Friday, June 21, 2019

Diari Diri

Suami saya ada tugas di Kuantan pada Rabu, 19hb Jun, dan akan berada di sana sehingga Jumaat. Jadi saya akan berada di rumah emak selama tiga hari dua malam. Tentulah saya sangat seronok!

Rabu itu, suami saya masih sempat menghantar saya ke sekolah kerana dia hanya akan bertolak pada jam 10 pagi bersama tiga lagi rakan guru SMK Kadok. Nanti pulang baru saya perlu pulang sendiri. Tidak susah untuk masa sekarang kerana saya boleh memanggil Grab. Jam dua petang Grab sudah menanti saya dan terus saya dihantar ke rumah emak. Senang sungguh.

Emak memasak rupanya, pada hal saya boleh sahaja memasak sendiri. Sayang emak! Asam pedas ikan dan sayur goreng serta petai jeruk tentu memenuhi selera saya. Bertambah-tambah saya makan. Untuk esok, saya minta emak jangan memasak. Saya akan bawa pulang nasi. Kebetulan ada rakan guru membuka tempahan nasi arab, jadi saya tidak melepaskan peluang menempah juga. 

Pagi Khamis itu, saya memanggil Grab tetapi dek masih terlalu pagi - baru 6.30 - Grab masih tiada di kawasan saya. Sudahnya saya menumpang sahabat saya Pn. Hjh. Siti Meriam yang tinggal di Tunjung. Lewatlah sedikit saya hari ini, jam 7.30 baru sampai. Tetapi saya masih sempat menyediakan jadual relief pada masanya. Alhamdulillah.

Tengah hari ini saya pulang agak awal. Jam 1.30 saya sudah memanggil Grab dan tiba di rumah emak lebih kurang sepuluh minit kemudian. Maafkanlah, hari ini saya menyelinap keluar sahaja tanpa memohon izin. Makan tengah hari tentulah nasi arab yang saya beli itu. Sedap. Nanti boleh tempah lagi. Saya juga membeli popia pisang dari Kak Sham yang kali pertama saya cuba. Boleh tahan rasanya.

Walaupun hanya berdua dengan emak di rumah, saya tidak sunyi, tidak bosan. Saya gembira dan bahagia. Jika lama pun tidak mengapa berada di rumah ini. Hati saya senang dan tenang.

Jumaat tiba, sempatlah saya bertemu anak-anak saudara dan adik-adik. Sekejap sahaja pun, kerana suami saya sudah selamat pulang dan menjemput saya pada jam 4. Sempatlah saya membelanja KFC dan Pizza Hut untuk anak-anak saudara saya yang sentiasa berselera ini. Entah bilalah pula kesempatan begini akan tiba.

Sekian dahulu catatan diari untuk kali ini.

Niaga

Sampai sekarang, saya tidak mampu mengajak hati saya untuk minat berniaga. Tiada langsung perasaan itu walau sedikit. Apa yang saya minat ialah membeli belah.

Tahukah anda kenapa orang suka berniaga? Tentulah kerana adanya orang yang suka membeli belah seperti saya ini. Kalau tiada pembeli, siapa pun tak akan berniaga, bukan?

Di sekolah saya, semalam sahaja ada berbagai-bagai barang dagangan. Ada popia pisang, ada nasi arab, ada nenas, ada macam-macam. Saya seronok kerana saya boleh membeli semuanya tanpa perlu ke kedai. Nasi arab dan popia pisang memang terbaik, nenas pula manis melenting. Berbaloi-baloi rasanya.

Mereka yang berniaga menjana untung, kami yang membeli menjimat masa. Bukankah masing-masing beroleh kemenangan?

Teruskanlah berniaga begini wahai sahabat, kerana saya seronok menjadi pembeli.

Thursday, June 20, 2019

Rumah

Semalam, suami saya berpergian atas urusan tugas dan saya akan berada di rumah ma selama dua malam. Tentulah saya seronok dan bahagia bila ada peluang seperti ini. Sesekali ditinggal begini, saya seumpama diberi ruang untuk melayan diri sendiri.

Lain rasanya suasana di rumah ma ini. Walaupun hanya berdua, saya menikmati ketenangannya. Rumah ini memang nostalgik buat saya kerana saya memang tertunggu-tunggu untuk mendiami rumah ini dahulu. Waktu ia dibina, saya cukup seronok datang dari rumah sewa kami dengan mengayuh basikal untuk melihat kemajuan pembinaannya. Daripada hanya ada lantai, bumbung, kemudian dinding, seterusnya tingkap hinggalah ia siap sembilan puluh lima peratus pada Disember 1984, kami pun berpindah masuk.

Masih terasa keterujaan saya mendiami rumah baru ini. Walaupun tangga belum siap - hanya menggunakan tangga kayu sementara - juga tempat mandi yang masih belum bersimen dan tiada bumbung, kami gembira sungguh. Betapa bangganya dapat menghuni rumah sendiri hasil titik peluh ayah mencari wang tanpa pinjaman. Walaupun saya baru berusia dua belas tahun waktu itu, saya faham perasaan ayah dan ma yang mahu menyediakan kediaman terbaik buat kami. Terima kasih ayah, terima kasih ma.

Bermalam di rumah ini, menerbitkan rasa sayu yang luar biasa. Terasa sayang benar pada rumah pusaka ini dan jika boleh, sampai bila-bila pun saya mahu ia bertahan di sini, tanpa perlu diroboh atau ditukar fungsinya. Sayang saya pada rumah ini sememangnya asli dan sejati.

Esok, suami saya pulang dan saya akan kembali ke rumah kami di Chenok. Rumah itu lambang cinta kami suami isteri, manakala rumah ma pula lambang keharmonian jiwa kami sekeluarga.

Wednesday, June 19, 2019

Padah?

18 Jun 2019.
1.20 pm.
5 Ibnu Haitam.
25 orang murid.

Saya tiba-tiba berasa mahu menyemak buku latihan murid-murid kelas ini. Dua hari lepas saya mulakan tajuk Kecerunan dan Luas di Bawah Graf dan memberi mereka dua soalan sebagai latihan di rumah. Sebelum membincangkan penyelesaiannya, saya mahu lihat dahulu setakat mana mereka mampu mencuba.

Malangnya, saya sangat kecewa. Hanya tiga orang yang mencuba, selebihnya tidak langsung menyalin. Malah ada yang tidak membawa buku latihan pun!

Kecewa saya itu sebenarnya tidak molek untuk dilayan, kerana saya perlu bertindak profesional sejajar dengan pengalaman saya. Sepatutnya saya perlu menegur sahaja mereka dengan sedikit nada tegas, dan kemudian meneruskan pengajaran. 

Tetapi kali ini saya rasa mereka perlu diajar dengan gaya berbeza. Saya tidak membebel, tidak berleter, tidak juga marah-marah. Saya cuma berkata; jika beginilah sikap kamu, nampaknya tidak perlulah saya mengajar. Teruskanlah kamu belajar sendiri, kerana apa yang saya ajar kamu tak pernah ambil kisah. Saya ada atau tiada, sama sahaja. Mulai hari ini kamu belajarlah sendiri. Terima kasih.

Saya pun berlalu.

Saya tahu akan ada yang datang mencari saya di bilik, jadi saya bersembunyi di tempat yang strategik; mereka tidak nampak saya tetapi saya boleh mendengar suara mereka.

Betul, beberapa orang dari mereka datang ke bilik peperiksaan dan bertanya cikgu di situ, cikgu Noorhayati ada?

Tiada.

Mereka mahu meminta maaf, tetapi saya tiada.

19 Jun 2019.
1.10 pm.

Saya arahkan mereka ke perpustakaan sewaktu kelas saya dan belajar sendiri tanpa saya. 

Tidak lama, seorang pelajar lelaki - Najmi - datang mencari saya. Saya lupa untuk bersembunyi, jadi berbicaralah kami. Dia meminta agar saya kembali mengajar seperti biasa di kelasnya kerana dia tidak boleh belajar sendiri, tetapi saya kata saya tidak mahu. Guru lain akan menggantikan saya apabila jadual baru dikuatkuasa nanti.

Kemudian datang lagi beberapa orang pelajar perempuan memohon maaf dan meminta saya kembali mengajar. Tidak, kata saya.

Cikgu marah kami? Kami minta maaf...

Tak cikgu tak marah. Cikgu ok sahaja, cuma cikgu nak bagi peluang kamu belajar dengan lebih baik. Mungkin dengan cikgu lain nanti kamu lebih seronok.

Mereka sedih dengan kata-kata saya. Ada yang menangis. Saya terus berdrama; meminta mereka kuatkan semangat, tingkatkan usaha dan jangan putus asa walau apa pun yang berlaku. 

Seterusnya, saya mohon diri dan pulang.

Esok entah bagaimana, saya menanti episod seterusnya.

Sunday, June 16, 2019

Jamuan Pengantin Baru

Sabtu semalam, saya dan suami menjemput pengantin baru Syahiran dan Izzatiey untuk makan malam di rumah kami. Selain mereka berdua kami turut menjemput semua ahli keluarganya yang lain termasuk mek dan ma saya. Semuanya lapan orang tetamu.

Asalnya saya mahu menyediakan sup tulang sebagai lauk utama tetapi suami saya yang keluar selepas Subuh lagi berkata puas dia pusing jalan sana sini tetapi tiada yang menjual hari ini. Saya lalu menukar menu kepada tom yam campur.

Memasak sememangnya bukan kegemaran saya, tetapi memandangkan hari ini Sabtu dan saya tidak ke mana-mana, saya gagahkan diri menyediakan semuanya sendirian. Mujur makan tengah hari suami saya beli di kedai, jadi tidaklah perlu saya memikirkan itu.

Selain tom yam campur, saya sediakan juga daging goreng, ikan bawal kicap, telur dadar dan sayur campur. Jam 12.00 tengah hari acara saya bermula. Lauk pertama yang siap ialah daging goreng, diikuti tom yam, ikan bawal kicap, sayur campur dan terakhirnya telur dadar. Air minuman cuma teh o suam dan oren sunquick. Jam 9.00 malam semuanya selesai, Alhamdulillah.

Sebenarnya, saya tidak boleh lama-lama di dapur. Dapur saya panas sungguh dan saya pula kuat berpeluh. Selepas dua puluh ke tiga puluh minit di dapur, saya akan masuk ke bilik untuk berehat selama sejam! Begitulah sehingga semuanya selesai. Memang lambatlah siap tetapi saya tidak boleh mengelak lagi, saya mesti sejukkan badan berkali-kali supaya lebih tenang semasa memasak.

Jam 9.30 malam semua tetamu sampai dan menikmati masakan saya. Entah enak entah tidak, saya tidak tahu. Semoga semuanya kenyang dan bahagia.

Jam menghampiri 11 malam barulah selesai semuanya. Tiada gambar diambil kerana lupa.

Apa pun, selamat pengantin baru buat Dr. Mohd Syahiran Sulaiman dan pasangannya, Dr. Nur Izzatiey Amerah Aziz. Semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia sampai syurga. Amin.


Saturday, June 15, 2019

Kisah Punch Card

Selamat kembali bekerja, sahabat. Sembilan belas hari kami di Kelantan bercuti, memang nikmatnya tidak terkata namun jauh di sudut hati ada juga rasa rindu untuk kembali bekerja. Sungguh!

Lalu pagi Isnin itu, Syawal baru melangkah ke hari yang keenam, kami pula mula melangkah ke sekolah.

Seronok, dan rindu pun terubat. Tetapi ada kisah yang sedikit tidak enak.

Seorang rakan guru saya - lelaki - mengirim pesanan lewat WhatsApp meminta saya tolong ketipkan kad kedatangannya pada pagi 10 Jun itu. Katanya, dia tidak ke sekolah dan mengambil cuti CRK tetapi cutinya bermula 11Jun selama dua hari, sehingga 12 Jun. Dia mahu menghantar anaknya temuduga di UTM Skudai. Kelasnya dia mahu saya buat relief. Maksudnya, dia tiada di sekolah pada 10 Jun itu tetapi mahu direkod sebagai hadir bertugas. Katanya Pengetua sudah memberi kebenaran.

Saya sedikit cuak. Bolehkah begitu? Mahu bertanya banyak, saya tidak pandai. Saya cuma membalas ok sahaja walaupun hati saya tidak rela.

Dan pagi Isnin 10 Jun itu, saya maklumkan kepada Puan PKP tentang perkara ini kerana khuatir jika berlaku sesuatu yang buruk saya turut terpalit. Puan PKP mengambil maklum dan akan bertindak - saya harap dengan penuh kewajaran. Kad kedatangan rakan saya itu tetap saya ketip kerana itu janji saya padanya.

Semalam, 13 Jun, rakan saya itu kembali bertugas. Sebaik tiba di sekolah, sapaan pertamanya pada saya ialah "Ti, ketip tak kad saya?" 

Dia mungkin sudah nampak ketipan saya di kadnya yang tertera jam 7.39 pagi. Memang saya ketip lewat kerana saya sedikit teragak-agak untuk melakukannya. Saya pun menjawab, "ya saya ketip tapi lewat sebab saya lupa."

Seterusnya hari berlalu seperti biasa sehinggalah pada jam 9.30 pagi dia tiba-tiba datang ke tempat saya dan berkata, 

"Ti, Kak Han (PKP) tanya saya tadi, kenapa suruh Ti ketip kad hari Isnin baru ni?"

Terkejut saya. Tidak sangka pula saya PKP boleh sejujur itu bertanya. Bukankah dia patut menyembunyikan identiti pengadu iaitu saya? Sepatutnya PKP bertanya begini, "saya tengok kad cikgu diketip hari Isnin baru ni tapi cikgu tiada di sekolah. Kenapa begitu cikgu?" Bukankah itu lebih profesional dan melindungi pengadu?

Pun saya tenang sahaja dan menjawab, "saya kan ketip lewat sebab lupa, masa saya masuk pejabat nak ketip tu PKP ada di situ. Dia nampaklah saya ketip kad cikgu."

Dan jawapan saya itu diterima. 

Tidak perlulah saya panjangkan lagi kisah ini. Moralnya yang mahu saya kongsi ialah:

1. Sebagai penjawat awam, integriti perlu diutamakan. Jika perlu cuti panjang melebihi dua hari, bincanglah elok-elok dengan pentadbir. Mereka boleh meluluskan jika memang kita memerlukan. Jangan berbohong seolah kita hadir, sedangkan kelas kita guru lain yang ganti. Tidak adil begitu, malah Allah marah.

2. Menghantar anak tidak salah, tetapi sebagai ibu bapa didiklah anak untuk berdikari. Usia anak sudah lebih 20 tahun tetapi masih dihantar ibu bapa untuk apa tujuan sekali pun rasanya sudah keterlaluan. Anak-anak perlu berdikari dan yakin diri tanpa menyusahkan ibu bapa. Kemudahan awam banyak, boleh sahaja biarkan anak pergi sendiri.

3. Pentadbir perlu bijak menangani masalah atau kes yang timbul. Identiti pengadu perlu dirahsiakan demi kesejahteraan sekolah. Saya hairan kenapalah pentadbir-pentadbir di sekolah saya ini sentiasa membakar perasaan saya. Tidak mampu berfikirkah mereka ini? Lalu mengapa mereka terpilih menjadi pentadbir?

4. Saya bukan mengkhianati rakan yang meminta tolong, tetapi saya bertindak atas landasan kebenaran. Kelemahan saya ialah saya tidak pandai menolak permintaan sesiapa pun walaupun permintaan itu salah. Selepas ini saya mesti berubah dan perlu lebih berani.

Sekian.

Sunday, June 09, 2019

Aqil

Anak kecil ini mengundang rasa yang tidak pernah ada. Sejak dia lahir, sehingga ke hari ini rasa itu selalu membara. Entah rasa yang bagaimana, tidak tahu.

Suci benar wajahnya. Terasa ingin selalu memeluknya tetapi tidak mampu. Terasa ingin bermain-main sambil meneroka dirinya, tapi kesempatan tiada. Terasa mahu memanjainya tanpa batas, tetapi dia jauh.

Rasa yang begitulah.

Rindu. Kasih. 

Alhamdulillah, raya ini sempat memesrainya seketika. Aqil anak yang baik, comel dan menghiburkan. Bahagianya rasa dengan anugerah Allah yang tidak terhitung nilainya ini.

Untuk Aqil, Ummi Ti sentiasa menitip doa. Semoga jalan di hadapanmu indah dan bercahaya.

Amin.



Wednesday, June 05, 2019

Suatu Hari Raya

Selamat hari raya saudara dan sahabat yang dikasihi. Alhamdulillah bertemu lagi kita pada usia ini dengan Syawal yang mulia. Semoga Allah panjangkan umur kita sehingga ke Syawal seterusnya.

Bermula pagi ini dengan penuh rasa tenang, saya dan suami turun dari rumah pada jam 7.30 pagi menuju ke rumah orang tua kami di seberang jalan sana. Tidak sampai sepuluh minit perjalanan kami pun tiba, pertama rumah ma dan kedua rumah mek.

Sebentar sahaja kami singgah, sekadar bersalam-salaman kerana kami mahu ke  masjid awal. Nanti lepas solat kami datang pula. Jam 7.45 kami pun menuju ke masjid.

Usai solat, kami beraya dengan riang ria di rumah ahli keluarga yang letaknya di sekitar kampung yang sama - Batu 8 - sehinggalah ke jam 12.45 tengah hari. Seterusnya kami bergerak pulang ke istana cinta kami di Chenok.

Tibalah pula tetamu berbondong-bondong, kecil besar tua muda sehingga ke jam 7.00 petang. Saya yang dari tadi hanya makan serba sedikit apa yang ada, mula berasa lapar nasi. Saya perlu sediakan nasi untuk menghilangkan kelaparan ini. Saya menyinggang ikan dan menggoreng daging untuk santapan kami.

Harap-harapnya selepas makan nanti bolehlah saya rehat dan tidur. Tetapi jika masih ada tetamu, akan saya layan juga seikhlas hati.

Monday, June 03, 2019

Pertanyaan

Menjelang raya, akan timbullah isu ini. Isu menjawab pertanyaan makcik-makcik yang sesuka hati memberi soalan yang mereka tahu kita memang tak boleh jawab.

Memang pedih. Menusuk ke jantung hati. Tetapi bukan cara saya untuk mengembalikan kepedihan itu kepada si penanya.

Kenyataannya, orang kita memang suka membuat kesimpulan sendiri tanpa memikir betapa berdurinya kesimpulan itu dan mencucuk jiwa kita yang tidak bersalah ini.

Selepas beberapa bulan bernikah dahulu, saudara saya itu bertanya, "dah ada isi ke?" Saya jawab belum, dan tahu apa kesimpulan yang diberi?

"Sepupu awak tu nikah kemudian dari awak, isteri dia dah mengandung pun. Awak merancang ya? Tak payah rancang-rancanglah. Cepat-cepat mengandung masa muda ni!"

Itu kesimpulan yang sangat tersasar daripada kenyataan, dan saya membalas dengan senyuman manis walaupun hati terhiris.

Beberapa tahun, saya masih tidak mengandung. Adik perempuan saya juga sama, masih menanti. Tahu apa kesimpulan daripada saudara saya itu?

"Eh eh, tak membiak ya keluarga ini," dituju kepada kami adik beradik. Tidak pedihkah hati kami menerima kesimpulan sebegitu? Mana doamu untuk kami wahai makcik?

Lalu dia dengan penuh perasaan bercerita tentang anaknya yang ramai, lahir selang setahun. Berheret berderet setiap kali balik kampung, sampai jiran-jiran pun menegur. Saya hanya mendengar, tawar.

Kerana saya pernah merasa pedihnya disoal sebegitu, saya tidak pernah menanya hal yang sama pada sesiapa pun dalam keluarga saya. Saya tidak perlu bertanya, kerana saya tahu jawapan tiada pada mereka. 

Soalan yang sensitif, biarlah kita simpan sahaja. Tentang bila nak kahwin, tentang tambah anak, juga tentang cari kerja, tidak perlulah disebut diungkit. Doakan sahaja yang terbaik untuk mereka. Banyak lagi soalan lain yang sesuai dan lebih manis untuk dikemukakan, malah akan menambah rasa kasih sesama saudara.

Sunday, June 02, 2019

Mengakhiri Ramadan

Dua hari lagi, dia akan pergi. Entah ketemu lagu atau tidak, tiada kutahu, namun sungguh kumahu.

Ramadan, anugerah terindah ini selalu sahaja dibiar begitu, tanpa mahu mengisi ruangnya sebaik mungkin. Saat ia tinggal sedikit baru terasa mahu mengungkit. Alpa sungguh aku ini!

Tuhan, aku masih mahu bertemu lagi dengan Ramadan kurnia-Mu ini. Aku masih mahu lagi, berkali-kali. Engkau izinkanlah wahai Tuhan.

Impianku yang masih belum tercapai, aku mahu menikmati Ramadan di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Doaku pada-Mu Tuhan, Engkau perkenankanlah hasratku ini sebelum Engkau memanggil aku pulang pada-Mu.

Amin.

Saturday, June 01, 2019

Politik Kebencian

Bulan ini, genaplah setahun kerajaan baharu memerintah, genaplah setahun kita semua tiba-tiba sahaja menghirup nafas baharu, dan genaplah setahun kita semua merasa bebas mahu bercakap apa sahaja tentang kerajaan baharu tanpa merasa takut rumah diketuk jam 11 malam.

Bukan itu sahaja, kita sahaja tiba-tiba menjadi cakna dan sangat peduli dengan performance menteri-menteri yang baharu, dan menteri pula menjadi sangat terdesak untuk membuktikan bahawa mereka bekerja dan mereka pula sangat terdesak untuk buktikannya pada rakyat.

Sebab itu selepas setahun, kita lihat sahaja betapa bersepahnya di media sosial dan di dada-dada akhbar menteri-menteri bercakap tentang apa yang mereka cuba lakukan selama setahun mereka mentadbir.

Dan rakyat pun boleh menerima, mengkritik dan menolak.

Namun dalam banyak perkara yang kita tidak sedar dan terlupa untuk hargai ini, ada satu perkara yang juga besar dan bermakna. Hari ini, bagi saya kita sudah punya kerajaan yang takut kepada rakyat dan tidak berani menyalahkan rakyat dalam banyak perkara.

Dan yang paling menarik, rakyat kita pula rakyat yang kuat mengasak.

Adakah kita benar-benar sedang mengalami kesuburan demokrasi?

Saya rasa, ya. Malah di dalam sejarah mana-mana negara pun, kesuburan demokrasi memang memakan masa dan kita sedang berada di landasan yang betul.

Cuma saya sendiri ada banyak perkara yang saya tak faham tentang cara kita menilai menteri-menteri, terutama sekali satu menteri yang sering mendapat perhatian ini, iaitu menteri pendidikan.

Saya tak faham kenapa Siti Kasim setiap pagi dan malam berzikir mahu menggantikan Maszlee ketika 10,948 anak-anak OKU akhirnya hari ini dapat masuk ke sekolah dan mula belajar seperti orang lain.

Saya tak faham kenapa Fa Abdul berwirid setiap bulan mahu menyingkirkan Maszlee ketika 2,635 anak-anak warganegara tanpa dokumen yang selama ini dinafikan hak pendidikan buat mereka hari ini berjaya menyarung pakaian sekolah macam orang lain.

Saya tak faham kenapa Stephen Ng beria membuat petisyen mahu menggantikan Maszlee dengan orang lain ketika dalam masa setahun sahaja hampir 65 peratus (lebih dari 300 buah) sekolah daif telah diperbaiki dan anak-anak di situ tidak lagi belajar di bawah bumbung yang bocor dan lantai yang retak.

Petisyen Stephen Ng itu telah ditandatangani sebanyak 142,994 orang. Cuma dalam masa yang sama, rakyat juga menandatangani petisyen mengekalkan Maszlee sebagai menteri pendidikan dan sehingga hari ini ia telah ditandatangani oleh 308,576 orang.

Dan saya lagi tak faham kenapa Teng Cham Khim dengan kasar sekali menggelar beliau sebagai "si bodoh besar" ketika selepas sebulan sahaja beliau menjadi menteri pendidikan, beliau mengumumkan penambahan 1,000 tempat untuk pelajar Cina, dan untuk tahun ini kali pertama dalam sejarah Malaysia penambahan kuota sebanyak hampir dua kali ganda dilakukan untuk membuka lebih banyak ruang buat pelajar bukan bumiputera masuk ke matrikulasi.

Itu belum lagi kita bayangkan apalah nasib 262 murid yang tercicir dari persekolahan ini sekiranya Program Sifar Murid Cicir tidak dilaksanakan secara agresif, dan apa pula terjadi kepada cikgu-cikgu yang terlibat dalam kemalangan ketika membawa murid menaiki kenderaan sendiri sekiranya Maszlee tidak umumkan inisiatif tanggungan insuran sepenuhnya kepada mereka.

Banyaklah lagi kalau ingin disenaraikan, dan semuanya benar-benar mengelirukan dan menyukarkan saya untuk berfikir sebab kenapa mereka semua tak suka Maszlee?

Entahlah. Kadang-kadang, kita semua bukan terperangkap dalam politik perkauman sebenarnya. Kita hakikatnya sedang terperangkap jauh ke dalam politik yang paling parah, iaitu politik kebencian.

(HAFIZUL FAIZ, penulis buku Surat-surat Dari Maninjau.)

https://www.malaysiakini.com/letters/478157?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Friday, May 31, 2019

Khatam

Alhamdulillah, Ramadan kali ini menyaksikan saya berjaya khatam Al-Quran pada hari kedua puluh tiga. Allah memberi saya ruang dan upaya untuk terus mengalunkan ayat-ayat-Nya di mana jua saya berada. Syukur ya Allah.

Mungkin hari-hari saya tidak terlalu sibuk seperti orang lain yang punya anak kecil dan besar, jadi saya mampu mengaji berkali-kali sehari. Saya juga cuma bertarawih di rumah sendiri-sendiri, hanya sekitar 20 minit sahaja tempoh masa saya bersolat Isyak dan bertarawih lapan rakaat kerana saya cuma membaca surah pendek-pendek sahaja. Sempatlah saya mengaji dahulu sebelum suami saya pulang dari masjid sekitar jam 10 malam, dan akhir-akhir ini jam 11 baru pulang.

Petang pun, saya tidak mengambil masa yang lama jika perlu memasak. Selalunya jam 5.30 baru saya ke dapur dan siap memasak dalam masa sejam. Sementara menunggu berbuka, sempat lagi saya mengaji.

Terima kasih Tuhan. Semoga tahun-tahun mendatang saya dapat usahakan untuk khatam lebih dari satu kali. In shaa Allah, Amin.

Thursday, May 30, 2019

Waktu

Hari ini sudah 25 Ramadan, dan kami baru usai bersahur. Pagi ini saya memasak nasi lemak atas permintaan suami. Ini kali ketiga kami bersahur dengan nasi lemak tahun ini. Kali pertama ok sahaja. Kali kedua, sambal bilis saya terlebih garing sampai pahit jadinya. Tak tahulah kenapa saya cuai sangat. Rasa bersalah betul pagi itu. Mujur kali ketiga ini semua ok dan menjadi. Alhamdulillah.

Semalam berbuka pun saya memasak juga. Kalau tak silap baru untuk kali keempat atau kelima dalam bulan Ramadan ini saya memasak. Menu saya mudah sahaja, gulai ikan kering dan telur itik goreng dadar. Suami kata sedap. Alhamdulillah.

Memasak ini yang memberi tekanan kepada saya ialah kerana saya tidak pandai. Hasilnya kadang menjadi kadang tidak. Saya tidak tahu menganggar bahan dengan betul menyebabkan masakan saya berbeza-beza rasanya. Susah betul memasak bagi saya, sebab itu saya tidak minat.

Sekarang saya sedang menunggu Subuh. Suami baru sahaja turun ke masjid dan akan pulang sekitar jam 7.30 pagi nanti. Waktu beginilah yang memberi damai dan tenang buat saya. Tidak buru-buru, boleh berfikir apa sahaja tanpa tekanan. Boleh solat, mengaji dan menonton tv tanpa gangguan. Jika mengantuk, boleh tidur hingga jam sembilan. Heaven!

Sebab itu saya suka cuti dalam bulan puasa. Jika tidak, selepas Subuh saya sudah buru-buru bersiap untuk ke sekolah. Fikiran pun tidak tenang, fikir macam-macam kerja yang perlu diselesaikan. Sampai di sekolah, buru-buru lagi mengejar kerja yang tidak pernah sudah.

Jikalah setiap tahun cuti bermula pada minggu terakhir Ramadan, alangkah nikmatnya!

Tuesday, May 28, 2019

Raya Dah Dekat!

Tinggal seminggu sahaja lagi nak puasa, lepas tu raya. Seronok ke?

Entahlah. Susah nak terangkan perasaan hati tentang raya bila dah tua macam ni. Kosong sangat kat dalam. Rasa tak ada apa-apa yang istimewa pun.

Eh! Tak ada yang istimewa konon. Habis tu baju raya sampai tiga empat pasang tu nak pakai bila? Kalau tak ada perasaan buat apa buat baju raya?

Haha!

Saya ada tiga pasang je baju raya, tak sampai empat pun. Asalnya memang empat, tapi yang satu tu dah pakai pergi sekolah sebab tak tahan tengok, cantik sangat! Hmmm, dan yang tiga pasang lagi tu semua tak sedondon dengan baju raya encik suami. Hentam sajalah.

Raya ni penat sebenarnya. Stress pun ya. Untuk orang yang introvert macam saya ni, kalau boleh mahu raya dengan keluarga terdekat je. Lama pun tak apa kalau dengan keluarga sendiri. Dengan emak, adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara pun sudah terlalu meriah sebab kami ramai.

Tetamu yang datang nak beraya, bukanlah salah. Kami terima je. Cuma janganlah lama-lama, sebab saya habis idea dah nak berbual. Kena pulak kalau kawan-kawan suami yang datang. Mati kutu saya jadinya. Tak tau apa lagi nak cerita, nak tanya. Takut juga kalau tertanya soalan sensitif, ya lah, mulut mana ada insuran.

Sebab tu saya suka sangat cuti raya yang pendek macam tahun ni. Lama dalam bulan puasa, sampai 12 hari. Raya lima hari je cutinya. Sedang-sedang eloklah tu. Ingat lagi masa raya 2005 yang jatuh pada November, bersambung terus dengan cuti hujung tahun. Panjangnya lah raya masa tu, tak sempat rehat rasanya. Hari-hari ada je tetamu datang. Kena bersilatlah saya di dapur sorang-sorang. Suami saya selalu mahu makanan berat dihidang pada kawan-kawannya. Kenalah saya masak nasi lengkap dengan lauk pauk, atau kalau datang waktu petang saya masak mi atau mihun. Kadang tu dua tiga tetamu sehari, terpaksa dua tiga kali saya bersilat di dapur. Nak masak banyak sekali gus, kita tak tahu pula diorang nak datang. Semua main redah je datang.

Memasak di dapur yang panas, seorang diri sungguhlah satu trauma. Harapnya tahun ini saya tidak perlu begitu lagi kerana jadual kelihatannya sudah penuh sehingga raya ketiga. Harap-harapnyalah!

Sunday, May 26, 2019

Cita Selera

Pancaran matahari membahang benar hari ini. Jika beberapa hari lepas ada hujan yang mencelah - walaupun tidak lama - tetapi cukup untuk menghadirkan sedikit nyaman. Pun tidak mengapalah, sememangnya cabaran begini sudah terbiasa bagi saya.

Sahur tadi saya goreng-goreng saja. Ikan dan ayam. Suami nampak benar tidak lalu, tetapi saya sentiasa laju. Alhamdulillah selera saya masih baik dan saya bersyukur dengan anugerah-Nya. Sekurang-kurangnya saya tidak menyusahkan siapa-siapa kerana boleh makan apa sahaja, pada bila-bila masa.

Semalam suami saya membeli lauk berbuka jadi saya benar-benar berehat dari memasak. Ayam percik, ikan pari bakar berempah dan sayur lemak sudah cukup untuk kami. Tetapi hari ini saya rasa mahu memasak. Kebetulan kepala ikan tenggiri yang dibeli beberapa hari lalu belum berusik.

Saya bertanya suami mahu dimasak bagaimana ikan itu, dan dia meminta asam pedas. Akan saya penuhi permintaannya dengan penuh keikhlasan dan semoga masakan saya nanti lazat sekali.

Setakat hari ini - 21 Ramadan - sudah empat kali saya berbuka di rumah ma. Selepas ini tidak tahulah masih ada kesempatan atau tidak kerana saya menanti ruang apabila suami ada jemputan. Harap-harap ada lagi lah ya!

Bukan apa, saya boleh sahaja berbuka seorang diri di rumah dan selera saya tidak pernah merajuk, cuma jika boleh mahu juga riang-riang di rumah ma. Jika tiada suami ini perasaan riang agak berganda kerana saya bebas mengikut kehendak sendiri. Jika dia ada sama, tentu perlu difikirkan juga seleranya yang berbeza dengan selera kami. Bimbang jika dia tidak selesa dengan nasi lembik dan lauk pauk yang tidak digemarinya. Kasihan kan?

Dahulu saya sangka selera orang tidaklah berbeza keterlaluan. Apa yang saya rasa sedap, saya sangka orang lain pun akan sedap juga. Rupanya tidak. Apabila berkahwin, baru saya tahu betapa lainnya citarasa kami. Banyak makanan kegemaran saya, bukan kegemarannya dan sebaliknya. Tetapi saya ini international, boleh sahaja membiasakan diri dengan selera baru. 

Apabila makan di rumah ma dengan suami, saya akan sedikit kalut memastikan ada makanan yang kena dengan seleranya. Tentu sedikit sukar jika terpaksa menyediakan banyak menu mengikut selera peribadi bukan? Sebab itu saya mencari ruang untuk ke rumah ma tanpa suami. Terukkah saya?

Wednesday, May 22, 2019

Dan Kematian itu....

Innalillahi wainna ilaihi raajiun.

Syarat untuk mati ialah hidup. Bukan tua, bukan sakit. 

Mendengar berita kematian yang mengejut sebenarnya amat menginsafkan. Terasa nipis benar tabir antara hidup dan mati. Hari ini kita masih sihat dan gembira di sisi keluarga, esok belum tentu.

Takutnya, hanya Tuhan yang tahu. Sungguh saya takut kerana saya tidak cukup bersedia. Malah takut juga jika diuji dengan kehilangan yang tiba-tiba. Saya takut saya tidak mampu.

Al Fatihah buat saudara-saudara kita yang telah dipanggil pulang menemui Tuhan. Semoga ditempatkan dalam kalangan insan yang dikasihi-Nya.

Monday, May 20, 2019

Terhibur

Petang semalam saya sekali lagi dilanda degupan jantung kencang tiba-tiba sehingga dada saya sakit dan badan saya mengah. Ia berlaku sekitar jam 4.50 petang, sewaktu saya sedang berwuduk untuk solat Asar. Saya gagahkan diri selesaikan solat, dan terus berbaring di katil mencari sedikit tenang. Saya memeriksa bacaan tekanan darah dan nadi saya, ternyata tinggi amat. Tekanan darah 157/109 dan nadi 166. Memang tidak normal. Badan pun berpeluh-peluh.

Saya sudah berjanji untuk berbuka puasa di rumah ma hari ini kerana suami saya ada jemputan. Hajatnya, saya mahu memasak sedikit lauk untuk dibawa ke sana, tetapi dalam keadaan begini saya sudah tidak mampu. 

Jam 6.16 suami menghantar saya ke rumah ma. Saya masih dalam keadaan tidak stabil. Jika berbaring saya rasa okay, tetapi bila bergerak, nafas saya mengah dan badan berpeluh. Sudahnya, di rumah ma pun saya hanya rehat dan berbaring.

Jam 10 malam suami saya menjemput saya pulang dan dia mahu membawa saya ke klinik. Oh tidak perlu, saya hanya mahu rehat. Denyutan nadi saya masih terlalu laju (bacaan 149) walaupun tekanan darah sudah turun. Saya perlu tidur sahaja dalam keadaan begini untuk proses pemulihan.

Terjaga sahur, saya memeriksa nadi dan Alhamdulillah ia sudah kembali normal. Saya sudah boleh bergerak tanpa rasa mengah lagi. Terus saya siapkan hidangan sahur ringkas untuk kami - ikan kekek goreng dan telur cecah kicap.

Suami saya kata, saya jadi begitu kerana tertekan dengan isu kupon McD. Saya cuma tertawa. Mungkin benar saya tertekan tetapi bukan kerana isu itu sahaja. Ada banyak lagi hal lain yang menekan perasaan. 

Hari ini, saya mahu menghiburkan diri sendiri dan melupakan segala tekanan. Saya berehat dan berbual dan bercerita, penuh gembira dengan rakan-rakan guru saya. 

Jam 2 petang ada perjumpaan semua guru dan saya mahu mendengar dengan gembira. Dan sungguhlah saya gembira dengan gelagat Pengetua saya yang lebih banyak tidak tahu daripada tahu. Tarikh cuti persekolahan pun seperti tidak pasti, apatah lagi siap mengakui ketidaktahuannya tentang kupon McD. Idea untuk memboring air juga seperti begitu asing padanya.

Pun, saya hanya mahu senyum dan gembira dengan hiburan yang dipersembahkan oleh Pengetua saya. Saya tidak akan komen apa-apa lagi walaupun statusnya sebagai Pengetua Cemerlang seperti begitu jauh tersasar daripada hakikat dirinya yang sebenar.

Saya masih ingin menganggap semua ini hanyalah hiburan semata-mata.

Sunday, May 19, 2019

Berbuka

Hujung minggu ini panjang, termasuk cuti Wesak kami mendapat tiga hari. Dan selepas dua hari bersekolah - Isnin dan Selasa - kami akan bercuti selama sembilan belas hari. Sekolah hanya akan dibuka pada 10 Jun bersamaan 6 Syawal.

Saya seronok dengan keadaan ini. Panjang cuti dalam bulan puasa dan raya cuma lima hari. Tenang sungguh rasanya. Semoga tahun-tahun mendatang juga akan berlaku seperti ini.

Jumaat itu, kami ramai-ramai berbuka di rumah ma. Kebetulan Kak Ha dan anak-anak datang juga, dicampur anak menantu dan cucu yang sedia ada di sini, menjadikan sejumlah tujuh belas orang berbuka bersama. Menu kali ini ialah kerabu daun kayu resipi ma, ayam percik cik nik, padphed ayam cikna, ikan kekek dan patin goreng umiti juga telur masin su. Seronok, walaupun penat. Kasihan ma yang tiba-tiba pening dan tidak lalu makan sebaik azan Maghrib berkumandang. Mungkin terkejut kerana selama sebelas hari berbuka sendirian, pada hari kedua belas diserbu sebegini! Alhamdulillah, pening ma tidak berpanjangan dan semoga Allah memberi ma kesihatan yang baik sepanjang usia.

Sabtu semalam, saya dan suami menemani mek pula. Semua makanan dibeli, saya cuma menyediakan diri sendiri sahaja. Nasi kerabu dua bungkus, nasi kuning kegemaran saya sebungkus, daging bakar, ayam percik, pisang dan air kelapa sudah mampu melengkapkan hidangan kami hari ketiga belas Ramadan ini. Alhamdulillah.

Dan hari ini Ahad, suami saya akan menghadiri majlis berbuka puasa tajaan Pengetuanya dan saya akan berbuka sendirian. Sebenarnya saya dijemput sama tetapi saya menolak kerana saya tidak suka berbuka di luar. Dan suami bertanya juga, mahu berbuka dengan ma kah? Oh, ikutkan hati memang mahu, tetapi Isnin itu sekolah, banyak perlu diselesaikan untuk persediaan ke sekolah. Biarlah saya berbuka sendirian di rumah sahaja. Hari Rabu nanti, suami saya akan berbuka bersama rakan-rakannya di Restoran Nasi Arab Demit dan bolehlah saya menemani ma berbuka pada hari itu, in shaa Allah.

Sebenarnya, saya tidak kisah berbuka sendirian asalkan di rumah saya. Ia lebih memberi ketenangan dan selera saya tetap sama malah mungkin lebih baik berbanding di tempat ramai. Untuk hari ini, saya sudah memberitahu suami tidak perlu membeli apa-apa kerana saya mahu memasak sendiri. Saya mahu sediakan sambal sotong dan kerabu telur masin sahaja. In shaa Allah ia menjadi.

Thursday, May 16, 2019

Isu Kecil

Entah kenapa belakangan ini saya rasa agak tidak berpuas hati dengan situasi yang berlaku di sekolah ini. Bukan saya tidak kasih, tetapi saya tidak mampu menerima keadaan yang tidak patut berlaku.

Isu 1

Sudah lebih sebulan masalah air berlaku di sekolah ini dan ini bukanlah kali pertama. Setiap tahun, menjelang musim kemarau akan berlakulah ketiadaan air yang kronik yang amat menyukarkan sekalian warga sekolah. Jika sehari dua, mungkin kami boleh bertahan. Jika semua kawasan di sini ketiadaan air, mungkin kami faham. Tetapi masalah ini berlanjutan berbulan-bulan dalam setahun sejak bertahun-tahun dan kawasan sekitar tidak bermasalah langsung. Sekolah rendah yang bersebelahan sekolah kami okay sahaja. Lalu apa yang tidak kena? Apa peranan pentadbir?

Mereka sepatutnya peka dan sedar kerana masalah ini sudah berkali-kali terjadi tetapi apa yang mereka ucapkan hanyalah "sabar", "sedang dalam tindakan" pada hal tiada apa-apa tindakan. Guru mungkin tidak terkesan sangat kerana mereka boleh keluar mencari air di luar. Yang kasihannya ialah murid-murid. Mereka berhabis duit membeli air mineral di koperasi jika tidak mampu menahan lagi. Dan bayangkanlah bau yang ada kerana selepas membuang air, mereka tidak dapat mengepam tandas itu. 

Semalam, saya dan beberapa rakan bercadang untuk membuat kutipan daripada para guru untuk mem'boring' air sendiri. Bukanlah banyak mana, RM30 sahaja seorang bagi mencukupkan jumlah RM2000 untuk kos tersebut. Sayangnya, ada sahaja guru yang tidak menyokong. Saya pun tidak faham apa sebenarnya yang mereka mahu. Kata mereka, seronoklah Pengetua jika urusan ini guru-guru yang lakukan.

Jadi, mereka mahu menunggu Pengetua bertindak? Mimpilah!

Saya tahu Pengetua saya itu bagaimana. Tidak perlulah saya ceritakan dengan terperinci tetapi kebajikan kami para guru bukanlah keutamaannya. Titik.

Saya berdoa agar usaha kami yang kecil ini akan berjaya dan masalah ketiadaan air tidak akan berulang lagi.

Isu 2

Semua pun tahu McDonalds bermurah hati menghadiahkan voucher hari Guru kepada semua guru di Malaysia. Sejak minggu lepas saya ternanti-nanti voucher saya. Suami sudah terima, adik saya juga sudah dapat. Saya masih menanti.

Hari ini baru saya tahu yang voucher itu sudah selamat diagihkan pada minggu lepas lagi dan saya langsung tidak dimaklumkan. Hati saya sedih sungguh. Bukanlah saya mahu voucher itu tetapi cara mereka sangat tidak amanah. Ada guru yang mendapat lebih daripada satu voucher, ada guru yang menolak dan ada yang langsung tidak diberitahu! Di mana integriti?

Saya tahu, nampak sangat teruk jika saya membesarkan isu ini tetapi jauh di sudut hati saya rasa terkilan kerana tindakan mereka yang sebegitu. Pengetua pula, apabila tahu isu ini dibangkitkan memberitahu voucher yang diterima tidak cukup untuk semua guru jadi ada guru yang tidak dapat. Yang dapat tu kira rezekilah, katanya. Mudah sahaja dia menyelesaikan tetapi hati saya masih tidak mampu menerima. Jika pun tidak cukup, maklumkanlah kepada guru, akan ada guru yang menolak termasuk saya. Saya bukan mahu, tetapi terkilan dengan cara perkara ini diuruskan.

Isu 3

Apa pun yang berlaku di sekolah ini, hati saya masih mahu di sini. Cuma saya berdoa agar nanti pentadbir yang tiba menggantikan pentadbir sedia ada adalah yang tinggi integriti dan profesionalismenya. Bukan hanya mahukan jawatan tetapi lupa tanggungjawab yang dipikul.

Allahu A'lam.