Walaupun saya kakitangan kerajaan yang sangat mudah untuk membuat pinjaman peribadi dengan mana-mana bank di Malaysia ini, tetapi sungguh saya sangat tidak selesa apabila berhutang. Cukuplah hutang saya untuk perkara-perkara perlu sahaja iaitu sebuah rumah dan sebiji kereta.
Itulah kata hati saya tetapi realitinya tidak begitu.
Kali pertama saya membuat pinjaman peribadi ialah pada bulan Februari 2001, di Bank Rakyat sebanyak RM15000 untuk urusan menimbus tanah tapak rumah dan membayar jalan kerana tanah sawah ibu mentua saya itu letaknya di tengah-tengah, tiada jalan masuk. Waktu itu tuan tanah itu sudi memberi jalan dengan harga RM3500. Kos menimbus tanah pula menghampiri RM8000. Simpanan saya memang tidak mencukupi kerana baru sahaja tiga tahun bekerja. Suami pun sama, tidak mempunyai simpanan yang cukup kerana bayaran sewa runah dan pinjaman keretanya sahaja sudah mengampiri separuh daripada gajinya.
Saya menawarkan diri untuk membuat pinjaman atas nama saya kerana suami saya sudah pun membayar ansuran bulanan kereta Proton Wira kami dan nanti untuk pinjaman perumahan pun akan menggunakan nama dia juga. Sebagai isteri yang memahami, tentulah saya akan membantu.
Tempoh bayaran balik pinjaman itu cuma empat tahun dengan RM407 sebulan. Sangat besar rasanya potongan itu kerana gaji saya waktu itu tidak mencecah RM2000 pun. Mula-mula memang sesak juga, apabila gaji bersih saya cuma RM1138 sebulan. Mujur tidak berapa bulan selepas itu potongan KWSP saya dihentikan kerana saya sudah memilih skim pencen, jadi gaji bersih saya bertambah menjadi RM1350.
Belum cukup empat tahun, iaitu pada Oktober 2003 saya menawarkan kepada suami saya untuk membuat pinjaman peribadi lagi. Kali ini kerana proses pembinaan rumah kami sedang berjalan tetapi wang pinjaman perumahan belum lulus sedangkan duit sempanan yang kami dahulukan sudah hampir habis. Tidak elok jika membiarkan rumah itu terbengkalai, jadi saya mencadangkan kami ke Bank Rakyat lagi.
Kali ini saya meminjam RM20000 dalam tempoh bayaran balik tujuh tahun. Bayaran bulanan yang perlu saya bayar ialah RM364 sebulan. Selepas ditolak baki pinjaman sebelum ini, dapatlah tunai sebanyak RM13000 dan projek rumah kami diteruskan tanpa masalah.
Akhirnya pada hujung 2010 saya tamat membayar pinjaman itu dan bebas hutang selain bayaran rumah dan kereta.
Nak dijadikan cerita, pada hujung 2012 suami saya mahukan Pajero untuk menggantikan Kelisa kami. Kelisa itu dijual dan selepas ditolak hutang bank, bakinya cuma RM6000. Pajero yang suami saya mahu itu berharga RM25000 dan perlu dibayar tunai. Fikir-fikir, sayang juga untuk kami keluarkan wang simpanan di Tabung Haji kerana mahukan dividen tahunan. Lalu sekali lagi saya menyudikan diri untuk membuat pinjaman peribadi di Bank Rakyat, untuk kali ketiga.
Pada September 2012, saya meminjam RM30000 dengan tempoh bayaran balik tujuh tahun. Kali ini potongan yang dikenakan ialah RM470 sebulan. Potongan pertama bermula pada November 2012 dan akan tamat pada Oktober 2019.
Hari ini saya mengajak suami saya ke Bank Rakyat lagi tetapi bukan untuk meminjam, sebaliknya melangsaikan hutang. Saya mahu menyelesaikan baki yang ada kerana rasa ingin bebas dari cengkaman hutang peribadi. Alhamdulillah, semuanya selesai sebentar tadi apabila saya diminta membayar RM4533.13 untuk sepuluh bulan yang masih ada. Walaupun rebatnya sedikit sahaja, tetapi saya lega kerana saya sudah tidak berhutang lagi. Saya seronok melihat baki gaji saya yang bertambah kerana saya sangat senang jika memiliki kebebasan kewangan. Alhamdulillah.