Wednesday, July 17, 2013

Bonus

Asal raya, sibuk tanya bonus. Asal bajet, sibuk tanya bonus. Siapa? Kakitangan awam seperti kami inilah!

Saya tumpang gembira apabila diberi bonus, tetapi pada masa yang sama saya sedikit terkilan dengan mentaliti kakitangan awam. Kadang-kadang, rasa malu apabila membaca sindiran dan perlian orang ramai terhadap sikap kita ini.

Tidak salah meminta, tetapi biarlah berpada-pada. Tak perlu disiar dalam segala rupa media yang ada. Malah, berita palsu pun menjadi tajuk utama dalam sesetengah laman sosial. Saya terkedu! 

Saya akui, gaji kakitangan awam di negara ini masih rendah berbanding negara lain, dan sangat rendah berbanding segala kos yang perlu kita biaya. Ansuran rumah, ansuran kereta, pendidikan anak, pusat asuhan, cukai jalan, cukai pendapatan, dan segala macam perkara yang pelbagai - sama ada keperluan atau kehendak - yang tak mampu disenaraikan di sini. Sebab itulah kadar berhutang rakyat kita sangat tinggi, berganda-ganda lebih tinggi daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Maka, apabila musim raya tiba, kita mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu untuk membolehkan kita beraya dengan sempurna. Kita berdoa agar terbuka hati bapak menteri untuk menganugerahkan kita seketul bonus.

Ya, saya juga berharap begitu. Saya juga berasa seronok menerima pemberian daripada kerajaan walaupun pada kebanyakan waktu saya mencanangkan pada ramai - erti hidup pada memberi. Utamakan memberi daripada menerima. Tetapi kita sudah sering memberi, ada waktunya berharap juga untuk menerima. Itu lumrah, dan tiada yang salah.

Yang salahnya ialah berdegar-degar bertanya dan bercerita tentang harapan kita itu. Ia nampak tidak ikhlas, sekurang-kurangnya pada saya. Biarlah Cuepacs dan konco-konconya meneruskan usaha. Kita menunggu dan berdoa sahajalah. Tak perlu menyebar berita palsu di laman sosial, atau menulis di forum pembaca. Ia umpama manusia yang amat terdesak. Maruah kita akan tercalar.

Bedak

Sebagai wanita normal, memang sangat tidak logik jika tidak berbedak. Mana mungkin kita keluar rumah dengan wajah kusam dan pucat? Nampak macam orang demam pula nanti.

Dulu, sewaktu sekolah menengah, saya selalu membawa bekal bedak talkum bayi yang saya bungkus dalam kertas. Apabila waktu rehat, saya akan 'touch up' wajah saya di bilik air. Bukan apa, kulit muka saya jenis cepat berpeluh dan berminyak. Sangat tidak selesa rasanya apabila ia semakin melekit apabila bedak yang saya sapu pada awal pagi mula berkurang. Keyakinan diri juga berkurang apabila perlu berhadapan dengan guru dan rakan-rakan lelaki.

Apabila memiliki wang biasiswa sendiri, saya mula pandai membeli bedak kompak. Waktu itu, saya hanya mampu memakai bedak kompak jenama Yardley yang hanya berharga RM3.50 sepeket.


Ia kelihatan sempurna di wajah saya.

Bertahun-tahun juga saya mengunakannya, ada ketika saya bertukar kepada jenama-jenama lain yang seharga dengannya sehinggalah saya bekerja.

Tahun 2002, saya berkenalan dengan produk Maybelline. Saya jatuh cinta dengan bedak 2 dalam 1 (two way cake) jenama tersebut yang sangat sesuai dengan kulit wajah saya. Ia tidak langsung bercapuk walaupun saya berpeluh. Harganya agak mahal, mencecah empat puluh ringgit tetapi ia tahan sehingga dua bulan. Pun saya masih perlu mengenakan pelembab sebelum memesrainya di wajah.

Lama saya setia pada Maybelline ini. Daripada bentuk kotak yang tidak secanggih mana, hinggalah bertukar kepada yang lebih elegan, saya masih menggemarinya. Sekali dua saya menukar juga selera. Mencuba bedak Za, Nutrimetics atau Avon tetapi cinta saya tetap pada Maybelline.
 

Beberapa bulan lalu, saya diperkenalkan dengan bedak Arab jenama Kokuryu oleh seorang rakan. Harganya RM60. Saya pernah bersua dengan iklan bedak ini di Facebook, dan pernah membaca tentang keberkesanannya. Malah, Ustazah Laila Aniza yang terkenal itu turut menjual produk yang sama.

Tanpa banyak bicara, saya membeli bedak itu.


Sungguh saya berpuas hati. Bedak arab ini rupa-rupanya sudah lengkap, sudah padat. Tidak perlu lagi saya menggunakan pelembab dan bedak asas kerana ia 3 dalam 1. Juga, sesuai dengan harganya yang agak tinggi, ia mampu bertahan hingga enam bulan. Kini, sudah tiga bulan saya menggunakannya dan rasa saya, memang ia akan mampu bertahan untuk tiga bulan lagi.

Tidaklah saya mampu menelah apakah bedak ini akan menjadi kesukaan saya dalam tempoh yang lama. Sesetia saya kepada bedak Maybelline, tergugat juga dengan kehadiran Kokuryu. Mungkin jika ada yang lebih baik selepas ini, Kokuryu juga akan senasib Maybelline!

Tuesday, July 16, 2013

Memori Puasa

1979 bersamaan 1399 Hijrah, saya berusia 7 tahun. Bulan Ramadan tiba pada 25hb. Julai. Cuaca memang sangat panas.

Saya tidak mampu menyimpan memori yang banyak tetapi apa yang saya ingat, saya hanya berdaya berpuasa selama empat hari sahaja pada tahun tersebut.  Ayah dan emak tidak memaksa, cuma saya yang mahu mencuba.

Tahun-tahun seterusnya pun, saya tetap mencuba untuk berpuasa tetapi tidak pernah mampu berpuasa penuh sebulan. Kudrat seorang kanak-kanak yang sedang membesar ditambah kepanasan cuaca bulan Jun dan Julai sememangnya tidak langsung memberi kekuatan untuk saya berpuasa. Apatah lagi dugaan menonton iklan yang menunjukkan air minuman yang lazat, menggelegakkan rasa dahaga dalam diri. Sehingga darjah enam pun, saya masih gagal berpuasa penuh.

Anehnya, ayah dan emak tidak pernah marah. Mereka membiarkan sahaja saya tidak berpuasa, tetapi pada masa yang sama mereka menanam kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan berpuasa apabila tiba masanya nanti. Saya sedar tentang itu dan apabila saya memasuki alam baligh pada usia 13 tahun 11 bulan, saya tidak lagi ponteng puasa tanpa sebab yang dibenarkan. Saya juga mampu mengqada’ puasa saya pada masa yang ditetapkan, tanpa pernah terlajak tahun. Alhamdulillah. Emak dan ayah begitu berjasa dan berjaya menyemai rasa tanggungjawab dalam diri saya terhadap ibadah ini walaupun sewaktu kecil dahulu mereka tidak terlalu melatih saya berpuasa.

Lalu saya dapat simpulkan secara sendiri yang ibadah puasa ini bukanlah sesuatu yang memerlukan latihan, tetapi yang lebih penting ialah kesedaran dan ilmu yang kukuh. Manakan sama upaya kanak-kanak dibanding orang dewasa, jadi mengapa mahu melatih mereka berpuasa pada saat upaya mereka berbeza?

Cuba bandingkan puasa kita sendiri, sewaktu zaman kanak-kanak dahulu dengan puasa kita sekarang. Tentunya puasa dalam usia sekarang sangat mudah berbanding sewaktu kanak-kanak dahulu. Kita sudah tahu mengawal diri dengan baik dan badan kita sudah mampu menampung zat dan mineral yang perlu dalam tempoh yang lebih lama. Jarang benar kita lembik dan lesu kerana puasa!

Buat ibu bapa di luar sana, puasa tahun ini jatuh dalam bulan yang cukup panas. Jangan sampai mendera anak-anak kita dengan latihan puasa pada hal Allah belum mewajibkan ke atas mereka. Biarkan mereka membesar dengan sihat, dan tanamkan ilmu dan kesedaran yang secukupnya agar mereka mampu memikul tanggungjawab sebagai muslim dengan sempurna apabila mereka dewasa.

Memori....

Bulan puasa 1981. Saya bersekolah petang. Kantin sekolah memang dibuka walaupun pada bulan puasa kerana meraikan kami kanak-kanak yang ramai tak puasa. Pernah beberapa kali, saya berpuasa pada sebelah pagi, tetapi makan di kantin sewaktu rehat. Pulang ke rumah, saya kunci mulut, tak bagitau mak dan ayah yang saya dah tak puasa. Jadi dapatlah saya berbuka dengan meriahnya! Eeeii... bila saya ingat balik, saya rasa saya tak patut buat macam tu. Tapi, budak-budak. Maafkan sahajalah ya!!


 Bulan puasa 1982. Saya bertandang ke rumah kawan sekelas saya pada satu petang hujung minggu. Waktu itu saya berpuasa. Sebaik masuk ke rumahnya, saya terpandang gambar seorang model wanita memegang segelas minuman ais yang sangat lazat di kalendar yang tergantung di dinding ruang tamunya. Gulp! Saya menelan liur. Ya Allah, sedapnya air itu. Saya seperti mahu meminta dia memberi saya minum sedikit kerana saya sungguh tergoda dengan aksinya bersama air itu!

Bulan puasa 1984. Saya darjah enam. Sudah pun berusia 12 tahun tetapi barang diingat, saya masih belum baligh.. Entah kenapa sepanjang bulan puasa tahun ini saya sangat gemar berbasikal setiap petang dengan kawan-kawan sekolah saya. Kami meronda dari kampung ke kampung, dan apabila pulang ke rumah saya kehausan. Melihat saya kepenatan, ayah akan bertanya, nak puasa tak? Memang lah ayah sangat faham jiwa saya. Belum saya minta, ayah dah bagi offer! Makanya, saya puasa tak cukup 9 hari. Isk..!!

Bulan puasa 1985. Saya masih di alam kanak-kanak pra matang walaupun sudah berusia 13 tahun. Sangka saya, saya akan berpuasa penuh untuk kali pertama pada tahun ini kerana saya berada di asrama. Rupanya tidak juga. Sehari sebelum raya, kami sekeluarga bergerak pulang ke kampung di Golok. Tiba di Rantau Panjang, kami singgah di rumah arwah Mak Pah. Kata Mak Pah, Thailand sudah raya hari ini. Ayah lalu mengizinkan kami makan kerana nanti bila tiba di kampung sebelah sana, kami wajib berbuka juga. Saya pun terus merasa kuih yang ada di rumah Mak Pah. Punyalah teruja, saya makan di pintu rumahnya. Tiba-tiba ayah bersuara, "alahai, taulah dah tak puasa tapi sorok-soroklah sikit. Nanti orang tengok tak elok!" Saya senyum je, termalu-malu sendiri...

Itulah memori bulan puasa saya....

Monday, July 15, 2013

Redha

Sudah enam hari Ramadan tiba, belum sekali pun saya memasak sepenuhnya untuk hidangan berbuka kami. Setiap hari, saya hanya memasak nasi dan suami akan membeli lauk pauk dan kuih muih yang sudah siap dimasak. Untuk sahur sahaja saya memasak lengkap. Itu pun, hanya satu dua lauk sahaja yang mudah-mudah seperti ayam goreng, ikan goreng atau telur goreng.

Pernah juga saya bersuara (ketika bukan bulan Ramadan) yang saya mahu belajar memasak nasi dagang yang sedap untuknya kerana saya tahu dia suka nasi dagang. Katanya, tak payahlah. Beli di kedai saja.

Daripada intonasinya, saya tahu dia bukan menyindir.

Ada dua kemungkinan yang boleh saya simpulkan daripada apa yang saya alami. Pertama, dia tidak mahu menyusahkan saya. Memasak memang rumit, cerewet dan memakan masa apatah lagi buat seorang wanita yang tidak gemar memasak seperti saya. Dia tahu itu, dan dia tidak mahu meminta lebih. Cukup dengan apa yang saya mampu.

Atau pun, mungkin selama ini hidangan saya tidak berapa menepati seleranya, lalu dia tidak mahu mengambil risiko membenarkan saya memasak makanan kegemarannya yang sudah dijangka tidak akan sesedap mana.

Apa pun, saya tidak mahu menyesakkan fikir saya dengan pelbagai andaian yang bukan-bukan.

Kalau dia redha, saya juga redha. Pahala seorang isteri tergantung pada redha suaminya. Itu kata kunci yang saya pegang. Bukan semestinya memasak, mengurut, memotong kuku atau melayan dia dengan layanan kelas pertama baru mendapat pahala. Dia redha dengan saya, alhamdulillah. Yang lain-lain itu datang kemudian. Kalau saya mahu memotong kukunya tetapi dia tidak selesa, biar sahaja dia memotong sendiri. Bukankan perkahwinan ini satu persefahaman selain perkongsian?

Anda - para pembaca - bebas memberi ulasan.

Sunday, July 14, 2013

Layar Keinsafan


Sepi benar senja ini
Bayunya semilir
menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar


Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik
pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan


Tuhan 
layarkanku ke arah cinta-Mu
Tuntuniku menggapai redha-Mu
Di rimbunan kasih-Mu ku berteduh
Kepada-Mu ya Tuhan


Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan


Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar

Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi


Pada-Mu Tuhan
Kan kuserahkan cinta kepada-Mu


Harapanku 
moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora 
untukku belayar

Wednesday, July 10, 2013

Kasihan

Beginilah mentaliti rakyat Malaysia.

Video seorang gadis remaja yang tidak pernah dikenali sebelum ini tiba-tiba menjadi viral. Video itu merakamkan rasa cintanya kepada teman lelakinya sempena seminggu mereka bercouple. Ramailah yang berkongsi, kemudian memberi komen yang pelbagai dan semuanya, saya ulang - SEMUANYA bernilai negatif.

Saya berasa kasihan. Bukan sahaja kepada gadis itu, tetapi kepada rakyat Malaysia yang masih lagi menegatifkan segala perkara. Yang masih gemar bertindak membabi buta.

Bukan saya menyebelahi dia, atau membenarkan perbuatan dia. Tetapi fikirlah, apa yang kita dapat dengan menyebarkan video ini? Apa tujuan kita sebenarnya? Berdakwah? Haktuihhhh!!

Tolonglah betulkan kepincangan sebegini. Mengapa orang kita malas sungguh menggunakan akal kurniaan Allah ini sebaiknya? Tidak nampakkah implikasi yang akan berlaku kepada gadis itu?

Dia masih muda. Beri dia peluang. Kita tidak layak menghukum dia sebegini.

"Apabila engkau terlanjur berbuat dosa, maka jangan engkau putus asa dalam menggapai istiqamah kepada Rabbmu, kerana boleh jadi, itulah dosa terakhir yang ditakdirkan bagimu."
-Syaikh Ibn 'Atha'illah

Saturday, July 06, 2013

Akhirnya

Lama sungguh, kini baru ia terlaksana. Pagi tadi kami membelinya dan sebentar tadi ia tiba. Set sofa baru bagi menggantikan sofa usang kami yang sudah berusia 12 tahun.

Insyaallah, seminggu dua lagi kami akan usahakan langsir baru pula.

Thursday, July 04, 2013

Cabaran

Kalau nak dikira penat, rasa macam nak pencen awal je. Bukan setakat fizikal, mental pun rasa macam dah blocked. Cabaran menjadi guru semakin hebat dari tahun ke tahun dan saya bagai tidak tertanggung.

Pun, kewarasan fikiran masih berada pada tahap normal. Saya masih tahu menimbang tara dan membuat reasoning. Saya perlu meneruskan sebuah perjuangan dalam medan yang saya pilih ini. Berhenti bererti mengaku kalah, dan saya tidak mahu itu berlaku.

Esok dan lusa adalah hari untuk saya bertenang. Cuti mingguan selama dua hari sekurang-kurangnya memberi ruang untuk saya melayan diri sendiri. 

Adik-adik, Pizza Hut ya esok!

Saturday, June 29, 2013

Bola!

Muktamad.

Saya tidak akan menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor DT malam ini. Saya sudah memberi maklum kepada suami saya, sila tonton siaran langsung itu di ruang tamu. Jemputlah siapa-siapa yang mahu menonton bersamanya. Kalau perlu, saya boleh sediakan mi goreng sebagai santapan sambil menonton perlawanan itu tetapi maaf, saya tidak akan turut serta.

Saya mahu tenang di bilik saya. Saya mahu tenteram, aman dan damai. Semua itu tiada dalam perlawanan akhir itu.

Percayalah, siapa pun menang tidak akan mengubah apa-apa. Bolasepak Malaysia dan saya kini sudah bercerai talak tiga! Kata orang, berpatah arang berkerat rotan. Sekali saya ditipu dek penangan rasuah dahulu, sampai kini jiwa saya masih terluka.

Saya tidak mahu jadi bodoh, apatah lagi diperbodohkan.

Sekian.

Thursday, June 27, 2013

Perjalanan 5

Penerbangan pulang kami berlangsung seperti yang dirancang. Kali ini saya berpeluang duduk bersebelahan dengan ma setelah beberapa pertukaran tempat duduk berlaku. Alhamdulillah. Pun, suami saya dan umi duduk di tempat yang berasingan dan berjauhan dari kami. Tidak mengapalah, selepas sebelas hari bersama-sama, kami sudah saling mengenali antara satu sama lain. Tidaklah umi dan suami saya terasa berada dalam kalangan orang asing, harap-harapnya.

Tiba di KLIA, kami terpaksa menunggu agak lama untuk penerbangan ke Kota Bharu. Sempatlah kami makan dan berehat seadanya. 

Jam 2.30 petang, kami menaiki pesawat ke Kota Bharu yang cuma 55 minit penerbangan. Jam 3.25 petang kami tiba di LTSIP dan jam 4.30 petang kami bertolak pulang ke rumah. Alhamdulillah, kami baik-baik sahaja.

Terima kasih adinda-adinda semua. Terima kasih Ismah dan Aziah kerana sudi menjemput kami di airport. Terima kasih Husna dan Zahidah, yang menunggu di rumah bersama hidangan yang menarik. Terima kasih semua kerana menyambut kepulangan kami dengan hati yang bahagia. Terima kasih!

Di rumah mek pula, terhidang nasi dan lauk pauk yang istimewa. Kak Zan dan suaminya keluar menjemput kami, manakala Mek, Kak Ni, Kak Imah dan anak-anak saudara pula menanti di rumah sambil menyediakan hidangan buat kami. Terima kasih. Kami amat menghargainya.

Penat memang penat, tetapi ada kepuasan dan kebahagiaan dalam melalui perjalanan ini.

Di sana, saya titipkan doa buat semua, agar kita beroleh bahagia di dunia dan di akhirat. Bahagia selamanya. Bahagia yang abadi.

Amin.

Perjalanan 4

Hari-hari seterusnya di bumi Mekah, kami lalui dengan perasaan yang tenang. Kami berumrah bersama-sama, berjemaah di Masjidilharam bersama-sama, berziarah bersama-sama, juga membeli-belah bersama-sama. Masa berlalu terasa sangat pantas. Dalam ketenangan yang kami miliki itu, kami dikhabarkan untuk bersiap-siap kerana waktu untuk pulang ke Malaysia sudah mendekat.


10hb Jun 2013

Bersamaan 1 Syaaban 1434. Selesai solat Subuh dan bersarapan, kami kembali ke bilik masing-masing. Pagi ini kami bercadang untuk berehat sahaja dan tidak keluar berumrah kerana esok kami bakal bertolak pulang. Saya mahu ma dan umi berehat dan memulihkan tenaga sambil berkemas barang-barang mereka. Mulanya umi berhasrat untuk keluar berumrah juga. Rugi katanya, datang ke sini bukan selalu. Kata saya, "kalau umi nak buat umrah juga, umi ikutlah orang lain. Saya dan ma tak pergi kot..." Bukan saya bermaksud untuk membiarkan dia sendirian, tetapi itu kehendak dia. Lagi pun, teman sebiliknya misi Kak Ti itu turut keluar berumrah. Boleh sahaja mereka pergi bersama.

Entah kenapa, umi akhirnya tidak mahu berumrah pula.

Di bilik, suami saya memberitahu dia mahu ke masjid untuk tawaf sunat. "Saya ikut?" Tanya saya.

"Tak payahlah, duduk kat bilik je. Hari ini orang ramai kat Kaabah."

Benarlah. Melalui skrin televisyen dapat saya saksikan manusia di dataran Kaabah sangat ramai. Hari ini majlis penukaran Kiswah Kaabah dilangsungkan bersekali dengan pembersihan ruang dalam Kaabah. Sejam selepas Subuh pintu Kaabah dibuka dan berpusu-pusulah manusia mengambil peluang untuk menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Ramai yang tersekat dalam kesesakan itu dan mujurlah saya tidak mengikut suami saya bertawaf pagi ini. Jika tidak, saya juga bakal bersesak-sesak di situ.

Jam 9.30 pagi, suami saya pulang ke bilik. Kami kemudiannya sama-sama keluar ke kedai untuk membeli belah yang terakhir kali sebelum pulang ke Malaysia. Sekejap sahaja, jam 10.30 kami sudah selesai. Jam 11.30 kami sama-sama berjalan menuju ke Masjidilharam untuk solat Zohor berjemaah.

Jam 5.00 petang, kami berkumpul untuk sedikit taklimat daripada mutawif kami.

Malam ini, kami tidur dengan lena, kerana esok kami akan pulang ke Malaysia. Semoga akan ada lagi rezeki untuk kami kembali ke sini suatu hari nanti. Amin.

11hb Jun 2013

Hari terakhir di sini. Semua beg sudah kami kumpulkan di hadapan bilik masing-masing.

Jam 3.30 pagi, saya dan suami turun ke lobi. Ma sudah sedia menunggu kami di situ, tetapi sendirian. 

"Mana umi?" Tanya saya.

"Dia pergi dulu, dengan Kak Ti." Jawab ma.

"Nanti dia tawa wada' dengan Kak Ti lah ya?"

Ma mengiakan. Kami pun bergerak bertiga ke masjid. Saya memberitahu suami, tak perlu menunggu kami untuk tawaf wada'. Saya dan ma akan tawaf berdua dan suami boleh saja tawaf sendirian dan kita akan berjumpa di hotel untuk sarapan nanti.

Selesai solat Subuh, lebih kurang jam 4.50 pagi saya dan ma menuju ke dataran Kaabah untuk bertawaf wada'. Mujur jemaah tidak terlalu ramai. Kami selesai bertawaf dalam masa tidak sampai satu jam. Seterusnya saya dan ma berjalan kaki pulang ke hotel yang terletak lebih kurang 600 meter dari masjid itu, buat kali penghabisan untuk kehadiran kami kali ini. Kami bersarapan, berkemas dan bersedia untuk pulang.


Jam 7.30 pagi, kami turun menanti bas di lobi.

Jam 9.00 pagi kami bertolak ke Jeddah. Perjalanan agak panjang, namun segalanya berjalan lancar. Kami singgah bersolat dan makan tengah hari di Masjid Terapung Jeddah. Penerbangan kami ialah pada jam 5.25 petang dan dijangka tiba di KLIA pada jam 7.45 pagi esok waktu Malaysia.
Bersambung

Wednesday, June 26, 2013

Perjalanan 3

Jam 3.00 petang kami bertolak dengan bas menuju ke Mekah. Kami singgah di Bir Ali untuk berniat umrah dan bersolat Asar. Perjalanan yang panjang agak memenatkan, terutama ma dan umi. Kasihan mereka.


Kami selamat tiba di Hotel Lulu El-Sharq sekitar jam 9.30 malam. Saya yang masih uzur berkesempatan untuk berehat di bilik sebaik selesai makan malam. Ma, umi dan suami terus ke Masjidilharam bersama-sama mutawif kami dan ahli rombongan lain untuk menyelesaikan umrah mereka. Sekali lagi, saya berasa sayu kerana terpaksa membiarkan ma dan umi bertawa dan bersaie tanpa saya. Saya titipkan pesanan pada suami agar menjaga ma dan umi sebaiknya.

4hb Jun 2013

Sehingga Subuh tiba, mereka masih belum pulang. Rupanya mereka menunggu Subuh di masjid. Waktu sarapan pagi baru saya berkesempatan bertemu ma dan umi. Mereka nampak amat keletihan. Ya Allah! Kuatkanlah semangat mereka, dan berilah kesihatan yang baik untuk mereka meneruskan ibadah umrah ini.

Saya pula, sudah kembali suci. Jam 7.00 pagi saya ke masjid diiring suami. Sendirian saya menyelesaikan tawaf, saie dan bertahallul. Alhamdulillah, syukur Ya Allah kerana memberi kenikmatan ini.

Jam 10.30 pagi saya tiba di bilik bersama-sama empat biji burger. Selesai makan dengan suami, saya ke bilik ma dan umi, menghantar dua biji burger untuk mereka. Ma terbaring kepenatan, umi juga. Tetapi semangat mereka kuat dan tetap mahu ke masjid untuk solat Zohor nanti. Kami berjanji untuk pergi bersama-sama.

Faktor cuaca dan usia perlu dipertimbangkan juga. Sekuat mana pun semangat yang ada, kesihatan perlu dijaga. Saya mohon ma dan umi berehat dan bersolat Asar di bilik sahaja petang nanti. Maghrib dan Isya' baru kita ke masjid. Mereka setuju sahaja.

Alhamdulillah, kami diberi Allah kesihatan dan kekuatan untuk berjemaah dan berumrah bersama-sama. Walaupun saya sedikit terkilan kerana umrah pertama saya tidak dapat bersama-sama ma dan umi, Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk bersama mereka pada umrah yang seterusnya. Hanya Allah yang tahu betapa syukur dan nikmatnya dapat memimpin tangan ma saat bertawaf dan bersaie, dan dapat beriringan dengan suami juga. Syukur pada-Mu Allah, dan terimalah ibadah kami ini.






5hb Jun 2013

Hari ini kami dibawa berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sini. Kami ke Jabal Nur, Jabal Rahmah, Padang Arafah, Muzdaliah dan Mina. Hati digamit rasa sayu tatkala terbayang saat kami mengerjakan haji hampir tiga tahun lalu. Rindu benar rasanya untuk kembali berhaji lagi!



  Bersambung

Perjalanan 2

1hb Jun 2013

Seawal 3.00 pagi saya bangun dan menyucikan diri. Dengan yakin saya bersiap-siap untuk ke masjid. Kepada suami, saya maklumkan saya mahu ke masjid dengan ma dan umi, Dia mengizinkan.

Saya mengetuk bilik 808 tetapi tiada jawapan. Rupanya mereka sudah pergi lebih awal, walaupun jam baru ke angka 3.30 pagi.  Malas pula hendak pulang ke bilik dan menunggu suami bersiap.Tak mengapalah, saya boleh bergerak sendiri.

Masjid Nabawi yang saya rindui, kini saya dalam dakapanmu. Hening pagi dan sayu azan Subuh yang berkumandang menggamit satu rasa damai yang mengamankan jiwa saya dari segala gelodak dunia. Aku datang pada-Mu ya Allah! Aku datang!


Jam 5.00 pagi, saya tiba di lobi. Saya menanti suami, ma dan umi untuk sama-sama menuju ke tempat makan. Sarapan pagi kami kali ini mihun goreng dan telur rebus. Alhamdulillah.

Hari ini mutawif kami yang baik hati itu - Ustaz Abdul Bari - memberi ruang untuk kami beracara sendiri. Program lawatan hanya akan diadakan esok dan lusa. Maka bergeraklah kami meninjau-ninjau persekitaran, juga membeli belah sekadar yang mampu.

Zohor tiba, saya ke masjid bersama-sama suami. Ma dan umi kelihatannya selesa keluar bertiga dengan teman sebiliknya, Kak Ti. Tidak mengapa, asalkan semuanya selamat. Di sini jarak ke masjid dekat sahaja, cuma 200 meter. Selesai solat Zohor, saya pulang sendirian.

Rupanya, keuzuran saya bersambung kembali. Saya redha dengan ketetapan ini, hanya sempat bersolat di Masjid Nabawi untuk dua waktu sahaja. Semoga Allah menerimanya.

Malam ini menyaksikan saya bersendirian lagi. Saat mereka semua keluar berjemaah Maghrib dan Isya', saya melayan hati yang sayu di bilik sehingga tertidur. Hampir terlepas makan malam saya! Mujur suami saya menelefon memanggil saya turun pada jam 9.45 malam.

2hb Jun 2013



Hari ini ustaz Bari membawa kami menziarah Masjid Nabawi. Saya mengikut juga, tetapi hanya setakat di perkarangan masjid. Apabila mereka melangkah kaki menuju Raudhah, saya berpusing pulang ke hotel. Tuhan yang tahu betapa terkilannya hati tetapi ini ketetapan yang wajib saya redhai. Saya meronda-ronda juga di sekitar bandar Madinah. Tetapi tidak lama kerana perut saya tiba-tiba lapar. Lantas saya menuju ke kedai menjual kebab di bangunan sebelah hotel saya. Dua biji kebab kambing dan satu sandwich ayam saya beli, yang nanti akan saya kongsi dengan suami saya, ma dan umi.

3hb Jun 2013

Hari terakhir di Madinah.

Kami dibawa ke beberapa tempat di sini untuk program ziarah luar. Mula-mula kami singgah di masjid Quba', kemudian ke ladang kurma dan akhir sekali melawat Bukit Uhud dan perkuburan syuhada'.





Selepas Zohor, kami bertolak ke Mekah.

Bersambung

Tuesday, June 25, 2013

Perjalanan 1

31hb Mei 2013

Pagi Jumaat yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma jua. Saat jam berdering pada pukul 3.00 pagi, terus saya bangun dan mendail nombor ma. Saya mahu ma juga bangun dan bersiap-siap tanpa lengah kerana bimbang masa menjadi suntuk.

Sejam kemudian saya dan suami turun dari rumah beriring doa dan harapan agar perjalanan kami ini diberkati. Kami menuju ke rumah mek dan kemudian ke rumah ma. Alhamdulillah segalanya sangat tersusun dan penerbangan kami jam 6.40 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bergerak lancar.
 
Tiba di KLIA, kami sedikit teraba-raba. Lapangan Terbang yang sebegini besar agak mengelirukan dan kami bimbang untuk bergerak pantas. Mata sentiasa tercari-cari Mutawif yang belum begitu kami kenali untuk menunjuk arah dan membawa kami ke tempat yang kami tuju.

Penerbangan kami ke Madinah ialah pada 10.10 pagi. Senggang masa yang ada sangat pendek. Hendak membeli makanan untuk ma dan umi pun tidak sempat. Sedih juga hati saya sebab saya tahu ma lapar, tetapi mujurlah umi ada membawa bekal. Sedikit waffle sebagai mengalas perut, jadilah.

Pak Su Soh dan Mak Su juga Rifqi dan keluarga mahu datang mengiring kami di sini. Hati saya sedikit risau, bimbang jika mereka tidak tiba dalam selang waktu ini dan gagal bertemu kami. Tentu ada kecewa dan terkilan di hati kami yang akan terbawa-bawa ke bumi Arab nanti. Saya tidak henti-henti berdoa agar mereka semua dapat tiba dan berada di sisi kami di sini.

Allah itu Maha Mendengar. Doa saya terjawab, dan kami sempat berkumpul bersama-sama sebelum penerbangan kami walaupun dalam tempoh beberapa minit cuma. Terima kasih atas kesudian kalian memperuntuk masa di sini.

Penerbangan kali ini terasa sangat panjang. Apatah lagi tempat duduk kami berasingan. Kiri dan kanan saya orang lain - bukan suami, bukan ma dan bukan juga umi. Hati saya menjadi tidak begitu tenteram kerana risaukan ma dan umi. Takut kalau-kalau mereka kekok untuk bergerak ke bilik air, atau memerlukan bantuan saya untuk perkara-perkara lain. Mujur mereka boleh berdikari.

Tiba di Madinah, kami berurusan di Lapangan Terbangnya yang tidaklah sebesar mana. Untung juga kecil begini, proses menjadi laju dan kami cepat sahaja selesai. Sekitar jam 2.00 petang kami sudah berada di atas bas.

Cuaca panasnya sungguh menggigit. Ini ujian kami yang pertama, pun Alhamdulillah kami tidak terlalu terkesan dengan kepanasan yang melampau ini.

Kami dibawa ke Hotel Madinah Concorde. Jam 3.30 petang kami selamat berada di lobi hotel tetapi tidak dapat masuk ke bilik lagi kerana penghuninya belum check out. Berlegar-legarlah kami di lobi sementara menunggu.

Suami saya, ma dan umi menuju ke masjid Nabawi untuk bersolat di sana. Saya yang uzur hanya menanti di lobi sambil mengakses internet. Seronok bukan kepalang apabila WiFi percuma kedapatan di lobi ini. Dengan segera saya mengupdate status di Facebook sambil membaca status rakan-rakan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan.

Jam lima petang barulah kami mendapat kunci dan terus menuju ke bilik masing-masing. Ma dan umi menginap sebilik bersama seorang lagi rakan baru, Misi Norulhayati di bilik 808. Saya tentunya di sisi suami saya yang setia di bilik 814. Selesa dan nyaman, Alhamdulillah.

Malam pun tiba. Suami, ma dan umi menuju ke masjid untuk berjemaah. Saya hanya berehat di bilik dan berdoa agar segera suci kerana rindu di hati untuk bersolat di Masjid Nabawi tidak mampu saya bendung lagi......

Bersambung

Wednesday, June 19, 2013

Budi Bicara

Menjadi ketua bukan kebolehan semua orang. Ia satu tanggungjawab yang bukan boleh diberi sesuka hati kepada sembarangan manusia. Ketua mesti daripada kalangan orang yang ada keberanian, bertanggungjawab dan tahu budi bicara.

Malangnya, dunia hari ini tidak begitu.

Saya sedih memikirkan betapa seorang ketua hanya umpama sebuah buku yang bergerak. Dia hanya mengikut setiap baris tulisan dalam buku itu tanpa mahu mencerna dan menyesuaikan dengan situasi dan suasana. Dia takut untuk bertindak kerana bimbang tindakannya dipersoal lantas menjejaskan dirinya. Dia hanya akur menjadi ketua yang "menurut perintah". Sedih, kesal, juga geram berbaur dalam diri saya apabila memikirkan perkara ini. Pada saya ketua seperti ini tidak layak mentadbir. Dia boleh sahaja digelar penakut. Tindakannya sangat jauh daripada rasional.

Apakan daya, saya hanyalah pepasir yang kerdil. Ada atau tiada sama sahaja. Hanya mampu saya pendamkan segala rasa yang terbuku kerana meluahkannya pun tidak akan mengubah apa-apa.

Tuesday, June 18, 2013

Kucari kenangan itu

Menyusuri bait-bait kata yang tertulis di lamanmu, menerbit rasa hiba di sudut sanubariku. Ada sendu dalam jiwa sepimu yang seperti ingin sekali aku ubati.

Sesungguhnya dik, kenangan itu wujud sentiasa. Biarpun payah untuk engkau memutarkannya dalam ingatanmu namun segarnya ia tidak pernah layu.

Mana mungkin kita lupa, bagaimana saban pagi ayah mendahului semua orang untuk mengatur langkah menyuci diri demi mengabdi diri kepada Ilahi. Sebelum Subuh tiba, ayah sudah selesa bersimpuh di sejadah, mengalun segala doa dalam kepasrahannya, untuk dia dan kita yang amat dia kasihi.

Adik, mungkin detik-detik kebersamaan kita dengan arwah ayah tidak sama. Meski tempohku lebih lama, namun sebahagian besarnya aku berada di asrama, 1985 hingga 1997. Seterusnya, aku bernikah pada 1998 dan tiada lagi waktu-waktu yang banyak untuk berada di sisi ayah.

Engkau pula, walaupun cuma sepuluh tahun, tetapi sentiasa hampir di sisinya. Sentiasa manja dalam dakapannya. Sentiasa ceria dengan senda guraunya.

Aku pernah juga bersuara sekadar memberitahu, kenapalah ayah memanjakan sangat dirimu wahai adikku? Semua yang engkau mahu ayah sentiasa penuhi. Pernah sekali, aku ingin menggunakan kelebihanmu itu untuk kesempatan diri sendiri. Waktu itu aku meminta engkau memberitahu ayah supaya membeli kamera. Engkau adik yang baik, menurut sahaja arahanku.

Tahu apa yang berlaku?

Masa itu, hanya ayah dan engkau dalam kereta. Rasanya, dalam perjalanan mengambil Ismah di sekolah. Engkau dengan jujur memberitahu ayah, "ayah, belilah kamera. Kak Ti kata dia nak kamera." Begitulah lebih kurang dialogmu dik. Aku tidak pasti apa jawapan ayah, tetapi setiba di rumah ayah mengulang dialog itu di depan aku, dan memberi senyuman cuma. Ah! Aku malu sendiri, dan pastinya dialog itu hanya tinggal dialog. Tiada pun kamera untukku!

Ayah selalu berkata, "alah, dia kecil lagi. Dah besar nanti dia retilah mana betul mana salah" apabila sesekali aku merungut tentang kemanjaanmu. Dik, ternyata kata-kata ayah itu sangat benar. Betapa mustajabnya! Engkau dewasa sebagai puteri suci yang begitu bestari meladeni hidup seharianmu. Aku yakin ayah sentiasa bangga memilikimu walaupun hanya mampu menatapmu di dunia untuk sepuluh tahun cuma.

Adik, yakinlah walaupun ayah tiada di sisi kita, dia tetap bahagia memiliki kita. Dia tetap menanti setiap doa dan ingatan daripada kita. Dia akan tenang dan damai dengan segala kebaikan kita di dunia ini.

Selamat Hari Bapa, ayah.

Daripada anak-anakmu yang tidak pernah lupa padamu.

Idaman

Sebagai wanita - sebelum bergelar isteri lebih lima belas tahun dahulu - ada ciri-ciri fizikal lelaki idaman yang saya impikan. Tanpa rahsia, saya amat meminati susuk tubuh seorang lelaki yang kurus tinggi, berkulit cerah, bercermin mata, bermisai dan berjanggut yang tidak terlalu lebat. Wajah Melayu yang agak kecinaan. Pun selalunya, apa yang kita dapat tidak akan sama dengan apa yang kita minati. Saya tidak kisah, kerana ia cuma luaran. Boleh sahaja kita latih diri sendiri untuk beradaptasi dengan apa yang kita miliki. Bukan susah pun.
 
Mengapa saya berbicara tentang ini kali ini?

Saat saya menyelusuri hidup yang semakin meningkat usia ini, saya temui banyak kisah dan pengalaman. Saya nampak banyak situasi yang mendorong saya berfikir lebih dalam. Tentang pilihan dan idaman.

Benar, fizikal menjadi faktor pertama dalam memberi penilaian. Kadangkala, rasa kasihan juga kepada individu tertentu yang fizikalnya kurang menyerlah pada hal dia sangat baik budi dan berhati mulia. Apakan daya, sudah itu yang menjadi realiti dalam masyarakat kita.

Sebab itu sekarang ini, saya amat tidak senang apabila kekacakan dan kejelitaan yang menjadi fokus perbualan. Apabila mendengar orang bercerita tentang "cantik sungguh anak orang itu, lebih cantik daripada anak orang ini" atau pun "tampannya lelaki ini, lebih tampan daripada lelaki itu" tanpa mengambil kira isi dalaman dan faktor-faktor lain, saya akan mengelak untuk memanjangkan diskusi. Pada saya, perbualan dan perbincangan tentang itu tiada manfaat langsung.

Fizikal luaran adalah ketetapan Tuhan. Jika hitam kulit anda, atau penyek hidung saya, atau jongang gigi dia, itu bukan sesuatu yang mampu kita ubah. Tetapi sikap, hati budi, keprihatinan diri, kedalaman ilmu di dada adalah tergantung pada usaha dan rasa tanggungjawab dalam diri individu. Ia sangat lebih penting daripada rupa fizikal. Ia sangat menggambarkan seseorang individu lebih daripada segala-galanya.

Percayalah, kalau pun rupa seseorang itu ditakdirkan tidak indah di mata ramai, tetapi ketinggian pekerti dan kedalaman fikiran bakal menenggelamkan segala yang tidak indah itu dan menyinarkan cahaya nur pada wajah, yang sangat lebih hebat auranya. Didiklah hati sendiri untuk menjadi lebih dekat dengan Ilahi dan lebih merendah diri dengan insani. Bimbinglah diri dan keluarga untuk lebih menghargai keindahan spiritual mengatasi kepalsuan fizikal.

Monday, June 17, 2013

Kembali

Selepas tiga minggu.

Tiba-tiba, hari menjadi kembali rutin. Diri menjadi kembali kalut. Tiada lagi ruang yang tenteram seperti tiga minggu terdahulu. Tiada lagi.

Kalut bermula seawal pagi Ahad. Entah kenapa mata menjadi enggan celik pagi itu sehingga jantung berdegup kencang saat melihat angka yang tertera di jam dekoder astro.

7.03 pagi!

Saya menjerit, dan suami terkejut. Sepantas kilat kami bangun - mandi, solat dan bersiap seringkas mungkin. Saat kaki melangkah ke kereta, jam tertera 7.19 pagi. Debar masih bersisa, takut tidak tiba pada waktu yang sepatutnya dan mengundang banyak spekulasi dalam kalangan rakan sekerja.

"Ti! Ingatkan awak cuti lagi hari ni. Akak dah tulis nama Ti untuk direlief.."

"Selalunya tak pernah nampak Camry kat depan pagar masa ni. Ti lambat rupanya!"

"Eh, Ti datang hari ni? Terkejut dah saya, ingat Ti cuti lagi!"

Dan macam-macam lagi reaksi mereka melihat saya melangkah masuk pagar pada saat jam menghampiri 7.30 pagi. Ajaib mungkin, kerana sentiasanya saya tiba sebelum 7.00 pagi.

Sungguh, saya rasa kalut dan ribut.

Di bilik peperiksaan, saya meneruskan tugas sebagai setiausaha seperti biasa. Menyemak kemasukan markah peperiksaan pertengahan tahun dalam sistem, menyiapkan analisis, mengemaskini senarai pelajar target dan memasukkan target pelajar baru. 

Aduh!

Aplikasi SAPS pula, masih tergantung sedang PPD memohon penghantaran surat pengesahannya petang nanti. Lalu bagaimana? Ia di luar jangkaan kita. Cikgu Yuswadi, rakan sekerja saya di bahagian peperiksaan ini meneleon PPD memohon penangguhan. Mujur mereka faham kerana masalah ini sejagat - terkesan di seluruh negara.

Petang ini rupanya ada latihan rumah sukan pula! Saya memohon pelepasan kerana ada janji yang perlu dilunaskan. Sungguh saya tidak tahu latihan berlangsung, jika tidak pasti janji ini saya tangguh dahulu. Mujur mereka mengerti, terima kasih.

Hari ini - Isnin - saya berasa sedikit lega. Ada ruang untuk saya berteleku di hadapan komputer ini walaupun kelas masih banyak perlu dilangsaikan.

Semoga esok saya semakin ceria.

Tuesday, June 11, 2013

Nikmat

10/06/2013

Hanya insan yang pernah melaluinya akan tahu rasa ini. Rasa yang ajaib sekali.

Saya ini hanya seorang manusia yang amat jauh dari berilmu, yang kata lainnya - jahil. Jiwa juga masih bersalut noda dan dosa. Hati pula sering resah memikir diri yang penuh kekotoran.

Lalu, saya membawa diri saya ke sini. Ke bumi haramain yang kerap melambai saya sejak kali pertama saya mengenalinya. Saya mahu mencari sesuatu yang saya sendiri tidak pasti.

Tuhan, aku datang kepada-Mu. Terimalah aku.

Di sini, panas terasa menyengat. Jarak hotel dan masjid yang jauh menuntut tenaga yang bukan sedikit. Bertawaf dalam terik mentari pagi, bersa'ie dalam lelah yang meruntun. Kaki terasa lenguh. Muka terasa berbahang. Penat. 

Pun, ada nikmat yang tidak mampu diungkapkan. Yang tidak ditemui di mana-mana. Yang hanya dapat dirasai di sini. Makkah dan Madinah. Hari ini, hari terakhir kami. Ya Allah, terasa cepat sungguh masa berlari. Aku belum puas menghirup udara damai-Mu di Makkah ini, Rabbi!

Aku ingin kembali lagi ke sini. Izinkanlah...

Baru kini saya mengerti mengapa mereka yang berkemampuan berulang-ulang kali ke tanah suci. Benar, haji dan umrah itu wajibnya hanya sekali seumur hidup. Lalu ada yang berkata, lebih afdal wang yang ada itu disedekah atu diguna untuk membiaya perkara-perkara lain yang lebih aula. Yang lebih memerlukan.

Ya, itu pandangan mereka.

Pada saya, bersedekah bersedekah juga tapi tidak salah untuk mengulang peluang ke tanah suci jika ada kemampuan diri. Perasaan di sini ketara berbeza dan pengisiannya bernilai tinggi.
Tepuk dada, tanya iman.

Wada'

10/06/2013

Tidak tahu ungkapan yang bagaimana mampu menggambarkan rasa ini. Rindu yang lama tersimpan akhirnya terubat. Biarpun cuma sebelas hari,
sekurang-kurangnya waktu itu mampu kumanfaatkan dengan upaya aku yang ada.

Alhamdulillah. Syukur pada-Mu ya Allah. Moga Engkau tidak menjadikan ini umrah yang terakhirku.

Besok, usai solat Subuh kami akan bertawaf wada'. Jam 9 pagi kami bakal berangkat je Jeddah dan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan
pada jam 5.15 petang. Jika segalanya lancar kami bakal tiba di KLIA pada jam 7.10 pagi Rabu dan bertolak ke KB pada jam 2.30 petang.

Pohon pada-Mu ya Allah, permudahkanlah urusan perjalanan kami pada esok hari.

Amin.