Sunday, April 04, 2010

Salam Ulangtahun Suamiku!


Hari ini, 45 tahun yang lalu dia - Rosdi bin Salleh - dilahirkan di kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan. Lahir sebagai anak ketiga dan satu-satunya anak lelaki dari lima orang adik beradik. Bapanya Salleh Ahmad hanya seorang petani dan ibunya, Siti Ra'ana Omar suri rumah yang ada waktu-waktunya membantu suami di kebun. Mempunyai dua orang kakak - Rohaizan dan Rohaini, serta dua orang adik perempuan - Rohaimah dan Norhafizah. Membesar dalam keluarga yang tergolong susah menjadikan dia seorang yang bersemangat tinggi untuk mengubah suasana keluarganya.

Dia menerima pendidikan awal di SK Kor dari tahun 1972 hingga 1977, dan meneruskan pengajian menengah di SMK Kadok dari 1978 hingga tamat SPM pada 1982. Dia meninggalkan SMK Kadok dengan kenangan paling manis dalam sejarah pengajiannya kerana muncul sebagai satu-satunya pelajar yang mendapat gred 1 dalam SPM 1982 lantas melayakkannya menyandang gelaran pelajar terbaik. Seterusnya dia meneruskan pengajian tingkatan 6 di SMK Ismail Petra, Kota Bharu.

Selesai menduduki STPM pada hujung tahun 1984, dia mencuba memohon untuk belajar di Maktab Perguruan menggunakan sijil SPMnya. Nasib menyebelahinya dan diterima ke Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa sebelum keputusan STPM diumumkan. Dia mendaftar ke Maktab tersebut pada Januari 1985.

Mac 1985, keputusan STPM diumumkan dan dia berjaya mendapat 4P. Keputusan itu membolehkan dia memohon untuk belajar di universiti tetapi statusnya sebagai pelajar maktab perguruan menghalang dia. Ada sedikit rasa terkilan di hati, tetapi dia meneruskan pengajian di maktab sehingga tamat pada 1987.

Januari 1988 dia ditempatkan di SMK Ahmad Shah, Cameron Highland dan bertugas sebagai guru Geografi sehingga Jun 1993. Dek kerana impian untuk menggenggam ijazah masih terpahat di hatinya, dia memohon untuk cuti separuh gaji dan menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan di USM Pulau Pinang pada 1993. Alhamdulillah, dia berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dan menerima ijazah secara rasmi di majlis konvokesyen USM 1997.

Sebaik tamat pengajiannya, dia ditempatkan sebagai guru Bahasa dan Pengajian Am di SMU(A) Rahmaniah, Kuala Krai pada Mei 1997.

Dalam usia 32 tahun, dia mula menginginkan kehidupan berkeluarga. Lalu disuarakan hasrat mencari pasangan hidup kepada rakan dan sahabat-sahabatnya. Ramai yang memperkenal dan mencadangkan beberapa orang calon, tetapi tiada satu pun yang menjadi.

Akhirnya, ibu tersayang pula bertanya, "Betul ke nak cari isteri ni?" Dia mengesahkan hasrat yang terpendam kepada ibunya dan ibunya mencadangkan dia untuk 'melihat' anak gadis jiran sebelah!

Dipendekkan cerita, rupanya jodohnya hanya di sebelah rumah.. iaitu diriku ini, hehe... 27 Disember 1997 kami ditunangkan dan 2 Januari 1998 kami dinikahkan dalam majlis yang sangat ringkas. Benarlah, jika sudah jodoh segalanya menjadi sangat mudah dan pantas. Kenduri kami dilangsungkan pada 19 Februari 1998, serentak dengan majlis menyambut Kak Zaiha, isteri abang Lutfi.

Kini, sudah 12 tahun 3 bulan kita hidup bersama sebagai suami isteri dan sudah 13 kali hari lahir kita raikan bersama-sama (kadang-kada ada hadiah, kadang-kadang wak dekkk je...!) Alhamdulillah setiap rintangan, cabaran dan dugaan berjaya kita harungi dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Semoga hari-hari mendatang akan menjadi semakin indah bersinar, cerah terang benderang dipenuhi rahmat Allah, dan rezeki yang murah biarpun wajah kita makin berkedut dimakan usia.

Salam ulangtahun ke-45 buat suami tercinta. Semoga Allah merahmatimu....




No comments:

Post a Comment