Wednesday, November 05, 2025

Meniti Usia



Sejak saya menjaga mek sakit ini, banyak yang bermain di fikiran saya tentang pelbagai perkara. Antaranya, tentang tanggungjawab ibu dan tanggungjawab anak.

Apa yang saya nampak, jarang benar seorang ibu (atau bapa) culas dalam tanggungjawab membesarkan anak. Sesusah mana pun dia, anak tidak akan dibiar kelaparan. Dia lapar tidak mengapa, asal anak kenyang.

Anak itu amanah yang besar, dan pada seorang ibu amanah itu tetaplah amanah walaupun anak itu sudah dewasa dan berusia. Tidak pernah lekang doa di bibir ibu agar anaknya terjaga dalam lindungan Tuhan setiap masa.

Apabila seorang ibu yang tua jatuh sakit, maka tentulah tanggungjawab menjaganya terletak di bahu anak-anak. Kali ini anak-anak akan terbeban kerana mereka sudah sedia ada tanggungjawab terhadap keluarga mereka juga. Suami, anak dan cucu mereka tetap perlu diberi perhatian pada waktu yang sama.

Maka terfikirlah saya, jika usia saya panjang saya tidak akan mahu menyusahkan ahli keluarga untuk menjaga saya pada waktu tua. Benar saya tiada anak (dan saya mensyukuri kenyataan ini kerana inilah yang terbaik buat saya), jadi tidak timbul tentang menyusahkan anak, cuma jika saya ada anak pun, saya tetap akan mencari penyelesaian sendiri untuk menangani hidup saya pada usia tua nanti.

Saya bersedia, insya Allah, untuk melalui hari-hari itu bermula dari sekarang. Merancang (walaupun tidak secara bertulis) untuk meletakkan diri saya di tempat-tempat yang sewajarnya demi ketenangan jiwa pada waktu tua nanti, telah dan sedang saya lakukan.

Saya sedih bila mendengar keluhan mek tentang anak-anak dan cucu-cucunya. Dia rindu sebenarnya, tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk mereka selalu ada di sisi mek. Mereka ada tanggungjawab lain mek, yang lebih utama.

Dan saya berjanji untuk tidak akan mengeluh jika semua insan yang saya sayang tidak lagi peduli pada saya bila saya tua nanti. Saya tahu saya akan merindui setiap mereka yang pernah hadir mewarnai hidup saya dengan lakaran bahagia, tetapi saya juga tahu mereka diperlukan oleh keluarga mereka dan tanggungjawab mereka lebih diperlukan di sana.

Saya akan mencari keselesaan saya di suatu tempat yang tenang dan sesuai dengan usia saya. Di tempat yang saya tidak perlu menyusahkan siapa-siapa. Di tempat yang ada penawar buat semua kesakitan saya.

Saya bersedia sesungguhnya. 

No comments:

Post a Comment