Perlahan-lahan, saya mula berasa perubahannya. Setiap kali kaki melangkahi anak-anak tangga yang bersusun-susun dari aras bawah hingga ke aras tiga, saya jadi semput. Tiba di kelas, murid bertanya "cikgu letih ke?" Apa tidaknya, peluh berjujuran di dahi. Nafas pula tercungap-cungap. "Itulah, kenapa kelas awak tinggi sangat? Tak ada air-cond pulak tu!" Jawab saya, berjenaka.
Di rumah pun sama. Sekejap sahaja saya menyental baju di bilik air sambil membongkok badan, saya tercungap-cungap lagi. Itu belum lagi mengemop lantai dan mencuci bilik air. Jadi, sedang apakah saya ini?
Sedang tualah, sesungguhnya!
Siapalah saya hendak menolak fitrah. Bukanlah saya menyalahkan usia tetapi kenyataannya saya antara yang menjadi mangsa kegagalan diri sendiri mencipta stamina. Saya malas bersenam. Malas berpenat-penatan. BMI saya tinggi, menghampiri obesiti. Dan sekarang, saya takut jika ada lagi masalah-masalah lain menghuni diri saya.
Kali terakhir saya melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh ialah sebelum ke Tanah Suci dua tahun lalu. Semuanya normal waktu itu, cuma berat badan sahaja yang terlebih. Sepanjang berada di Tanah Suci, alhamdulillah saya sihat. Cuma demam dan batuk sahaja yang saya alami, sama seperti jemaah-jemaah lain.
Kini, selepas dua tahun, saya berasa ingin melakukan pemeriksaan lagi. Manalah tahu jika ada petanda-petanda kadar glukos dan kolesterol yang tinggi. Saya wajar berjaga-jaga. Bukan saya takut mati, tetapi saya ingin sihat sepanjang hayat, insya Allah.
Hujung minggu ini, saya ingin ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Semoga saya tidak mendapat berita buruk. Amin.
No comments:
Post a Comment