Wednesday, April 28, 2010

Aminulrasyid Amzah


Entah mengapa, saya tidak dapat menahan sebak di dada hingga menangis teresak-esak sewaktu membaca berita kematian remaja 15 tahun ini yang ditembak polis dua hari lepas. Sesungguhnya saya begitu sedih, begitu terkilan dan tidak dapat membayangkan apa perasaan keluarganya.

Anak saya bukan seorang penjenayah - Norsiah

SHAH ALAM 27 April - Ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11 di sini awal pagi semalam, mahu pasukan itu melakukan siasatan secara telus dan adil serta tidak melindungi sesiapa bersalah.

Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, yang masih lagi sedih dengan kejadian menimpa anaknya itu, juga menegaskan bahawa anaknya bukan penjenayah seperti dilaporkan oleh media.

Sebagai seorang ibu, dia lebih arif tentang sikap dan tingkah laku Allahyarham yang bersopan santun serta menghormati orang lebih tua.

"Malah kami bukan daripada keluarga penjenayah. Saya akan berbincang dengan ahli keluarga lain bagi melantik peguam untuk tindakan selanjutnya agar anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya juga mahu pihak polis menjalankan siasatan telus dan tidak melindungi anggota-anggota polis peronda yang terlibat dalam insiden tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu, terbunuh apabila terkena tembakan polis setelah mangsa dan rakannya yang menaiki kereta Proton Iswara cuba ditahan polis kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Norsiah berkata, dia mendapat tahu anaknya keluar rumah secara senyap menggunakan kereta kakaknya untuk menonton perlawanan bola sepak di Seksyen 7 di sini. Namun katanya, rakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta itu memberitahu, dalam perjalanan pulang mereka sempat membantu rakan yang kerosakan motosikal di Seksyen 2. Katanya lagi, malangnya selepas itu, kereta mereka terlanggar pula sebuah kereta Mercedez-Benz.

"Mereka panik kerana tiada lesen memandu lalu terus memecut laju menyebabkan beberapa buah motosikal mengejar kereta anak saya hingga bergesel dengan salah sebuah motosikal tersebut.

"Tiba-tiba mereka bertembung dengan sebuah kereta polis... Disebabkan takut mereka terus memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya.Tambahnya, polis yang mengejar kereta itu telah melepaskan tembakan dan mengenai salah satu tayar manakala satu das lagi menembusi cermin dan belakang kepala anaknya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya melepaskan stereng kereta dan rebah ke pangkuan rakannya di sebelah, lalu menyebabkan kereta itu terus bergerak sebelum terbabas di dalam longkang.

"Oleh itu, saya meragui dengan kenyataan polis bahawa tembakan dilepaskan kerana kereta itu mengundur dan cuba merempuh anggota polis berkenaan," ujar beliau.

Seorang ahli kariah surau Seksyen 11 yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian tersebut memang mengejutkan penduduk kerana arwah kerap mengunjungi surau tersebut

"Dia kawan anak saya dan bukan budak rempit. Apabila polis mengesyaki arwah penjenayah, kami mengenali arwah sangat terluka dengan kenyataan itu kerana dia budak yang sangat baik, bukan seperti didakwa," ujarnya pula.

Guru Aminulrasyid yang enggan dikenali berkata, anak muridnya itu seorang pelajar ceria, mesra dan menghormati guru-guru serta aktif dalam kegiatan kokurikulum selain mewakili daerah Petaling Jaya dalam pertandingan bola sepak.

Sedih. Hanya itu yang dapat saya katakan. Hati saya yakin dia bukan penjenayah. Dia menjadi mangsa keadaan.

Semoga Allah mengampuninya.

No comments:

Post a Comment