Wednesday, August 17, 2022

Peperiksaan

Minggu ini anak-anak didik saya sedang diuji dengan peperiksaan penggal 2. Saya hanya menjadi pemudahcara dengan membantu mereka memahami pelajaran dan mengulangkaji.

Peperiksaan pada saya hanyalah satu alat dalam menilai dan mengukur, malangnya di negara kita peperiksaan sudah dijadikan satu matlamat hidup. Sukar sekali untuk mengubahnya.

Apabila UPSR dan PT3 dimansuhkan, kedengaranlah suara-suara yang tidak berpuas hati, marah dan tidak setuju. Kata mereka, bagaimana mahu mengukur pencapaian murid? Tanpa peperiksaan, murid tiada motivasi dan akan hanya bermain-main tanpa mahu belajar. 

Jauh lagi perjalanan kita dalam meletakkan pendidikan pada tempat sebenarnya. Sangat jauh, sehingga saya mahu katakan ia hampir mustahil. Pada hal, dalam era dunia tanpa sempadan ini kita boleh saja mencari maklumat bagaimana sistem pendidikan dan acuannya di negara lain, untuk kita ambil pedomannya dan diaplikasi di sini. Tetapi seringkali akan ada juga nanti suara-suata yang mengatakan, situasi mereka dan kita tidak sama. Negara mereka lain, negara kita lain.

Ya, negara kita memang lain. Di sini, potensi anak-anak tidak pernah mahu kita kenali sebaliknya membiarkan mereka bersaing dalam arena yang sama walaupun potensi berbeza. Bilangan A lah yang kita kejar dan kejar, hingga sanggup apa saja demi A. Pada hal, anak kita yang menggenggam A berderet itu tidak faham pun asas-asas ilmu keran A yang mereka peroleh hanya kerana teknik menjawab dan latih tubi.

Saya sedih. Sedih kerana dalam kalangan guru sendiri pun masih ramai yang sesat dalam perjalanan memartabatkan ilmu. Mereka masih memuja peperiksaan seumpama peperiksaanlah segala-galanya.

Memang tindakan KPM menghapuskan UPSR dan PT3 itu satu keputusan yang mengejutkan tetapi ia bukan terburu-buru. Cuma mungkin mekanisme penilaian yang menggantikan peperiksaan itu masih perlu diperhalusi kerana PBD juga belum begitu sesuai di sini. Masih banyak yang perlu KPM perlu kaji dalam memastikan anak-anak kita menjadi sumber manusia yang berkualiti, bukan hanya mengejar A tetapi kecerdasan lain terketepi.

Semoga ada jalannya dan semoga Allah memberi kekuatan fikiran kepada pemikir-pemikir di KPM dalam menjana idea dan menggunakan kepakaran yang ada.

Saya hanya mampu berdoa agar Malaysia terjaga sentiasa.

No comments:

Post a Comment