Friday, August 31, 2012

Copernicus/Al-Kindi 85 - 87

Setiba saya di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu pada 8hb Januari 1985, saya telah diletakkan dalam kelas Copernicus. Waktu itu, pelajar Tingkatan Satu yang baru mendaftar ini ada seramai 160 orang dan dibahagikan kepada enam kelas - Archimedes, Bernoulli, Copernicus, Darwin, Einstein dan Faraday. Setiap kelas memiliki 26 - 27 orang pelajar.

Di sini, kelas kami dibahagi secara rawak sahaja tanpa berpandukan apa-apa penilaian kecuali untuk subjek Bahasa Inggeris. Bagi subjek Bahasa Inggeris ini, kami perlu menduduki satu peperiksaan bertulis sewaktu minggu orientasi. Berdasarkan markah yang kami peroleh, kami dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana set 1 ialah kumpulan pelajar terbaik, set 2 pelajar sederhana dan set 3 pelajar lemah.

Pada pertengahan tahun 1986, nama kelas kami telah ditukar kepada nama saintis Islam pula, bersesuaian dengan saranan PM pada masa itu - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang melancarkan kempen 'Penerapan Nilai-Nilai Islam'. Maka bertukarlah nama-nama kelas kami kepada Al-Razi, Al-Battani, Al-Kindi, Al-Dinawari, Al-Khawarizmi dan Al-Farabi.

Pelajar kelas Copernicus/Al-Kindi 85 - 87 ini terdiri daripada 8 orang pelajar lelaki dan 19 orang pelajar perempuan menjadikan kami 27 orang semuanya. Tiga tahun bersama-sama mengejar ilmu di sini, menjadikan kami sangat rapat dan mesra. 

Pelajar Lelaki:
1. Aminuddin Ismail
2. Anuar Salam Sulaiman
3. Jumali Mohamad
4. Juraidi Yusof
5. Khairu Hilmi Jusoh
6. Mohd Zukri Aksah
7. Nor Shukri Mohd Nor
8. Pahazir Mat Ali

Pelajar Perempuan:
1.   Aziana Yusoff
2.   Azidah Ab Hamid
3.   Aziyana Abdullah
4.   Azlean Ariffin
5.   Azlina Ariffin
6.   Azlin Ruzaini Yusoff
7.   Nik Roslini Raja Ismail
8.   Noor Hasliza Hassan
9.   Noorhayati Myiddin
10. Noorlizawati Awang
11. Rosemarzuna Salleh
12. Roslina Ab Razak
13. Rosmawati Ahmad
14. Rosmiza Daud
15. Rosnani Ramli
16. Wan Rosniah Wan Mamat
17. Wan Shafeena Wan Ibrahim
18. Yusrita Abd Aziz
19. Zahani Ismail

Mulanya, sebaik tamat tingkatan lima dan membawa haluan masing-masing, banyak yang terputus hubungan. Namun dek kecanggihan teknologi masa kini, melalui facebook dapat saya jejaki kembali sahabat-sahabat saya ini. Hanya beberapa orang sahaja yang masih menyepi diri dan gagal dikesan iaitu Nor Shukri, Pahazir, Azlina, Rosmawati dan Wan Rosniah. Yang lain semuanya kembali mesra berbicara dan bercerita di laman facebook di bawah kumpulan xkt8589.

Thursday, August 30, 2012

Anakanda Wajih

14hb Ogos 2012, seorang putera perkasa dilahirkan ke dunia ini oleh seorang wanita berhati waja. Menjadi anak ketiga dalam keluarga bahagia ini, saya doakan segala yang terbaik sepanjang masa. Dinamakan Wan Muhammad Wajih yang bermaksud insan ternama. Semoga benar-benar membina nama di persada dunia.

 En. Wan Hawari dan Pn. Noorul Husna sedang meniti saat-saat bahagia bersama tiga orang cahaya mata yang sihat dan pintar - Wan Sufi Nasirullah, Wan Nasih Mukhlis dan Wan Muhammad Wajih.

Sunday, August 26, 2012

Ujian Allah

Setiap manusia memang tidak akan mampu mengelak daripada menerima ujian hidup kerana hidup ini sendiri adalah satu siri ujian. Jika kita susah, itu ujian. Tetapi perlu diingat, senang dan mudah juga ujian. Jika kita derita, itu ujian. Namun kita harus tahu, bahagia itu juga ujian. Segalanya ujian, dalam bentuk yang tersendiri. Dan kita wajib menerima ujian kita dengan redha. Allah tidak akan menguji seseorang dengan ujian yang tidak mampu dilaluinya.

Walaupun begitu, siapalah kita untuk menentukan rupa bentuk ujian orang lain. Janganlah sesedap rasa menyimpulkan, “Allah dah bagi dia harta yang banyak, sekarang Allah nak uji dia, bagi penyakit pula” apabila seorang yang kaya raya terkena penyakit kronik. Atau pun, “Allah tak bagi dia anak, sebab tu Allah bagi dia duit banyak.” Pulak?

Habis tu, apa hal pula dengan orang kaya, berharta, beranak pinak dan sihat sejahtera sampai ke tua? Allah tidak menguji dia kah? Allah tidak adilkah?
Bukan kita orangnya untuk menentukan setiap ujian itu. Biarlah ia antara Allah dan hamba-Nya. Cukuplah jika kita tahu, ujian Allah itu hadir kerana Allah kasihkan kita. Hitunglah diri kita, sebelum menghitung orang lain. Jadilah Muslim yang sebenar-benarnya, yang sentiasa bersangka baik bukan sahaja sesama manusia, tetapi bersangka baik dengan Allah jua.

Wallahua’lam.

Saturday, August 25, 2012

Sahabat dan Kenangan Kita

Andai masa mampu diputar kembali, saat bersama-sama mengharung usia remaja pada alam persekolahan pasti diulang berkali-kali. Alam yang indahnya tersendiri. Dalam tawa ada dukanya, dalam riuh ada sepinya tetapi kenangan tetap dibawa bersama sampai bila-bila. Kami bukan sekadar teman sekelas, tetapi juga seasrama, sebilik malah tidur sebantal dan berkongsi banyak perkara, banyak rahsia.Ya, kami akrab sungguh kerana jalinan rasa itu berbeza sekali apabila jauh daripada ibu bapa dan keluarga.

 Azlin Ruzaini (berdiri di belakang), Suriani, Reena Adne, saya dan Siti Fadzilah. Masing-masing punya cerita sendiri sebagai sahabat yang banyak berkongsi.

Azlin a.k.a Elin paling lama saya rapati. Dari tingkatan satu hingga tingkatan empat kami sekelas. Pelbagai rasa kami kongsi bersama tanpa sebarang rahsia. Hinggalah kami terpisah apabila masing-masing memilih universiti yang berbeza sebaik tamat SPM..

Suriani pula, teman seasrama saya sewaktu tingkatan empat. Pada tahun itu kami menjadi rapat dan sering berkumpul bersama-sama sambil bercerita dan bergelak ketawa. Kelas yang berbeza mengundang cerita yang banyak untuk dikongsi. Apabila tamat SPM, kami berpisah juga...

Reena saya kenali sejak tingkatan satu lagi tetapi hanya menjadi rapat apabila seasrama pada tingkatan lima. Di Kenanga, kami sering ke sana ke mari berdua dan saya lupa langsung tentang statusnya sebagai anak seorang doktor. Dia sangat humble, dan saya menyenanginya.

Siti Fadzilah a.k.a Edi pula rakan sekelas saya sewaktu tingkatan lima. Dia juga seorang ahli Badan Wakil Pelajar yang sangat berwibawa. Walaupun hanya sekelas pada setahun itu sahajalah, namun kemesraan tetap berbunga semekarnya. Saya sangat menyayangi dan berasa bangga menjadi pelajar tingkatan 5 Ibnu Rushdi (dikenali sebagai 5 I sahaja) kerana kelas kami sentiasa menjadi bualan ramai dek pelbagai perkara.

Aduhai, telah 23 tahun kami tinggalkan daerah penuh bersejarah itu. Telah 23 tahun kami halakan tujuan kami ke sisi yang berbeza. Elin dan Edi menjadi akauntan, Suriani seorang auditor bank, Reena pula membuka perniagaan farmasi dan saya seorang guru. Bidang berbeza, namun hati tetap sama. Elin dan Edi masing-masing memiliki 3 orang cahaya mata, Reena pula baru melahirkan seorang putera yang comel, anak keempatnya. Saya masih belum memiliki cahaya mata dan Suriani pula masih belum dimiliki. Takdir tertulis nian berbeza, namun hikmah dan rahmat di sebaliknya tiada yang mampu meneka. 

Saya bahagia bertemu mereka. Dari jam 4.45 petang kami keluar dan bersembang di rumah Reena di Kubang Kerian, kemudian menuju ke rumah Edi pula di Kampung Kota, membawa ke pukul 8.45 malam tanpa kami sedari. Mujur suami di rumah sabar menanti dan tidak pula memberi kata apa-apa. Faham mungkin, dengan situasi isterinya saat bertemu sahabat lama. Terima kasih.

Seorang lagi sahabat lama yang tidak pernah melupai saya, Azni Yusliza dan keluarga datang memeriahi Aidilfitri saya pada hari raya kedua. Sayang tidak sempat bergambar, namun saya amat menghargai ingatannya terhadap saya.

Semoga akan ada lagi kesempatan berkumpul seperti ini. Terfikir juga, untuk mengadakan re-union kecil-kecilan di rumah sendiri, sekadar menjemput teman-teman yang ada di sekitar sini menikmati hidangan air tangan saya. Cuma, bila?

Harap-harap, waktu itu akan tiba jua.

Wednesday, August 22, 2012

Raya Ini

Hari raya. 

Seluruh umat Islam meraikan hari bahagia ini dengan bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi. Inilah ketikanya untuk mengeratkan kembali persaudaraan dan ikatan persahabatan.

Raya pertama, 19 Ogos 2012. Hari Ahad.
Selesai menjamah sepiring mihun goreng dan sedikit teh, saya dan suami bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Aidilfitri. Jam 7.50 pagi kami turun, bersama sedikit nasi himpit dan rendang untuk diberi kepada ibu dan ibu mentua di seberang jalan sana. Jam 8.00, kami tiba di rumah mek. Mek masih bersiap, dan kami sabar menunggu. 

Sekitar 8.25 pagi, kami bertiga menuju ke masjid. Sebelum itu, kami bersalam-salaman memohon kemaafan.

Selesai solat, jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Kami terus pulang ke rumah mek. Di situ, saya dan suami menziarah satu persatu rumah ahli keluarga berdekatan sambil menghulur duit raya untuk 15 orang anak saudara. Akhir sekali barulah kami menuju ke rumah ma, ibu saya.

Sebenarnya, saya mengharap untuk berada lama sedikit di rumah ma tetapi suami saya mengajak saya ke rumah abang, ibu dan bapa saudaranya pula. Mood saya sedikit terganggu. Dalam hati berkata, "tak menyempat-nyempat!!" tetapi tak terzahir di bibir. Saya cuma melangkah menurut arahan...

Sebaik selesai mengunjungi ketiga-tiga buah rumah itu, saya memohon agar suami menghantar saya semula ke rumah ma dan menjemput saya pulang selepas dia bersolat zohor nanti. Dia menurut sahaja.

Di rumah ma, hanya Ismah, Zahidah, Aziah, Husna dan anak-anaknya yang ada. Yang lain keluar ke Pasir Mas dan Rantau Panjang untuk beraya bersama saudara-saudara di sana. Tak mengapalah, yang penting saya dapat bersembang dan makan-makan di rumah ma.

Anak sepupu saya, Raniah dan keluarga tiba tidak lama kemudian. Lama sungguh kami tidak berjumpa, rasanya lebih lima tahun! Dia kelihatan ceria dan bahagia, dan masih peramah seperti dahulu.

Jam 2.00 petang, saya pulang ke rumah dijemput suami. 

Dan kini, masanya untuk saya menunggu dan melayan tetamu pula. Yang pertama tiba, tentulah kanak-kanak sekitar kampung saya. Mereka datang berkumpulan dan hanya menjamah sedikit kuih dan minuman. Apabila diberi duit raya, mereka pulang dengan senyuman.

Seterusnya, beberapa orang anak murid suami saya dan juga bapa saudara saya, Pak Su Soh dan keluarga. Tiada hidangan istimewa, hanya kuih biasa-biasa sahaja.

Malam pula, saya berehat sepenuhnya. Jam 10 saya sudah lena.

Satu Rindu

Hujan kau ingatkan aku
Tentang satu rindu
Di masa yang lalu
Saat mimpi masih indah 
bersamamu

Terbayang satu wajah
Penuh cinta penuh kasih
Terbayang satu wajah
Penuh dengan kehangatan
 
Kau ibu…Oh ibu…

Allah izinkanlah aku
Bahagiakan dia
Meski dia telah jauh
Biarkanlah aku
Berarti untuk dirinya
 
oh ibu…oh ibu…kau ibu…

Terbayang satu wajah
Penuh cinta penuh kasih
Terbayang satu wajah
Penuh dengan kehangatan

Terbayang satu wajah
Penuh cinta penuh kasih
Terbayang satu wajah
Penuh dengan kehangatan
 
Kau ibu…oh ibu…kau ibu…
oh ibu…oh ibu…

Monday, August 20, 2012

Aidilfitri

Tiada lagi rasa teruja dalam diri untuk menyambut hari raya. Usia yang setua ini sudah tidak layak untuk mempunyai rasa itu. Hari raya bagi seorang wanita seperti saya cumalah satu hari daripada hari-hari yang mesti dilalui. Jika pun berbeza, kerana pada hari ini saya bersyukur pada Allah yang telah memberi keupayaan untuk saya menyelesaikan puasa Ramadan yang menjadi kewajipan. Juga kerana Dia masih memberi peluang untuk saya menghirup udara aidilfitri di sisi keluarga tercinta. Selebihnya, hanyalah kenangan. Baju baru, ketupat rendang, duit raya, rancangan tv, hanyalah kenangan.

Saya enggan tenggelam dalam semua itu.

Biarkan saya merayakan hari mulia ini dengan cara saya sendiri. Tanpa baju baru, saya masih mampu tersenyum. Tanpa ketupat rendang, rumah saya masih ada pengunjungnya. Dan duit raya, hanya sekadar menyukakan hati kanak-kanak dan ahli keluarga. Rancangan raya di tv? Saya tidak pernah ambil tahu.

Saya masih begini-begini juga.

Tamat raya nanti, saya akan kembali mencari diri sendiri dengan terus berusaha menjadi hamba Allah yang berguna. Yang hidup untuk memberi, bukan hanya menerima. Yang hidup untuk berbakti, dan bersedia untuk segala kemungkinan di dunia.

Kerana sesungguhnya, dunia ini fana.



Monday, August 13, 2012

Tersirat

Meneliti perjalanan sebuah kehidupan seorang hamba seperti aku - setelah empat puluh tahun kesempatan hidup Allah kurniakan - aku cuba mencari erti tersirat. Seringnya, apa yang terzahir itulah yang dipandang dan dikaji, sedang yang tersirat terbiar begitu sahaja.

Aku punya seorang sahabat yang sejarah masa kecilnya sangat buruk (seperti yang telah aku kongsi di sini) sehingga dia tega mengisytihar dirinya kini seorang atheis. Dia tidak percaya lagi pada kewujudan tuhan kerana dia berasa tuhan tidak pernah mahu mendengar segala doa dan aduannya sejak lama. Dia menganggap agama itu tidak perlu, dan dia hidup dengan mempercayai logik akalnya sendiri.

Saat aku membandingkan diriku dan dirinya, tentu sekali aku akan berkata, "Alhamdulillah, Tuhan tidak menguji aku sebegitu." Pun, bukankah Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu hamba-Nya lalui? Lalu bagaimana ini?

Aku berasa Allah sangat kasih padaku kerana memberiku keluarga yang baik, pendidikan yang baik, suami yang baik, pekerjaan yang baik, juga tempat tinggal yang baik, tetapi pada masa yang sama sahabatku ini berasa Allah tidak menyayanginya kerana menduganya dengan dugaan yang sedemikian rupa pada saat dia masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, menjadikan dia trauma sepanjang hayat. Apa yang sebenarnya tersirat di sini?

Salah diakah? Atau salah kita sahabatnya yang gagal memberi kesedaran kepadanya?

Sesungguhnya, aku ini manusia lemah. Tidak mungkin aku mampu menelah apa yang tersirat di sebalik segala perancangan Allah. Mengambil keberkatan Ramadan ini, aku panjatkan doa agar Allah menyuluhnya kembali ke jalan benar. Kembali kepada fitrah.

Saturday, August 04, 2012

Hujung Minggu

Hujung minggu tiba lagi. Bagi wanita bekerja seperti saya, hujung minggu sesungguhnya sangat dinanti untuk dinikmati. Lima hari berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan timbunan tugas-tugas yang belum selesai, tentu sekali rehat dua hari amat bermakna. Alhamdulillah, saya amat menghargainya.

Pagi Jumaat yang mulia, bersamaan 14 Ramadan 1433H saya dan suami keluar untuk membeli belah barangan dapur. Kami berhasrat untuk ke Pasaraya DZ, tetapi hasrat kami terbantu apabila melihat manusia yang teramat ramai di situ hingga untuk meletak kereta pun tiada ruang. Terkejut juga, baru 14 Ramadan dan jam pula baru 10.00 pagi, tetapi DZ sedang menerima pengunjung yang sebegitu ramai. Lalu kami berpatah balik dan singgah di Pasaraya PKT yang agak lengang. Berbelanjalah saya dan suami di situ, sekadar yang perlu.

Seterusnya, kami menuju ke rumah mek dan ma untuk menziarah mereka seketika. Suami saya mempelawa mek berbuka bersama kami petang nanti, dan dia bersetuju. Dia minta suami datang menjemputnya selepas Asar nanti. 

Pulang ke rumah, saya mengemas di dapur, merebus kerang, menggosok baju dan menyiapkan bilik untuk mek. 

Jam 3.55 petang, saya dan suami ke pasar Ramadan di pekan Ketereh untuk membeli juadah berbuka. Nampaknya, sejak 1 Ramadan hinggalah hari ini, saya belum lagi memasak sendiri! Hari ini kami beli sup perut, ayam percik, sayur lemak keladi dan ikan bakar air asam. Sekeping murtabak dan sebungkus agar-agar juga turut dibeli untuk santapan selepas tarawih.

Jam 4.50 petang saya menerima SMS daripada Aisyah Humaira', anak saudara saya yang manis itu menggunakan handphone ibunya.
"Umi, ni Aisyah. Umi tak datang rumah tokma ke? Aisyah ada dekat rumah tokma"
Rupanya Abang Lutfi sekeluarga ada di rumah ma! Tak perasan pula saya sewaktu singgah rumah ma pagi tadi. 

Jam 5.15 petang, kami turun ke rumah mek. Saya ke rumah ma sekejap untuk bertemu Aisyah, Afnan, Ain dan Anis. Sayang sekali tak dapat berlama-lama kerana mek sedang menunggu untuk ke rumah saya. Saya turun ke rumah mek, bersama-sama tiga biji solok lada pemberian ma.

Juadah berbuka kami hari ini.
Di rumah, saya cuma panaskan lauk, jerang nasi dan membancuh air (kelapa muda dari pokok di kebun kami). Alhamdulillah, kami selamat berbuka dengan penuh kesyukuran atas rezeki dari Allah untuk kami hari ini.

Sahur pula, saya masak gulai telur itik, ikan tenggiri goreng dan sayur bayam goreng campur ikan bilis.

Pagi Sabtu, 15 Ramadan. Jam 8.35 pagi kami hantar mek pulang, dan kami teruskan perjalanan ke bandar Kota Bharu. Destinasi pertama kami ialah kedai kain Laila Rawas. Di situ, suami saya membeli baju melayu dan kain pelekat untuk kelengkapan hari rayanya. Sekitar jam 10 pagi, kami bergerak ke KB Mall pula.

Di KB Mall, kami menuju ke kiosk handphone. Dalam minda saya, Sony Ericsson Xperia Ray akan saya hadiahkan kepada suami saya untuk menggantikan SE C902 nya yang sudah usang itu.

Rupa-rupanya, pilihan suami saya ialah Sony Ericsson Xperia Neo V, yang berharga RM709. Ya, ia lebih baik daripada Xperia Ray yang kelihatan sangat kecil. Selain telefon, saya turut membeli tiga buah majalah (Anis, Harmoni dan Keluarga) dan surat khabar Berita Harian untuk santapan minda kali ini.

Pulang dari KB Mall, kami singgah di G-Orange untuk membeli set kipas siling bagi menggantikan kipas siling ruang tamu kami yang sudah setahun rosak. Dengan harga RM218, kami pulang bersama-sama set kipas baru itu ke rumah.

Di rumah, saya hanya berehat sementara basuhan baju disiapkan oleh mesin basuh Toshiba saya. Telefon baru masih belum sempat saya terokai kerana ia perlu dicaj terlebih dahulu.

Seperti biasa, juada petang ini dibeli di pasar Ramadan. Suami saya keluar bersama dua orang rakannya ke Pasar Ramadan Peringat selepas Asar. Dia membawa pulang sebungkus sup perut (lagi?), seekor ikan percik dan ayam kampung gulai juga air lai ci kang.

Semoga Allah memberkati hari-hari kami ini. Amin.
Telefon baru untuk suami saya


Wednesday, August 01, 2012

Buku buku terkini

Beberapa buah buku kini berada dalam senarai menunggu untuk saya baca, bermula bulan Julai baru-baru ini. 

Dua buah buku Pahrol Mohd Juoi pemberian adik saya Ismah - Beduk diketuk dan Cinta Kerana Allah serta lima buah buku yang saya beli di mphonline.com - Doktor Umum (Mahathir Mohamed), Perempuan nan Bercinta (Faisal Tehrani), Cinta Tiga Rasa (Noraslina Jusin), Bersyukur Saat Diuju (Prof Muhd Kamil Ibrahim) dan Batu Bata Kehidupan (Hilal Asyraf).

Insya Allah, saya akan membacanya dengan akal dan minda, dengan penuh analitik. Semoga berkualiti.








Ketupat Sotong

Ketupat Sotong Versi Kelantan
Hmmm... puasa-puasa ni, semua benda nampak sedap!

Sebenarnya, saya jarang sangat jumpa ketupat sotong ni. Walaupun saya anak Kelantan, tetapi makanan tradisional yang satu ini bukan kegemaran saya. Saya pernah merasa, tetapi tidak memikat selera saya. Mungkin kombinasi bahannya yang pelik - sotong diisi pulut, berkuah santan yang manis.

Sehinggalah beberapa hari lepas.

Suami saya membawa pulang sebungkus ketupat sotong yang dibeli di kantin sekolahnya sebagai juadah berbuka kami. Nampak cantik, merah dan berkilat. Baunya pun harum.

Waktu berbuka, kami sama-sama menikmatinya dan sememangnya ia sungguh lazat! Rupanya, apa yang saya simpan dalam memori rasa saya selama ini ialah ketupat sotong versi pasar ramadan yang tidak selazat mana. Yang cair kuahnya, yang keras sotongnya. 

Dek kelazatan ketupat sotong itu, maka hari ini suami saya membelinya lagi. Saya baru selesai menghabiskannya sebentar tadi. Alhamdulillah..

Sebagai menambah pengetahuan, saya menggelintar internet tentang ketupat sotong ini. Rupanya, ia ada dua versi - Kelantan dan Terengganu. Versi Kelantan rasanya lemak manis dan berwarna merah (gula melaka/manisan) tetapi ketupat sotong versi Terengganu rasanya lemak masin dan berwarna putih. Saya belum pernah merasa ketupat sotong Terengganu, dan berhasrat untuk mencubanya suatu hari nanti.

Ketupat Sotong Versi Terengganu


Ramadan Saya

Sudah dua belas hari kita berada dalam bulan penuh rahmat ini, bulan Ramadan. Bulan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di dunia kerana dalam bulan ini terkandung terlalu banyak kelebihan, yang jika kita abaikan maka tergolonglah kita dalam golongan orang-orang yang rugi.

Namun kenyataannya, sebagai seorang manusia biasa yang sering lalai dan alpa, saya masih berasa gagal dalam memanfaat peluang Ramadan sebaik-baiknya. Walaupun azam itu ada tetapi seringkali ia hilang dibawa angin lalu…

Apa pun saya yakin, Allah mengetahui isi hati saya. Saya telah mencuba sedaya upaya untuk merebut segala ganjaran yang ditawarkan, pun masih ada yang tidak tergapai dek kekurangan diri. Mohon agar Allah mengampuni saya.

Semoga tujuh belas hari yang masih ada (insya allah) dapat saya guna untuk menebus segala kekhilafan diri dalam melayani kehendak nafsu dan keegoan jiwa selama lebih empat puluh tahun menghuni dunia.

Amin.