Sabtu, 12hb April 2003.
Pagi lagi emak menelefon, memberitahu kakak iparku Kak Zaiha sedang berada di wad bersalin HUSM. Sebenarnya Kak Zaiha on call malam tadi. Dia tidak pulang ke rumah sejak Khamis lagi dan sudah pun menyediakan segala kelengkapan yang perlu jika tiba-tiba dia sakit bersalin sewaktu bertugas. Dan itulah yang berlaku. Kak Zaiha meminta rakan setugasnya menelefon emak dan emak pula menelefon aku.
Dengan suamiku sebagai pemandu, kami bertolak ke hospital pagi itu. Setiba di sana, kami hanya menunggu beberapa ketika sebelum rakan Kak Zaiha memaklumkan yang Kak Zaiha sudah selamat bersalin. Lega rasanya dan kami terus menuju ke biliknya di tingkat 8 Timur. Memang selesa tempatnya kerana sebagai doktor di hospital itu, Kak Zaiha diberi keistimewaan untuk berada di dalam bilik yang privasi.
Bayi comel itu kelihatan kecil sekali. Lahirnya seberat 2.85 kg, dan begitu nyenyak tidurnya. Aku memang mudah tersentuh melihat bayi yang baru lahir. Entah kerana kekuranganku, atau kerana kekagumanku dengan kuasa al-Khaliq, atau mungkin kerana kesucian bayi itu yang masih belum dicemari titik-titik noda dunia. Mataku berkaca, hatiku berdoa. Ya Allah, Engkau jadikanlah bayi ini hamba-Mu yang mulia, di dunia dan di akhirat.
Kini sudah tujuh tahun bayi yang diberi nama Ain Aliah itu menjenguk dunia. Sudah sunti, sudah petah berbicara malah bijak pula bermain kata. Kami berkongsi tempat yang sama - sebagai anak kedua. Anak kedua yang sering dikaitkan dengan unsur air - sejuk dan menyejukkan!
Biar pun hubungan sekadar anak saudara, kasih tertumpah buatmu Ain lebih daripada itu. Sesuai dengan panggilan Umi, aku menganggap Ain (dan semua anak saudaraku) sebagai anakku sendiri. Mereka bebas menggauli aku, sebagaimana bebasnya mereka menggauli ibu bapanya.
Ah.. rindu pula rasa hati pada anak-anak saudaraku ini!
Ain, selamat ulangtahun. Umi doakan semoga dewasamu bersama rahmat Ilahi, kasih-sayang keluarga dan kemuliaan di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment