Monday, November 30, 2015

Matematik Tambahan

Apabila pelajar Cina itu menggantung diri kerana tidak dapat menjawab soalan Matematik Tambahan Kertas 1 pada Selasa lepas, barulah saya tahu betapa sukarnya mata pelajaran ini!

Ya, sehingga nyawa dipertaruhkan.

Anak-anak didikku yang dikasihi, dengarlah nasihat cikgu ini.

Bukan semua orang diberi kepandaian yang sama. Kenalilah dirimu sendiri, keupayaanmu dan minatmu. Jangan diseksa dirimu dengan perkara-perkara yang tidak engkau minati. Betapa sebagai guru, cikgu dapat merasakan amat sukar sekali memahamkan konsep matematik kepada pelajar-pelajar cikgu yang rendah asasnya. Matematik Tambahan bukan untuk semua orang. Malah ketahuilah bahawa untuk menjadi peguam, arkitek atau usahawan, kamu tidak perlu mengambil Matematik Tambahan.

Cikgu bukan mahu merendahkan motivasi diri kamu, tetapi cikgu mahu kamu berfikir pada landasan yang betul. Perlu apa kamu berasa bangga menjadi pelajar aliran Sains yang mengelek buku teks Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan jika nanti hanya menerbitkan gred D, E dan G pada slip dan sijil SPM kamu. Bukankah lebih baik kamu mengambil mata pelajaran Perdagangan, Geografi atau Ekonomi Asas yang cikgu rasa lebih mesra dengan pemikiran kamu?

Kadang-kadang kita perlu berani menghadapi kenyataan.

Jangan sampai SPM kamu menjadi mimpi ngeri yang engkau tidak mahu kenang selamanya!

Wednesday, November 25, 2015

Mesin Basuh

Lapan belas tahun berkahwin, sudah empat mesin basuh kami beli. Tidak mampu saya fikir bagaimana hidup saya tanpa mesin basuh!

Kecil dahulu, emak membasuh pakaian satu keluarga besar kami tanpa mesin basuh pun. Kagum benar saya dengan upaya emak. Apa tidaknya, kain baju kami bukan sedikit. Kotor-kotor pula. Emak perlu menyental beria terutama baju sekolah putih kami. Dan emak tidak langsung bersungut.

Hebat emak!

Seingat saya, hanya pada tahun 1987 iaitu setelah emak memiliki tujuh anak, baru emak izinkan ayah membeli mesin basuh. Sebelum itu, setiap kali ayah bertanya emak, nak mesin basuh ke? Emak akan menjawab, tak perlu. 

Saya tahu emak bukan tak perlu tetapi emak seorang yang berhemah. Selagi emak mampu, mesin basuh bukan keperluan baginya. Emak rela menyental, membilas dan memerah kain dengan tenaga wanita miliknya dan sesekali dibantu anak-anak pada waktu cuti sekolah. Memang, emak hebat!

Saya tidak mampu sehebat itu.

Pada tahun kedua berumahtangga, saya dan suami sudah boleh tinggal bersama selepas setahun berjauhan. Waktu ini, saya mula mencongak untuk membeli keperluan rumah. Dengan tunggakan gaji permulaan yang agak banyak, saya membeli banyak benda.

Mesin basuh, peti sejuk, meja makan, tikar getah dan langsir menjadi keutamaan saya untuk diletakkan di rumah sewa kami di Taman Sri Guchil itu.

Ya, mesin basuhlah item pertama yang mesti dibeli. Saya tidak sanggup lagi membasuh secara manual. Penatnya bagai tidak berbaloi.

Mesin basuh pertama kami, Panasonic semi auto yang kami guna sehingga 2003. Apabila dia meragam banyak kali, saya menggantikannya dengan mesin basuh automatic jenama yang sama.

Pada 2009, saya menukar lagi mesin basuh dek ragam yang timbul. Saya membeli Toshiba pula.

Pun, selepas enam tahun Toshiba itu berkhidmat, ia sudah tidak lagi optimum. Lalu dua hari lepas, Isnin 23 November, saya dan suami bersetuju mencari mesin basuh baru.

Kali ini, Hitachi SF105. 

Semoga ia mampu memberi khidmat yang cemerlang pada tempoh yang lebih lama.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 19, 2015

Akhir

Hari ini hari akhir sesi persekolahan 2015. 

PK HEM kami, Pn. Hjh. Norriha bt Abd Rahman akan bertukar ke SMK Tiang Chandi, Pasir Mas sebagai Pengetua. Memandangkan memo pelantikan beliau hanya tiba pada hujung minggu sebelum cuti Deepavali baru-baru ini, maka ruang untuk majlis perpisahan cuma ada pada minggu ini. Saya sebagai ahli Kelab Guru tentunya tiada pilihan selain menjalankan tugas kami seperti yang diharapkan.

Semalam, kami sudah mengadakan jamuan perpisahan dan hari ini kami meneruskan agenda dengan majlis dengan semua warga Chengal. Majlis yang kami namakan Lambaian Kasih. Seperti selalu, tugas saya ialah di hadapan komputer. Saya perlu menyiapkan buku program yang cantik dan kad perpisahan untuk Pn. Hjh. Norriha menandatanganinya nanti.

Semuanya tersedia seperti yang diharapkan.

Hari ini, majlis berlangsung cemerlang dan selesai sekitar jam 11.00 pagi. Guru-guru terpilih (tidak termasuk saya) seramai dua puluh orang mengiringi Pn. Hjh. Norriha ke SMK Tiang Chandi. Kami yang tinggal meneruskan tugas perguruan seperti biasa.

Jam 12.30 pelajar-pelajar dibenarkan pulang. Pun, suami saya hanya tiba untuk mengambil saya pada jam 2.00 petang. 

Selamat bercuti. Tugas untuk tahun ini belum berakhir sebenarnya kerana kertas peperiksaan belum siap bertanda. Kelas tambahan pelajar Tingkatan Empat juga akan diadakan untuk tempoh dua minggu. Analisis peperiksaan akhir tahun pula sedang menanti giliran untuk disiapkan.

Sekali lagi, selamat bercuti.

Sunday, November 15, 2015

Bercuti

Minggu lepas menjadi minggu yang penuh dengan cuti. Hanya sehari Ahad sahaja kami bekerja dan selebihnya, kami bercuti selama enam hari sempena Deepavali (10/11/15) dan Hari Keputeraan Sultan Kelantan (11-12/11/15) ditambah cuti peristiwa pada Isnin.

Memangnya saya seronok melayan cuti tetapi seperti selalu, ia tidak pernah mencapai satu piawaian yang telah saya tetapkan. Jika sebelum bercuti saya merancang pelbagai aktiviti tetapi apabila ia tiba, segalanya berlalu begitu sahaja. Kejamkah saya pada diri sendiri?

Pun, ia tetap cuti yang saya hargai.

Alhamdulillah.


Saturday, November 14, 2015

Membaca

Belakangan ini, hobi yang begitu lama bersarang dalam diri saya bagai terlupakan. Pada saat gajet-gajet android mula mengelilingi saya, buku-buku bagai terpinggir. Apa yang saya mahu tahu dan baca ada pada gajet itu.

Kasihan. Buku-buku itu tidak bersalah. Saya yang terhukum oleh kepesatan teknologi sehingga gagal mencari keseimbangan.

Semalam, bertemankan Adinda Ismah, saya menuju ke G-Orange Mall yang tersergam megah di Tunjung itu. Tidak banyak mana pun lagi premis perniagaan di dalamnya. Maklumlah masih baru, tetapi yang satu ini menggamit rasa jiwa. Ya, kedai buku SMO.

Melangkah ke dalamnya, saya kembali menggamit rindu pada buku-buku. Ikutkan hati, saya mahu banyak lagi tetapi cukuplah yang ini dahulu.

"Membedah P. Ramlee" oleh Daniyal Kadir, "Aku ____, Maka Aku Ada!" oleh Faisal Tehrani, "Dia Bukan Lelaki Biasa" oleh Syarafuddin Sulaiman dan "If I Stay" karya Gayle Forman.

Malam tadi, saya sempat menatap beberapa muka surat dari setiap buku-buku itu. Menarik semuanya.

Kali ini saya berjanji untuk mengembalikan hobi kepada diri.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 12, 2015

Permata Jiwa

Saya tidak terlalu mengenali anak gadis ini walaupun saya dan suami bersahabat dengan kedua ibu bapanya. Saya cuma tahu dia anak yang bijak, belajar di SMU(A) Maahad Muhammadi, mendapat keputusan 10A dalam SPM 2011 dan terpilih untuk belajar dalam bidang pergigian di Yarmouk, Jordan. Jangkanya, pengajian akan tamat pada 2017 nanti dan anak manis ini akan bergelar doktor gigi.

Belum setahun berada di Jordan, dia ditimpa sakit. Dan itulah penyakit yang membawa kepada kematiannya semalam. SLE. 

Saya sempat menziarahnya di hospital lebih kurang sebulan yang lalu. Waktu itu dia baru sahaja selesai melalui pembedahan. Dia tidak mengenali saya kerana kami tidak pernah bertemu tetapi senyum dan ramah bicaranya tetap segar dalam ingatan.

Kerap juga saya membaca tulisan di facebooknya. Ternyata dia seorang gadis yang tabah dan kuat melawan penyakit yang tiada penawar ini.

Semalam, dia pergi meninggalkan semua yang mengasihinya untuk menemui Tuhan Rabbul Izzati. Tamat sudah perjuangannya di sini. Saya dan suami menziarah sekitar jam 10 malam.

Sayu saya melihat suasana di rumah itu. Babanya tenang menerima tetamu di luar rumah. Mamanya pula bersimpuh di sudut katil di sisi jenazah sambil membaca ayat-ayat suci Al Quran. Saat saya menyalami dan memeluk Kak Ti yang tabah itu, dia berbisik, " Ti, doakan Kak Ti. Doakan Kak Ti..." 

Air mata saya tidak mampu saya seka. Ya Kak Ti, saya akan sentiasa doakan Kak Ti agar tabah dengan ujian ini.

Semoga kehilangan permata jiwanya ini memberi satu kekuatan yang luar biasa buat Kak Ti sekeluarga.

Friday, November 06, 2015

Jumaat

Seperti selalu, Jumaat menjanjikan cuti daripada kerja-kerja sekolah. Pun, sebagai wanita saya tidak boleh bercuti semahunya kerana tugasan lain di rumah ini sedia menanti untuk diladeni.

Mujurlah sarapan berbeli, jadi saya tidak perlu mencari-cari idea untuk memasak seawal pagi begini.

Sebaik suami saya keluar ke kedai sekitar jam 7 pagi, saya mula ke dapur. Kain yang sudah siap dalam mesin basuh saya keluarkan dan diganti dengan sebakul lagi kain kotor untuk pusingan kedua. Sebelum menyidai, saya siapkan dulu seteko teh o suam untuk dinikmati bersama nasi berlauk ayam kampung nanti.

Ustaz Zaharudin sedang bersiaran di Tanyalah Ustaz dengan tajuk Simpanan Akhirat. Saya mahu mendengarnya dahulu sebelum menyidai kain walaupun tidak sampai habis. Kupasannya selalu memberi sesuatu yang baru pada saya.

Usai sarapan barulah saya menyidai kain. Seterusnya saya menyapu dapur, ruang tamu dan beranda. Saya ini bukanlah gagah sangat. Baru bekerja begitu sudah termengah-mengah. Lalu saya mencari ruang berehat sebentar di bilik. Suami saya sudah keluar bersantai di kedai kopi sebaik selesai sarapan tadi.

Di bilik, saya lena sepuluh minit. Saat mendengar deru motor suami saya pulang, saya terjaga. Jam menunjukkan pukul 09.18. Aduh, belum puas tidur rasanya!

Suami saya meminta izin mahu keluar bertemu Ustaz Mazri untuk urusan membeli kambing. Saya ok sahaja walaupun tadi kami sudah merancang untuk keluar ke DZ dan kedai ikan pada jam sepuluh. Tak mengapa, kata saya. Pergilah untuk urusan kambing itu dahulu. Ke kedai tu lambat sikit pun tak mengapa.

Saya sebenarnya mahu menyambung rehat.

Jam 10.34 dia pulang. Saya masih belum mandi! Eh, tak siap lagi? Nak pergi kedai ke tak ni? Tegur suami saya melihat saya yang masih berwajah bangun tidur yang kusut masai.

Ok, beri saya sepuluh minit untuk bersiap. 

Jam 10.46, kami bergerak ke destinasi yang kami mahu tuju itu. Seterusnya singgah sebentar di rumah mek dan rumah ma.

Sekitar 12 tengah hari, kami kembali ke rumah. Saya menyediakan air teh o ais untuk dihidang bersama roti bakar inti kelapa yang baru kami beli tadi.

Usai makan, saya menggosok baju untuk suami ke masjid solat jumaat nanti. 

Jam 12.45, suami saya turun ke masjid. Saya memulakan aktiviti memasak pula. Menu saya hari ini - ikan puyu dan ikan tamban goreng kunyit, sambal tumis telur dan pucuk paku goreng ikan bilis. Jam 1.45 siap semuanya. Alhamdulillah. 

Sambil menunggu suami pulang, sempatlah saya melayari internet seketika.

Begitulah cerita saya hari ini.

Sekian.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, November 04, 2015

Ganti

Sejak enam tahun, saya menggalas dua tugas setiausaha yang jika di sekolah lain dipegang dua individu berbeza. Setiausaha Kecemerlangan SPM dan Setiausaha Peperiksaan (Headcount) menjadi darah daging saya yang begitu sebati hingga apabila saya mahu melucutkan satu daripadanya, pihak pentadbir menjadi hilang arah mencari pengganti.

Hebat benarkah saya? Rasanya tidak.

"Kenapa Ti sudah tidak mahu menjadi SU Kecemerlangan?" Suara PKP memecah hening pagi itu. Dalam senyum yang tawar, saya menjelaskan segala yang saya rasai. Dia nampak seperti faham tetapi tetap mahu saya bertahan.

Tidak. Saya sudah mula rasa jemu dan muak.

"Cuba Ti cadangkan pada Kak Su, siapa yang sesuai menggantikan tempat Ti." Tanyanya lagi, mengumpan nama-nama guru yang boleh dipertimbangkan.

Saya memberi cadangan. Seorang guru wanita yang baru bertugas di sini awal tahun ini dan beropsyen Fizik. Dia masih belum ada apa-apa tugas besar. Orangnya masih muda dan pada saya dia sangat sesuai.

Wajah Kak Su berubah, seolah enggan menerima cadangan saya itu. Katanya, guru itu tidak seperti apa yang dia harapkan. Dia menganggap guru itu tidak mampu menggalas tugas ini.

Pada saya, tugas SU Kecemerlangan SPM ini bukanlah sesukar mana cuma ia perlu ruang masa. Apabila saya sudah memegang tugas Headcount yang pada kebanyakan masa lebih luas intipatinya sehingga kepada menganalisis dan membina program, masa saya menjadi sangat padat. Itu sahaja kekangan yang mahu saya kurangkan, bukan kerana tugas itu berat. Rasa saya, Headcount lebih memenatkan berbanding SU Kecemerlangan.

Lalu atas dasar apa PKP perlu memilih-milih?

Entahlah. Saya buntu juga. Risau jika tahun hadapan saya masih perlu menyusun jadual kelas tambahan dan mengira duit bayaran untuk guru-guru. Saya sudah mahu melupakan semua itu tetapi bolehkah?

Hanya Allah yang tahu.

Dinner

Kami barisan AJK Kelab Guru 2015 yang bertanggungjawab mengendalikan majlis ini. Azhar, Rohaya, Wan Nor Akhmal, Nor Idayu, Norlailihisham, Niswatillaily, Wan Noraini, Noorhayati, Saifatullizam.


Persediaan awal sebelum majlis bermula. Seawal 12.00 tengah hari kami tiba di Dewan Bunga Emas Hotel Perdana.

Dalam debar yang enggan berhenti, saya tabahkan hati menjadi juruteknik bagi pihak kelab guru kali ini.

Gaya seorang pengacara profesional. Pn. Norhaida yang begitu cemerlang mengacara majlis kali ini.

Kami sahabat sehati sejiwa. Akhmal, Hafiza, Haida dan saya.

Keceriaan di sisi dua orang Siti. Saya bersama Siti Noor dan Siti Hasliza.
Saya di sisi orang-orang hebat SMKKC. Hjh. Norriha PK HEM, Raihanah CC dan Meriam Kadir
Apa pun kata-kata yang dilempar, Pengerusi Kelab Guru ini tetap tabah dan bersemangat waja. Tahniah Norlailihisham.

Sahabat se'option'. Pn. Marina ketua panitia yang berwibawa.

Monday, November 02, 2015

Manja

Hari ini SPM  bermula. Selamat berjuang anak-anak didikku. Semoga kecemerlangan dalam genggaman.

Memerhati persekitaran, banyak perkara yang berbeza daripada apa yang pernah saya lalui dahulu. Ya, musim berubah. Suasana berubah. Keutamaan pun berubah.

Ibu bapa kini begitu mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang bakal berperang di medan SPM ini. Ramai guru yang meminta kebenaran daripada pihak daripada pihak sekolah untuk hadir lewat sedikit hari ini kerana mahu mengiring anak ke dewan peperiksaan. Malah, yang mahu pulang awal pun ada. Mahu menepuk-nepuk bahu anaknya mungkin, untuk menenteramkan perasaan anak yang baru selesai peperiksaan.

Prihatin itu bagus. Sekurang-kurangnya anak tahu harapan ibu bapa mereka. 

Pihak sekolah juga tidak kurang memberi perhatian. Sarapan percuma disediakan kepada pelajar agar tiada yang menjawab soalan dengan perut berkeroncong. Guru-guru pun ramai yang mengiring dan memberi semangat kepada mereka sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

Begitulah harapan ibu bapa dan harapan guru-guru. Kelihatannya bagai memanjakan mereka, seolah-olah kita tidak yakin dengan persediaan mental dan fizikal para pelajar ini tetapi kenyataannya, kita mahu mereka memberi yang terbaik.

Dahulu, ibu dan ayah saya hanya mengirim doa dari kejauhan. Pun, arca dan harapan mereka tetap tersemat erat dalam hati saya biar pun mereka tiada di sisi untuk menghantar saya melangkah ke dewan. Doa mereka itulah yang memberi kekuatan.

Alhamdulillah. 




Sent from Samsung Mobile

Sunday, November 01, 2015

Jamuan

Tahun ini saya termasuk dalam AJK Kelab Guru sekolah. Satu jawatan yang tidak berapa saya gemari tetapi tidak dapat ditolak kerana ia berdasarkan undian. Entah kerana apa tiba-tiba mereka mahu memilih saya yang sebenarnya banyak benar tugasan lain perlu dihadap. Tidak mengapalah, ia sudah hampir berakhir. Tempoh setahun sudah hampir tamat.

Dua hari lagi, pada 3 November, Majlis Jamuan Tahunan akan kami kendalikan. Banyak sungguh kerjanya. Saya ditugaskan untuk menyiapkan video, buku program, sijil dan kad jemputan. Semuanya memerlukan ruang masa yang banyak. Menghadap Power Point dalam masa yang lama sesungguhnya bakal memberatkan kepala saya. Apatah lagi memilih gambar-gambar yang sesuai dan disulami pula muzik dan lagu. Hari ini, ia masih belum siap!

Kerja-kerja lain langsung tidak saya jenguk. Saat mereka semua berkumpul di bilik kesihatan membungkus hadiah dan hamper, saya tetap di meja ini menghadap komputer.

Dan hari ini, jam sudah ke angka 4.35 petang. Saya masih memaku diri di sini. Suami saya bermesyuarat panjang jadi saya belum boleh pulang tetapi memaksa diri menyiapkan Power Point ini tetap tidak mampu! Hanya buku program sahaja dapat saya selesaikan seadanya.

Aduhai!

Moga esok saya dapat menyelesaikan semuanya. Amin.

Hanya kad ini sempat saya siapkan hari ini.

Thursday, October 29, 2015

5 Ibnu Haitam

Istimewa mereka ini.

Kelas ini aliran kemanusiaan dan berada pada kedudukan kelima daripada semua tujuh kelas yang ada. Pelajarnya cuma sembilan belas orang - tiga belas lelaki dan enam perempuan.

Hari ini hari terakhir saya memasuki kelas mereka. Mereka bilang tidak mahu belajar. Mereka mahu bergambar. Saya melayan sahaja.

Seronok.

Walaupun bukan semua mereka mampu fokus pada mata pelajaran Matematik yang saya ajar, tetapi mereka mesra sekali. Ada-ada sahaja jenaka yang mampu menggeletek hati saya. Ada juga masa-masanya saya rasa mahu marah apabila ada yang tidak siapkan kerja, tetapi mereka tidak pula berlaku biadap. Lagi pun, saya cuma marah-marah sayang.

Sembilan belas mereka ada dalam memori saya. Ilmillah, Nik Nuruddin, Syauqi, Rahimatul Azme, Alwi Haikal, Daniel, Abdullah Muiz, Nasri Hafiz, Safwan, Amirul Ashraff, Amirul Syafiq, Luqman dan Irfan. Aziyyati, Zawanah, Khairina, Nabihah, Alisa dan Salwati melengkapkan bilangan. Cukup sembilan belas.

Isnin ini, mereka mula beradu di medan SPM. Kertas Matematik lambat lagi, 16hb November tarikhnya. Saya sudah menjadualkan untuk menemani mereka belajar Matematik sebanyak 3 slot. Semoga mereka berjaya.


Sent from Samsung Mobile

Prestasi

Geger sekejap rakan-rakan guru sekolah saya ini apabila markah prestasi sudah mula dapat disemak melalui laman Hrmis. Masing-masing mula beremosi. Yang dapat markah tinggi gembira bukan main. Yang markah sedang-sedang pula tertanya-tanya markah orang lain dan mula mahu membanding. 

"Kenapa dia dapat markah lebih tinggi? Bukankah aku lebih banyak tugas daripada dia?"

Dan yang dapat markah rendah, menangis tanpa segan silu. Sedih apabila mereka tidak dihargai.

Kawan-kawanku sekalian, terimalah segalanya dengan hati terbuka. Ini hanya penilaian manusia yang tidak dapat tidak, amat dipengaruhi pelbagai sentimen. Jika mahu dikira berpuas hati, siapa pun tidak akan pernah. Markah saya juga jauh daripada sempurna dan ramai rakan lain yang mengatasi. Pun saya terima. Sekurang-kurangnya saya tahu letak duduk saya di mata mereka.

Walaupun mereka manusia, mereka tetap ada kriteria yang digunapakai dalam memberi markah ini. Maka muhasabahlah. Tentu ada ruang-ruang yang selama ini kita abaikan, yang selama ini kita anggap sepi tetapi ada nilai tersendiri.

Apa yang lebih penting, nilai kita di sisi Tuhan. Sama-samalah kita mencari redha-Nya dan berjalanlah dalam laluan menuju syurga.

Abadi.

Sent from Samsung Mobile

Friday, October 23, 2015

Mencari Ikhlas

Cukuplah mempertikai dan membanding-banding.

Setiap kerjaya ada sumbangan dan kepentingan masing2 waima seorang pencuci tandas atau penggembala kambing sekali pun. Mengapa mahu membanding dan mencari siapa terhebat, kerjaya apa yang paling gah dan tugas apa yang paling tinggi tahap pendidikannya?

Saya guru. Tetapi saya perlukan doktor, polis, kerani, jururawat, pengawal keselamatan, ahli farmasi, pegawai imigresen, pekerja restoran dan semuanya. Mana mungkin saya mampu hidup jika Allah mentakdirkan tiada mereka di sekitar saya. Saya pasti tidak mampu.

Sama juga mereka semua. Apa pun jawatan, mereka tetap perlukan guru. Tidak mungkin mereka mampu mengajar sendiri anak mereka. Tidak sesekali.

Apa pun jawatan, bukan tahap pendidikan jadi ukuran tetapi keikhlasan dan keberkatan. Carilah yang itu.

Jadi, perlukah lagi membanding-banding?


Sent from Samsung Mobile

Thursday, October 22, 2015

Didik

Terluka benar rasanya. Begitu rendah guru di mata manusia ini.

Encik, saya rasa keputusan SPM saya lebih baik daripada Encik. Dengan 6A dan agregat 9 aliran sains pada tahun 1989 saya layak untuk ke mana-mana universiti dalam atau luar negara yang saya mahu. Kata orang, saya boleh isi borang UPU itu sambil pejam mata sahaja. Semua universiti akan sudi menerima saya.

Tetapi hati saya menyukai UKM. Jiwa saya pula meminati matematik. Sifat saya pula penuh keibuan dan kelembutan. Mana mungkin saya memilih doktor walaupun saya layak? Mana logiknya saya memilih engineer walaupun saya mampu? Apatah lagi hanya farmasis seperti Encik yang sangat saya layak tetapi tidak pernah saya minati.

Jiwa saya jiwa guru. Dan doa saya untuk menjadi guru diperkenan Tuhan. Encik tidak perlu mengada-ngadakan cerita tentang tahap pendidikan kami.

Saya sangat terluka. Sangat.

Semoga Allah mengampuni Encik dan menemukan jodoh yang baik buat Encik Fer Naz. Jika boleh, biarlah dia seorang guru.

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, October 20, 2015

Cameron, Aku Datang!

15 - 17 Oktober 2015

Di persekitaran ini, ada nyaman yang membelai. Dalam titis-titis hujan yang menyambut kedatangan kami, ada ketenangan yang mendamaikan. Damai. Indah.

Bumi Cameron ini telah menerima jejak-jejak saya entah untuk kali ke berapa. Pun, saya akui saya masih enggan jemu. Di sini tiada shopping Mall, tiada taman tema, tiada semua itu. Yang ada cuma kebun teh, pasar malam dan kedai-kedai biasa yang tidak memberi ruang rasa untuk membeli-belah. Namun kenyamanannya memang luar biasa. Saya sangat tenang dan selesa.

Memilih hotel Cool Point seperti selalu, memberi ruang mengimbas kenangan yang berlalu. Pertama kali menjejak ke sini tujuh belas tahun lalu, inilah hotel kami inap. Sejuk. Selesa.

Dua hari dua malam saya membiarkan diri dimanja, saya lupa sebentar segala tugas dan beban yang begitu banyak terberkas di sekolah. Saya enggan menyapa segalanya. Biarkan seketika saya melayan diri sendiri di sini. Melihat indahnya alam. Menyingkap damai dan tenang yang seringkali saya lupai.

Alhamdulillah. Syukur Tuhan memberi ruang ini. Biarpun hari ini saya kembali membebani diri dengan galasan tugas di sekolah ini, sekurang-kurangnya ketenangan yang saya timba selama dua hari itu menyingkir sedikit sebanyak gundah yang ada.

Saturday, October 10, 2015

Hari Sukan Negara

Nampaknya, itulah yang berlaku hari ini. Seluruh Malaysia menjayakan Hari Sukan Negara tidak terkecuali SMK Kampong Chengal ini.

Semua guru dan pelajar diarahkan memakai baju sukan.

Baju sukan?

Itulah kelemahan saya sejak lama. Mana trek? Mana kasut? Saya sudah lupa di mana semua itu berada. Saya rasa mahu bercuti sakit sahaja jika arahan berbaju sukan dikeluarkan! Saya nampak diri saya hodoh benar dalam pakaian sukan - t'shirt dan trek. Pun, kali ini saya tidak berani melanggar arahan. Ini sambutan senegara.

Sebaik pulang dari majlis tahlil di rumah mek dan menziarah emak saudara yang meninggal malam tadi, saya sudah keletihan. Pakaian untuk esok belum disediakan. Suami saya mudah, t-shirt dan treknya memang tersedia dari awal dalam almari pakaiannya itu. Saya?

Menyelongkarlah saya di sana sini tetapi tidak ketemu. Dicampur dengan kantuk dan letih, saya mengalah. Saya menghempas badan ke katil sebaik usai solat Isya'. Suami yang memerhati kekalutan saya sejak tadi bertanya, "dah jumpa ke apa yang dicari-cari tadi?"

"Belum. Saya malas nak fikir. Tengok esoklah, apa yang ada, itu yang saya pakai. Saya mengantuk, nak tidur dah..."

Pagi menjelma dengan rasa yang tidak selesa. Perut saya tiba-tiba kembung dan lena saya tidak panjang. Sejak 3.30 pagi saya menggosok perut dengan minyak angin. Pun saya gagahi juga untuk bingkas menunaikan Fardhu Subuh dan bersedia ke sekolah. Saya capai sahaja t-shirt muslimah saiz XXXL saya dan seluar basahan yang bukan trek pun. Tudung hitam yang sudah lusuh, dan selipar Bata Comfit melengkapkan pakaian sukan saya hari ini.

Selamat menyambut Hari Sukan Negara. Saya hanya seorang penonton....

Monday, October 05, 2015

Kenapa?

Mengambil kesempatan memang mudah, malah mungkin menyeronokkan tetapi sungguh saya sangat tidak menggemarinya.

Kenapa ya, orang lain yang ada di sekitar saya tidak mahu berfikir seperti saya?

Saya seboleh mungkin mahu meminimumkan bab menyusahkan orang lain. Malah, jika boleh mahu melakukan segalanya sendiri.

Kerana itu di meja kerja saya ada segala kelengkapan dari sebesar-besar perkara seperti komputer dan pencetak, hinggalah pada sekecil benda seperti gam, pengetip dan jarum! Saya mahu bekerja dalam suasana selesa.

Saya tidak suka kerja saya tertangguh hanya kerana tidak cukup alat. Saya juga tidak suka menunggu untuk mengguna komputer dan pencetak sekolah. Senang, saya beli semuanya sendiri.

Pun begitulah manusia. Sewenang-wenang datang ke tempat saya dan menggunakan harta benda saya umpama barang awam. Saya bukan kedekut tetapi hairan. Kenapa fikiran mereka tidak sama seperti saya?

Lebih pelik, apabila ada guru yang punya tempat duduk atau meja kerja lebih daripada satu. Tempat utama mereka di bilik guru, tapi mahu bekerja di bilik peperiksaan. Jadilah mereka ketiadaan apa-apa. Meminjamlah mereka barang saya dan saya tidak kisah. Masalahnya, ia berlaku berkali-kali malah setiap hari!

Sedang saya, tempat kerja saya hanya satu. Dan semua benda berpusat di situ. Tidak pernah pula saya mencari tempat lain untuk melangsaikan tanggungjawab yang ada. Semuanya di tempat sendiri dan alatan sendiri.

Hairan jika mahu ke kelas pun mereka menyelongkar rak buku saya untuk mencari buku dan bahan. Itu belum lagi dikira mengguna komputer saya setiap kali saya tiada di meja. Apa rasionalnya pun saya tidak tahu kerana komputer sekolah dan pencetak ada bersebelahan bilik saya sahaja. Malas menunggu giliran, mungkin.

Seronokkah bekerja begitu?


Sent from Samsung Mobile

Sunday, October 04, 2015

Prinsip Pertama

1989.

Cikgu Zawawi Ahmad memulakan pengajaran tajuk Pembezaan pada suatu pagi yang hening, sewaktu saya di Tingkatan Lima MRSM Kuala Terengganu. Wajah manis cikgu Zawawi yang tidak pernah lupa untuk senyum walau tika senang atau tika marah masih mampu saya bayangkan dengan jelas. Jika tidak mengetahui bidangnya, tentu ramai meneka cikgu Zawawi ialah seorang ustaz dek raut wajah tenang dan bersahaja miliknya.

Bagaimana cikgu Zawawi memulakan pengajaran tentang konsep kecerunan yang seterusnya membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama masih saya ingat hingga kini. Penerangannya jelas, dan saya boleh faham dengan sekali itu sahaja.

Itulah cikgu Matematik Tambahan yang sangat cemerlang pernah saya temui. Dia jarang berjenaka walaupun kerap juga bernada sinis apabila menegur kami yang tidak siap kerja rumah tetapi sinisnya masih bernada manis. Kami terasa, tetapi tidak terluka. Bijaknya dia menyusun kata, hebatnya dia memberi jiwa, membuat saya jatuh cinta pada Matematik Tambahan sehingga ke hari ini.

Kini, saya juga seorang cikgu Matematik Tambahan sepertinya. Memang saya tidak sehebat dia kerana saat saya memulakan pengajaran Prinsip Pertama Pembezaan kepada para pelajar saya, mereka seperti kebingungan. Pada hal sewaktu saya mempelajarinya dari cikgu Zawawi dahulu, sekali sahaja penerangannya saya sudah mampu menyelesaikan sendiri. Sungguh luar biasa cikgu Zawawi, dan saya tidak setara itu.

Melihat wajah bingung anak-anak didik saya, saya tidak menerangkan langsung konsep kecerunan yang membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama itu. Bagaimana boleh saya menggambarkan perubahan pada nilai y itu yang menghampiri sifar jika dibahagi dengan perubahan pada x yang juga menghampiri sifar akan memberi nilai kecerunan tangen? 

Lalu saya cuma memberitahu, dy/dx ialah kecerunan tangen tanpa menjelaskan kenapa ia begitu. Bukan kerana saya memperkecilkan kebolehan mereka memahami, tetapi saya risau semakin saya menerangkan, semakin pening mereka jadinya.

Cukuplah dengan Prinsip Pertama sahaja. Saya mulakan dengan Prinsip Pertama, bukan dengan konsep kecerunan. Semoga apabila mereka melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik di Universiti nanti (pastinya bukan semua) mereka akan bertemu konsep kecerunan ini di sana. Dan bagi yang tidak menjurus begitu, tidak perlulah mereka mempelajarinya.

Wednesday, September 30, 2015

Tukar

Setiap September, portal eg-Tukar akan dibuka dan para guru yang mahu mengubah rasa, bolehlah mengisi permohonan bertukar sekolah pada laman ini. 

Tahun ini menjadi tahun ketujuh saya menyumbang bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Chengal ini. Sekolah yang gah, dikenali dan diyakini untuk terus mengorak kejayaan.

Jika difikirkan lokasi, ia memang sangat strategik. Jarak dari rumah saya ke sekolah ini cuma sepuluh minit perjalanan. Langsung tidak menyusahkan jika ada kecemasan. Memikirkan beban kerja pula, di mana-mana pun tetap sama. Selagi bergelar guru, beban tugas tidak akan pernah berkurang.

Lalu saya redha untuk terus berada di sini sampai ke hujung perkhidmatan saya. Jika mereka yang berkenaan tidak berhasrat menukarkan saya, maka In Shaa Allah, akan di sinilah saya sehingga bersara. Saya tidak terfikir untuk beralih arah kerana di sini cinta saya sudah bersemi.

Semalam, Pengetua mengumumkan lima belas orang guru sekolah ini sudah memohon pertukaran pada kali ini. Jumlah yang dikira teramai sejak sekolah ini dibuka. Mungkin ada pelbagai faktor yang mendesak guru-guru itu memohon pertukaran tetapi saya yakin, faktor beban di sekolah ini turut menjadi salah satu daripadanya.

Entahlah. Beban tetap beban. Selagi nyawa di badan.