Saturday, April 03, 2010

Pulau Mahsuri

Assalamualaikum. Selamat pagi Sabtu.

Sudah dua malam tidur dengan lenanya di rumah, selepas dua malam tidur dengan tidak selesanya di atas bas. Perjalanan ke Langkawi pada malam Selasa baru-baru ini agak tidak selesa kerana sudah lama tidak tidur atas bas. Walau bagaimanapun, tidur tetap tidur.....

Rombongan ke Pulau Langkawi yang saya sertai ini ialah anjuran Kelab Guru SMK Kadok yang diketuai dengan jayanya oleh Pengerusi Kelab Gurunya, En. Rosdi Salleh (suamikulah!). Sudah sebulan lebih beliau bertungkus lumus menyediakan segala yang diperlukan bagi memastikan program ini terlaksana dengan baik dan lancar. Maka malam ini bermulalah perjalanan kami ke sana, disertai 38 orang guru dan keluarga, termasuk Puan Pengetua yang sangat baik hati.

Kami tiba di jeti Kuala Perlis pada jam 7 pagi dan menaiki feri jam 8 pagi ke Pulau Langkawi. Laut yang tenang begitu menyamankan dan sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan tayangan filem "Adnan Sempit" tetapi tak sempat habis pun. Lebih kurang jam 9.25 kami tiba di Pulau Langkawi dan bas telah sedia menunggu. Kami dibawa ke tempat pemprosesan gamat untuk melawat dan membeli belah, sebelum dibawa ke restoran untuk mengisi perut! Memang kelaparan sungguh kerana belum sarapan. Jadi kami makan dengan penuh berselera sekali.

Selesai makan, kami dibawa ke Makam Mahsuri dan Padang Matsirat. Seterusnya pada jam 2 petang kami dibawa ke tempat penginapan kami iaitu Hotel Region dan acara berikutnya ialah tidur!! Hehe.. sebenarnya semua sudah kepenatan, maka acara sekarang ialah bebas.

Jam 4 petang, saya dan suami mengambil teksi untuk ke bandar Kuah. Di sana kami meronda-ronda sambil membeli sedikit sebanyak. Terserempak juga dengan beberapa orang sahabat guru dari SMK Salor yang juga mengadakan rombongan ke sini. Memang Pulau Langkawi dipenuhi pelawat-pelawat dari Kelantan sahaja kerana cuti Keputeraan Sultan Kelantan yang agak panjang. Selain Kadok dan Salor, Naim lilbanat juga ada di sini.

Jam 5.30 petang, rakan lama suami - Ustaz Fauzi - yang sudah tiga tahun tinggal di Langkawi kerana bertugas di sini mengambil kami dengan Toyota Wishnya untuk meronda-ronda pulau lagenda ini. Isteri dan anak-anaknya juga turut serta. Kami dibawa ke Pantai Pasir Hitam, Tanjung Rhu dan makan malam di rumahnya. Lepas Maghrib, kami dihantar pulang ke hotel. Saya meneruskan agenda dengan menonton tv sementara suami keluar lagi, kali ini bersantai dengan guru-guru lelaki di kedai kopi! Jam 11 saya sudah lena dan tidak sedar langsung suami saya pulang pada jam 12.30 malam!

Esoknya, selesai solat subuh, kami mengemas dan bersedia untuk check out. Bas tiba jam 8 pagi untuk 'mengangkut' kami ke destinasi seterusnya. Tempat pertama semestinya kedai makan sebab kami sedang kelaparan semuanya! Selesai sarapan kami dibawa ke tempat kereta kabel, underwater world dan idaman suri. Jam 2.00 petang, kami ronda-ronda dan makan tengah hari di bandar Kuah sebelum dibawa ke destinasi terakhir kami iaitu Dataran Helang, dan akhirnya ke jeti.

Jam 4.00 petang kami menaiki feri untuk pulang ke Kuala Perlis dan jam 5.20 tiba di sana. Kami solat zohor dan asar di masjid simpang empat Perlis, berhenti makan di Pekan Rabu dan solat maghrib dan isya di Gurun.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah pada jam 5.30 pagi Khamis.

Selamat tinggal Langkawi. Ada umur jumpa lagi...

No comments:

Post a Comment