Friday, August 12, 2022

Hidup dan Ujian

Melihat sekeliling, saya seperti antara yang dipermudah laluan kehidupan. Bukan tiada ujian, tetapi seringkali ujian itu saya terima sebagai satu anugerah.

Dari usia mentah, saya dikelilingi insan-insan yang prihatin dan tidak membebankan. Ibu, bapa, keluarga, teman-teman, guru-guru dan semua di sekeliling saya adalah pendorong hebat yang sentiasa saya syukuri. Luar dan dalam, saya diberi motivasi dan semangat yang berpanjangan oleh sekitar yang mendorong.

Sesekali, saya diuji dengan sakit yang agak menekan tetapi setiap kali itulah, Tuhan memberi saya penawar yang amat berharga.

Selasa lalu, saya tiba-tiba pening dan muntah berkali-kali di sekolah. Betapa peritnya rasa apabila mata langsung tidak mampu saya buka. Berpusing seluruh ruang dan saya terbaring lesu di tempat rehat dalam bilik saya.

Mulanya saya hanya mahu bersendirian, enggan menyusahkan siapa-siapa dengan ketidakupayaan saya itu. Kepada suami pun tidak saya maklum, sehinggalah jam menghampiri waktu pulang. Sangka saya pening saya itu akan kebah juga dan saya boleh berjalan turun tetapi malangnya ia tidak begitu.

Sewaktu saya muntah di bilik air, ada rakan guru yang nampak. Dia terus menggosok-gosok belakang saya, memberi saya minyak angin dan menghubungi rakan sebilik saya supaya dapat datang membantu saya. Rakan-rakan lain juga berulang-ulang mengunjungi saya, walaupun saya tidak mampu langsung untuk melayan tanya dan hanya terbaring sambil memejam mata.

Allahu akbar. Baik sungguh semuanya. Terima kasih Tuhan, memberi saya persekitaran yang prihatin dan sentiasa ada untuk membantu. Saat suami saya tiba untuk menjemput saya, mereka masih ada di sisi untuk membantu hingga saya selamat dibawa ke kereta.

Di rumah pun, mereka masih menghubungi untuk bertanya khabar.

Mereka umpama keluarga, dan saya bersyukur sesungguhnya. 

Kepada emak, saya bercerita juga setelah terasa pulih dan mampu bersuara. Terima kasih emak, memberi saya rasa tenang setiap kali mendengar suara emak yang damai. Adik-adik saya yang jauh dan dekat turut memberi kata-kata indah yang sesungguhnya meredakan segala kepedihan.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Hari ini saya sudah semakin sihat. Apa yang saya lalui pada Selasa itu sekadar satu episod pendek sebuah kesakitan yang tidak sekuat mana, tetapi banyak ibrah dapat saya petik.

Terima kasih semua. 

No comments:

Post a Comment