Tuesday, April 20, 2010

Akhirnya ia tiba jua!

Hari ini memang penat tetapi hati rasa puas dan gembira. Seperti yang pernah saya catat di sini sebelum ini betapa hati tergores dan jiwa kesasar dek sebuah penantian yang bagai enggan berakhir, kini semuanya selesai.

Selasa 13hb April, pihak Bank Muamalat menelefon dan mengemaskini data kami untuk urusan pinjaman kenderaan. Kami mula menghitung hari untuk menyudahkan sebuah penantian. Sangka saya, petang nanti mereka akan memanggil kami untuk menandatangani perjanjian pinjaman tetapi hampa. Kami bersabar lagi.

Esoknya, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah setelah tamat mengajar, pihak Bank menelefon kami memaklumkan permohonan kami diluluskan tetapi dengan kadar 3.4%. Kami kecewa lagi, tetapi kali ini kami tidak mahu memanjangkan cerita. Mulanya suami memaklumkan khabar ini kepada jurujual Toyota dan jurujual tersebut meminta kami jangan menandatangani lagi kerana dia akan cuba memohon kadar 3.3% juga. Lalu kami pun akur tetapi saya mula berfikir, perlukah kami menunggu dan menunggu lagi? Saya suarakan pada suami, jika kita mohon untuk kadar yang lebih rendah tentu memakan masa. Apalah sangat beza 0.1% itu jika dibandingkan dengan keinginan kami memiliki kereta yang membuak-buak ini. Suami saya menelefon jurujual itu lagi, dan dia maklumkan yang dia sudah menghubungi bank, dan bank memberitahu memang kadar tersebut sudah tidak dapat dikurangkan lagi. Lalu kami terus ke Bank untuk menandatangani perjanjian. Selesai segalanya, suami menelefon jurujual itu dan jurujual itu berjanji akan menyelesaikan segala urusan pendaftaran kereta secepat mungkin. Katanya hari Jumaat kami boleh dapatkan kereta itu.

Saya enggan teruja berlebihan. Saya jangka tentu Jumaat belum mampu menghadirkan kereta itu kepada kami. Saya rasa lebih selamat jika saya pahatkan dalam hati saya, "keretaku akan tiba pada hari Ahad."

Benarlah, Jumaat berlalu sepi dan saya tidak apa-apa.

Ahad, saya sudah tidak dapat menahan gelodak keinginan saya. Saya meminta suami menghubungi jurujual itu bertanya khabar. Malangnya tiada jawapan. Kali ini saya kecewa lagi. Berkali-kali menelefon, hanya mesin suara menjawab. Hati jadi tidak keruan. Mengapa begini? Apa yang tidak kena? Mereka ingin mempermain-mainkan kamikah? Geram juga bila tidak tahu khabar berita seperti ini.

Malam itu saya tidur bermimpikan kereta!

Isnin menjelma, saya redakan perasaan dengan enggan memikirkan perkara ini. Saya sibukkan diri (memang saya banyak kerja pun di sekolah!) dan lupa terus tentang kereta. Jam 3.45 petang baru saya menelefon suami, memintanya menjemput saya di sekolah. Sebaik dia tiba dengan Kancil buruk yang sudah penat membawa kami ke sana ke mari tanpa rehat itu, saya bertanyakan soalan cepu mas, "Camry macam mana?"

Rupanya hari ini suami saya sudah dua kali menelefon jurujual itu tanpa sebarang jawapan. Jam 2.30 petang suami saya nekad untuk ke kedai kereta itu bertanyakan apa sudah jadi dengan kereta kami. Sebelum sempat sampai, jurujual itu menghubungi suami saya memaklumkan kereta sudah sedia untuk dipandu pulang. Dia bersungguh-sungguh memohon maaf kerana tidak menjawab panggilan suami sebelum ini, kerana tidak tahu jawapan yang bagaimana harus diberi atas kelewatan yang tidak dijangka. Suami berpatah balik pulang ke rumah dan berjanji untuk mengambil kereta tersebut selepas Asar nanti.

Kelakar juga ya! Mengapa membiarkan kami tertanya-tanya sendiri? Kami cuma ingin tahu bila boleh diambil kereta itu sahaja. Kalau lambat, cakap lambat. Bukan kami nak pergi bom kedai dia pun!

Jam 5.00 petang, suami turun ke kedai kereta dan selamat pulang bersama kereta baru kami pada jam 7.30 petang. Solat hajat diadakan di surau depan rumah kami, dan suami menempah roti canai sebagai hidangan buat sahabat-sahabat di surau.

Saya yang sudah tidak sabar-sabar 'menikmati' kereta itu, mengajak suami keluar makan dan ronda-ronda kawasan sekitar. Seronok rasanya berada di atas kereta kami sendiri, yang kami tunggu sekian lama!

Sahabatku, saudaraku, aku bukan ingin berbangga dengan apa yang aku miliki. Aku bukan ingin bermegah dengan apa yang aku perolehi. Aku cuma ingin merasai kebahagiaan dan keseronokan berkongsi kenderaan yang aku idamkan sejak sekian lama, dengan suami tercinta. Kereta ini kami beli bersama, dan insya Allah menjadi lambang sebuah perkongsian kasih sayang yang akan kami jaga hingga ke akhir masa. Kami ingin meneruskan episod kasih sayang kami sampai bila-bila, biar apa pun badai yang melanda. Semoga Allah melindungi dan merahmati rumah tangga kami.

Dan kereta kami.

Amin.


No comments:

Post a Comment