Friday, April 27, 2012

Sedikit Teguran

Saya cuba untuk tidak prejudis. Saya ingin melihat seseorang bukan setakat luaran sahaja, seperti kata pepatah Inggeris yang tersohor itu, “don’t judge a book by its cover”. Namun hakikatnya, ia tidak mudah.

Melihat fesyen remaja kini, saya bingung. Bertudung tetapi baju lengan sekerat. Berseluar ketat dan berbaju singkat. Segala aset terpamer tanpa sekelumit rasa malu menghias diri. Saya gagal menaakul dengan rasional.

Dua puluh tujuh tahun lalu, seorang ayah telah dengan tegas tetapi penuh kasih sayang memerintahkan anak gadisnya yang telah akil baligh untuk menutup aurat kerana kewajipan itu telah tiba. Anak gadisnya berasa begitu bahagia dan bangga dengan keprihatinan si ayah. Ada ketikanya tergelincir juga dia dari kesempurnaan namun untuk mengabaikan pesanan ayah, tidak sekali-kali. Betapa dalamnya perasaan itu, perasaan dijaga dan disayangi ayah sehingga dia tidak tergamak melanggarnya. Benar ia suruhan Allah, tetapi peranan ayah dalam menyampaikannya memberi impak yang jitu pada gadis itu.

Alhamdulillah, walaupun kini ayahnya telah tiada, dia tetap kekal mematuhi segala pesanan ayah kerana dia tahu di situ terletaknya keberkatan hidup, juga keredhaan Allah.

Malangnya, masih ada ayah yang berkata, “biarlah, dia budak-budak lagi. Biasalah kalau dia terikut-ikut dengan trend masa kini. Lagipun, pakaiannya saja yang begitu, perangainya okay.” apabila ada yang menegur tentang cara anaknya berpakaian. Kasihan anak itu, ayahnya tidak mahu melindungi.

Ibu juga sama. Bukan main sopan pakaian ibu, berjubah dan bertudung labuh tetapi membiarkan anak-anaknya berpakaian ikut suka. Bila ditanya, katanya, “entahlah. Dah tegur berkali-kali, tetapi mereka tak hirau langsung.”

Di mana ketegasan? Saya semakin keliru. Malah ada ketikanya saya bagai bersyukur tidak memiliki anak kerana saya takut saya dan suami gagal seperti ayah dan ibu itu. Gagal membina ketegasan dan membiarkan sahaja anak bertindak sesuka hati. Gagal untuk memberi yang terbaik kerana terlalu merajakan mereka.

Maafkanlah saya. Pada saya, segala sikap, tingkah laku dan pakaian seseorang remaja sangat dipengaruhi oleh keluarganya. Jika keluarganya berjaya membina jati diri anak mengikut syariat tentu remaja ini kukuh dengan pegangan. Pergi ke mana pun Insya Allah bersuluh. Insya Allah tidak terkejut dengan budaya asing. Betapa pentingnya peranan institusi keluarga, terutama teladan dan ajaran ibu bapa dalam memastikan remaja kita tidak tergelincir. Salahkanlah kerajaan, salahkanlah guru, salahkanlah masyarakat, ia tetap tidak mengubah apa-apa jika peranan ibu dan ayah tidak seperti yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment