Tuesday, April 13, 2010

Akan tibakah Camry itu?

Ini sambungan luahan rasaku tentang penantian sebuah Camry...

Selepas berperang dengan perasaan sedih, pilu, terkilan dan sakit hati, akhirnya pada hari Sabtu lalu suamiku menyuarakan keputusannya kepada wakil jualan Toyota itu. Kata suamiku, "jika masih tidak dapat diselesaikan segala kemelut yang berlaku ini saya tidak akan meneruskan hasrat saya untuk membeli Toyota Camry. Saya boleh sahaja ke kedai Honda atau Nissan meninjau-ninjau model-model kereta mereka."

Agaknya barulah mereka rasa tercabar. Selama ini mereka menganggap suamiku tergila-gilakan sangat Toyota Camry agaknya! Jawab jurujual itu, "Eh! Jangan begitu bang! Kami akan cuba usahakan agar perkara ini selesai. Percayalah, kereta itu akan dapat dengan segera dan abang tak perlu susah hati. Yakinlah dengan kami."

Begitu sekali!

Petang Ahad, suamiku menerima panggilan dari wakil jualan Toyota itu memaklumkan segalanya telah selesai. Pertelingkahan antara dua wakil Toyota itu telah pun tamat dan suamiku boleh mendapatkan Camry itu dalam minggu ini.

Rasa sedikit lega, tapi aku masih tidak mampu untuk yakin dengan janji-janji mereka. Sukar untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan yang telah tercalar ini.

Hari Isnin, suamiku mengambil cuti rehat. Benar dia sangat letih. Letih fizikal dan juga mental. Kasihan suamiku yang seakan terperangkap dengan keadaan. Mujur dia cekal, tidak mudah melatah. Selepas menghantar aku ke sekolah, dia menuju ke syarikat jualan itu untuk bertanya dengan sejelas-jelasnya. Benarlah, Camry itu sedang menanti waktu untuk dihantar kepada kami!

Suami menghubungi aku, meminta aku menyediakan dokumen-dokumen (salinan slip gaji dan kad pengenalan) untuk proses pinjaman. Suamiku sebagai peminjam dan aku bertindak sebagai penjamin. Sekali lagi kami bernasib malang. Permohonan pinjaman kami dengan AmBank yang telah diluluskan pada Januari lalu sebanyak RM122300 dengan kadar 2.9% selama 9 tahun sudah terbatal kerana tempoh permohonan telah melebihi 3 bulan. Kami perlu memohon semula tetapi kali ini kadar sudah dinaikkan kepada 3.5%. Hmm.. nak kata apa lagi?

Mujur juga jurujual itu sudi menolong dengan menghubungi beberapa buah bank lagi dan akhirnya kami berurusan dengan bank Muamalat yang memberikan kadar 3.3%. Bila dihitung-hitung, kami kerugian hampir RM4000 atas kenaikan kadar tersebut. Jika sebelum ini ansuran bulanan kami yang dluluskan oleh AmBank ialah RM1428 sebulan, kini ia meningkat kepada RM1469. Perbezaan sebanyak RM41 sebulan bukanlah jumlah yang sedikit jika didarab dengan 108 bulan! Pun, kami redha. Rezeki kami tersurat begitu.

Tamat sekolah, kami ke bank mengeluarkan sejumlah wang untuk bayaran pendahuluan. Sebagaimana yang telah kami sepakati, kami berkongsi sejumlah RM35 000 untuk tujuan tersebut. Dengan hati yang berbunga-bunga indah (walaupun masih dalam 'mode' tidak berapa stabil) suamiku menyerahkan wang tersebut ke syarikat jualan itu. Jurujual itu meminta kami menunggu sehari dua untuk proses kelulusan pinjaman itu. Jika tiada apa-apa masalah, esok kami boleh daftar kereta itu dan Khamis nanti kereta itu boleh kami bawa pulang.

Kini, yang belum selesai ialah wang deposit sebanyak RM3 000 yang masih berada di kedai kereta Z. Suamiku menghubungi jurujualnya dan jurujual tersebut meminta suami memulangkan resit untuk diproses. Katanya, dalam seminggu dua lagi wang itu akan dipulangkan. Bila ditanya apakah wang itu akan dipulangkan seluruhnya tanpa potongan, jurujual itu hanya tersenyum dan menjawab, "harapnya begitulah!".

Aku tidak mengharap apa-apa lagi. Aku akan belajar untuk redha dengan apa sahaja kemungkinan. Pengalaman sesukar ini untuk membeli sebuah Toyota Camry 2.0G akan tetap tersimpan dalam hati. Walau apa pun hikmahnya, aku sudah serik untuk berurusan dengan kedai itu lagi kerana sehingga kini pun mereka masih tidak mampu menjawab soalan kami, "apa yang tidak kena dengan tempahan kami hingga dilewatkan begitu sekali?"

Senyuman jurujualnya memang manis, tapi tidak mampu mengubat sakit di hati kami!

No comments:

Post a Comment