Thursday, April 12, 2012

Bila Malam Begini

Aduhai, kenapalah hati selalu mengimpikan sesuatu yang hampir mustahil? Bersendirian begini, pada waktu malam pula, segala perasaan menjelma. Bukan takut. Insyaallah saya masih berani bersunyi-sunyi di rumah walaupun pada malam hari.Apa yang saya maksudkan ialah angan-angan. Ya, angan-angan seorang wanita yang serba kekurangan seperti saya.

Alangkah indahnya, jika ada seseorang yang boleh saya panggil bibik menyediakan sepinggan kue teow goreng kerang yang spesial untuk saya pada malam ini. Bertemankan secawan milo panas, sambil menonton rancangan tv, saya tentu akan menikmatinya dengan penuh kelazatan. (Perutku sedang berkeroncong kini!)

Masalahnya, saya tidak punya peluang sebegitu.

Siang tadi, suami saya memaklumkan akan ke sekolahnya malam nanti kerana pelajar-pelajarnya berkhemah, dan dia akan makan malam di sana. Saya ok sahaja. Dalam hati dan minda sudah saya setkan untuk tidak masak apa-apa malam ini. Saya boleh rehat. Lapar pun tak mengapa.

Apabila maghrib menjelma, suami saya berubah fikiran. Dia kata, dia lapar nasi. Dia akan ke sekolah lepas Isya' dan mahu makan nasi lepas maghrib.

Aduh! Mood saya berantakan. Baru sahaja jiwa dan minda disetkan untuk tidak memasak, tiba-tiba ia berubah. Mahu tidak mahu, saya ke dapur, menjerang nasi. Menu yang terlintas di kepala hanyalah nasi goreng.

Selepas solat maghrib, saya teruskan agenda memasak saya dan jam 8.15 malam, kami sama-sama menjamah nasi goreng saya itu. Sungguh, ia sangat tidak sedap! Kenapa mesti rasa yang begini melalui tekak dan kerongkongan saya? Suami saya tidak komen apa-apa, dia makan sahaja. Tetapi saya tahu, dia juga tidak berasa kelazatan nasi goreng saya.

Aduhai, malangnya kami malam ini. Makan tetapi tidak kenyang.

Lepas Isya' suami saya terus ke sekolahnya. Tentu dia masih berpeluang untuk makan sesuatu di sana. Saya? Entah kenapa lapar datang tak semena-mena. Saya terbayang macam-macam. Kue teow kerang, nasi paprik, ikan siakap, aduh!! Laparnya!

Nasi goreng masih ada di dapur tetapi saya tidak lalu. Siapa mahu jadi bibik saya? Saya janji akan jadi mak encik yang baik....

No comments:

Post a Comment