Kawan saya yang seorang ini setiap hari mempromosi akaun emas. Simpanlah emas untuk masa depan katanya.
Betul, emas berharga dan berguna. Simpan emas dapat mengekalkan nilai, tidak seperti tunai yang akan susut nilainya seiring masa. Tetapi, apa pun yang kita buat biarlah dengan ilmu.
Saya ada pandangan tersendiri di sini. Mungkin berbeza dari orang lain tetapi saya memegang pandangan ini sejak lama dan saya nampak kesannya.
Emas bukanlah untuk simpanan jangka pendek. Membeli emas biarlah apabila kita sudah ada simpanan tunai yang cukup yang dapat kita capai jika terdesak. Emas, jika dibeli hari ini dan dijual esok kita akan rugi. Jadi pegangan saya ialah simpan tunai dahulu baru emas.
Tunai kita sekurang-kurangnya biarlah ada tiga bulan gaji, dan itu benar-benar untuk simpanan kecemasan, jangan diusik langsung. Jika apa-apa berlaku di luar jangkaan kita yang menyebabkan pendapatan kita hilang, kita boleh bertahan selama tiga bulan dan dalam tiga bulan itu insya Allah kita sempat mencari jalan untuk kelangsungan hidup seterusnya.
Manakala emas, itu adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan tempoh lebih sepuluh tahun untuk kita rasa untungnya. Untung emas pula berbeza dengan pelaburan lain yang kita boleh ambil dividennya sahaja, manakala pelaburan pokok boleh dilabur lagi dan lagi. Sekali emas dijual, ia terjual semuanya dengan pokok dan dividen.
Pandai-pandailah mengurus kewangan, kerana tanpa ilmu kita akan kesesatan.
No comments:
Post a Comment