Monday, May 31, 2021

Tiada Tajuk

Hari ini segalanya seperti tidak mahu tenang. Ada gelodak rasa membuak-buak menendang dinding dada saya. Tidak tertafsir.

Suami saya tidak sihat. Bukan demam, tetapi ada kesakitan di kawasan dadanya. Sudah lebih seminggu. Sangka saya kerana kesan ubat kolesterol yang lama ditinggal tiba-tiba diambil semula. Saya minta dia berhenti dahulu mengambil ubat itu, tetapi selepas berhenti pun sakit masih terasa.

Beberapa hari lepas dia ke Klinik Ehsan untuk ujian ECG. Apabila keputusannya normal, rasa lega sebentar. Tetapi bila sakit tetap berpanjangan, mana mungkin dia boleh selesa. Hari ini dia ke Klinik Perol untuk pemeriksaan sekali lagi.

Masih normal. Mungkin angin sesat, kata doktor. Alhamdulillah. Doktor menyuntik ubat di lengan selain memberi ubat untuk dibawa pulang.

Melihat dia yang kesakitan, saya hanya mampu berdoa. Tidak saya tahu cara terbaik yang bagaimana untuk melegakan dia. Sekarang dia sedang tidur. Pening dan mual katanya. Kesan suntikan ubat tadi barangkali.

Kakak ipar saya pula sedang bertarung di ICU sudah berminggu-minggu. Awalnya kritikal, kemudian kelihatan beransur baik tetapi sejak semalam kembali kritikal. Doktor mengesan udara pada lehernya yang mungkin akibat paru-parunya bocor (pneumothorax). Allahuakbar!

Sesungguhnya Covid itu benar. Tidak terbayang resah gundah di hati anak-anak dan keluarganya saat ini. Suami saya pun kelihatan tidak bermaya hari ini mungkin kerana risaukan kakaknya itulah. Tetapi kerana lelaki perlu kuat, dia tidak menzahirkan. 

Jam 11.13 pagi tadi, sewaktu suami saya di klinik saya menyambung bacaan Quran surah An-Naml. Sedang saya di muka surat kedua, tiba-tiba jantung saya berdegup kencang. SVT kembali lagi. Saya tersentak dan cuba mengurut sendiri di pangkal leher saya dan Alhamdulillah ia tidak berpanjangan. Ya Allah! Saya risau benar dengan SVT ini. Datangnya tidak pernah mahu memberi tanda. 

Saya perasan, jika jiwa saya kacau akan berlakulah SVT ini. Saya perlu gembira setiap hari barulah tiada serangannya. Tetapi bolehkah?

Memikirkan persekitaran kini, tekanan tidak boleh saya elak. Banyak perkara sering mengganggu ketenteraman fikiran saya. Tentang keluarga terutamanya.

Ya Allah, kepada-Mulah kami bermohon. Lindungilah kami ya Allah!

Tidak Tertanggung

Shared from a good friend. And now to share to all of you.

1. Isolate yourself from news about the virus. (Everything we need to know, we already know).

2. Don't look out for death toll. It's not a cricket match to know the latest score. Avoid that.

3. Don't look for additional information on the Internet, it would weaken your mental state. 

4. Avoid sending fatalistic messages. Some people don't have the same mental strength as you (Instead of helping, you could activate pathologies such as depression).

5. If possible listen to music at home at a pleasant volume. Look for board games to entertain children, tell stories and future plans. 

6. Maintain discipline in the home by washing your hands, putting up a sign or alarm for everyone in the house.

7. Your positive mood will help protect your immune system, while negative thoughts have been shown to depress your immune system and make it weak against viruses.

8. Most importantly, firmly believe that this shall also pass and we will be safe!

 9. No jokes on Corona!

 Stay positive.
Stay safe.
Stay home.

Monday, May 24, 2021

Mohon Doa

Ini kakak ipar saya, Rohaizan Salleh, berusia 61 tahun.

Sejak 3 Syawal, dia dimasukkan ke wad kerana jangkitan Covid 19. Pada hari Jumaat lepas, keadaannya semakin merosot. Oksigen darahnya menurun dan dipindahkan ke ICU untuk bantuan pernafasan. Hari ini sudah hari ketiga dia berada di ICU dan keadaannya tidak banyak berubah. Jika oksigen semakin menurun, dia mungkin akan ditidurkan dan diberi bantuan ventilator. Setakat ini dia masih bertahan.

Saya mohon saudara-saudara saya yang saya kasihi, yang membaca tulisan ini untuk menghulur doa setulus hati agar kakak ipar saya diberi kesembuhan. Suami, anak-anak, ibu dan adik beradiknya sedang menanti dalam kesedihan. Tidak terhitung resah dan gundah dalam hati-hati mereka, malah dalam hati saya juga.

Doakanlah agar kakak ipar saya sembuh dan kembali sihat, dipanjangkan umur dan diampunkan dosa-dosanya. Kami masih memerlukan kehadirannya dalam hidup kami.

Friday, May 21, 2021

Hukum

Ada dua hadis berkenaan pengakuan zina di mana penzina minta dijatuhkan hukum hudud.

Satu hadis, yang mengakunya lelaki. Nabi SAW seboleh-bolehnya tak nak dengar pengakuan, tanya soalan-soalan supaya lelaki itu menafikan pengakuan tersebut. Adakah kamu mabuk, atau adakah kamu sekadar bercumbu-cumbu? Bila lelaki itu berkeras mengaku dan minta dihukum lalu baru Nabi perintahkan dia direjam. 

Bila direjam, lelaki itu kesakitan dan nak lari tapi berjaya dihalang dan akhirnya dia pun mati. Bila diberitahu pada Nabi, Nabi tanya, "kenapa tak biarkan saja dia lari?"

Lagi satu hadis, yang mengakunya wanita yang mengandung akibat zina. Nabi SAW suruh pergi beranak dulu. Lepas beranak, wanita tu datang lagi minta dihukum. Nabi suruh balik susukan pula bayi tu. Lepas beberapa tahun, dia datang balik dengan bayi dan roti untuk tunjuk dah putus susu. 

Ada ulamak mentafsirkan yang Nabi suruh beranak, susukan bayi, supaya wanita itu dah tak datang dah, dan tak mintak dihukum lagi setelah tempoh yang lama. Tapi, sebab wanita ni nak disucikan juga dari dosa zina melalui hukuman, maka akhirnya Nabi perintahkan hukuman dilaksanakan.

Selepas selesai hukuman, Nabi sembahyangkan pula jenazahnya. Bila sahabat tegur, Nabi bagitahu tentang taubat wanita ni yang sangat besar nilainya.

Nampak tak sangat beza akhlak sebahagian kita yang Muslim yang mengaku cintakan Nabi dengan akhlak yang ditunjukkan Nabi? Dengan cepat kita menghukum dan mencela, sedangkan Nabi SAW berusaha agar yang mengaku berzina itu tarik balik pengakuan dan bertaubat. 

Ada budak mengaku terlanjur, dan period tak datang dan tanya kepada Syed Azmi sama ada kalau pergi check dia mengandung ke tidak dekat Klinik Kesihatan, boleh kena tindakan ke?

Ada komen-komen terus kecam budak tu, walhal apa yang ditulis dekat status tu untuk membantu mereka yang masih takut dengan tindakan pihak berkuasa untuk cari penyelesaian. 

Katakanlah budak yang bertanya ini berterusan dikecam, jadi takut, depresi dan hilang arah sebab dah terlanjur, kemudian bunuh diri, atau bunuh bayi dalam kandungan jika betul dia mengandung atau buang bayi, apa isu pun tak selesai. 

Takpun, dia berterusan hidup dalam zina sebab ada pula sebahagian komen lain yang menolak cadangan supaya dia menikah atas alasan 'nikah bukan penyelesaian' kerana isu-isu berkaitan kawin muda dan perceraian. 

Dalam Islam, nikah itu juga adalah salah satu kaedah penyelesaian isu zina. Kita mudahkan nikah. Kalau perkahwinan gagal, kita mudahkan urusan cerai. Isu kesempitan hidup lepas cerai, soal nafkah anak, dan lain-lain boleh diuruskan kemudian.

Kita selalu nampak ayat seribu dinar (At-Talaq ayat 2) yang disalahguna macam tangkal dekat kedai mamak walhal tafsir ayat itu antara lain menyatakan cerai juga adalah satu kaedah penyelesaian isu rumahtangga. Jika kita bertakwa dan bertawakal, nescaya ada jalan keluar dan sumber rezeki yang tidak disangka-sangka.

Ya, Quran sebut jangan hampiri zina. Isunya, zina tu dah berlaku. Maka, apa penyelesaiannya? Hukuman hudud? Itu kalau dengan persaksian bila dah kantoi. Tu pun syaratnya sangat ketat dan ada hukuman juga kepada yang tuduh orang lain berzina.

Quran dan hadis dengan jelas perintahkan jangan buka aib sendiri. Taubat. Pengampunan dan rahmat Allah itu sangat luas. Bukan sesempit pemikiran sebahagian kita yang mengaku beragama ni.

Entahlah. 

Mungkin sebahagian kita lebih rela orang ke neraka dengan kecaman kita daripada bantu yang berdosa kembali ke jalan syurga? Seronok lah iblis syaitan sebab ada yang nak buat kerja depa cepatkan manusia masuk neraka.

Wallahualam.

Sekian.

Sumber: Fb Sayuti Azmi

Thursday, May 20, 2021

Masa Lalu

Antara sebab saya suka menonton filem lama ialah saya mahu melihat suasana pada waktu dahulu. Saya seorang yang nostalgik, terlalu menghargai masa lalu saya dan selalu teringin untuk kembali melaluinya.

Masa lalu dan masa kini jauh berbeza tetapi masa lalu tetaplah masa lalu yang sudah tidak mungkin kita temui. Jikalah "time travel" itu wujud, saya mahu sekali mengembara ke zaman 40an, sewaktu dunia masih belum hanyut dengan teknologi. Sewaktu alam masih indah dihiasi pelbagai panorama asli dan dunia seperti masih suci.

Walaupun perang sudah kerap berlaku, dan penjajahan sedang melebarkan sayapnya juga kemiskinan membelenggu, saya tetap nampak suasana yang sejuk dan nyaman, serta keharmonian yang mendamaikan.

Untunglah masih ada filem-filem lama yang boleh saya susuri pandangannya walau hanya pada layar putih.

Wednesday, May 19, 2021

Swab Test Ma

Petang semalam, seperti selalu saya menelefon ma. Sejak Kak Zan suami isteri disahkan positif Covid pada 15 Mei, saya menelefon ma setiap hari bertanya khabar. Risau kalau-kalau ma bergejala. Maklumlah ma dan Kak Zan memang hari-hari berjumpa. Makanan pun selalu bertukar-tukar, dan pada hari akhir Ramadan itu Kak Zan ada memberi ketupat untuk ma.

Ma mengadu dadanya sakit apabila menarik nafas. Saya mula risau. Dari apa yang saya baca, sakit dada juga gejala Covid. Saya takut ma dijangkiti. Selepas Isyak saya telefon lagi. Ma kata masih sakit. Batuk tiada, demam pun tidak, tapi dadanya sakit. Sungguh saya semakin risau.

Seawal pagi ini, jam 6.20 saya telefon ma lagi dan ma kata masih rasa sakit. Saya tanya ma, mahu swabkah dan jawab ma, ya.

Lalu dengan bantuan suami saya sebagai pemandu, kami membawa ma ke klinik.

Mula-mula ke KK Perol. Rupanya sudah tiada ujian swab di situ. Semua perlu ke stadium di Bandar Kota Bharu. Kami pun ke sana.

Manusia ramai sungguh. Kasihan ma. Menunggu lama tentunya penat. Ma mudah sakit urat. Mujur adik bongsu saya menyarankan ke klinik Hydar Kamal. Saya menelefon klinik untuk kepastian dan pekerjanya itu meminta saya datang segera. Ujian swab hanya dibuat dalam kereta sahaja. Mudah.

Alhamdulillah, di klinik itu semuanya lancar dan layanan pekerjanya sangat mesra. Dengan kos RM260, ma selesai diuji dengan PCR dan esok baru dapat keputusan.

Lega saya. Pun menanti esok, masih ada debar. Ya Allah, semoga keputusan ujian swab ma itu negatif. Amin.




Tuesday, May 18, 2021

Cencaru

Zaman sekolah dahulu saya sedikit tidak gemar apabila dewan makan menghidangkan nasi dengan lauk ikan cencaru (kami panggil ikan jaket). Bukanlah sampai tidak mahu makan, cuma saya lebih sukakan lauk ayam. Selera budak-budak begitulah.

Apabila usia meningkat menghampiri lima puluh ini, ikan cencaru sangatlah saya suka. Saya boleh makan nasi dengan berseleranya walaupun hanya dengan ikan cencaru goreng kunyit, apatah lagi jika dibuat sumbat.

Cencaru sumbat resipi emak saya tidak pula saya jumpa di tempat lain. Resepi cencaru sumbag yang ada di internet selalunya sumbat kelapa atau sumbat sambal yang tidak sama adunannya dengan resipi emak.

Resipi emak tidaklah susah, tetapi saya jadikan lebih mudah menggunakan idea saya. Ya, idea orang malas dan nak cepat siap.

Ini resipi emak.

Cencaru sumbat sambal

Bahan-bahan:
2 ekor ikan cencaru sederhana besar, dibelah belakang
10 biji cili kering (boleh kurangkan kalau tak mahu pedas)
2 biji cili padi (optional)
5 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 hiris halia 
Sebatang serai
Sedikit belacan (optional)
Garam

Cara-cara:
1. Ikan dilumur garam dan diperap sebentar.
2. Tumbuk lumat semua bahan, dan isi ke dalam ikan. Tidak boleh dikisar kerana air akan menyebabkan adunan basah dan susah untuk disumbat.
3. Goreng dengan api kecil sehingga sambal masak.

Versi saya, jika saya malas nak menumbuk lama, saya gantikan cili kering dengan serbuk cili Baba's. Ok juga.

Friday, May 14, 2021

Syawal Syahdu

Tuhan sahaja yang tahu perasaan dalam hati saya bila tidak mampu beraya dengan ma, walaupun kami berdekatan.

Terasa kejamnya kenyataan, apabila menghalang kami bertemu pada hari penuh kemuliaan ini. Seperti mahu saja saya melanggar peraturan untuk pergi juga ke rumah ma, biar pun nanti saya ditangkap dan didenda. Begitu hati saya berkata.

Ma pula, tenangnya amat. Dia seperti tidak mahu bersedih dan menerima setiap kenyataan aturan Tuhan ini sereda-redanya. Sendirian di pagi Syawal tanpa anak-anak dan cucu-cucu, ma rela. Kuat sungguh hati ma.

Sedang saya, sentiasa menangis tak kira masa. Sebelum berbuka pada 30 Ramadan itu, ternampak-nampak wajah ma. Selepas solat dan berdoa, teringat-ingat rumah ma. Sebelum tidur pula, terdengar-dengar suara ma. Mahu saja rasanya terbang ke rumah ma dan beraya bersama ma. Tanpa suami rasanya lebih mampu saya tempuh berbanding tanpa ma.

Tetapi begitulah, saya akur dengan setiap ketetapan. Saya serahkan ma dalam jagaan Allah yang Maha Baik. Nanti bila keadaan pulih, saya berdoa agar ada ruang untuk saya bersama-sama ma dengan lebih akrab. Kesempatan yang jarang ada sejak saya menjadi seorang isteri, ditambah pula dengan penularan Covid yang entah bila mahu berhenti.

Semoga Covid ini segera berlalu dan membuka ruang untuk kami berkumpul kembali.

Tuesday, May 11, 2021

Nampak Sesuatu

Langit itu berawan atau tidak, ia kekal menunjukkan kesempurnaan kejadian ciptaan Tuhan. 

Ø«ُÙ…َّ ارْجِعِ الْبَصَرَ ÙƒَرَّتَÙŠْÙ†ِ ÙŠَنقَÙ„ِبْ Ø¥ِÙ„َÙŠْÙƒَ الْبَصَرُ Ø®َاسِئًا ÙˆَÙ‡ُÙˆَ Ø­َسِيرٌ . 

Tidak perlu diceritakan yang kita telah bertemu Lailatul Qadar, seakan-akan kita "mengatasi" hamba-hamba al-Rahman yang memilih pendirian bahawa melihat tanda-tanda itu bukanlah keutamaan. "Tanda-tanda" yang kita temui, sama ada mengundangkan perdebatan tanpa kesudahan, atau kekecewaan mereka yang tidak pun menemui tanda yang berkenaan. Dan di akhirnya ketahuilah, ibadah itu hakikatnya melahirkan kerendahan dan kehambaan, bukannya kebanggaan untuk disebarluaskan. 

Kekalkan posisi kita kepada malam al-Qadar itu pada sifat ghaibiyyatnya, ÙˆَÙ…َا Ø£َدْرَاكَ Ù…َا Ù„َÙŠْÙ„َØ©ُ الْÙ‚َدْرِ . Nyahkanlah seketika media sosial dari amal ibadah kita, agar pahala keikhlasan itu berkekalan beratnya di timbangan Tuhan.

Petikan tulisan Ustaz Syaari Ab Rahman

https://www.facebook.com/1265064343/posts/10225961135236050/

Sunday, May 09, 2021

Kalau Dulu

Biasanya pada hari 27 Ramadan seperti hari ini, rumah ma sudah penuh dengan anak-anak. Yang dari Johor, dari Perak, dari Terengganu dan dari Putrajaya akan pulang dan berbuka puasa di rumah ma.

Rumah ma banyak bilik, cukup untuk semua anak ma yang pulang. Kami yang tiga orang di Kelantan ini sudah ada rumah sendiri, jadi tidak lagi bermalam di rumah ma. Rumah kami dekat-dekat sini saja, hanya lima ke sepuluh minit memandu.

Cucu-cucu ma seronok bermain, yalah lama-lama sekali baru jumpa. Areef akan tidak sabar mahu jumpa Muiz dan Sufi adik beradik. Yang perempuan selalunya malu-malu, tetapi Wafa tentu seronok dapat bermain dengan si kembar Huda dan Hana.

Pagi raya pula, juadah siap di meja hasil air tangan anak menantu. Selalunya ma akan meminta nasi dagang dan nasi impit kuah kacang, menu kegemaran ma sejak lama. Anak-anak ma tidak susah, semua pun boleh buat secara pakatan nasional. Saya selalunya bahagian gulai udang. Sedap!

Tahun ini, ma akan sunyi. Ma kata ma tidak mahu masak apa-apa, cuma menanti makanan yang kami bawa. 

Tidak mengapalah ma, kami bertiga yang ada ini akan cuba menjadikan raya ma indah walaupun tidak seindah biasa. Kami tahu ma tabah dan sentiasa tenang, walaupun sayu. Ma rindu, tentunya. 

Doa-doalah biar Covid ini berlalu, dan kami dapat berkumpul ramai-ramai di rumah ma semula.

Bukan untuk kami, tetapi untuk ma.

Thursday, May 06, 2021

Lailatul Qadar

Hari ini 24 Ramadan, kita sudah berada di sepuluh hari terakhir bulan yang mulia ini. Sepuluh hari terakhir ini kita tentu mahu memanfaatkan sepenuhnya kerana kita dijanjikan dengan Lailatul Qadar.

Tidak perlu tertanya-tanya malam bilakah ia tiba kerana ia pasti tiba. Peluklah setiap malam yang berbaki ini dengan penuh kasih agar tidak terlepas, dan tentu ada Lailatul Qadar di antaranya. Usah mencari tanda, usah mengintai bila tiba, penuhi sahaja setiap malam yang ada dengan munajat dan doa. Allah itu pengasih, pengampun, pendengar, pengurnia segala. Dia tahu ikhlas kita di mana. Berserahlah pada-Nya.

Salam pengakhiran Ramadan, semoga nanti kita masih punya usia untuk terus memeluknya.


Monday, May 03, 2021

Rentas

Bising pula apabila majlis Siti Nurhaliza dan pergerakan Neelofa dijadikan isu sebesar alam. Nasiblah, kalau Siti itu bukan artis dan Neelofa itu bukan selebriti siapa yang kisah, kan?

Pada saya, netizen memang keterlaluan apabila membongkar dan mempersoal setiap perbuatan orang yang dikenali. Malah bukan sahaja Siti dan Neelofa, abang burger yang didenda RM50k itu pun turut menjadi mangsa. Kasihan.

Konon netizen ini mahu mencari keadilan, mahu memberi maklumat yang tepat dan pantas tetapi mereka sebenarnya menyusahkan ramai orang. Saya sendiri rasa menyampah dan geram apabila setiap kali membuka Facebook, berita sebegitulah yang terpampang. Eh, tiada cerita lain ke?

Tahulah ramai yang marah tak boleh balik kampung raya ini tetapi cara membongkar cerita sebegitu tidak mengubah apa-apa, tetap tak boleh balik kampung!

Facebook, Twitter, Tik Tok dan macam-macam lagi media sosial yang ada kelihatannya sudah dikuasai oleh jari-jari yang tidak cerdik.

Sunday, May 02, 2021

Muhyiddin

Ayahanda saya diberi nama yang sangat indah oleh arwah datuk - Muhyiddin - yang bermaksud menghidupkan agama.

Arwah datuk saya seorang guru agama di Selatan Thailand dan pandai berbahasa Arab, jadi tentulah dia sentiasa mencari nama yang mempunyai maksud baik untuk anak-anaknya.

Tetapi apabila ayahanda saya datang ke Malaysia dan membuat kad pengenalan, namanya dieja "Myiddin" dan dibaca sebagai "Maidin". Wajah ayahanda saya sangat Melayu, sedangkan nama "Maidin" itu sinonim dengan keturunan India Muslim di Pulau Pinang. 

Ditakdirkan, ayahanda saya bertemu jodoh dengan bonda saya, Rahmah yang berketurunan Pakistan (mengikut cerita bapa saudara saya, Pakda Muhammad). Bonda saya memang berwajah kacukan sedikit, berhidung mancung dan bermata bulat. Apabila kami anak-anak lahir, memanglah membawa genetik bonda.

Sewaktu saya di sekolah menengah, wajah dan nama saya seperti seiring. Saya selalu dipanggil dengan nama ayahanda saya oleh budak-budak lelaki yang mengusik. Sesuailah dengan kulit gelap saya. Tetapi sungguh, saya tidak ambil hati. Saya sedikit pun tidak marah malah tersengih-sengih saja apabila nama saya disebut begitu. 

Di matrikulasi, guru Kimia saya menyangka saya berasal dari Pulau Pinang apabila melihat nama dan wajah saya. Terkejut dia bila saya kata saya Ore Kelate. Tak sangka, katanya.

Begitu nama saya berperanan. Tetapi kenyataannya saya bangga dan bersyukur dengan setiap anugerah Tuhan. Tidak pernah rasa ralat berbintikan Myiddin, walaupun sebenarnya Muhyiddin.

Kenapa perlu malu dengan nama sendiri, kan?


Saturday, May 01, 2021

Bulan Puasa

Sudah 19 hari Ramadan ditempuhi hari ini. Alhamdulillah, terasa lebih segar daripada selalu.

Tiga hari pertama kami melaluinya di sekolah, dan hari-hari seterusnya kami diarahkan untuk bekerja dari rumah (PdPR). Kami akur dan menerima seadanya.

Walaupun, sesungguhnya saya mengharap untuk bekerja di sekolah.

Kenapa? Bukankah saya suka Ramadan di rumah?

Ya, selalunya begitu tetapi tidak kali ini. Sudah tiga bulan saya membiarkan anak murid saya belajar secara maya. Apabila kembali ke sekolah, mereka seperti tidak tahu apa-apa dan saya perlu mengulang. Saya kasihan pada mereka kerana berdepan dengan situasi sukar ini pada saat SPM bakal tiba. Dan hanya selepas dua minggu bersama mereka, kami terpisah lagi.

Saya sedih. Saya risau. Saya takut. Itu perasaan saya. 

Semoga cepatlah Covid ini berlalu, dan saya dapat kembali bekerja secara normal demi anak-anak murid yang saya kasihi.