Jam 6.56 pagi saya tiba. Sudah ada beberapa pesakit yang menunggu di hadapan kaunter. Saya tidak buru-buru, kerana selalunya urusan mengambil darah sangat cepat selesai. Dan sungguhlah, saya dipanggil ke bilik rawatan dan selesai dicucuk (tanpa rasa sakit pun, terima kasih misi yang sangat lembut dan sopan) pada jam 7.50 pagi.
Perut sudah berirama, maka perlulah saya penuhi permintaan ini dahulu. Saya menuju ke cafe untuk nasi lemak dan teh tarik. Tenang saja saya santap sendirian sambil memerhati keliling. Ragam manusia tidaklah begitu berbeza, tekun semuanya menikmati rezeki seperti saya juga.
Agenda seterusnya, saya ke farmasi untuk mengambil ubatan. Tidaklah lama menunggu. Awal pagi memang begini, tenang dan aman. Selesai di situ, saya ke klinik O&G pula untuk mengambil tarikh temujanji.
Sebenarnya, tarikh saya patut ke mari ialah pada 26/7/22 lepas, tetapi saya sengaja tidak hadir. Tahukah anda ada waktu-waktunya saya rasa sangat malas dan bosan untuk berada di klinik O&G yang sudah saya hadiri sejak 1998 lalu? Mungkin anda tidak tahu, tetapi itulah yang saya rasa. Jadi saya ponteng. Tetapi, saya tidak mahu temujanji saya di sini terkubur begitu saja. Saya masih memerlukan pemeriksaan dari pakar-pakar di sini kerana sakit saya ini belum sembuh. Jadi saya mengambil keputusan untuk meminta tarikh baru.
"Misi, saya terlepas tarikh temujanji pada Julai lalu. Bolehkah saya ambil tarikh baru?" Ujar saya sambil menghulur kad temujanji yang sudah lusuh itu.
"Boleh, tetapi kekosongan yang ada hanya bermula pada bulan sebelas," jawab misi itu dengan sopan.
"Ok, tak apa.."
Dia berlalu untuk mengambil rekod temujanji, manakala fikiran saya masih berkira-kira. Kalau temujanji saya ini jatuh pada masa cuti sekolah lagi bagus bukan?
"Misi, boleh tak kalau saya mahu bulan dua belas? Cuti sekolah lagi mudah saya datang. Lepas sembilan haribulan kalau ada.."
"Boleh.." tersenyum misi itu menjawab.
Saya tahu mereka di sini lagi suka kalau saya minta tarikh lambat. Tarikh yang dekat-dekat ini sudah hampir penuh, nanti kalau ramai tentu mereka penat dan akan balik lewat. Saya faham, jadi saya cuba menggembirakan mereka.
"13 haribulan boleh?" Tanya misi itu dan saya mengangguk setuju.
"Puan sakit apa sebenarnya?" Dia bertanya. Saya maklumkan tentang masalah cyst dan fibroid saya, dan dia meminta saya hadir ke kecemasan jika ada masalah yang mendesak. Baiklah misi, terima kasih.
Saya sempat ke mesin ATM sebentar untuk mengeluarkan wang yang Ma pesan, dan pulang nanti saya akan singgah di rumah Ma untuk menyampaikan wang itu. Tunggu ya Ma!
Jam belum pun ke angka sembilan, semua urusan saya sudah selesai. Oh ya, saya bercuti CRK hari ini kerana saya malas mahu pulang ke sekolah. Saya mahu melayan diri sendiri seadanya.
Saya mahu menuju ke KB Mall untuk meronda-ronda di sana, tetapi jam sepuluh baru KB Mall buka. Di sinilah saya dahulu, di kerusi batu di hadapan HUSM ini menulisi hantaran ini sementara menanti waktu sesuai memanggil Grab.
Sekian.
No comments:
Post a Comment