Monday, November 03, 2025

Menaruh Harapan

1987
Seorang penyanyi baru mula mencipta nama dalam bidang seni suara di negara ini. Namanya Zaiton Sameon.

Saya sedang berada di Tingkatan 3 di MRSM Kuala Terengganu. Sebagai remaja yang baru berusia 15 tahun, tentunya saya sangat mengambil tahu tentang artis-artis di Malaysia. Apatah lagi saya memang suka muzik dan lagu.

Mendengar lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon yang dicipta A. Ali dan lirik oleh Habsah Hassan yang sangat popular pada masa itu, saya terpesona. Indah melodi, indah liriknya dan merdu suara penyanyinya. Gemersik.

Tetapi saya tidak gemar dengan penampilan Zaiton Sameon. Dia suka memakai skirt mini menampakkan lutut dan betisnya yang cantik. Pada saya, tidak sopan dan nampak seksi.

Ditambah pula bila ustazah saya berkata, lihatlah penyanyi Zaiton Sameon itu, dia tidak cantik jadi kena pakai seksi baru orang tengok. Mungkin ustazah sedang mendidik kami supaya tidak berpakaian begitu.

Jadi saya tidak meminati penyanyi Zaiton Sameon ini. Hanya lagunya yang saya suka. Penyanyi kegemaran saya pada waktu itu ialah Sudirman, Syed Sobrie dan Francesca Peters.

Pada tahun 1990, kami dikejutkan dengan berita Zaiton terlibat dengan kemalangan jalan raya yang mengorbankan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang baru berusia 11 tahun. Dia cedera parah dan berbulan-bulan terlantar di hospital.

Saya terbaca dalam satu majalah, seorang penulis menganggap kemalangan itu sebagai kifarah kepada Zaiton dan berharap Zaiton akan bertaubat.

Lama berita tentang Zaiton tiada. Dia menyepi kerana selepas kemalangan itu kesihatan dan kecergasannya tidak lagi seperti dahulu. Sesekali tersapa berita tentangnya, hati saya selalu tersentuh. Saya dapat rasa betapa tabahnya wanita ini menempuh ujian kehidupan yang perit dan pedih.

Hari ini, saya berasa mahu menulis tentang dia kerana terlihat video nyanyiannya dalam Gegar Vaganza malam tadi yang dikongsi di Facebook. Dia berpakaian hampir sama dengan pakaiannya sewaktu menyertai Juara Lagu 1987, gaun merah berkilau-kilau, cuma sekarang dia mengenakan tudung. Mendengar suaranya, saya tiba-tiba menjadi sayu. Dia masih memiliki suara dahulu, yang pernah menyentuh hati saya cuma dahulu saya memandang dia dengan rasa tidak suka. Kini saya insaf, dia hanya seorang manusia biasa dan apalah hak saya untuk memandang dia sebegitu. Kami sama-sama hamba Tuhan yang mencari reda-Nya.

Semoga ada sinar buat wanita tabah ini. Amin. 



No comments:

Post a Comment