Tuesday, February 21, 2017

Tirai

Selepas cuti hujung minggu yang lebih panjang daripada biasa, maka pagi Isnin semalam saya mencelikkan mata dalam rasa yang masih belum bersedia. Rasa belum mahu ke sekolah. Rasa mahu terus bercuti lagi.

Oh! Cukup-cukuplah berangan! Masa untuk kembali bekerja sudah tiba. Bangkitlah berjuang wahai diri!

Jam 6.45 pagi, kereta kami meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah, menuju ke medan perjuangan. SMK Kampong Chengal menggamit kehadiran saya untuk kali yang entah keberapa dalam tahun kesembilan saya menyumbang tenaga di sini.
Hai!


Urusan pertama saya - menyediakan jadual ganti - selesai dengan jayanya. Urusan kedua tentulah menuju ke kantin untuk sedikit sarapan pagi. Sementara menanti urusan ketiga - mengajar - saya memaku diri di meja sendiri menyelesaikan apa yang perlu.

Telefon berdering. Nadanya milik emak. Saya bingkas menjawab. Rindu pada suara emak yang sudah lebih seminggu tidak saya dengari.

Emak bersuara sedikit sayu. Ada esak tangis di hujungnya. Berita yang emak bawa amat mengejutkan saya. Suami sepupu saya Azizah, meninggal dunia mengejut di rumahnya pagi ini. Emak meminta saya menziarahnya untuk mewakili emak yang kini jauh di Putrajaya.

Saya memaklumkan kepada suami, dan dia meminta pengecualian daripada mesyuaratnya hari ini untuk membolehkan kami ke sana segera. 

Kak Azizah dan arwah suaminya, Rosdi bin Lodin sewaktu berkunjung ke rumah emak pada Syawal 1436

Kami ke sana sebaik selesai sekolah. Jam 4.30 kami tiba.

Wajah Kak Jah suram benar, seolah-olah tidak mampu menerima kejutan sebegini. Kepergian suaminya, abang Rosdi bin Lodin merentap sejuta rasa. Saya hanya mampu mengirim doa agar hati-hati Kak Jah juga anak-anak tabah dan kuat menempuh ujian.

Begitulah hidup. Siapa pun tidak tahu bagaimana kesudahannya. Tirai antara hidup dan mati hanyalah seumpama sehelai kain yang nipis amat. Bila-bila masa boleh terselak untuk memisahkan roh daripada jasad.

Dan begitu janji Tuhan. Kita hanya perlu bersedia.

Semoga roh abang Rosdi dicucuri rahmat.

Saturday, February 18, 2017

Hujung Minggu

Alhamdulillah, minggu ini kami diberi cuti hujung minggu yang panjang. Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi cuti peristiwa pada Ahad esok sempena Himpunan RUU355 di Padang Merbok.

Lalu berbahagialah saya untuk seketika.

Semalam, Jumaat. Seperti biasa kami akan keluar berbelanja apa yang perlu di kedai berdekatan. Jam 10 pagi kami bergerak ke kedai DZ, dan kemudian ke kedai lauk di Berangan. Seterusnya singgah sebentar di rumah mek dan meninjau-ninjau sekejap di sekitar rumah ma. Ma tiada di rumah, berpergian dia ke Putrajaya menemani Ismah di sana sejak Sabtu lepas. 

Mek mengikut kami pulang tengah hari ini. Saya menyiapkan makan tengah hari yang ringkas untuk sama-sama kami nikmati. Sup tulang, ikan gelama goreng, sayur bayam dan telur masin. Jam 4.30 petang mek pulang dihantar suami saya.

Malam tiba, saya sediakan mihun sup sahaja untuk suami. Untuk saya pula, hanya menyelesaikan nasi dan lauk tengah hari tadi.

Hari ini, Sabtu. Hujan renyai-renyai tidak menghalang kami keluar ke bandar untuk membeli belah seperkara dua. Mula-mula kami ke klinik REHAK untuk membeli Visanne. Seterusnya kami ke KB Mall pula untuk berbelanja serba sedikit. Jam 2 baru selesai. Penat!

Selepas makan dan solat, saya ketiduran sehingga jam 5.30. Enak sungguh melayan lena sejuk-sejuk begini.

Jam 6.30 petang saya memulakan acara memasak. Nasi putih, daging goreng dan telur goreng sambal. Lepas maghrib kami makan dengan berseleranya. Sedap tau!

Dan esok, saya mahu puasa. Masih ada lima hari belum berganti jadi esok hari yang amat sesuai kerana suami saya ada jemputan makan tengah hari. Bolehlah saya berpuasa dengan senang hati. In shaa Allah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Lazada

Pertama kali mencuba kira-kira tiga tahun lalu, saya jatuh cinta. Mudahnya berurusan, cepat pula penghantaran. Sangat menyenangkan saya yang memang tidak memandu ini. 

November 2014. Lazada. Ia bermula dengan sebuah power bank berjenama Pineng, berharga RM62.00. Murah berbanding harga pasaran, saya menempahnya tanpa ragu. Dan barang yang tiba sangat memuaskan hati dan sehingga kini masih berfungsi.

Selepas itu saya terus menempah dan menempah. Sangat banyak dan tidak terhitung. Jam tangan, kipas angin, baju kurung, tudung, tablet, kabel komputer, pencetak, dakwat, malah juga makanan dan pelbagai lagi.

Ya, saya seumpama sudah ketagih. Tetapi saya masih mampu mengawal diri daripada berbelanja yang bukan-bukan. Saya sebenarnya amat berterima kasih kepada Lazada kerana kewujudannya memberi banyak kemudahan kepada saya.

Minggu lepas, saya ke klinik kerana sakit tumit. Doktor mencadangkan saya membeli alas tumit silikon untuk diletak dalam kasut saya. Maka tentunya saya menuju ke Lazada. Ternyata banyak benar alas tumit itu dengan pelbagai harga pula. Terus saya menempahnya.



Senang bukan?

Begitulah zaman. Tiada alasan lagi untuk tidak mengikuti perubahan yang menyenangkan seperti ini.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, February 16, 2017

Kekasih

Pulau Pinang, 2015


Hari Raya Aidil Fitri 2016
Krabi, 2017
Aku bukanlah cinta yang sempurna
hanya sebatas hati mencurah rasa
kepadamu, kekasih.

Tuhan,
izinkan aku mencintai dia
dalam derai tawa
dalam titis air mata
 tanpa rasa putus asa.
 
Berilah bahagia
sampai syurga.
 

 

Perspektif

Wanita dan lelaki, kedua-duanya makhluk yang Allah ciptakan untuk saling melengkapi. Lelaki tidak mungkin mampu hidup tanpa wanita dan begitulah sebaliknya. Allah meletakkan peranan sesuai dengan fitrah kejadian. Allah itu Maha Sempurna. Tiada cacat cela pada-Nya. Kitalah yang sering mencelakan diri kita sendiri.

Lelaki dan wanita sesungguhnya saling memerlukan dan saling melengkapi. Tiada siapa mendahului siapa. Jika wanita diberi keistimewaan tertentu, lelaki juga ada keistimewaan sendiri.

Tetapi kita sering dipengaruhi ego dan besar diri. Selalu mahu memenangkan apa yang akal kita fikir, dan enggan mengambil kira banyak lagi faktor lain yang keutamaannya lebih besar. Sedang kita cumalah manusia, yang memiliki setitik ilmu cuma daripada seluas lautan dunia.

Bukan mahu menafikan kegunaan akal yang dianugerah. Benarlah akal itu anugerah terindah yang ada pada makhluk bernama manusia dan sangat perlu dijadikan alat terpenting dalam mengemudi diri di dunia ini. Pun ia tetap tertakluk kepada had dan batasan. Kerana kita hanyalah makhluk.

Apa pun pandangan, apa pun perspektif kita dalam perkara-perkara yang sering dibahaskan, biarlah berpijak di bumi nyata. Biarlah setiap aspek yang berkaitan ada dalam pertimbangan kita sebelum menyimpulkannya. Barulah harmoni dan indah segalanya.

Lelaki, pandanglah wanita dengan penuh hormat dan kasih sayang. Jadilah pelindung kerana Allah memberi kalian keistimewaan itu. Jangan menjadikan wanita sebagai objek sahaja di mata kalian. Nilailah kami sebagaimana seharusnya, sebagai teman hidup, saudara atau sahabat.

Dan wanita, pandanglah lelaki juga dengan penuh kesantunan. Jangan dibebankan diri sendiri dengan pelbagai andaian negatif sehingga menjatuhkan hukum yang akhirnya menghukum diri kita sendiri.

Semuanya biarlah rasional. Lelaki atau pun wanita.


Thursday, February 09, 2017

Merentas Desa

Hari ini SMK Kampong Chengal dengan bangganya mengadakan acara Merentas Desa. Sepuluh kategori dipertandingkan, dan saya diberi tugas di bahagian Statistik dan Sijil. Sejak bertahun-tahun, itulah tugas saya yang tentunya tidak mengizinkan saya untuk sama-sama terlibat di trek.

Pun, saya suka sungguh. Ini tugas yang amat kena dengan jiwa nurani saya. Saya tidak perlu bersesak-sesak dengan peserta, tidak perlu menunggu di check point, tidak perlu menyediakan makanan, atau segalanya yang tidak berkaitan dengan Statistik dan Sijil. Saya hanya akan menunggu mereka menghantar nama-nama pemenang untuk dimasukkan ke dalam sistem, dan mengira markah menggunakan perisian yang telah disediakan. Kemudian saya mencetak seratus keping sijil untuk sepuluh pemenang setiap kategori. Semua sijil itu dihantar untuk ditandatangani oleh Pengetua, dan seterusnya mencetak pula keputusan semua kategori untuk diberi kepada pengacara.

Sangat mudah.

Kali ini saya bekerjasama dengan rakan guru yang sangat saya senangi, Puan Noor Hanani Mohamed. Segalanya mudah dengan bantuan beliau. Alhamdulillah.

Jam 11.30 pagi, segalanya selesai. Pelajar-pelajar dan guru-guru bergerak ke dewan untuk acara penyampaian hadiah pula. Seronok melihat semuanya santai dan gembira.

Keputusannya, Pasukan Hijau menjadi juara keseluruhan, dan Pasukan Biru (pasukan sayalah ini!) di tempat kedua.

Tahniah.

Idayu, Hanisah, Zahiran, saya.

Saya, Hanani, Haida

Wednesday, February 08, 2017

Hati

"Cikgu, saya dah beli kalkulator!"

Penuh bersemangat anak murid tingkatan lima itu memberitahu saya sebaik saya melangkah masuk ke kelasnya. Sentiasanya setiap kali awal tahun saya akan berpesan agar semua pelajar saya membeli kalkulator. Kebanyakannya sudah ada kerana penggunaan kalkulator sudah pun diperkenalkan sejak mereka di tingkatan satu. Cuma satu dua orang sahaja yang tiada, mungkin rosak atau hilang.

"Baguslah. Nanti senang nak belajar." Ujar saya.

"Saya beli Canon cikgu. Tapi saya lupa bawa hari ini. Tertinggal kat rumah..."

"Canon? Kan saya pesan beli Casio. Canon nanti tak sama cara gunanya..." Sedikit bernada kesal suara saya menyinggah telinga anak lelaki itu.

"Casio mahal cikgu. Canon murah sikit.." Perlahan nada suaranya.

Zapp! Sembilu tajam menusuk jantung hati saya. Saya bangun dari meja, memusing badan ke papan putih dan berlagak seperti mahu menulis. Tanpa memandang wajahnya, saya berkata. "Oh, tak apa, nanti kita sama-sama tengok cara penggunaannya ya!" sambil saya berusaha menghalang mata dari basah.

Saya ini memang selalu sensitif dengan isu-isu sebegini. Rasa bersalah mula menyelinap ke dalam jiwa. Kenapa saya tidak bertanya dahulu tentang kemampuannya? Mungkin ayahnya cuma bergaji tidak sampai seribu, dan adik beradik ramai. RM40 untuk sebuah kalkulator besar benar nilainya. Apa salahnya jika saya membeli dahulu kalkulator untuknya dan biar sahaja dia membayar ansur-ansur semampu yang dia ada?

Begitulah.

Semoga Allah memudahkan segala urusan anak ini dan keluarganya. Semoga hati saya sentiasa peka dengan isu-isu sebegini pada masa mendatang.

Thursday, February 02, 2017

Bertemukah


Bagaimanakah rasanya
rindu yang selesai?

Musim itu sudah jauh berlalu
Pun kalian memanggil-manggilnya masih
Aku hanya mampu menatap dan melihat gerak geri
Dari kejauhan

Aku ini beku dan kelu
Tidak mampu meletak diri bersama arus
Kalian ke kanan, kalian ke kiri
Aku kekal di sini

Memandang cuma
Dari kejauhan

Rindu ini
Selesaikah nanti?



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, January 30, 2017

Hatyai dan Krabi

Percayalah, percutian dengan agensi bukanlah sesuatu yang santai-santaian. Pengisiannya padat dan memenatkan tanpa rehat yang cukup. Bagi orang muda yang gagah perkasa mungkin ia biasa tetapi bagi saya yang cuma lima tahun lagi akan mendapat gelaran setengah abad, rasanya amat penat.

Jam 4.40 pagi Jumaat 27 Januari, saya dan suami bergerak ke SMK Kadok untuk menaiki bas ke sana. Kami singgah Subuh di masjid Beijing, sarapan nasi bungkus, dan bergegas ke sempadan untuk urusan pasport. Malang tidak pernah memberi signal. Bas yang kami naiki itu meragam juga walaupun sudah tiba di sempadan. Ruang tempat simpanan beg tiba-tiba tidak boleh dibuka. Lama juga, lebih setengah jam masa kami terbuang menanti mereka menyelesaikan masalah itu. 

Urusan imigresen tidak selancar mana kerana manusia ramai. Hanya pada jam 9.10 pagi baru bas kami bergerak ke Hatyai. 

Saya lena sepanjang perjalanan. Jam 2 petang baru kami tiba di Hatyai dan makan tengah hari dengan berseleranya sebab kelaparan amat. Usai Zohor, kami meneruskan perjalanan.

Kami singgah di beberapa kedai cenderamata, Nora Plaza dan Pasar Terapung. Makan malam kami pada jam 7.20 malam dan jam 8.30 kami sudah berada di bilik hotel. Alhamdulillah.

Pagi esoknya, seawal jam tujuh kami diarahkan berkumpul untuk bertolak ke Krabi. Sarapan kami ialah nasi goreng bungkus, makan di dalam bas. Perjalanan sentiasa melenakan saya. Beberapa kali juga bas berhenti untuk acara bilik air dan membeli belah.

Jam 1.30 kami tiba di Krabi dan makan tengah hari di bandarnya. Selesai solat di masjid, kami dibawa menaiki bot ke pulau pada jam 3.30 petang.


Saya memang tidak bersedia untuk aktiviti pulau kerana awalnya mereka memaklumkan ia adalah pilihan. Entah kenapa akhirnya ia menjadi acara wajib maka saya tidak boleh menolak. Saya seorang sahaja yang ke pulau dengan memakai kain!

Tidak mengapa, saya selamba sahaja. Bukan saya mahu berenang pun. Saya hanya berada di atas bot dengan segala kepeningan menghinggap. Tidak mampu saya melakukan apa-apa selain mendiamkan diri di tempat duduk.

Jam 7.25 petang kami sudah kembali ke tanah besar. Malam ini kami dijamu steambot secara buffet dan jam 10 malam baru selesai acara makan-makan itu. Kami dibawa pula meronda pasar malam dan jam 11 malam baru pulang le hotel. Letihnya!

Hari ketiga, kami bersarapan di hotel dan jam 8.30 pagi bas kami bergerak membawa kami pulang ke Malaysia. 

Kami singgah makan tengah hari di Trang. Sedap makanan di sini. Tiada lagi Tom Yam kerana hidangan buffet nya dipenuhi lauk-lauk pelbagai yang sedap-sedap belaka. Ada juga mi sup dan ABC. Semuanya saya bedal.

Bas seterusnya bergerak lancar dan kami tiba di sempadan pada jam 8.45 malam. Urusan imigresen tidak memakan masa yang lama, dan kami  tiba di SMK Kadok pada jam 11 malam.

Penat. Apa pun Alhamdulillah.







Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, January 29, 2017

Menyanyi

Maafkanlah saya. Hobi yang satu ini masih enggan pergi. Ia bagaikan satu terapi untuk saya melupakan sebentar kalut dan kemelut kehidupan.

Di sekolah, apabila ada masa luang, saya tidak seperti orang lain yang mencari teman bersembang. Saya lebih leka meneleku diri di depan komputer riba, menulis atau bermain game sambil mendengar alunan lagu. Tentunya saya akan turut sama menyanyi sealun seirama dengan lagu-lagu kegemaran saya itu. Dengan penuh perasaan. Ia begitu melegakan. 

Begitu hari ini. Perjalanan dari Hadyaai ke Krabi yang panjang ini menjadikan saya leka dialun irama lagu-lagu dari telefon saya. Mereka bersembang, bergelak ketawa, tetapi saya menyepi diri. Saya tidak teruja dengan sembang lucu dan tawa ria itu. Bukan sombong, tetapi itulah diri saya.

Muzik yang saya bawa ini lebih indah di jiwa. Ada pelbagai kenangan bersama-samanya. Mengasyikkan. Saya tenang dan selesa menikmatinya sambil turut sama mengalunkan suara yang sehabis perlahan. Takut juga, nanti ada yang melihat gelagat saya dengan kekeliruan!

Rehat bagi saya tentunya bukan di tempat awam yang ramai orang. Bukan di pantai, bukan di pasar malam, malah bukan juga di kedai makan. Sebab itu saya tidak sabar mahu pulang ke hotel tetapi mereka masih mahu berjalan-jalan! Jam sudah ke angka sebelas tetapi mereka masih ralit di pasar malam. Saya sudah tidak tahu mahu rasa yang bagaimana. Saya mahu pulang ke bilik hotel, mandi dan baring-baring.

Ya, di bilik hotel jika bersendirian saya akan lebih gembira. Saya boleh terus menyanyi sambil menekan-nekan butang telefon mencari banyak perkara yang saya suka.

Begitu diri saya. Dan saya redha.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, January 26, 2017

Krabi

Kedengaran indah, menarik dan mengujakan. Ramai yang menyukainya dan bergembira untuk ke sana. Kali pertama suami saya menyuarakan tentang perancangannya untuk bercuti ke sana, saya memang teruja. Bukankah tempat itu sangat masyhur?

Semakin harinya mendekat, perasaan teruja itu mula bertukar kepada sebuah debaran. Saya tahu kumpulan yang saya sertai ini bukan rakan-rakan rapat saya. Mereka sahabat guru dari sekolah suami saya yang saya tidak begitu biasa bersama. Betahkah saya nanti?

Esok ialah harinya. 27 Januari 2017, jam lima pagi kami akan berkumpul di SMK Kadok untuk menaiki bas menuju ke tempat percutian indah itu. 

Saya masih dalam debar. Persiapan belum juga selesai. Ada sedikit risau, tetapi saya tidak mahu membesar-besarkannya. Saya hanya perlu terus memanjat doa agar perjalanan kami nanti dalam lindungan Allah dan setiap perancangan yang kami atur direstui-Nya jua.

Amin.


Sunday, January 22, 2017

Ahad

Dingin pagi masih menggigit walaupun hujan sudah tidak melebat lagi. Hanya titis-titis kecil yang luruh.

Tepat jam 6.45 pagi, Toyota Hilux DCT1881 yang dipandu suami meluncur keluar dari perkarangan rumah, membawa kami ke medan mencari rezeki.

6.53 pagi saya turun dari kereta menuju ke pagar sekolah. Beberapa orang pekerja kelihatan berkumpul di tepi pagar itu. Seorang daripadanya menyapa saya.

"Cikgu, sekolah kita buka ke hari ini?"

Saya membalas, ya. Mungkin mereka was-was dengan pelbagai berita dalam media tentang sekolah-sekolah yang ditutup akibat banjir. Mereka inginkan kepastian sebelum memulakan kerja.

Saya pantas menuju ke pejabat. Selesai memetik kad kehadiran, saya menulis nama-nama guru yang tidak hadir. Kemudian saya menuju ke bilik saya pula yang hanya beberapa langkah dari pejabat.

Air banyak bertakung di hadapan pintu. Terpaksa saya menyingsing kain untuk meredahnya. Kunci dihala ke mangga dan demi terbuka sahaja pintu itu, seekor kucing bergerak keluar.

Ya Allah! Bagaimana kucing ini boleh ada di dalam? Rasanya Khamis lalu saya tidak mengesan sebarang binatang di dalam bilik ini sebelum saya menguncinya. Aduh! Tentu ada sisa-sisa yang ditinggalkan!

Benarlah. Baunya mula menusuk hidung. Ternyata bahan buangannya ada di sebelah almari. Saya ini memang penggeli. Tidak mahu saya mendekati, apa lagi mencuci!

Saya menunggu adik pekerja "cleaner" tiba untuk memohon bantuannya tetapi hampa. Selalunya dia tiba awal tetapi mungkin tersekat banjir hari ini.

Tidak mampu saya memulakan proses jadual ganti dalam keadaan begini. Mujurlah tidak lama, apabila Kak Sham tiba dan sukarela dia membersihkan kotoran itu.

"Kak Sham selesema. Jadi tak bau apa-apa pun. Biar Kak Sham cucikan."

Terima kasih banyak Kak Sham!

Bilik peperiksaan ini sering dimasuki air jika hujan lebat. Hari ini juga begitu. Air bertakung di tepi tingkap dan di bawah meja. Kain alas meja juga habis basah.

Selesai menyiapkan jadual ganti, saya malas ke dewan untuk perhimpunan. Saya mahu menguruskan bilik saya. Kebetulan adik "cleaner" itu sudah tiba.

Saya mencabut alas meja itu dengan susah payah kerana ia diketip kemas di sekeliling meja. Saya menarik dan merenggut tanpa belas kasihan dan melonggokkan kain itu ke tepi dinding. Pada adik "cleaner" itu, saya minta dia mopkan lantai bilik.

Alhamdulillah. Tiada lagi bau yang menusuk dan air yang bertakung. 

Di perhimpunan, Pengetua mengumumkan lantikan Penolong Kanan yang baharu menggantikan Kak Su. Ia hanyalah perubahan biasa tetapi tidak dapat tidak, unsur politik dan kroni jelas kelihatan. Doa saya semoga kepimpinan baru ini dapat mewarnai sekolah ini dengan warna-warna indah dan berseri. 

Saya bergerak ke kelas sebaik perhimpunan selesai. Hanya lima orang pelajar yang hadir dalam kelas 4 Ibnu Rushd itu. Kata mereka ramai yang terkena banjir. Saya meminta mereka ke perpustakaan untuk menelaah apa yang patut di sana.

Jam 9.40 barulah saya menuju ke kantin. Nasi putih berlaukkan ayam halia dan ikan merah menjadi sarapan pagi saya ditemani segelas teh ais. Alhamdulillah. 

Kelas saya cuma ada dua sahaja lagi. 5 Ibnu Rushd pada jam 11.10-11.40 dan 5 Ibnu Nafis pada jam 12.40-1.10. Sesi persekolahan seperti biasa tamat pada jam 2.10 petang.

Jam 2.45 suami saya tiba untuk menjemput saya pulang. Kami membeli dua bungkus nasi di Restoran Zaid di Nilam Puri untuk makan tengah hari kami. 

Di rumah, selesai makan dan solat, saya berehat sebentar. Entah kenapa mata tidak mahu lena petang ini. Saya mengadap telefon dan laptop untuk sedikit santai-santaian.

Jam 4.30 suami saya keluar ke masjid dan saya masih bersantai di atas katil.

Jam 5.45 petang baru dia pulang bersama sebungkus cakoi untuk minum petang kami. Katanya, dia singgah di rumah mek sebentar dan mek mahu ke klinik malam nanti.

Tentunya saya tidak perlu masak untuk makan malam kerana kami akan membeli sahaja di kedai.

Itulah Ahad saya hari ini.

Assalamualaikum.










































Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, January 20, 2017

Pada Hujan Ini

Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi sejak tengah malam tadi. Sejuk mula menggigit dan selimut bagaikan rakan yang amat karib.

Terjaga pagi ini, terasa dingin sekali. Air yang dijirus kala berwuduk, sejuknya tidak terkata. Ah! Mujur sekali hari ini Jumaat. Usai Subuh nanti boleh sahaja kembali berselimut di katil.

Banyak juga perancangan yang terbengkalai. Begitulah benarnya kata-kata, yang kita ini mampunya merancang cuma. Hakikat kejadian terpulang kepada-Nya. Dia menentukan hujan yang selebat ini hari ini, maka terimalah dengan redha dan doa. Bukankah hujan ini suatu rahmat?

Tidak sempat saya menziarah emak di seberang jalan sana. Kata saya kepada suami, jika hujan reda petang nantilah kita ke rumah emak. Tetapi hujan tidak juga mahu reda. Harapnya esok yang tiba akan membuka ruang saya ke sana.

Saya sungguh mahu duduk di rumah emak lama-lama tetapi tanggungjawab saya sebagai isteri banyak membatasi peluang sebegitu. Saya pula tidak mampu memandu lalu tidaklah juga mampu untuk ke sana sendiri.

Hujan masih mencurah-curah dengan lebatnya. Saya tahu ada yang bimbang dan risau jika hujan berterusan ini membawa banjir dan memaksa mereka berpindah. Doa saya biarlah hujan ini tidak berpanjangan.

Jam sudah pun 6.11 petang. Sendirian begini, dalam suasana dingin pula, saya tidak pun berasa sunyi. Saya menyukai detik-detik begini, sungguh! Suami saya sejak tadi berpayung di laman melihat-lihat kambingnya dan rasanya kini dia sudah berjalan-jalan ke luar pagar sana. Itu hobinya. Biarkanlah. Hobi saya cuma di dalam rumah ini.

Hujan. Saya. Dia. Mereka. Semua.

Rahmat Allah jualah yang dipinta.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, January 19, 2017

Silap

Sering saya cuba mengelak daripada membuat tempahan tiket penerbangan untuk orang lain kecuali jika tiada pilihan. Saya ini jenisnya cuai dan membuat kerja pantas tanpa semakan. Susah mengubah perangai sebegini kerana ia bagai sebati. Menempah tiket ialah urusan melibatkan duit dan sudah banyak kali kecuaian saya memakan diri. Sudah banyak kali duit saya ditelan tanpa belas kasihan dalam proses menempah tiket orang lain!

Tetapi azam saya sehari dua ini ialah mahu memberi dan terus memberi. Saya tidak lagi mahu menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Saya mahu berubah seiring usia yang bertambah.

Sahabat guru saya kebetulan ada kursus di Langkawi April ini. Dia meminta bantuan saya untuk menempah tiket Air Asia untuknya. Saya sudi, tetapi saya mohon dia berada bersama-sama saya sewaktu tempahan dibuat untuk mengelak kesilapan. 

Tadi, kami sama-sama melakukannya.

Sehabis beringat saya mengetuk papan kekunci komputer itu walaupun saya berdebar. Sememangnya begitu, sentiasa saya berdebar apabila melakukannya.

Apalah daya yang ada, saya tetap cuai.

Tempahan saya yang pertama gagal sewaktu menekan butang bayaran di perbankan online. Saya lupa untuk melihat sama ada wang saya diambil atau tidak dari akaun terlebih dahulu, sebaliknya terus mengulang tempahan.

Rupanya tempahan saya yang pertama tadi berjaya dan saya telah membayar untuk tiket yang sama sebanyak dua kali! Aduh!

Perasaan saya mula berbaur. Mahu marah, tetapi pada siapa?

Saya melayari enjin Google untuk mencari penyelesaian. Air Asia rupanya tidak menyediakan khidmat telefonis sebaliknya hanya e-form untuk saya isi. Berkali-kali mengisi masih salah dan ditolak!

RM349.24 yang ditelan itu masih tidak mampu saya gapai kembali. Apa pun saya memohon Allah memberi yang terbaik. Jika ia milik saya, pulangkanlah. Jika ia bukan rezeki saya, saya redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, January 18, 2017

Didik

Manusia biasa cuma, saya sering tewas dengan perasaan. Banyak waktu saya menjadi seorang yang begitu mementingkan diri sendiri dan ditimpa perasaan angkuh. Saya cuba untuk merendahkan diri dan melenyapkan perasaan sebegitu tetapi saya cuma manusia. Manusia yang sentiasa terdedah pada hasutan dan nafsu.

Hari ini, saya mahu lebih berhati-hati. Bukan hanya pada hari ini, tetapi berlanjutan hingga saya mati nanti. Saya mahu menjadi lebih pemurah dalam segala segi dan menyedari bahawa segala kelebihan yang saya ada bukan kepunyaan saya tetapi anugerah daripada yang Maha Pemberi untuk saya gunakan demi kebaikan masyarakat. Saya mahu berkongsi segalanya seikhlas hati, sebagai satu bekalan untuk saya bawa kepada-Nya nanti.

Bukanlah saya ini hebat. Banyak sebenarnya kekurangan dalam diri saya ini cuma fokus saya tetap tidak akan saya ubah, iaitu saya mahu banyak memberi dan memberi seupaya yang ada. Memberi dengan ikhlas tanpa pernah mahu mengharap apa-apa balasan. Biar cuma Allah yang menjadi Hakim saya.

Saya mahu mendidik diri sendiri dan insan-insan sekitar saya dengan tingkah laku dan sikap. Bukan dengan leteran dan ceramah. Hidup ini singkat. Yang abadi nanti ialah akhirat. Pembalasan yang indah-indah biarlah di sana.

Semoga usia empat puluh lima yang saya bawa ini akan lebih mendewasakan saya dalam segala perkara. Juga akan menambahkan kematangan dalam bertindak, serta mendahulukan kewarasan dalam memberi keputusan,

Semoga Allah redha.

Monday, January 09, 2017

Watches


I have a serious love for watches. While some people rely on their smartphones to tell time, I am more traditional kind and just have a look at my watch. In my opinion, it just completes an outfit and dresses up my wrist nicely so I don't need to wear any bangles or bracelets. Without a watch, I feel naked!


Yesterday, as always when I have free time I love to surf Zalora and Lazada. As Zalora had given me coupon for 15 percent discount, I think it's time for me to redeem it because the next day will be my birthday. Nothing crossed my mind but a new watch!

To be honest, for the time being I have already owned seven watches but I cannot resist to buy another one. It is somewhat to reward myself especially on my special day like this. Hey! It's okay to buy your own birthday present!

So, I did it. A new Fjord watch will be mine just in a couple of days. The price was RM349 but with the discount coupon I just need to pay RM296.

May this watch suits me well.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, January 07, 2017

Huda dan Hana

Selamat datang Huda. Selamat datang Hana.

Saya selalu begitu. Ada rasa sebak setiap kali menatap wajah suci dan mulus bayi yang baru lahir. Membelek kembali gambar-gambar Huda dan Hana yang saya rakam di rumah ma semalam, masih mengundang rasa yang begitu. Sebak. 

Pada saat begini, sesungguhnya saya semakin mengagumi kuasa Tuhan. Anugerah dan kasih sayang-Nya tidak mampu saya nafikan dan ia seperti satu misteri yang hadir pada saat kita tertunggu-tunggu. Misteri yang disyukuri.

Huda dan Hana, ummi sentiasa mendoakan yang baik-baik. Semoga Allah melindungi kalian selalu dan memberi kehidupan yang berwarna-warni di sisi ibu dan ayah kalian, juga memberi kalian kekuatan menempuh setiap dugaan yang bakal kalian lalui nanti.

Amin.


Tuesday, January 03, 2017

Kurnia


Alhamdulillah, tanggal 2 Januari 2017, kira-kira jam 7 malam, adinda Noor Ismah selamat melahirkan sepasang bayi kembar perempuan secara caesarean. 

Ini kembar pertama dalam keluarga kami. Teruja benar saya untuk menatap wajah anak-anak ini tetapi masa seolah-olah tidak mahu bertolak ansur. Sering sahaja mesyuarat mahu memenuhi petang hari kami.

Mujur hari ini dek hujan yang lebat sedari pagi, mesyuarat saya dibatalkan. Guru-guru mahu awal pulang kerana bimbang rumah mereka dinaiki air.

Suami saya juga begitu. Mesyuaratnya ditunda dan kami tiba di rumah pada jam 3.40 petang. Sempatlah saya menjenguk adinda Ismah di HUSM petang ini.

Semoga tiada aral lain yang tiba. Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sebermula

Selamat Datang 2017.

Sudah hari ketiga kita melangkah ke tahun 2017 ini. Misteri masih misteri. Terungkaikah nanti?

Hujan mula melebat seawal 1 Januari. Sudah ada kawasan-kawasan di Tanah Serendah Sekebun Bunga ini yang dilanda banjir. Lumrah musim tengkujuh begitulah. Rasanya ramai yang sudah bersedia dan berdoa agar banjir kali ini tidak menjadi sesuatu yang ditangisi seperti mana dua tahun yang lalu. 

Dingin yang mencengkam sebegini sungguh mendamaikan. Seawal pagi sarapan saya seringnya ditemani segelas kopi o panas yang amat melegakan. Jika tidak, saya sukar berenggang dengan ais. Mujurlah kesejukan ini menimbulkan nikmat yang berbeza.

Semalam, ulangtahun perkahwinan saya dan suami tercinta yang kesembilan belas. Seperti mimpi, kami sudah sembilan belas tahun rupanya menempuh segala liku dan cabaran perkahwinan. Syukur Ya Allah, tidak menghadirkan ujian yang getir yang tidak mampu kami lalui. Peliharalah rumah tangga kami ini di dalam rahmat kasih sayangmu, dan kekalkanlah kebahagiaan ini sampai syurga.

Tiada sambutan pun, hanya sekadar keluar makan malam di kedai. Ya, tidaklah istimewa kerana jika tidak ulangtahun pun kami kerap keluar makan di situ. Nasi goreng chicken chop dan segelas epal susu yang menyegarkan cukup untuk mengalas perut saya.

Sesungguhnya hari-hari yang telah dilalui banyak sekali pengajaran yang boleh saya kutip. Menjangkau usia empat puluh lima tahun ini, saya mahu mengambil sebanyak mungkin iktibar dari setiap peristiwa. Tuhan masih mengizinkan saya bernafas di bumi ini, dan saya tahu saya wajib meningkatkan setiap kualiti dalam diri sementara usia masih bersisa.

Sunday, January 01, 2017

Kuch Kuch Hota Hai


1998.

Kali pertama saya menonton filem ini saya sudah mula mahu menontonnya berkali-kali. Ada sesuatu yang menyentuh hati sehingga saya tidak pernah jemu menatap wajah setiap pelakonnya.

Sehingga kini pun saya masih menggemari filem ini dalam segala segi. Lagu, lakonan, cerita, latar tempat dan memorinya.

Kesimpulannya, Salman Khan lebih kacak daripada Shah Rukh Khan dan lakonan Kajol yang paling menjadi dalam filem ini.

Sekian.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.