak ada pulak. Ya ke?"
"Semalam dia bagi tau ma, sekarang tengah pening-pening kat Perak nun..."

Saya terus SMS Aziah dan bertanya untuk kepastian. Jawapannya, "Kemarin dulu aku test sendiri. Kemarin aku gi klinik. Doktor kata aku ngandung 6 minggu. Alhamdulillah."

Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya saya mendengar berita ini. Saya rasa seperti di awang-awangan seolah-olah saya sendiri yang mengandung! Saya ucapkan tahniah padanya, dan berharap dia akan menjaga kandungannya sebaik mungkin hingga selamat melahirkan.

Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa atas segala-galanya.

Anak-anak saudaraku, Anis dan Ain

Petang Jumaat baru-baru ini, kakak ipar saya dari Kuala Terengganu, Dr. Zaiha dan anak-anak - Anis, Ain, Aisyah dan Afnan - berkunjung ke rumah. Agak lama juga tidak bertemu dengan mereka, rasanya kali terakhir ialah pada cuti sekolah Jun lalu. Bila tinggal berjauhan begini tentu sekali hanya akan bertemu pada waktu cuti sekolah sahaja. Saya bertanya kenapa cuti sekolah minggu lepas beliau tidak datang ke sini? Maklumlah, masa itu ramai yang pulang ke rumah emak. Tentu meriah berbuka ramai-ramai. Katanya tiada kesempatan untuk mendapatkan cuti kerana kepadatan jadual di hospital. Hmm, sekarang doktorlah yang menjadi kakitangan yang paling penat kan? Simpati juga pada mereka, tetapi itu sidah menjadi tuntutan kerjaya, yang pastinya terlalu besar nilainya.

Jam enam petang mereka pulang, tetapi Anis dan Ain ditinggalkan di rumah saya. Tidak sangka rupanya Anis sudah menyediakan pakaian untuk bermalam di sini! Jadi cuma Kak Ha, Aisyah dan Afnan pulang ke rumah emak petang itu.

Saya siapkan bilik untuk mereka berdua dan menyuruh mereka mandi sebelum berbuka puasa. (Mereka tak puasa pun sebenarnya!). Hanya Anis yang makan pada petang itu kerana Ain sudah kenyang. Sudah tiga kali makan nasi di rumah Tok Ma, katanya. Menu berbuka hari itu - ikan pari bakar, sup tulang yang dibeli di pasar, dan gulai lemak rebung campur udang yang diberi emak.

Anis membawa bersama laptopnya. Hai, kecil-kecil lagi dah berjiwa IT. Anak doktorlah katakan, hehehe... Jam 8.00 malam Ain dah terlena. Jadi saya cuma melayan Anis sahajalah. Alah, bukan ada apa-apa karenah pun. Jujurnya, saya nampak Anis sudah semakin dewasa walaupun baru berusia 9 tahun. Semoga dia membesar sebagai anak gadis yang penuh berhemah dan berjiwa kental.

Saya hidangkan kerang rebus cecah sos, banyak juga dia makan. Dia kata dia memang suka kerang. Tengah hari tadi dia buka puasa sebab terliur tengok kerang kat rumah Tok Ma. Tapi besok dia janji akan puasa penuh. Harap-harap betullah....

Jam 9.00, dia sudah minta izin untuk tidur. Awal rupanya anak-anak Kak Ha ini tidur, tak macam sesetengah kanak-kanak lain yang selalu sukar tidur awal.

Sahur jam 5.00 pagi, saya kejutkan Anis dan dia mudah saja bangun. Lepas sahur dia dah tak tidur dah, tapi main games kat laptop dia. Dia minta juga nak main laptop saya, sebab katanya laptop dia tak banyak games. Ain pun dah jaga. Selepas mereka mandi, saya sediakan sarapan untuk Ain. Bukan susah pun, nasi dengan ayam goreng aje..

Jam 9.30 pagi, Kak Ha datang jemput mereka untuk pulang ke Kuala Terengganu. Anis janji untuk datang tidur kat rumah saya lagi bila ada waktu nanti. Boleh aje, Anis. Nak duduk sini sokmo pun tak apa...!!

Wednesday, September 02, 2009

Kejadian di depan mataku

Apa yang berlaku petang tadi masih terbayang-bayang di mata saya. Susah nak buang dari kotak fikiran, asyik ternampak-nampak aje ni.... hmmmm.

Saya pulang dari sekolah jam 5.30 petang, dijemput suami. Dalam perjalanan, ada seorang pakcik tua melintas jalan di hadapan kami. Dia sempat melepasi kereta kami tetapi tidak sempat mengelak lori yang datang dari arah bertentangan. Saya nampak dengan jelas bagaimana dia dirempuh lori tersebut. Saya menjerit dan menutup mata. Tak sanggup melihat apa yang berlaku. Suami saya menghentikan kereta untuk memastikan keadaan pakcik tua itu. Saya tidak sanggup untuk turun melihatnya. Suami saya kata pakcik malang itu meninggal dunia. Saya rasa hendak menangis. Saya masih boleh nampak dengan jelas bagaimana dia melintas jalan tadi....

Saya tak tau nak jelaskan perasaan saya. Sampai sekarang saya masih teringat peristiwa itu. Saya kasihankan pakcik itu, tetapi sudah tertulis ajalnya di situ. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Innalillah dan al Fatihah.