Wednesday, August 31, 2022

Terima Kasih Sayang

Petang semalam, sepulang dari sekolah saya menemani Kak Sham ke kedai emas. Awalnya kami ke Makmur Gold kerana ada promosi diskaun sempena hari kebangsaan. Harga ditawarkan cuma RM247 sahaja untuk satu gram emas 916. Murahlah tu. Setiba kami di situ apa yang kami lihat, barang yang ada sangatlah sedikit. Mungkin promosi sebegini sebenarnya untuk menghabiskan stok sahaja, getus hati kecil saya. Tak apalah Kak Sham, kita ke kedai lain.

Kak Sham membawa saya ke Natika Gold & Diamond di bandar Kota Bharu. Ini kali pertama saya mendengar nama kedai emas yang terletak di Jalan Buluh Kubu ini. Sebaik kami sampai, kami disapa mesra oleh pekerjanya dan mereka melayan kami dengan sungguh berbudi pekerti. 

Kak Sham mula memilih gelang tangan dan cincin. Saya pula ke bahagian rantai. Memang saya berhasrat membeli seutas rantai baru kerana saya sudah ada banyak gelang dan cincin sedang rantai hanya dua utas.

Banyak betul pilihan di sini. Berpinar juga mata melihat kelipan-kelipan yang cantik-cantik di depan saya ini. Saya mula memilih dengan bantuan adik manis yang sopan itu.

Diringkaskan cerita, saya tertarik dengan seutas rantai bercorak anggur seberat 48.44 gram. Cantik betul pada pandangan saya. Bila dikira harganya, sehabis rendah dia menawarkan RM12,850. Saya cuba meminta harga RM12,000 tetapi dia menolak. Rendah sangat katanya. Design anggur upahnya mahal. Begitu katanya. 

Tak apalah, saya tidak mampu lagi buat masa ini. Saya cuba meraih simpati, mana tahu menjadi. Tetapi adik manis itu tetap mempertahankan harganya, tidak menerima harga saya.

Lalu saya beralih ke sisi kak Sham, melihat dia memilih dan menawar sehingga selesai. Kak Sham membeli empat barang seberat 98.3 gram semuanya dengan harga RM25,800. 

Apabila kak Sham selesai, saya mencuba lagi bertanya harga rantai itu dengan adik yang melayan kak Sham tadi. Sama sahaja, dia memberi harga RM12,850 juga. Saya mengatakan saya tidak berani mengambil harga itu tanpa persetujuan suami. Dengan nada mesra dan sopan, adik yang kacak itu meminta saya datang lagi esok bersama suami. Pandai betul dia memancing hati saya.

Di rumah, saya teringat-ingat rantai itu, lalu saya ceritakan pada suami saya. Rupanya suami saya sangat baik hati dan memahami keinginan saya. Langsung dia mengajak saya ke sana esok, dan mengizinkan wangnya diguna untuk membeli rantai itu.

Saya teruja sesungguhnya!

Jadi hari ini kami berdua ke sana untuk menyelesaikan segalanya. Kebetulan pula harga emas turun sedikit hari ini jadi dapatlah dikurangkan RM100, menjadikannya RM12,750.

Alhamdulillah. Terima kasih sayang!



No comments:

Post a Comment