Menerima tetamu menjadi satu beban kepada seorang saya yang introvert ini. Bukan menolak, tetapi janganlah berlama-lama, nanti jiwa saya kacau.
Beberapa tahun lalu, sewaktu mek baru saja terlantar, saya menerima tetamu yang datang untuk mengeratkan persaudaraan sambil menziarah mek yang sakit. Kehadiran mereka sekeluarga sekitar jam 11 pagi ke teratak mek, kami sambut dengan senyum yang ikhlas. Kami berbual sambil menikmati hidangan teh o panas dan kuih. Mek yang terlantar ada di sisi mendengar celoteh kami. Tapi mek diam sahaja, tidak langsung menyampuk.
Banyak cerita berkisah, lucu dan indah bertukar ganti. Saya yang pendiam ini turut tersenyum melayan setiap kata bual mereka, sementelah mereka begitu rapat dengan suami saya. Kisah lama, kisah baru, cerita politik semua teradun dalam satu rasa.
Waktu berlalu, mek saya lihat sudah gelisah. Jam sudah ke 1.00 tengah hari, mereka belum mahu meminta diri. Suami saya yang sentiasa melayan tetamu dengan penuh adab, bertanya mereka adakah mahu makan tengah hari di sini? Dalam malu-malu, mereka bersetuju. Suami saya keluar membeli nasi kukus sebanyak 6 bungkus dan makanlah kami bersama-sama.
Saya mula tidak selesa. Lama sangat ni. Saya sudah berjanji untuk menziarah emak dan adik beradik saya di seberang tali air sana, tetapi mereka masih belum mahu pulang. Mek juga sudah basah lampinnya, mahu disalin segera. Suami saya pula sudah terlepas solat Zohor di masjid.
Mereka?
Masih mahu bercerita, belum sudah lagi mahu berbual. Allahuakbar!
Akhirnya sekitar jam 2 petang barulah mereka meminta diri untuk pulang. Si isteri menyalami mek dan menghulur sekeping sampul tanda ingatan, yang berisi sehelai not merah.
Sepulang sahaja mereka, bergegas saya memanggil kakak ipar untuk menyalin lampin mek dan saya bersegera ke rumah emak. Pun, masa cuma tinggal sedikit, saya cuma sempat di rumah emak sekitar 30 minit sahaja.
Hati saya menjerit. Jiwa saya lara sungguh hari itu. Sudah berhari-hari saya mencari ruang untuk berada di rumah emak dan bermesra dengan adik beradik, ia punah kerana kehadiran tetamu yang sangat lama di rumah mek. Saya geram betul!
Itulah, dalam menjaga ukhwah pun kita perlu ingat yang sahabat kita mungkin ada rancangan lain tetapi terbengkalai kerana kunjungan kita yang terlebih masa.
Berpada-padalah.
No comments:
Post a Comment