Monday, April 02, 2012

Tentang Duit

Lagi-lagi duit. Maklumlah, tanpa duit macam mana nak hidup? Betul tak?

Sesungguhnya, beruntunglah para isteri yang memiliki suami kaya kerana mereka tidak perlu bekerja. Makan pakai suami sedia. Rumah kereta suami beli. Setiap tahun melancong ke luar negara. Siap elaun bulanan lagi, ribu-riban pulak tu....

Memikirkan ini, sungguh saya terliur. Wanita, tempatnya di rumah. Menjaga anak, mengurus rumah tangga selain melayan suami. Kenapa mesti bekerja? Buat penat saja.

Maka berbondong-bondonglah wanita yang berkhayal memiliki suami kaya!

Namun realitinya tidak begitu. Kadang-kadang, suami memang kaya tetapi kedekutnya ya Rabbi! Isteri nak minta duit pun kena fikir beratus-ratus kali. Silap haribulan, bukan setakat duit yang dapat, leteran sekali!

Sebab itu saya bersyukur kerana saya bekerja. Semenjak kecil, minda saya telah diasuh untuk tidak bergantung pada manusia lain. Bukan ego, tetapi berwaspada. Dan, kenyataannya, emaklah yang banyak membentuk minda saya ke arah wanita bekerjaya. Pelik, bukan? Tetapi ia benar.

Emak telah melalui kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa bertahun-tahun lamanya, jadi dia tahu pahit getir hidup seorang wanita tanpa pendapatan sendiri. Bukan maksud saya ayah seorang yang kedekut. Tidak sekali-kali. Tetapi menggunakan wang suami yang tidak seberapa itu menuntut kepakaran yang tinggi. Sungguh, emak sangat pakar dalam mengurus kewangan rumah tangga. Tabik saya bertubi-tubi pada emak. Kepakaran emak tiada dalam mana-mana silibus pengajian di universiti. Ia ada dalam diri seorang isteri dan ibu yang bertanggungjawab, yang mahukan yang terbaik buat keluarganya. Bersyukur saya menjadi anak emak.

Kini, saya tahu saya bekerja bukan semata-mata kerana duit. Jika pun Allah mentakdirkan suami saya menjadi jutawan segera, saya tetap enggan meletak jawatan guru yang saya pegang sejak Mac 1998 ini. Kenapa?

Kerana saya sayangkan anak-anak didik saya. Saya ingin mencurah bakti. Saya mahu berkongsi ilmu. Jika di rumah, apa sangatlah yang dapat saya beri pada masyarakat. Anak pun tiada. Baiklah saya meneruskan tugas guru ini, walaupun kadang kala penatnya tidak terkira.

Duit akan habis. Ilmu yang saya ajar, insyaallah akan digunakan oleh anak murid saya sampai hujung nyawa.

No comments:

Post a Comment