Sunday, September 22, 2019

Duduknya Seorang Guru

Selalu kami para guru Malaysia Abad 21 ini diingatkan agar sentiasa berdiri semasa mengajar dalam bilik darjah. Sebolehnya, jangan duduk langsung.

Ingin saya sarankan agar latihlah robot untuk menjadi guru, saya pasti robot-robot itu tidak akan merungut langsung jika disuruh berdiri berjam-jam.

Sedang saya, maaflah, saya tidak mampu. Saya mahu juga bertanya, tidak sampai ilmukah jika saya duduk?

Mendera guru dengan menyuruh mereka berdiri sepanjang sesi pengajaran adalah tidak wajar. Saya bukan mahu duduk tak bangun-bangun, saya cuma tidak mahu lutut saya dipaksa bekerja di luar upaya. Sewaktu memberi penerangan dan menyemak kerja murid tentulah saya berdiri dan berjalan, tetapi semasa murid menulis, berbincang atau membuat latihan biarlah saya duduk seketika. Kalau semasa duduk itu saya memberi penerangan atau arahan kepada murid, bukanlah ia sesuatu yang tidak baik. Pembelajaran masih berlaku dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan mengajar seperti itu.

Itulah yang dinamakan Pengajaran Abad ke 21.

Friday, September 20, 2019

Rindu Luar Biasa

Saya tidak tahu kenapa ia tiba. Selalu rindu ini mengganggu sehingga saya tersedu menahan tangis.

Selepas arwah Reda pergi, saya dilanda rindu tiba-tiba pada arwah uminya, bonda Asma'. Dan ia berlarut-larut sehingga kepada semua yang tiada. Arwah ayah, arwah Pak Su, arwah datuk, semua tiba dalam ingatan yang pilu. Saya rindu, sungguh rindu tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan untuk menghilang rindu itu. Hanya tangisan yang mengiring rasa tidak terperi.

Dalam lara mencari penawar rasa, saya terimbau ke suatu tempat untuk saya hadir memohon segala. Tanah Suci Makkah. Saya mahu ke sana lagi. Saya rindu tanah haram dan saya mahu menghadiahkan umrah buat semua yang saya rindu, seupaya yang saya ada. Lalu saya suarakan pada dia, suami tercinta. Abang, bawalah saya pergi umrah.

Suami saya setuju, Alhamdulillah.

Kali ini saya mencari yang lebih selesa dek kesihatan yang tidak seberapa. Selepas berbincang dan mengambilkira segala faktor, kami memilih Emraz Travel yang menawarkan pakej Safwah. Jaraknya dekat dengan masjid dan harganya berpatutan.

Setakat ini kami sudah menghubungi pihak Emraz dan sudah pun berkunjung ke pejabatnya di Bandar Baru Tunjong. Kami masih memikirkan tarikh yang sesuai dan setakat ini kami berhajat untuk memilih Januari 2020.

Tuhan, permudahkanlah, agar terlerai rindu ini.




Kisah 19

Semalam 19 September 2019 - comel je tarikhnya kan? Terasa ingin dinukilkan di sini apa yang berlaku pada tarikh indah ini.

Khamis sememangnya hari yang amat dinanti kerana ia hari terakhir bekerja setiap minggu. Walaupun pengisiannya sama sahaja tetapi auranya berbeza. Rutin di sekolah tetap serupa, sentiasa mengikut jadual yang ada. Tidak perlulah ditulis perkara yang sama berulang-ulang, bukan? Nanti bosan pula.

Ada beberapa perkara bukan rutin yang ingin saya simpan di sini.

Pertama, hari ini hari terakhir Nurul Afiqah bertugas sebagai guru ganti di sekolah ini. Terasa juga kehilangan dia, yang sentiasa menjadi teman bual saya selama lima minggu di sini. Teman-teman guru pun perasan betapa akrabnya kami, dan mengumpamakan saya sebagai penjaga yang baik untuk seorang anak saudara. Ya, saya sentiasa mahu menjaganya semampu saya dan doa untuk dia sentiasa ada. Anak yang baik begitu, siapa pun akan sayang bukan?

Kedua, sahabat lama saya yang amat saya kasihi, Azlin Ruzaini menjalani pembedahan fibroid hari ini. Awalnya dia tidak memberitahu tetapi membaca status medianya saya dapat menebak. Lantas saya bertanyanya dan dia mengiakan serta memohon doa saya agar semuanya selamat. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan selesai seperti yang dirancang. Doa saya untuk sahabat yang satu ini sentiasa mencurah-curah. Walaupun jarang berjumpa, kenangan yang dilakar lebih tiga puluh tahun lalu indah sentiasa. Allah akan menjagamu, sahabat.

Ketiga, dua orang rakan guru di sekolah ini sedang dirawat di hospital. Suriana dan Hairoul.

Suriana sedang dirawat di PPUKM, susulan pemindahan sum sum tulang yang dilaluinya dua tahun lalu. Rawatannya lebih kepada pemantauan dan saya sentiasa mendoakan Suriana akan sembuh sepenuhnya dari Leukemia yang dideritainya itu.

Hairoul pula sedang berada di wad 7S HUSM kerana komplikasi pelbagai penyakit yang dihidapinya. Semoga Allah memudahkan urusan Hairoul dan memberi kesembuhan untuknya yang masih muda dan memiliki anak-anak yang masih kecil. 

Keempat, cerita tentang kesihatan saya sendiri. Alhamdulillah batuk saya sudah semakin mengurang walaupun belum hilang sepenuhnya, dan badan saya juga terasa lebih bertenaga. Terasa seperti sihat tanpa penyakit, walaupun masih menanti rawatan jantung yang seterusnya. Semoga Allah mengangkat penyakit saya ini dan memulihkan saya kembali. Amin.

Monday, September 16, 2019

Batuk Lagi

Malam tadi saya ke klinik, jumpa doktor dan memberitahu saya batuk. Berapa lama sudah? Tanyanya. Lebih dua minggu, jawab saya.

Saya tidak berapa pasti tempoh sebenar batuk ini mula menghuni badan saya, tetapi saya terseksa sungguh. Sudah dua botol ubat batuk jenis berbeza saya habiskan tetapi ia belum mahu sembuh. Mungkin kali ini tidak seteruk yang pernah saya alami pada Januari 2018 dulu, yang mana saya tak boleh tidur langsung kerana batuk menggila. Batuk saya kali ini agak baik hati kerana membenarkan saya tidur lena pada malam hari. Hanya terjaga sekali dua apabila tekak kegatalan.

Doktor seperti terkejut bila saya kata sudah lebih dua minggu saya batuk. Langsung dia meminta saya membuat pemeriksaan TB jika masih belum sembuh selepas memakan ubat yang diberi nanti.

Tiga jenis ubat diberi kali ini, ubat batuk expectorant bena, antibiotik amoxyclav dan lozenge. Saya dikenakan bayaran sebanyak RM48.

Saya berdoa agar batuk ini sembuh dan saya tidak terjangkit TB. Saya sudah diuji dengan banyak penyakit Ya Allah, janganlah ada lagi kesakitan lain untuk saya.

Amin. Amin. Amin.

Tuesday, September 10, 2019

Boikot Lagi?

Boikotlah korang. Aku tak kuasa...

Aku Melayu, sayang dengan Melayu tapi aku tak benci bangsa lain. Aku benci orang jahat je. Kalau Melayu tu jahat aku boikot. Kalau bangsa lain yang baik aku tak boikot.

Aku orang Islam. Aku ikut perintah Tuhan aku. Tuhan aku ajar aku berkasih sayang tanpa mengira bangsa atau agama. Tuhan aku suruh hormat bangsa lain, hidup dengan harmoni dan jangan cari pasal.

Nabi aku pun berurusniaga dan berjual beli dengan orang Yahudi. Kenapa pula aku boikot?

Aku tak nak boikot. Aku nak hidup aman. Aku nak berkawan dengan semua orang. Aku tak nak bangsa aku jadi bodoh, jadi pak turut. Aku nak bangsa aku sentiasa kuat dan bijak. Sentiasa mencari nilai-nilai yang baik walaupun daripada bangsa lain. Itu ajaran Tuhan aku.

Korang tak nak? Lantak koranglah!

Kasih Tak Terhurai

Kau temui jalanmu, apakah kau pasti itu yang kau cari? Aku tak menyalahkan, bahkan merelakan, takdir itu takdir.

Namun ke mana dan bagaimana kubawa cintaku?

Pedih yang menampar, menambahkan luka padaku yang terlalu mencintaimu. Gemersik menikam tersayat sembilu, apakah ini kan berakhir?

Namun tangisanmu yang pernah kau titiskan waktu perpisahan, memberikanku tanda satu keraguan kian bergelora.

Namun siapakah bisa huraikan pertanyaan ini?

Hanyalah dirimu yang menyimpan rahsia, jawapan pasti yang kunantikan. Ku tetap menanti saat kau kembali ke asalmu, pangkuanku.

Sunday, September 08, 2019

Sabtu Lalu

Sudah Ahad rupanya hari ini. Sudah perlu saya meneruskan tugas saya di sekolah. Seperti selalu, berada di sekolah ada keseronokan yang tersendiri, tetapi bukan tentang itu cerita saya kali ini. 

Saya mahu menulis tentang betapa indahnya Sabtu saya semalam apabila hanya terperuk di rumah. Sungguh, begitu cara saya memanjakan diri dengan me time yang berkualiti, tanpa perlu bercuti ke mana-mana. Seawal pagi, selepas bersarapan suami saya keluar untuk urusan servis keretanya. Saya benar-benar menikmati kebersendirian yang enak. Tidak tahu mahu ungkapkan bagaimana, terasa bebas dan aman sekali fikiran. Lalu apa perlunya saya bercuti jika berada di rumah amat mendamaikan jiwa?

Khamis lalu, saya pulang ke rumah emak selepas tamat sekolah kerana suami saya ada jamuan tahunan. Pulang menumpang Afiqah sungguh memudahkan, terima kasih Afiqah. Emak mengkhabarkan dia mahu pulang ke Golok barang semalam dua untuk menziarah setelah lama benar tidak ke sana. Cadangnya hari Jumaat dia akan bertolak dan Alhamdulillah Husna sekeluarga sudi memenuhi hasrat emak itu. Sedang saya, terpaksa memenuhi harapan anak didik tingkatan lima saya yang mahukan kelas Matematik Tambahan dari lapan hingga sebelas pagi Jumaat itu.

Maka Sabtu sahajalah hari untuk saya berehat sepenuh hati. Nikmatnya bersama diri sendiri tidak terbanding dengan apa pun. Sungguh!

Esok Isnin, ialah cuti hari Keputeraan. Saya akan tetap ke sekolah untuk mengadakan kelas Matematik Tambahan. Harap Tuanku tidak marah dengan saya kerana saya bukan tidak mahu meraikan Tuanku, cuma anak-anak murid saya ini tidak boleh dibiar belajar sendiri. Apa nak buat, saya reda sahaja.

Friday, September 06, 2019

Kecindan

"Cikgu, kenapa cikgu lukis bulatan tu cantik aje. Saya lukis tak jadi!"

Anak murid saya di Tingkatan 4 itu spontan bertanya. Saya baru memulakan topik Sukatan Membulat dan menerangkan konsep radian ketika itu.

"Laa, mestilah cantik sebab cikgu kan orang beriman."

Saya menjawab selamba.

Serentak satu kelas pecah ketawa. Rupa-rupanya kelakar benar jawapan selamba saya itu. Lama tawa mereka bergema, dan saya tersenyum bahagia.

Begitu momen tercipta, tanpa satu perancangan, ia terhasil spontan. Bukan mereka sahaja tercuit hati, saya pun turut terhibur mendengar tawa mereka. Tetapi setakat itu sahajalah, tiada sambungan lagi kerana saya meneruskan proses PdPc saya dengan serius.

Saya bukanlah guru yang kelakar, malah saya tidak pandai berjenaka. Mungkin kerana saya ini jenis yang tidak gemar belajar dengan guru yang kelakar lebih-lebih. Saya suka suasana serius dan fokus. 

Pun, saya perlu sedar yang bukan semua orang sama seperti saya. Suka atau tidak, unsur kecindan perlu ada walaupun sedikit dalam pengajaran. Buat hilang mengantuk, katanya. Cuma, saya tidak suka kelakar yang dibuat-buat, seperti dipaksa untuk ketawa. 

Sehingga kini pun, saya tidak berminat dengan kelucuan sebegitu. Kadang-kadang saya berasa hairan melihat mereka yang tertawa menonton video yang dikongsi dalam WhatsApp atau Facebook, sedangkan pada saya tidak lucu pun. Sama juga dengan gambar-gambar lucu yang dikongsi, sukar untuk saya tergeletek hati.

Begitu seriuskah saya dengan kehidupan ini?

Tuesday, September 03, 2019

Kuantan dan Kuala Terengganu

Pagi Sabtu 31 Ogos itu, tepat jam 9 pagi kami bergerak keluar dari kediaman kami menuju ke destinasi percutian yang telah kami rancang. Dek badan yang sudah penat sejak malam tadi, saya terus rasa mengantuk dan sekitar jam 10 lebih saya mula lena dibuai ayunan kereta Mercedes CLA180 yang dipandu suami.

Perjalanan kami kali ini melalui LPT dan ini pengalaman pertama saya. Mulanya saya cuak untuk melalui LPT ini kerana takut. Maklumlah pelbagai cerita tidak enak saya baca tentang laluan ini tetapi saya cekalkan hati untuk meneruskannya. Benarlah jalannya teruk, terasa diri dilambung-lambung walaupun lena. Kepada pemandu-pemandu yang menggunakan jalan ini, tolonglah berhati-hati. 

Jam 12 kami berhenti di RnR Paka untuk makan tengah hari. Sepinggan nasi berlaukkan ikan cencaru sambal dan sayur goreng cukup untuk mengisi perut yang kelaparan.

Perjalanan diteruskan dan kami tiba di Greenlast Hotel sekitar jam 2.30 petang. Selepas berehat seketika, kami bergerak ke Pantai Teluk Cempedak pada jam 4 petang. Di sana kami menikmati hidangan petang yang agak berat. Saya memesan kue teow kunvfu dan jus epal susu manakala suami saya meminta nasi lemak dan jus oren.

Malam ini kami berkunjung ke rumah sepupu saya Bahri. Kebetulan dia mengadakan solat hajat untuk anaknya yang akan menduduki UPSR tidak lama lagi, kami pun turut melibatkan diri. Jam 10 baru kami pulang.

Esok pagi, kami keluar sarapan di Tanjung Api dan berkunjung pula ke rumah sepupu saya Kak Halimah. Bermakna rasanya percutian kali ini kerana dipenuhi agenda bersua kaum keluarga.

Jam 11 pagi kami turun dari Hotel menuju ke Kuala Terengganu pula. Seperti semalam kami singgah makan tengah hari di Hentian Paka pada jam 12.30 dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di Hotel Seri Malaysia pada jam 2.30 petang.

Jam 4 kami keluar ke pantai Batu Buruk dan menikmati minum petang di Medan Selera Mayang. Kami sama-sama memesan roti oblong dan teh o ais.

Untuk makan malam kami cuma menuju ke Restoran Hotel sahaja. Saya meminta mi kari dan sirap limau manakala suami memesan chicken chop dan jus oren. Harganya cuma RM29.50. Alhamdulillah.

Pagi Isnin, kami bersiap untuk pulang. Selepas sarapan di restoran Hotel dan bersiap-siap, jam 10.30 kami turun. Sebelum pulang, kami meronda-ronda kawasan sekitar dan melalui juga Drawbridge yang masyhur itu. Jam 11.30 kami bergerak pulang ke Kota Bharu.

Kami singgah makan tengah hari di Restoran Hasnik, Penarek (nasi ayam, ikan celup tepung dan air kelapa) dan tiba di rumah pada jam 2.30 petang.

Begitu catatan percutian kami kali ini.

Sunday, September 01, 2019

Tangis Ini

Tersentuh benar saya dengan kepergian Reda sepupu saya pada Khamis lalu. Sebaik membaca pesanan WhatsApp yang ditulis Ayah Su dalam grup keluarga kami, air mata saya berderai-derai. Sepanjang perjalanan pulang dari hospital itu saya hiba benar. Mujur suami saya tidak menegur apa-apa melihat saya menangis begitu. Dia biarkan saya melayan perasaan saya, walaupun sebenarnya saya cuba menahan. 

Sehingga ke malam, saya masih tidak mampu menghentikan kesedihan saya. Malah menjelang pagi pun, saya masih menangis bila mengenangkan Reda.

Sejak dia sakit, namanya sentiasa ada dalam doa saya. Entah kenapa saya yakin dia akan sembuh. Melihat sahabat saya Suriana (yang diuji penyakit sama pada dua tahun lepas) kini sembuh dan sudah kembali mengajar di sekolah, saya menjangkakan Reda juga akan begitu. Apatah lagi Reda jauh lebih muda dan tentunya lebih kuat melawan sakitnya berbanding Suriana yang diuji pada usia empat puluh lima tahun. Kerana itu apabila Reda pergi, saya seperti tidak mahu percaya.

Takdir Allah tertulis usia Reda setakat dua puluh satu sahaja. Saya sedih bukan kerana tidak reda dengan takdir ini, tetapi hati menjadi syahdu saat mengenang pedihnya kehilangan seorang anak yang dikasihi. Terbayang wajah Ayah Su yang tentunya sedih dalam tabah menerima kehilangan. Bukan mudah menahan rasa diuji begini, Allah jua yang tahu.

Walaupun singkat tempoh Reda berada di dunia ini, saya tahu dia sudah memberi yang sehabis baik. Saya yakin dia kini sedang bahagia di dalam jagaan Allah. Kita yang ditinggal ini perlu terus tabah menempuh kehidupan, sehinggalah nanti akan ke sana jua.



Saturday, August 31, 2019

Empat Hari

Dia - suami tersayang - mengajak lagi. Kali ini dek cuti empat hari Jumaat hingga Isnin, dia mahu berjalan. Dia mahu kami bercuti ke luar negeri. Luar Kelantan.

Sedang saya, gembira jika empat hari ini dimanfaati dengan berehat di rumah sendiri. Sesekali menuju ke rumah emak, atau adik beradik, dan membeli belah di G Orange juga dapat memenuhkan empat hari ini tanpa bosan. Begitu saya. Mengapa dia tidak begitu?

Apabila dia mengajak saya melihat-lihat Agoda dan Booking.com, saya rasa tertekan. Memandangkan saya ini pesakit jantung, saya perlu mengelak tekanan kerana ia akan memudaratkan tetapi bagaimana? Saya mengurut dada dalam diam. Tenanglah!

Sudahnya, kami memilih Kuantan dan Kuala Terengganu dalam keadaan saya yang agak teragak-agak untuk menempah. Masih berbelah bagikah? Tanyanya. Saya tidak tahu mahu menjawab bagaimana.

Pagi ini, baru saya sediakan segala yang perlu kerana malam tadi saya tiada mood langsung. Pagi inilah saya menggosok, pagi inilah saya mengemas beg, pagi inilah juga saya menyiapkan tempat tidur penjaga rumah. Saya pun penat.

Aduh!

Jam sembilan nanti in shaa Allah kami akan bergerak. Semoga selamat dan dipermudahkan segala urusan.

Selamat Hari Kebangsaan ke-62.

Sayangi Malaysiaku.

Thursday, August 29, 2019

Rehatlah Reda

Ahmad Reda (belakang) bersama abangnya, Ahmad Nabil pada Julai baru-baru ini.


Akhirnya Reda pulang ke pangkuan Tuhan diiring perasaan sayu yang mendalam. Lebih setahun dia bertarung dengan Leukemia, akhirnya segalanya berakhir pada jam 4.10 petang tadi.

Semoga Allah mencucuri roh Reda dengan rahmat. 

Guru Ganti


Ini anak saudara saya. Sewaktu saya berkahwin dengan bapa saudaranya pada Januari 1998, dia baru menjangkau 9 tahun. Comel sangat dia waktu itu. Manja pun ya, dan sangat menyenangkan.

Mudah sekali dia mesra dengan siapa sahaja. Sebagai anak sulung, sifat tanggungjawab dan berdikari amat ketara padanya. Dia begitu mudah membantu dan amat peramah.

Namanya Nurul Afiqah. Saya selesa bersamanya walaupun jarang-jarang berjumpa. Pada pandangan saya dia seorang gadis cekal dan bersungguh-sungguh. Dari tingkatan satu dia belajar di sekolah berasrama penuh (MRSM Kuala Krai) dan sehabis SPM dia meneruskan pengajian ke Matrikulasi, dan melanjutkan pengajian Ijazah di Unimas.

Pada 2012, setamat ijazah dia menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UMK dan telah pun selesai dengan cemerlang pada dua tahun lepas.

Pun, dia masih belum diberi rezeki untuk bekerja. Sehingga kini dia masih mencari, dan melakukan kerja sambilan yang berbagai-bagai. 

Baru-baru ini saya memberi namanya untuk calon guru ganti di sekolah saya dan Alhamdulillah dia terpilih. Walaupun cuma untuk sebulan, saya rasa sangat seronok dapat bekerja setempat dengannya. Ternyata dia sangat komited dan rajin. Saya bangga dengannya.

Semoga nanti Allah memberikan pekerjaan yang baik untuk anak saudara yang baik ini. Tolonglah doakan dia. Saya aminkan.

Sayu

Tuhanku, berilah kesembuhan kepada anak ini. Tidak mampu aku menyeka air mata setiap kali mengenang dia. Dia masih muda, masih ingin berbakti di dunia. Angkatlah kesakitannya ya Allah. Berilah masa untuknya Ya Allah. Tabahkanlah hati keluarganya ya Allah..

Tuesday, August 27, 2019

Cadangan

Saya bersyukur kerana memiliki persekitaran yang cakna dan sentiasa memahami. Apabila sakit yang saya alami ini diketahui, sahabat-sahabat kelihatannya prihatin sekali.

Pelbagai cadangan yang saya terima daripada mereka. Cikgu Haji Zawawi yang turut mengalami sakit yang sama seperti saya mencadangkan saya berjumpa dengan pakar di KPJ Perdana, dan itu telah pun saya lakukan. Banyak manfaat yang saya peroleh dari pengalaman cikgu Wi, dan dia tidak lokek bercerita apa yang telah dia lalui - dari proses angiogram hinggalah ke rawatan yang dilaluinya sekarang.

Cikgu Rohani pula mencadangkan saya mencuba rawatan alternatif dari seorang perawat berdekatan kampungnya. Katanya, rawatan yang dilakukan adalah secara bacaan ayat suci sahaja dan saya akan berasa seperti disuntik ubat atau dibedah secara ghaib. Jujurnya, saya sedikit takut mendengar rawatan begini, entah kenapa. Mungkin buat masa ini saya mahu rawatan klinikal dahulu.

Cikgu Marina tidak ketinggalan memberi cadangannya. Dia bercerita tentang keberkesanan Jus Lega yang dia buat sendiri dari bawang putih, halia dan madu. Katanya jus itu sangat baik untuk merawat jantung. Dia bersedia untuk menyediakan jus itu untuk saya, dan saya berbesar hati untuk menerima.

Sebenarnya, cadangan-cadangan begini menjadi pilihan untuk saya berikhtiar. Allah hadirkan rakan-rakan yang prihatin dan kasih kepada kita, maka kita perlulah mensyukurinya dan mendoakan mereka juga. Begitu pusingan hidup, ada masa kita sakit dan perlukan sahabat yang menyokong. Pulangkanlah doa agar Allah merahmati mereka selalu.

Saturday, August 24, 2019

Demi Sebuah Kehidupan

Menjejaki HRPZ pada Ahad itu, tiada kesempatan untuk saya bertemu doktor. Begitulah hospital kerajaan, pesakitnya berpusu-pusu dan terpaksa menanti giliran untuk dirawat. Kata jururawat bertugas, temujanji untuk klinik Cardiology ini penuh sehingga Januari. Walau bagaimanapun dia bermurah hati menunjukkan surat rujukan saya dari Dr. Suhairi Ibrahim di KPJ Perdana itu kepada doktor pakar. Kesudahannya, saya diberi tarikh pada 20 Oktober ini untuk temujanji. Saya bakal melalui ujian jantung sekali lagi - satu persatu, mungkin - kerana saya dikira sebagai pesakit baru.

Saya terima setiap ketetapan dengan penuh rasa reda. Sembilan minggu lagi saya perlu menghitung hari demi rawatan jantung yang percuma.

Percuma, tetapi lambat. Tidakkah saya ada pilihan untuk rawatan yang lebih cepat?

Selalu apabila mahu menerima rawatan di hospital swasta mereka akan bertanya ada insuranskah? Dan dengan jujur sekali saya akan menjawab, tiada. Ya, saya tiada kad perubatan yang membolehkan saya dirawat di hospital swasta dengan biaya dari pihak insurans kerana saya anggap ia seperti tidak perlu. Saya kan kakitangan kerajaan, boleh sahaja saya dirawat percuma di hospital biasa, begitu fikiran saya.

Bukanlah saya tiada insurans langsung. Saya ada insurans takaful yang biasa sahaja, yang bukan kad perubatan. Setiap kali saya masuk wad, saya boleh menuntut elaun hospital sebanyak RM100 sehari. Dan setakat ini saya sentiasa menerimanya tanpa gagal. Sudah berkali-kali saya diwadkan, dan jumlah tuntutan elaun hospital saya pun sudah beribu-ribu. Bukankah ini juga sesuatu yang menarik? 

Dahulu pernah seketika saya mencarum untuk kad perubatan Prudential, tetapi tidak sampai setahun saya berhenti kerana saya rasa seperti rugi. Saya tidak akan menerima apa-apa faedah lain dari kad itu selain rawatan percuma di hospital terpilih. Jika saya sihat sepanjang hayat, wang yang saya carum itu akan hangus begitu sahaja. Kerana itulah saya berhenti. Saya fikir lebih baik saya menyimpan sendiri sejumlah wang untuk tujuan perubatan, dan jika saya sihat wang itu boleh saya gunakan untuk perkara lain.

Dan sungguh itulah yang saya lakukan. Simpanan kecemasan saya lebih daripada mencukupi untuk rawatan di hospital swasta. Tetapi mengapa saya masih mahu beratur menunggu giliran di hospital kerajaan?

Kadang-kadang apa yang saya lakukan tidak selari dengan apa yang saya fikirkan. Mungkin di sinilah letaknya keyakinan kita kepada aturan Tuhan. Ada sahaja perancangan kita yang berbeza dengan pelaksanaan dan tentunya itu bukan atas keupayaan kita. Cuma, setakat ini saya masih ada ruang untuk menukar perancangan rawatan saya.

Saya terfikir begini. Jika keadaan saya semakin tidak selesa dan menanti rawatan di hospital kerajaan itu memakan masa, saya akan mencari penyelesaian dengan melakukan rawatan di hospital swasta atas biaya sendiri. Walaupun saya tiada kad perubatan tetapi saya ada kemampuan. Bukankah itu tujuan simpanan kecemasan saya?

Saya sudah bertanya di KPJ Perdana tentang kos rawatan Angiogram, kata mereka sekitar RM15000 dan saya rasa saya mampu, in shaa Allah. Buat masa ini saya masih mahu bertahan, tetapi dengan persekitaran yang penuh dengan tekanan saya tidak tahu adakah saya mampu. Saya tetap akan terus berdoa agar Allah memudahkan segala urusan saya.

Amin.

Saturday, August 17, 2019

Keputusan

Seperti dijanjikan, hari ini sekali lagi saya dan suami ke Hospital Pakar Perdana untuk ujian Stress yang tertangguh Rabu lalu. Saya cuba bersedia mental dan fizikal, dan berdoa agar Allah memudahkan segalanya. Apa pun yang bakal saya lalui selepas ini, saya mohon kekuatan.

Ramai pula pesakit di sini hari ini, mungkin kerana hari ini Sabtu. Mujur tidak terlalu lama saya menunggu. Sebenarnya, sekuat mana pun saya memujuk hati untuk bersedia dan redha, rasa takut tetap ada. Debaran tetap terasa. Cuma saya tidak mahu ia meraja.

Jururawat yang mengendali ujian saya hari ini sangat baik dan manis sekali. Lembut dan sopan tuturnya sedikit sebanyak menenangkan perasaan saya. Semoga Allah merahmati dia selalu.

Ujian ini memerlukan saya berjalan di atas treadmill selama sembilan minit, dari peringkat satu hingga tiga. Malangnya saya tidak mampu menyudahkan sembilan minit itu kerana mengah dan penat. Saya terhenti pada lima minit lima puluh dua saat. Itu pun saya sudah kepeningan dan rasa hendak muntah. 

Keputusannya, jantung saya dikhuatiri tersumbat dan saya dicadangkan untuk melalui angiogram pula. Dr. Suhairi sahabat saya itu menulis surat rujukan ke HRPZ kerana katanya di sana lebih baik dari di HUSM. Saya menurut sahaja kerana suami saya juga berkata begitu sebelum ini.

Terima kasih Dr. Suhairi kerana tidak mengambil bayaran konsultansi. Saya cuma perlu membayar untuk ujian Stress sahaja sebanyak RM165. Semoga Allah merahmati tuan doktor yang baik hati. Amin.

Esok saya akan ke HRPZ untuk temujanji Angiogram pula. Semoga segalanya dalam jagaan dan redha Allah jua...

Thursday, August 15, 2019

Stress Test

Menunggu temujanji hospital kerajaan menuntut kesabaran yang tinggi. Bayangkan, saya didiagnos dengan masalah jantung pada Julai, tetapi temujanji untuk Stress Test dan Echo hanya pada Februari tahun depan. Jika sakit saya ini jenis yang semakin teruk, tidak mampulah saya memikir apa kesudahannya.

Mencari solusi, saya memilih untuk ke hospital swasta terkenal di sini, Hospital Pakar KPJ Perdana. Terlebih dahulu saya menelefon menanyakan bagaimana prosedur rawatan di situ, kata mereka boleh sahaja datang bila-bila masa.

Pagi Rabu semalam, saya dan suami menuju ke sana. Jam 8.45 pagi kami tiba, jam 10.45 baru dipanggil masuk ke bilik doktor.

Dr. Suhairi Ibrahim, nama yang mesra di telinga saya kerana dia rakan satu sekolah dengan saya sewaktu di MRSM tiga puluh tahun yang lalu. Peramah orangnya, walaupun dia tidak ingat saya tetapi teruja kelihatannya bila mengetahui kami sesekolah. Ditanyanya tentang rakan itu dan rakan ini, dan menyapa saya dengan panggilan mesra Ti. Terima kasih.

Saya ini, entah kenapa sentiasa masih ingat rakan-rakan setingkatan di MRSM dulu. Nama-nama mereka tidak pernah padam dalam memori walaupun sudah tiga puluh tahun berlalu, walaupun bilangan batch saya menghampiri tiga ratus orang. Malah saya lebih mengingati mereka berbanding rakan-rakan seuniversiti.

Sejenis yang nostalgik, mungkin.

Berbalik kepada kisah stress test, setelah bercerita tentang perjalanan masalah saya, Dr. Suhairi mencadangkan saya menjalani Stress Test dahulu, sementara Echo boleh sahaja tunggu temujanji HUSM itu. Saya akur sahaja, cuma apabila diperiksa tekanan darah saya, bacaannya tinggi maka Stress Test tidak sesuai dilakukan hari ini. Dr. Suhairi memberi tarikh Sabtu ini dan meminta saya mengambil ubat darah tinggi dengan betul.

Semoga Sabtu ini semua berjalan seperti yang diharapkan. In shaa Allah. Amin.

Musim Makan Daging

Musim raya haji ini, tentunya asyik makan daging setiap hari. Tradisi kami rakyat Kelantan, ibadah korban dilakukan secara individu. Maksudnya, daging yang dikorbankan itu kami sendiri yang agih-agihkan. Terpulanglah kepada kami mahu beri pada siapa. Jadi kami yang berkorban pun akan menerima juga daging korban daripada orang lain.

Rasanya di sebelah pantai barat sana, siapa yang mahu daging perlu hadir ke tempat penyembelihan, dan mereka akan menerima daging secara sama rata. Di tempat kami, ada keluarga yang menerima berkilo-kilo daging dan boleh tahan sampai berbulan-bulan. Ada yang menjadikan pekasam untuk lebih lama disimpan.

Biasanya pada tiga hari pertama ini, banyak benar jemputan makan di sana sini. Tak terpenuh rasanya. Sudahlah di rumah asyik makan daging, di tempat kenduri pun makan daging juga. Boleh pening kepala jadinya.

Antara menu yang popular di sini ialah singgang tulang (atau daging) dan daging goreng. Gulai jarang-jarang disediakan kerana rasanya yang muak dan cepat basi. Sebagai tambahan, akan disediakan juga acar timun dan sambal. Ringkas dan bersahaja, tetapi menyelerakan.

Alhamdulillah, raya tahun ini warnanya amat berseri dan indah sekali. Semoga bertemu lagu dengan raya tahun depan. In shaa Allah. Amin.

Tuesday, August 13, 2019

Korban

Pada 11 Ogos, Ahad, Aidiladha tiba lagi. Sesungguhnya hari raya korban ini sangat ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam untuk meneruskan ibadah korban dan juga meraikan musim haji.

Sekolah-sekolah di Kelantan ini sudah pun mula bercuti pada 9 Ogos lagi, dan jalan-jalanraya sudah mula sesak dengan kenderaan para perantau yang pulang beraya. Khabarnya keadaan kesesakan kali ini sungguh luar biasa sehingga berganda-ganda masa yang dihabiskan dalam perjalanan. Apa pun anggaplah ini satu ujian Allah yang penuh hikmah dan pengajaran.

Awalnya suami saya telah menempah satu bahagian korban untuk tahun ini tetapi pada saat-saat akhir, suami saya bermurah hati memberikan bahagiannya itu kepada Rahimi dan Fareena untuk mengaqiqahkan anak sulungnya Balqis. Semoga Allah redha.

Saya berterima kasih kepada kecanggihan teknologi hari ini kerana telah memudahkan saya menyertai korban di EZQurban. Keputusan saya untuk menyertai korban itu sudah lewat, tetapi masih sempat kerana penyertaan ditutup pada hari raya kedua. Alhamdulillah.

Hari raya kali ini sangat mengujakan saya kerana dapat berada lebih kerap di rumah ma. Dapatlah saya meluangkan masa bermesra dengan saudara-saudara yang cuma sesekali pulang ke kampung.