Wednesday, March 01, 2023

Dari D39

Assalamualaikum.

Berada di sini, di bilik D39 Wad Eksekutif HUSM sejak jam 10 pagi tadi agak menenangkan saya. Debar yang meruntun dalam jiwa sejak semalam beriring sedu dan tangisan sudah saya redakan dengan sejuta rasa redha. Kepada Allah saya berserah diri sepenuhnya.

Paling saya terharu, melihat wajah suami saya yang begitu setia tanpa mengeluh sedikit pun melayan setiap gerak dan langkah saya yang tersadung dan jatuh berkali-kali, dek jiwa yang rapuh dan hati yang mudah retak. Terima kasih Tuhan memberi saya seorang teman yang begitu mengasihi. Rahmati dia, kasihi dia, dan lindungi dia selamanya.

Kadang- kadang, seorang doktor itu umpama pakar motivasi juga. Mereka mampu mengungkap kata-kata yang menyentuh jiwa namun memberi rasa lega. Dalam gusar di dada saya, mereka meniup bayu ketenangan dan sentiasa sudi memberi bantuan.

Untuk ma dan adik beradik seisi keluarga, terima kasih kerana memberi perangsang dan keyakinan untuk saya kuat menghadapi dugaan. Doa kalian umpama penawar mujarab yang menemani saya setiap ketika. Terima kasih.

Esok, saya akan dibedah.

Semoga Allah memberi kesembuhan untuk saya. Amin.

Thursday, February 16, 2023

Selamat Bercuti

Berakhir sudah sesi persekolahan 2022/23 pada hari ini, dengan beribu-ribu warna dan aroma yang pelbagai.

Mulai esok, kami guru-guru dan murid-murid akan menikmati cuti selama 30 hari.

Alhamdulillah.

Banyak yang ingin saya lakukan sepanjang cuti ini. Walaupun saya bukanlah bercuti sepenuhnya kerana anak-anak murid saya tetap perlu diberi sentuhan sepanjang SPM mereka yang bermula Isnin 20/2 ini. Saya akan tetap ke sekolah untuk berada bersama-sama mereka, menemani mereka mentelaah sambil memberi semangat dan keyakinan untuk mereka melangkah ke dewan menjawab soalan.

Begitulah.

Dan rancangan-rancangan yang ada dalam minda sepanjang cuti ini, akan diteruskan jika ada ruang sesuai.

Selamat bercuti.

Wednesday, February 15, 2023

Tiba-tiba Teruji

Sudah makan minggu saya mengalami rasa yang tidak selesa begini. Saya jangka ini disebabkan ketumbuhan dalam abdomen saya sudah terlalu besar sehingga menghimpit organ-organ lain dan mengganggu kesejahteraan saya. Natijahnya, saya selalu moody, malas dan tidak bersemangat dalam melakukan urusan harian. Sepulang dari sekolah, saya akan terus merebahkan diri di katil dan tergolek di situ hingga petang. Tidur. Mengadap handphone. Berkhayal.

Rancangan saya, apabila sekolah bercuti nanti Jumaat ini, saya akan terus menyerah diri di Wad Kecemasan HUSM dan akan merelakan apa saja yang mereka mahu lakukan. Saya sudah tidak betah menanggung setiap resah dan gelisah yang sedang melanda ini. Kepada Tuhan saya berserah, dan memohon agar segalanya dipermudah.

Pun, itu hanya satu perancangan seorang saya sebagai hamba-Nya. Apa yang akan terjadi seterusnya, tidak dapat saya ramalkan.

Beberapa hari kebelakangan ini suami saya juga kelihatan tidak begitu sihat. Sejak awal minggu ini dia mengadu berasa sakit di bahagian belakang badannya. Saya risau jika penyakit batu karangnya berulang. Badannya juga kerap panas dan suhu mencecah 37.9 darjah. Hanya paracetamol menjadi teman. Diajak ke klinik, dia enggan.

Dan semalam, tiba-tiba dia mengalami muntah-muntah dan cirit birit. Makan pun tidak mahu, hanya terbaring lesu begitu. Saya jadi buntu, tidak tahu mahu bagaimana untuk memberinya sedikit rasa yang selesa. Apabila semakin teruk menjelang malam, barulah dia bersuara mahu ke klinik. Jam 10.30 malam kami menuju ke Klinik Farahain di Tunjong. Doktor memberi suntikan, dan juga cuti sakit selain ubat-ubatan yang pelbagai.

Saya jadi sebak. Tuhan, dalam resah yang sedang saya rasai ini, suami saya juga ditimpa rasa yang sama. Bagaimanakah keadaannya jika kami berdua sama-sama sakit? Siapa yang akan menjaga siapa? Kami hanya berdua!

Memikirkan ini semua, saya semakin hiba. Pun, saya tidak pernah menyesali segalanya. Apa pun yang Tuhan tetapkan, akan saya terima dengan reda. Semoga jalan yang terbentang di hadapan kami adalah jalan yang Allah lorongkan menuju cahaya syurga. Amin!



Sunday, February 12, 2023

Janji dan Masa

Bercerita tentang masa dalam kalangan bangsa kita, seperti sesuatu yang tidak pernah penting pada mereka. Begitu yang saya rasa.

Semalam, satu bengkel kecemerlangan mata pelajaran SPM berlangsung di sekolah saya. Waktu tercatat dalam surat ialah jam 2.30 sehingga 5.00 petang. Saya tiba di sekolah pada jam 1.55 dan berpesan pada suami saya agar datang mengambil saya pada jam 5.25 petang.

Alhamdulillah, penceramah sampai lewat seminit sahaja. Saya rasa ok lah, dan dia pun mohon maaf kerana lambat sedikit.

Bengkel berlangsung dengan baik dan anak-anak murid saya pun kelihatan seronok.

Apabila jam sudah ke angka lima, kelihatan penceramah itu masih bersemangat menyampaikan isi dan bahan ceramahnya. Tidak mengapalah, mungkin sekitar sepuluh minit lagi dia akan berhenti - getus saya dalam hati.

Rupanya tidak. Dia sedar waktu sudah lebih, tetapi dengan selamba masih mahu menyampaikan. Saya mula gelisah. Risau kalau dia lajak sehingga lebih 5.30 petang. 

Dan sungguhlah. Dengan tidak bersalah, malah mungkin rasa bangga (agaknya) dia meneruskan ceramah dengan gembira. Saya cukup tidak gemar masa saya dipermain-mainkan sebegini. Terus saya meminta diri untuk keluar dan meninggalkan majlis kepada GKSM saya.

Suami saya sudah lama sampai. Sewaktu saya membuka pintu kereta, jam di dashboard memaparkan 5:32 petang. Saya tahu menunggu itu menyeksakan sebab itu saya tidak suka membiarkan orang menunggu saya. Dan kelihatan kereta-kereta ibu bapa bersusun-susun di luar pagar sekolah menanti anak mereka. Saya nampak wajah mereka yang kelat dek kebosanan menunggu. Rasanya, ada perancangan mereka yang terganggu dengan keadaan ini.

Dalam hati, saya berfikir sendiri. Susah benarkah mematuhi masa? Jika sudah diberi waktu sehingga jam 5.00 petang, melewatkannya adalah tindakan yang mengganggu perancangan orang. Tidak bolehkah kita fikirkan juga tentang masa orang lain apabila kita melakukan sesuatu?

Teringat saya sewaktu rombongan sekolah ke Langkawi hujung tahun 2021 lalu. Selamba sahaja orang ini berlengah-lengah, dan membiarkan orang lain menunggu dia dan keluarganya selesai urusan peribadi (yang boleh sahaja dipercepat) tanpa rasa bersalah. Kami yang menanti di atas bas, tidak pernah dia kisah apa perasaan kami asal sahaja urusan peribadinya selesai. Sangat selfish!

Ketahuilah wahai manusia, ketepatan masa itu sesuatu yang sangat penting dan utama, kerana ia melibatkan urusan ramai orang. Tarbiyyah yang bagaimanakah lagi boleh diberi untuk golongan-golongan yang begitu meremehkan masa ini?

Tuesday, February 07, 2023

Rancangan

Sejak mula menjadi guru pada 6 Mac 1998, menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) memang menjadi rutin saya. Kami para guru yang dedikasi ini diarah supaya menulis RPH sehari sebelum sesi PdP berlaku. RPH waktu itu ringkas sahaja, hanya perlu tulis tajuk, objektif dan nilai. Tiada refleksi, tiada aktiviti, tiada catatan. Mudah sekali.

Dan sepatutnya begitulah sehingga kini. Tidak perlu pun segala yang terperinci kerana cikgu tidak merujuk segalanya di situ. Ia sekadar rujukan guru untuk kesinambungan PdP sahaja. Jika guru itu sudah berpengalaman, segala idea sudah ada dalam minda. Berhadapan dengan murid, guru tahu bagaimana mahu mengendali sesi PdP pada hari itu. Malah ada kalanya, pelaksanaan berbeza dengan perancangan dek pelbagai kekangan yang tiba-tiba datang.

Lalu pada pandangan saya, usahlah diberatkan guru dengan arahan menulis RPH dengan segala perincian yang entah apa-apa kerana ia akan memenatkan fikiran guru. Biarlah RPH sekadar catatan ringkas apa yang guru mahu ajar pada sesi PdP itu, dan kreativiti guru tidak terbatas pada sehelai kertas. Ia lebih meringankan fikiran serta meluaskan daya kreativiti para guru. 

Saya mahu sekali pihak atas memberi sepenuh kepercayaan kepada para guru kerana kami sudah dilatih bertahun-tahun di universiti untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Percayalah, kami sangat mencintai bidang ini dan tidak akan merosakkannya dengan karenah bodoh dan tidak profesional. Bila kami diberi kepercayaan, kami akan cuba menjaga sebaiknya kepercayaan itu dengan memberi segala yang terdaya. Tidak perlulah kami diarah begitu begini sehingga hilang rasa seronok kami untuk berada bersama murid-muird yang kami cintai.

Itu belum lagi saya sentuh tentang beban sukatan kurikulum yang melampau. Bukan guru sahaja yang terbeban, minat murid juga turut terbunuh dan terkubur tanpa nisan.
 
Tidak tahulah apa natijahnya nanti pada masa mendatang jika perubahan tidak dilakukan. 

Ini RPH saya pada tahun 2015. Jika penulisan RPH masih ringkas begini, tentu menyenangkan kami. Kan?


Monday, February 06, 2023

Pembinaan



Januari 2022, Ma suarakan keinginannya untuk mengubahsuai bahagian pintu dapur bersebelahan bilik tidur untuk dijadikan bilik air dengan tandas duduk. Ma meminta suami saya tolong carikan tukang. 

Pun, atas faktor yang tidak dapat dielak, urusan pengubahsuaian ini tertangguh begitu lama. Sehinggalah pada November lalu, Ma kembali menyuarakan hasratnya itu. Suami saya rasa bersalah juga kerana salah faham dengan situasi. Dia menyangka Ma sudah serahkan urusan itu kepada adik saya Rifqi kerana sewaktu pulang cuti sekolah Februari lalu, Rifqi memberitahu suami saya, nanti dia akan uruskan. Rupanya tidak jadi.

Pertengahan Disember 2022, bermulalah kerja-kerja pembinaan itu dengan menyerahkan kepercayaan kepada seorang tukang yang baik dan berpengalaman - Pok Him - untuk menyiapkannya. 

Petang semalam, Pok Him datang memberitahu suami saya yang projek itu sudah siap sepenuhnya. Alhamdulillah. Kami menyelesaikan semua bayaran sebagaimana Pok Him minta. Jumlahnya RM9600. Berpatutan sangat rasanya bayaran yang diminta, malah saya rasa murah pula. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk Pok Him dan memudahkan segala urusannya. Terima kasih Pok Him.

Semoga Ma berpuas hati dan seronok menggunakan bilik air baru dan juga menyukai dinding rumah baru. Semoga Ma sentiasa sihat dan dipanjangkan umur dalam bahagia berpanjangan. 

Tuesday, January 31, 2023

Sentiasa Syukur

Jika pun aturan langkah yang ada di hadapan saya kelihatannya kabur dan balam-balam, saya tidak akan pernah lupa untuk bersyukur. Sekurang-kurangnya Allah sudah memberi saya lima puluh satu tahun untuk menghuni dunia, dan baki yang tinggal entah sebanyak mana. Saya hanya menanti.

Apabila segalanya menekan rasa dan menuntut kekuatan yang bukan sedikit dalam meneruskan langkah saya yang masih tersisa, saya tidak mampu untuk terus menyembunyikan gusar yang ada. Saya tewas juga apabila menghitung masa depan. Saya bimbang, tetapi saya bukan berputus asa.

Tidak lama lagi saya akan menghadapi satu kenyataan yang entah bagaimana. Saya akan ditidurkan dan perut saya akan ditoreh untuk kali keempat, membawa risiko yang menakutkan. Bolehkah saya berasa tenang memikir segala kemungkinan?

Saya mencuba.

Saban hari saya berserah kepada-Nya, dengan doa yang tidak putus agar saya diberi kesembuhan jua, dipanjangkan umur dalam kesihatan yang baik dan dipermudah segala urusan. Semoga, amin.

Biar apa pun ketentuan dari-Nya, saya akan terus bersyukur. Apalah dunia, dibanding syurga.

 



Saturday, January 28, 2023

Isu Semasa

Banyaknya isu semasa yang panas-panas sehari dua ni. 

Isu 1 - YB Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) mohon hentikan budaya menyekat guru bersuara, merujuk kepada kes amaran yang diberi kepada cikgu Hasmadi oleh pegawai atasan.

Isu 2 - Dr. Maszlee Malik dikecam apabila beliau mengucapkan dialog yang menghina wanita dalam drama lakonannya, Kudeta. Keratan adegan itu tular di media sosial.

Isu 3 - Khairy Jamaludin dipecat dari UMNO. Turut dipecat ialah Dato' Noh Omar manakala Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung keahlian.

Isu 4 - Mas Idayu dan Sissy Iman.

Isu 5 - Puteri Sarah, Ira Kazar dan Syamsul Yusof.

Panas-panas jugalah, tetapi saya paling tak menahan dengan Isu 2. Macam tak percaya. Allahuakbar! Isu 4 dan Isu 5 tu picisan je... 😁😁

Saya tinggalkan ulasan saya berkaitan isu-isu di atas untuk saya sahaja. Risau jika dikongsi, kepanasan akan semakin membara. 


Monday, January 16, 2023

Demam

Bermula 2023 dengan episod yang tidak begitu seronok. Kami berdua demam.

Awalnya, macam sudah mahu sembuh, tetapi sehari dua ini ia semakin teruk. Minggu lepas suami saya yang demam, minggu ini saya pula. Begitulah.

Tidak mengapa, saya reda saja. Demam begini menjadi peringatan supaya saya sentiasa bersedia, untuk apa saja.

Dalam demam yang begini, saya masih mahu ke sekolah. Semoga ia tidak berlarutan.

Monday, January 02, 2023

Mengulang Cerita

 



 
Selamat ulang tahun perkahwinan yang kedua puluh lima buat kami.

Tanggal 2 Januari 1998, hari Jumaat yang mulia, sekitar jam lima petang, bertempat di Masjid Batu 8, kami selamat dinikahkan. Sahlah kami sebagai pasangan suami isteri yang tidak pernah saling kenal mengenali. Ini bukan drama TV3, ini kenyataan. Kenyataan yang manis, apabila kami setuju untuk bernikah pada waktu kami tidak tahu pun nama penuh masing-masing. Kelakar tetapi benar.

Kenapa setuju?

Kerana ini pilihan ayah dan emak. Kata ayah, dia budak baik. Ayah kenal dia sudah lama. Ayah yakin dia mampu menjadi suami yang bertanggungjawab.

Kata emak pula, keluarganya orang baik-baik. Emak berkawan dengan ibunya sudah lama. Emak tahu dia bagaimana.

Baiklah emak. Baiklah ayah. Jika emak dan ayah begitu yakin, siapalah saya untuk menolak. Saya menurut saja. Ah! Begitulah pingitannya saya.

Hari ini menggenap dua puluh lima tahun kami melalui hidup bersama, dan sungguhlah pilihan ayah dan emak ini tinggi mutu dan budinya. Saya tidak pernah dia abaikan, malah terasa benar saya ini dia perlukan. Terima kasih ayah dan emak kerana memilih sebutir permata buat menemani hidup saya, mudah-mudahan sampai syurga.

Terima kasih suami, menjadi insan penyayang yang sentiasa bersabar dengan segala dugaan dari Tuhan. Semoga bahtera kita belayar dalam ketenangan menuju bahagia abadi.

Amin.


Saturday, December 31, 2022

Tamat

Untuk kali ke-51, saya menyambut tahun baru.

2023.

Saya suka Januari. Selain menjadi bulan kelahiran, Januari juga bulan pernikahan saya. Itu dua yang utama. Selainnya, Januari sentiasa menjadi tapak sebuah permulaan menuju azam dan cita-cita.

Semoga saja Januari ini memberi rasa yang nyaman untuk semua, memulakan sebuah perjalanan mencari syurga.

Persekolahan masih meneruskan sesi 2022, dan sesi baru akan bermula pada Mac nanti sebaik SPM selesai. Saya positif, dan sentiasa akan mencari sisi-sisi baik di sekitar saya supaya ada ceria dalam bekerja. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat saya agar saya dapat mengoptimumkan sumbangan dalam bidang kecintaan saya ini.

Alhamdulillah untuk segalanya.

Tuesday, December 27, 2022

Cuti Sakit


Sekolah sedang bercuti, tetapi saya diberi cuti sakit. Saya terima saja.

Masalah biasa, tetapi membelenggu saya dengan rasa tidak nyaman. Saya sebenarnya ditugaskan untuk menghadiri kem Matematik Tambahan pada Khamis nanti, sebagai fasilitator tetapi dalam keadaan begini saya tentunya tidak selesa. Maka cuti sakit ini menjadi penyelamatnya.

Semoga saya diberi kesembuhan jua.

Amin.

Saturday, December 24, 2022

Rasa Ini

Saya benar-benar gelisah dan tidak tenang sejak Khamis lalu. Pada orang lain ia perkara yang sangat kecil, tetapi tidak bagi saya. Ia berat, malah semakin memberat.

Sejak awal pihak PPD memaklumkan tentang program KEMAH ini, saya sudah rasa tidak begitu mahu menyertai. Program ini baik, tetapi sudah dua minggu anak-anak didik saya berkurung di sekolah sewaktu cuti, dan hanya seminggu ruang untuk mereka berada bersama keluarga. Program KEMAH ini pula tarikhnya pada minggu ketiga, tentulah saya simpati pada mereka kerana terpaksa lagi mengorbankan waktu bercuti di sisi ibu ayah hanya kerana Matematik Tambahan!

Lalu saya suarakan kepada GK saya dan juga kepada PKP. Malangnya, mereka menolak permohonan saya dan tetap mahu kita menyertai. Tak mengapalah.

Tetapi - satu perkara lagi - pada tarikh yang sama, sekolah saya mengadakan mesyuarat guru di Hotel Perdana. Mesyuarat sebegini tidak pernah lagi saya ponteng. Saya begitu menjaga kehadiran saya dalam mesyuarat-mesyuarat utama sekolah seperti ini. Apabila saya ajukan kepada PKP, dia kata cikgu hadirlah mesyuarat itu, program KEMAH itu biar murid pergi sendiri.

Baiklah.

Tiba-tiba, PPD memaklumkan setiap sekolah perlu menghantar wakil guru dan sekolah saya dipilih menjadi ketua Fasilitator. Ah sudah!

Satu cara yang ada, ialah meminta cikgu Rohana hadir. Dia tidak perlu masuk mesyuarat kerana pada 30/12/22 dia akan pencen. Malangnya cikgu Rohana menolak dengan alasan dia akan pencen pada keesokan harinya. Untuk makluman, tarikh Program KEMAH ialah pada 29/12/22.

Lalu?

Tiada lagi pilihan lain, sayalah yang diarah untuk hadir.

Dan saya pun sedih.

Sedih kerana saya sudah mohon untuk tidak menyertai program ini tetapi ditolak. Kemudian saya terpaksa ponteng mesyuarat guru yang saya mahu hadir itu. Juga, saya akan menjadi ketua fasilitator.

Saya semakin sedih.

Siapakah yang boleh menenangkan saya sekarang?

Thursday, December 22, 2022

My PM


You didn't get any support from them but you've still gone down to the ground to help them. That's called being HUMAN, fair to everyone no matter what. Keep it up. 

Take care of yourself as well, our beloved PM.


Monday, December 19, 2022

Banjir Yang Duka

Dada saya sesak. Entah kenapa kali ini saya begitu mudah sebak. Setiap kali kisah mangsa banjir terpampang di laman sosial, saya akan hiba benar.

Kisah pertama, anak kecil 3 tahun bernama Sufi di Terengganu. Kisah kedua, anak kecil 2 tahun bernama Hilwa juga di Terengganu. Dan kisah ketiga, tiga beradik berusia 20 - 27 tahun di Kelantan.

Semuanya benar-benar meruntun perasaan saya hingga terbawa-bawa dalam fikiran. Sukar dilupakan.

Siapa pun tidak pernah mahu kejadian-kejadian begini berlaku. Tetapi ia berlaku juga tanpa kita pinta. Tidak dapat saya bayangkan kesedihan yang bagaimana ditanggung keluarga mereka. Mungkin bukan sekadar kesedihan tetapi juga kekesalan dan rasa bersalah yang akan menghantui hidup mereka pada jangka masa yang lama.

Allahuakbar!

Tidak mudah menghadapi kehilangan sebegini. Hanya Allah tempat kita mengadu dan memohon segala kekuatan agar kehidupan dapat kita teruskan. 

Yang pergi, biarlah pergi. Hanya doa mengiringi.

Friday, December 16, 2022

Haier Pula

Apabila mesin basuh LG saya meragam, rasa sedih sangat dalam hati saya. Ia mesin basuh kelima saya beli sejak berkahwin pada 1998. Saya berdoa agar mesin basuh ini dapat bertahan lebih lama.

Tetapi begitulah, kita hanya mampu mengharap. Kenyataannya, selepas 4 tahun 10 bulan saya bersamanya, dia mula mencipta masalah. Berkali-kali juga dibaiki tetapi masih enggan ia baik-baik semula.

Saya sayang padanya. Ragamnya tidaklah teruk, sekadar terbit error pada paparan LCDnya tetapi apabila kerap sangat begitu saya jadi terganggu. Tukang baiki pula selalu tidak tepat janji. Saya bosan.

Jomlah beli mesin basuh baru. Yang ini kita beri saja pada tukang baiki tu bila dia datang nanti. Mujur suami saya setuju.

Diringkaskan cerita, pada pagi Selasa 13 Disember 2022 terbelilah mesin basuh keenam kami berjenama Haier 14 kg, berharga RM1699 di G-Orange.

Harapan saya kali ini masih sama, agar ia dapat berkhidmat dengan lebih lama. Amin.

Thursday, December 15, 2022

Kelas

Sepanjang cuti sekolah 23 hari kali ini, saya diarahkan untuk ke sekolah mengendalikan kelas tambahan SPM beberapa kali. Saya ok sahaja.

Pagi ini, jam 8.20 saya sampai di sekolah. Terus saya menuju ke kelas dan memulakan sesi pertama sehingga jam 10.00. Semuanya baik-baik saja kerana anak-anak 5C1 ini sentiasa bersedia dan mendengar kata.

Jam 10.00, mereka rehat sehingga 10.30. Saya mengambil ruang ini untuk kembali ke bilik saya dah menyendiri seketika, mengecas kembali tenaga. Sangka saya begitulah.

Mana saya tahu di bilik yang saya jangka tiada orang itu rupa-rupanya sudah berpenghuni. Beberapa orang guru sedang berehat di situ dan tentunya berbual-bual. Ah, saya tidak mendapat ruang yang saya mahu!

Tidaklah dapat saya mengecas kembali tenaga apabila ada saja perkara yang mereka minta saya lakukan. Juga, saya tidak dapat melayan diri sendiri kerana suasana tidak lagi sunyi.

Aduh!

Susahnya menjadi saya yang sentiasa mahu kebersendirian walau di mana saya berada. Mendengar bualan atau menjawab pertanyaan sememangnya mengganggu ketenangan. Lalu ke mana saya harus pergi?

Sekarang saya kembali ke kelas. Anak-anak murid saya sedang khusyuk menjawab soalan jadi dapatlah saya melayan diri sendiri sebentar. Lega!

Tuesday, December 13, 2022

Temujanji

Ku di sini lagi, menanti dalam reda. Apa pun natijahnya, kuterima.

Kusedar, diri cuma hamba.

Friday, December 09, 2022

Cuti Disember

Hari ini 9 Disember 2022 bermulalah cuti sekolah di negeri-negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor) selama 23 hari iaitu sehingga 31 Disember 2022.

Kali ini saya mahu memesrai cuti ini dengan aman dan nyaman. Dengan tenang dan tenteram. Seperti selalu.

Dalam cuti ini saya perlu juga hadir ke sekolah setiap Isnin, Rabu dan Khamis selama dua minggu untuk kelas tambahan SPM. Itu sudah menjadi rutin setiap kali cuti dan saya tiada masalah. Saya gembira bersama anak-anak murid saya. Saya sayangi mereka seikhlas hati. Doa saya tetap ada buat mereka, walau apa pun gred SPM mereka nanti. 

Selain itu, saya mahu menyelesaikan banyak urusan di rumah. Almari kain yang bersepah, bilik yang berabuk, dapur yang berselerak semuanya perlu saya selesaikan dalam cuti ini. Harapnya mood untuk itu akan tiba sesuai masanya.

Oh ya, penandaan kertas Percubaan SPM pun perlu disudahkan juga. Insya Allah minggu ini siaplah semua.

Dan itulah cuti untuk saya. Aman. Nyaman. Tenteram.

Tuesday, December 06, 2022

Lantang

Tidak saya tahu kenapa saya bersikap agak lantang kali ini.

Kisahnya, apabila yuran Kelab Guru sekolah saya berjumlah RM300 setahun dikenakan bagi tahun 2022, saya terdengar suara-suara rakan guru yang mengatakan jumlah itu terlalu besar. Saya pun memaklumkan rungutan ini kepada AJK Kelab Guru tetapi begitulah, ia diteruskan juga.

Saya secara peribadi tidak kisah pun dengan jumlah itu tetapi dari segi praktikalnya, saya mengharap pulangan yang sepadan kepada kami. Tetapi apabila setiap kali ada majlis yang dianjurkan guru masih diminta membayar wang lagi, tentu saya agak hairan. Untuk apa yuran sebesar itu jika masih lagi mengutip wang guru untuk majlis-majlis di sekolah?

Entahlah, saya rasa mereka agak kurang senang dengan saya yang berulangkali mengungkit hal ini dan mereka seperti cuba memberi pencerahan kepada saya seolah-olah jumlah itu memang sesuai kerana perbelanjaan kelab guru agak tinggi untuk tahun ini. Sudah tiga empat orang AJK Kelab Guru datang kepada saya dan menghuraikan dengan panjang lebar justifikasi mereka. Tidak perlulah sampai begitu. Saya cuma menyuarakan, dan saya katakan juga jika mereka benar-benar menggunakan dengan betul tidak mengapalah, tunjuk saja aliran tunai perbelanjaan mereka itu dalam belanjawan yang diaudit nanti. Selesai.

Risau pula saya jika nanti mereka sepakat memilih si lantang ini sebagai AJK Kelab Guru tahun depan. Sekolah ini memang jenis begitu, akan mencalonkan nama-nama orang yang agak tidak digemari dan yang suka komplen untuk menjadi AJK Kelab Guru.

Saya kena bersedialah kali ini nampaknya.