Monday, May 20, 2024

Senggang


Jam sudah ke angka 8.45 pagi. Saya sendirian duduk di meja kerja saya, melayan diri sendiri. Melayari Facebook, membuka bungkusan dari Shopee, dan menulis. Nun, di meja besar di hadapan saya, beberapa orang guru sedang berbual dan bergelak ketawa tanpa menghiraukan saya. Saya juga sama, tidak langsung teruja untuk turut bergelak ketawa bersama mereka. Lebih seronok sendirian di sini. Tenang.

Begitulah introvert dalam diri saya, apabila ia menguasai, saya langsung enggan berada dalam keramaian. Isu-isu yang mereka bualkan tidak saya minati dan langsung enggan ambil tahu. Teruslah kalian berbual, saya mendengar sipi-sipi sahaja ya.

Sebentar lagi saya akan ke kelas. Hari ini peperiksaan berlangsung untuk semua tingkatan. Sewaktu mengawas peperiksaan, saya boleh saja membuat kerja sendiri seperti menanda kertas dan menyiapkan tapak analisis SPM yang akan diumum minggu depan. Saya selesa juga membuat kerja sebegitu sewaktu mengawas peperiksaan walaupun sebenarnya tidak boleh. Sepatutnya guru kena berjalan dari meja ke meja untuk mengawas murid. Tetapi saya ini percayakan murid saya, mereka jujur dan bertanggungjawab. Boleh saja saya duduk dan memerhati mereka sekali sekala tanpa perlu berjalan.

Sekian coretan masa senggang. 

Friday, May 17, 2024

Pelik

Gaya seorang Tun Teja



Semalam, sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan Kesultanan Melaka, saya bercerita serba sedikit tentang Hang Tuah dan Tun Teja sewaktu bersarapan di kantin kepada rakan-rakan guru yang makan bersama-sama saya. Saya sebut nama ibu Hang Tuah, Dang Merduwati. Saya kisahkan juga bagaimana Hang Tuah melarikan Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan. Tun Teja yang mencintai Hang Tuah tidak mahu menjadi Permaisuri tetapi Hang Tuah memberi Tun Teja makan sirih jampi sehingga Tun Teja menjadi benci kepada Hang Tuah.

Rakan-rakan saya bertanya, bagaimana saya tahu cerita itu? Saya kata, ada dalam buku Hikayat Hang Tuah yang tebal itu. Saya membaca buku itu sewaktu darjah enam, di perpustakaan SK Mulong. Tidaklah habis semua, tetapi banyaklah juga saya baca.

Mereka terkejut. Eh, peliklah, guru Matematik suka buku Sejarah?

Lalu saya memaklumkan saya sangat meminati bahan bacaan, termasuk sajak dan puisi. Saya baru sahaja membeli dua buah buku puisi tulisan SN Zurinah Hassan, dan sebuah antologi cerpen tulisan Siti Zainon Ismail.

Begitulah. Bagi mereka seorang guru Matematik seperti saya tidak sesuai untuk meminati Sejarah dan Sastera. Tetapi kenapa?

Sebab itu, bila ada yang melabel "orang Sains" begitu, "orang Sastera" begini, saya tidak gemar mendengarnya. Saya boleh saja masuk dalam kedua-dua kategori. Saya cemerlang sebagai pelajar aliran Sains, tetapi saya juga mencintai Sastera. Tidak bolehkah Sains dan Sastera bersatu dalam satu jiwa?

Kadang-kadang saya rasa rugi tidak diberi peluang mendalami ilmu kesusasteraan. Tetapi saya selalu juga mencari sendiri dengan membaca Dewan Sastera di perpustakaan MRSM  dahulu. Saya tahulah juga serba sedikit tentang istilah dan kaedah penulisan.

Rasanya, jika saya diberi peluang belajar Sastera, saya akan cemerlang juga.

Tidak mengapa kan masuk bakul angkat sendiri?


 

Wednesday, May 15, 2024

Tema


Sudah menjadi trend masa kini, setiap kali sambutan sesuatu acara diadakan di sekolah, akan adalah tema yang diberi. Bermacam-macam tema telah saya raikan sejak di sekolah ini. Ada Arabian (Hari Guru 2019), ada Retro (Hari Guru 2018), ada Klasik (Jamuan Tahunan 2022), ada Denim (Jamuan Tahunan 2023) , ada Bling Bling (Jamuan Tahunan 2017), ada Orang Kampung (Penutup Merdeka 2022), dan terbaru untuk Hari Guru esok, Pengetua memilih Kesultanan Melaka.

Saya sebenarnya seorang yang sporting juga. Jika temanya munasabah, saya akan memberi kerjasama sebaik mungkin. Tema Kesultanan Melaka ini bunyinya mesra juga, saya tiada masalah.

Cuma, cerita di sebalik tema ini yang agak melukakan. (Eh, terluka ke?)

Pada minggu lepas, Kelab Guru sudah memaklumkan yang Hari Guru tahun ini bertemakan warna sahaja iaitu Ungu. Saya pun menempahlah dua pasang baju baru berwarna ungu untuk dipakai pada hari kejadian. Siap dengan tudung juga. Oh ya, saya beli baju dua pasang bukan untuk dipakai serentak ya. Saya akan pilihlah yang lebih cantik. Saya selalu begitu, risau jika beli satu, ada cacat yang tidak dijangka.

Tiba-tiba, tiga hari sebelum majlis berlangsung Pengetua mengubah tema. Dia mahu Kesultanan Melaka pula. Bayangkan, dalam masa tiga hari apalah yang saya sempat lakukan?

Kelab Guru sudah memaklumkan yang guru-guru sudah bersedia dengan tema Ungu tetapi Pengetua tetap mahu tema Kesultanan Melaka. Saya jadi geram. Sudah tiada majlis lainkah selepas ini untuk tema sebegitu? Sambutan merdeka pada Ogos nanti kan lebih sesuai dengan tema Kesultanan Melaka?

Semalam, baju ungu saya sampai. Sedih pula rasa bila persiapan kita tiba-tiba tidak berguna. Tak apalah, saya bukan seorang yang emosional. Saya pakai baju ungu saya itu pada hari ini.

Esok?

Saya cuma akan memakai baju kurung songket yang saya beli dua tahun lepas. Baju lama, tapi itu sahaja yang ada. Sejak 2015, setiap kali Hari Guru saya memakai baju baru, tetapi tahun ini saya pakai baju lama. Lantaklah, bukan penting pun kan?

Saya tidak tahu adakh songket sudah wujud pada abad ke-15 itu, tetapi itulah saja yang saya ada.

 

Friday, May 10, 2024

Keputusan SPM 2023


Semalam, KPM mengeluarkan surat makluman tarikh pengumuman keputusan SPM 2023 ialah pada 27 Mei 2024 nanti.

Ramai yang terkejut kerana ia diumum dalam tempoh cuti sekolah, tetapi tidak saya. Saya rasa pelik pula apabila ramai guru mula merungut dan marah-marah, tidak suka tarikh itu menjadi pilihan. Kata mereka, tidak pernah pun keputusan SPM diumum dalam cuti sekolah sebelum ini.

Betulkah?

Mari kita menyusur kembali sejarah lebih lima belas tahun lalu iaitu pada 2006, 2007 dan 2008. Tahukah anda tarikh pengumuman keputusan SPM bagi tahun tersebut ialah dalam cuti sekolah? Tetapi waktu itu tiada yang bising-bising pun. Kami dengan rela hati hadir juga ke sekolah untuk menganalisis dan menyerah keputusan SPM kepada anak-anak murid kami.

Kenapa tahun ini bising betul? Ooo.. kerana YB Menteri Pendidikan sekarang sering dipandang serong oleh para guru. Apa saja keputusan berkaitan sekolah dan pendidikan, akan adalah yang membangkang. Aduhai!

Entahlah. Saya sudah hilang kata-kata melihat persekitaran Malaysia sekarang, tidak kiralah dalam apa bidang pun. Saya sudah malas mengulas. Biarkanlah. 

Thursday, May 09, 2024

Rutin Baru


Sudah lapan bulan lamanya mek - ibu mentua saya - sakit, dan selama lapan bulan itu jugalah saya dan suami bergilir-gilir dengan ipar-ipar saya menjaga mek. Giliran kami sebelah malam, jadi kami perlu tidur di rumah mek. Kami berada di rumah sendiri pada siang hari sahaja. Jika pada hari bekerja, hanya beberapa jam sajalah kami dapat berada di rumah kerana pulang dari sekolah sudah jam 3 petang.

Rutin kami, selepas Maghrib kami akan bergerak ke rumah mek. Jika hari minggu kami turun lebih awal, sekitar jam 6 petang. Saya yang uruskan mek - menyalin lampinnya, mewudukkannya, menjaga mek solat (kadang-kadang mek perlu ulang solat kerana terbatal wuduknya) juga menyuap mek makan. Pada pagi minggu pula saya akan membasuh kain baju mek yang kotor. Selain itu, saya turut diberi tugas memesan barang keperluan mek seperti susu dan lampinnya dari Shopee.

Suami saya jarang ada di rumah kerana dia selalu ke masjid. Tugas tetapnya ialah menjaga mek sewaktu tidurnya (saya tidur di dalam bilik, suami saya tidur di ruang tamu dengan mek).

Begitulah.

Jika difikirkan letih dan jemu, tentu sekali ia tidak dapat dinafikan. Tetapi sebagai anak menantu, begitulah tanggungjawab yang perlu kami lunaskan. Pinta saya pada Tuhan agar memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi setiap liku yang tertulis ini dengan penuh reda.

Dalam penat menjaga mek, saya tetap bersyukur kerana saya memiliki waktu tidur yang lebih selesa dan ruang lebih tenang. Nyaman sekali rasanya bila dapat bersendirian di bilik. Saya boleh bangkit seawal jam 4.30 pagi dengan mudah berbanding jika di rumah sendiri kerana saya boleh tidur seawal jam 9.30 malam. Saya boleh solat, boleh mengaji dengan banyak pada waktu pagi sebelum Subuh, dan paling saya seronok ialah dapat khatam lagi Al-Quran pada bulan Syawal. Insya Allah pada Zulkaedah ini juga saya cuba melakukan yang sama.

Apa pun ujian yang Allah beri, bila kita lihat sisi positifnya, tentulah kita akan lebih bahagia.

 

Wednesday, May 08, 2024

Ada Rindu


Lapan belas bulan lalu, pada 16 November 2022, suami saya bertukar ke SMK Kampong Chengal sebagai PK HEM. Saya menerima berita itu dengan perasaan berbaur - ada suka dan ada bimbang. Pun semuanya baik-baik sahaja, dapat kami tempuhi hari-hari kebersamaan di sekolah ini dengan tenang sekali.

Atas sebab-sebab yang hanya dia tahu, pada Mac 2023 suami saya memohon pencen pilihan. Jika diikut usia, dia bakal bersara pada 4 April 2025 tetapi dia memohon tarikh 1 Mei 2024 untuk menamatkan perkhidmatannya. Hampir setahun awal. Mungkin faktor beban menggalas tugas HEM memaksanya bertindak begitu. Entahlah, saya enggan bertanya lebih-lebih. Saya menyokong apa saja pilihannya selagi tiada kemudaratan.

Maka pada 30 April lalu, berlangsunglah majlis persaraannya dengan meriah sekali. Sedikit pun tiada rasa sayu atau hiba, dia kelihatan gembira menamatkan perkhidmatan sebagai guru selama 36 tahun. Saya juga ceria-ceria saja.

Minggu ini, saya kembali ke sekolah tanpa kelibatnya. Entah mengapa, bila masuk ke pejabat, ternampak pintu biliknya saya rasa rindu. Melihat persekitaran sekolah, saya seperti ternampak-nampak dia sedang berjalan di bangunan sekitar. Eh? Macam kelakar, tapi sungguh ia begitu. Seperti ada rasa sayu pula bila teringat padanya.

Apa pun, dia sudah selesai dalam bidang pendidikan dan sedang menikmati rehat yang benar-benar rehat. Sedikit pun dia tidak memikirkan tentang sekolah, malah diajak masuk ke pagar sekolah pun dia enggan.

Semoga bahagialah abang, menikmati tempoh persaraan dengan tenang dan damai. Saya? Saya masih belum mahu memikirkan tentang bersara. Biar saya menyumbang sebaik mungkin dahulu, sekurang-kurangnya untuk setahun dua ini. Semoga saya terus sihat dan bersemangat, amin.


 

Monday, May 06, 2024

Tetamu Raya


Rasanya sudah lama benar saya tidak menerima kehadiran anak-anak murid pada hari raya. Entah kenapa, saya tidak begitu rajin menjemput mereka ke rumah. Jika mereka mahu datang tidak mengapa, tetapi untuk saya menjemput memang susah sikit.

Tiba-tiba tahun ini, ramai sungguh yang datang. Kisahnya, anak murid saya Aisyatul Husna yang tinggal sekampung dengan saya memberitahu saya dia ada datang ke rumah saya pada raya tahun lepas tetapi saya tiada di rumah. Jadi untuk tahun ini dia awal-awal lagi memaklumkan kepada saya yang dia akan datang beraya. Cikgu jangan tak ada pulak!

Ok, silalah datang, kata saya. Saya minta dia datang pada Jumaat, raya ketiga. Berapa orang? Tanya saya. Dalam sepuluh orang cikgu, katanya.

Jadi pada raya ketiga itu saya bersiaplah. Goreng mihun, rebus nasi impit, buat kuah kacang dan bancuh air oren satu balang. Tetamu lain ada juga saya jemput iaitu pasangan pengantin baru adik ipar saya Norhafizah dan Hisham, juga anak saudara saya Amin dan Fatini. Kakak ipar saya Dr. Zaiha dan anak-anak dari Terengganu pun turut datang memeriahkan suasana.

Lebih kurang jam 10 pagi, sampailah rombongan anak-anak murid saya itu. Katanya sepuluh orang, tapi yang datang lebih dua puluh orang! Bukan saja anak-anak murid saya, habis diangkutnya emak, adik beradik dan sepupu sepapat. Meriah!

Mujurlah makanan yang ada mencukupi. Mereka lebih mahu beriang ria sebenarnya, bukan mahu makan sangat. Riuh rendah rumah saya hari itu. Malah, mereka enggan pulang dan berada di rumah saya sehingga jam tiga petang.

Seronok juga, walaupun letih. Dan mereka berjanji tahun depan akan datang lagi. 













Thursday, May 02, 2024

Gaji 15


Semalam, semua penjawat awam terlompat gembira bila PMX umum akan ada kenaikan gaji sebanyak 15% pada Disember nanti. Seronok!

Betullah, siapa tak seronok bila gaji naik, kan? Tetapi sabarlah, jangan teruja lebih-lebih. PMX baru umum secara ringkas tanpa maklumat terperinci, jadi kita usahlah berspekulasi macam-macam. Nampak 'lapar' sangat eh! Tunjukkanlah ketamadunan fikiran dan sikap kita, usah ulas laju-laju, kerana kita tiada apa-apa panduan pun selain angka 15% itu. Tiada.

Bolehkan kita sabar sekejap sehingga ia benar-benar berlaku Disember nanti? 

Tuesday, April 30, 2024

Tamat Sudah


Hari ini suami saya bersara. Majlis di sekolah berlangsung lancar dan penuh meriah, diakhiri dengan jamuan tengah hari untuk semua guru, staf dan kakitangan swasta ditaja sepenuhnya oleh suami saya. Alhamdulillah.

Kerjaya beliau yang bermula pada 1 Mac 1988, berakhir jua pada 1 Mei 2024 - tiga puluh enam tahun yang penuh warna warni. Semoga setiap langkah yang diatur dan setiap nafas yang dihembus sepanjang tempoh itu dinilai pahala di sisi Tuhan.

Selamat bersara, suamiku. Apakah nanti? Segala perancangan sudah ada, semoga terlaksana sebagaimana yang dihajati.

Berbahagialah, tenanglah, lapanglah. Saya turut merasa kelegaan itu. 



Sumbangan tunai kepada sekolah

Cenderahati kepada guru dan kakitangan

Tumbler kecil sebagai kenangan



Tuesday, April 23, 2024

Ini Tragedi


Siapa pun tidak mahu satu pengakhiran sebegini, kerana ia mengundang hiba yang panjang. Apatah lagi pada anak-anak kecil yang ditinggalkan, yang ternanti-nanti kelibat ibu dan ayah pulang setiap petang.

Tuhan, ketetapan-Mu tetaplah kami reda, walaupun dalam tangis yang menyakitkan. Hanya doa mengiringi semua yang pergi pada saat jiwa-jiwa mereka masih membara semangat perjuangan. Pada saat usia mereka masih betah meneruskan sebuah kehidupan. Siapalah kami untuk menafikan ajal yang Engkau tetapkan.

Jagalah semuanya Ya Allah, di dunia dan di akhirat.

Senarai mangsa terkorban insiden 2 helikopter terhempas.

📌 HOM-AW139
Kdr Muhammad Firdaus Ramli
Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin
Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi
PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun
PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy
BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang)
LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna

📌 Fennec
Kdr Muhamad Amir Mohamad
Lt T Sivasutan
PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi

----------
- Semua mangsa berusia bawah 40 tahun
- Satu lembaga siasatan ditubuhkan bagi mencari punca kejadian

Sumber: Harian Metro, BERNAMA



 

Monday, April 22, 2024

Tentang Gout


Simptom Gout: Tanda-tanda dan Cara Penjagaan

Tanda-tanda gout termasuk sakit pada sendi, terutamanya di sendi ibu jari kaki, lutut, dan pergelangan kaki. Bahagian yang sakit juga akan bengkak, dan keradangan juga berlaku.

Prinsip Asas Diet untuk Pesakit Gout:

1. Penurunan Berat Badan:
Berlebihan berat badan meningkatkan risiko gout. Penurunan berat badan membantu menurunkan paras asid urik dan mengurangkan serangan gout, serta mengurangkan tekanan terhadap sendi.

2. Karbohidrat Kompleks:
Pilih buah-buahan, sayur-sayuran segar, dan bijirin penuh sebagai sumber karbohidrat kompleks.

3. Elakkan Makanan Tinggi Fruktosa:
Hindari makanan dan minuman yang mengandungi sirap jagung tinggi-fruktosa, serta batasi jus buah-buahan manis secara semulajadi.

4. Minuman:
Pastikan kecukupan hidrasi dengan minum banyak air kosong.

5. Lemak:
Kurangkan lemak tepu dari daging, daging terproses, lemak ayam/itik, dan produk tenusu tinggi lemak.

6. Protein:
Pilih daging/ayam tanpa lemak, produk tenusu rendah lemak, dan kekacang sebagai sumber protein.

Saranan Makanan dan Suplemen Khusus:

Elakkan organ dalaman, daging merah, dan makanan laut tinggi purin.

Sayur-sayuran tinggi purin seperti bayam, asparagus, dan bunga kobis boleh dimakan dengan berhemah.

Batasi atau elakkan alkohol dan makanan manis bergula.

Pertimbangkan suplemen 500 mg vitamin C dan konsultasikan dengan doktor atau pegawai dietetik.

Cara Lain Menurunkan Asid Urik:

Selain dari aspek diet, beberapa langkah lain boleh membantu:

1. Minum lebih banyak air kosong.
2. Tinggalkan tabiat buruk seperti alkohol, rokok, atau dadah.
3. Menjaga berat badan ideal.
4. Mengelakkan stres dan masalah emosi. 

Facts about me.


I got 5A in my Penilaian Darjah Lima (1983).

I got 3A1 3A2 1C3 1C5 (7 aggregate) in my SRP (1987).

I got 3A1 3A2 2C3 1C4 (9 aggregate) in my SPM  (1989).

I got 1A 2B 2C in my Year 1 Matriculation Course (UKM) 1990/91.

I got 1A 1B 3C in my Year 2 Matriculation Course (UKM) 1991/92.

I got 2.78 CGPA for my Degree in Mathematics (UKM) 1996.

I got 3.91 CGPA for my Diploma in Education (KPLI) MPKT 1997.

Thanks for reading. 

Sunday, April 21, 2024

Coway


"Sepatutnya dah lama dah kita ada benda ni... " Kata Abe Di saya sebaik dia menggunakan mesin air Coway NeoPlus yang baru dipasang pada Jumaat lepas.

Haha! Tergelak saya...

Betul, tetapi sungguhlah saya yang berlengah-lengah. Saya tahu benda ini satu kemudahan yang amat bagus buat semua orang. Tak perlu susah-susah lagi memasak air, banyak penjimatan masa dapat dilakukan juga penjimatan duit. Apa tidaknya, cuma RM65 sebulan sewanya berbanding pembelian air mineral berkotak-kotak setiap bulan sebelum ini. Belum lagi dicampur dengan kos memasak air dengan cerek elektrik yang agak tinggi juga.

Tetapi kenapa baru sekarang? Kerana saya sebenarnya sedikit tidak gemar dengan kedatangan juruservis ke rumah pada setiap dua bulan. Itu saja sebabnya. Macam tak logik kan?

Betul. Saya ini ada satu penyakit fobia dengan kedatangan tetamu. Jika anak beranak tidak mengapa, tetapi jika orang suku sakat saya jadi serabut. Entah, saya tidak tahu kenapa perasaan itu terlalu mengganggu jiwa saya. Maafkanlah saya ya kawan-kawan.

Memikirkan juruservis yang akan datang dengan kerap, tentulah saya tidak suka. Jadi saya rela memasak air dan membeli air mineral berkotak-kotak asalkan tidak serabut. Tetapi itulah, sampai bila?

Hujung Ramadan lalu, apabila thermo pot saya hangus terbakar barulah saya terfikir tentang penapis air Coway yang lebih selamat. Kebetulan Jo anak saudara kami menjadi agen Coway jadi kami menghubunginya untuk mendapatkan khidmat nasihat. Tentulah dia memberi cadangan supaya kami mendapatkan penapis air Coway darinya. Dan itulah yang kami lakukan.

Semoga kedatangan juruservis nanti akan saya sambut dengan baik, walaupun perasaan serabut itu tidak dapat saya padam sepenuhnya.




 

Saturday, April 20, 2024

Gout


Sudah sebulan saya menderita sakit lutut. Ia berdenyut-denyut tidak kira masa, dan mengganggu kelancaran tugas harian saya. Lena saya setiap malam juga terganggu.

Mulanya saya cuba bertahan, dengan andaian nanti akan sembuh juga. Saya pernah alami sakit lutut sekitar tahun 2014 dahulu, dan ia sembuh. Lama baru terjadi kembali tetapi sakit yang dirasai kini berlainan dari dulu.

Rabu itu, saya benar-benar sakit. Turun naik tangga di sekolah menjadi satu penyeksaan dan saya mencari penyelesaian dengan menuju ke klinik Farahain Tunjong pada jam 7.30 malam selepas solat Maghrib.

Doktor yang merawat saya dengan yakinnya mendiagnos sakit lutut saya itu sebagai Gout. Bacaan asid urik saya 520. Yakah doktor? Kenapa lutut, bukan ibu jari kaki? Saya seperti tidak mahu percaya.

Punggung saya dicucuk, dan empat jenis ubatan diberi. Colchicine 0.6mg, Piroxicam 20mg, Dexamethasone 0.75mg dan ubat sapu Veron Gel Plus. Harga dibayar RM76.00. Sekeping Sijil Sakit diberi supaya saya dapat berehat di rumah esok hari.

Begitulah. Doktor berpesan agar saya menjaga makan. Banyak yang perlu saya pantang dan insya Alalh saya akan cuba mendisiplinkan diri demi sebuah kesembuhan.

Doakan saya. 



Friday, April 12, 2024

Aidilfitri 1445

Syukur Tuhan, masih memberi saya peluang menyelesaikan Ramadan dan menyambut Aidilfitri dengan penuh kebahagiaan.

Hari ini semuanya berlangsung penuh tenang dan bahagia. 1 Syawal yang damai ini saya mulai dengan menyediakan sedikit mi goreng dan nasi himpit kuah kacang sebelum bersiap untuk ke masjid bersolat sunat hari raya.

Seterusnya saya melangkah ke rumah mek dan beraya di situ sehingga jam 11 pagi. Saya menapak pula ke rumah ma di seberang tali air untuk bertemu dengan ma dan adik beradik.

Alhamdulillah, segalanya penuh ketenangan. Cuaca masih panas walaupun pagi tadi ada sedikit rintik-rintik hujan membasahi bumi.

Di sini, kenangan Syawal 1445 saya abadikan.
 
 









Monday, April 08, 2024

Panas


Sepanjang Ramadan ini, cuaca panas sungguh di Kelantan. Boleh dikatakan tiada hujan langsung. Suhu mencecah 36°C pada waktu tengah hari. Memang mencabar.

Kasihan pula saya melihat anak-anak kecil dan warga emas yang berpuasa pada musim begini. Tetapi itulah, bila ia menjadi satu kewajipan, tidaklah boleh kita meremehkannya sesuka hati.

Kanak-kanak yang masih kecil, usahlah dipaksa mereka berpuasa kerana cuaca sebegini boleh memudaratkan. Begitu juga orang tua, jika tidak tahan saya rasa tidak salah untuk mereka berbuka supaya tidak mendatangkan kesulitan.

Saya sendiri pun, terasa benar bahangnya pada Ramadan kali ini. Mujurlah saya tidak perlu memasak untuk berbuka dan bersahur kerana suami saya akan beli sahaja lauk dan kuih di gerai. Jadi tidaklah saya perlu memenatkan diri di dapur setelah seharian penat di sekolah dan juga penat menjaga mentua yang sakit.

Cuma hari ini, 28 Ramadan, saya menyudikan diri memasak kerana kami berpeluang berbuka di rumah sendiri. Sebelum ini kami berbuka di rumah mentua, tetapi hari ini adik ipar saya balik, maka dialah pula meneman ibunya di rumah.

Subhanallah, panasnya memasak di dapur. Peluh mencurah-curah. Berkali-kali saya menyejukkan diri di bilik, kemudian sambung memasak lagi.

Esok hari terakhir puasa, insya Allah. Semoga cabaran hebat ini dinilai pahala di sisi Tuhan. Amin. 

Sunday, April 07, 2024

Jerit!


Tau tak saya rasa macam nak menjerit kuat-kuat untuk lepaskan perasaan bila tengok rakyat Malaysia sensitif gila dengan logo Vern's di tapak kasut.

Kalimah Allah, katanya!

Aaaaaaaaarghhhhhhhh!!!

Saya pening betul dengan mata orang kita. Benda gitu pun dikaitkan dengan kalimah Allah padahal itu hanya gambar stiletto yang dilogokan. Tang mana kalimah Allah pun saya tak nampak.

Saya jadi malu betul tengok peel orang yang sensitif tak menentu, sikit-sikit menghina Islam, pada hal tak pun. Kawan tu buat design tu tak ada terfikir pun pasal kalimah Allah, kita je yang nampak dan terus emosi. Lepas tu suruh boikot! Orang Islam di Malaysia dan boikot berpisah tiada. Itu je yang kalian pandai. Kan? Tabayyun tak pernah. Tibai je!

Tau tak kita ni dah jadi macam orang bodoh? Hal macam tu je yang kita sibuk nak perjuang, hal yang entah betul entah tidak. Hal lain yang lagi besar kita tak ambil pot pun! Nampak picisan sungguh.

Please laaaaaa......  

Saturday, April 06, 2024

Dividen


1 April lalu Tabung Haji (TH) mengumumkan dividen 2023 sebanyak 3.10% akan dibayar kepada penyimpan. Alhamdulillah, syukur saya seadanya.

Saya sudah menyimpan di TH secara konsisten sejak Disember 1999 dan telah menerima dividen yang berbeza-beza setiap tahun. Pernah serendah 1.25% pada 2018 dan paling tinggi pernah saya terima ialah 8% beberapa kali. Saya tidak pernah beralih ke tempat pelaburan lain kerana saya yakin dengan TH.

Pada saya, di TH lah tempat terbaik untuk menyimpan walaupun pulangannya tidak setinggi pelaburan lain. Pertamanya kerana zakat perniagaan sudah dibayar berasingan jadi pulangan dividen yang diterima adalah bersih seratus peratus. Jika di tempat lain, kalau pun dapat pulangan tinggi, perlu ditolak zakat dahulu sebanyak 2.5%, jadi bakinya lebih kurang sahaja dengan apa yang TH bayar.

Keduanya, walaupun pulangan kecil, tidak sampai pun 10% tetapi ia terjamin. Insya Allah wang di TH selamat dan terlindung daripada sebarang penipuan ataupun scam dan ini memberi ketenangan jiwa untuk saya.

Setakat ini di situlah pelaburan saya berada. Apa pun khabar dan berita tentang TH yang disebarkan, saya tetap setia dengannya. Walaupun ada juga sedikit terluka dengan cara TH mengkastakan bayaran haji sejak beberapa tahun ini tetapi saya yakin ia tidak lama. TH akan sedar nanti kewujudan kasta bayaran itu tidak memberi keadilan kepada penyimpan. Semoga begitulah.

Wallahua'lam. 

Friday, April 05, 2024

Cuti Raya

Alhamdulillah, hari ini sudah bermula cuti raya untuk tahun ini. Seperti dulu-dulu juga, kami para guru yang menumpang cuti murid ini dapatlah seminggu bercuti. Hari raya pula jatuh pada hari Rabu, jadi tidaklah sepanjang mana rayanya, hanya empat hari dan saya suka.

Saya suka cuti seperti ini, lima hari dalam bulan puasa dan empat hari untuk beraya. Molek pembahagiannya. Sempatlah saya menikmati hari-hari terakhir Ramadan dengan lebih tenang. Raya tak perlu lama sangat, penat!

Saya akan cuba memberi yang terbaik untuk raya kali ini walau apa pun suasananya. Saya tahu saya masih perlu menjaga ibu mentua saya yang sakit pada hari raya nanti, malah mungkin saya tidak dapat ke masjid bersolat aidilfitri tetapi saya reda. Semoga kemeriahan hari raya tetap saya rasai seadanya.

 

Wednesday, April 03, 2024

Cerita


[Dipetik dari FB]

Suami saya tak kaya. Rumah masih menyewa. Kereta pun pakai myvi je. Tapi bila balik kampung, dia lah yang bersungguh-sungguh buat itu ini.
Adik beradik yang lain ada. Boleh dikatakan, semuanya lebih senang dari kami. Tapi tulah, nak kata pun tak kena. Diorang buat tak tahu je. Busy dengan hal masing-masing.
Semalam, sebelum salam, saya berani kan diri tanya dia. Saya cakap kenapa abang nak buat semua tu? Beli air minuman (rumah mak takda coway), beli beras, beli barang-barang basah, beli juadah berbuka, pergi buang sampah, basuh toilet, basuh pinggan..sedangkan adik beradik abang yang lain mana? tak collect duit pun? tak buat apa-apa pun?

Dia diam je.
 
Saya tahu, pertanyaan saya tu mungkin agak kasar tapi saya taknak adik-beradik dia ambil kesempatan atas kelurusan diri dia.

Lama dia diam. Lepas tu dia pandang saya dan dia jawab
"Abang tak kaya. Balik pun sekali sekala. Nak bagi banyak-banyak, memang abang tak mampu. Apa yang abang ada ni lah. Tulang empat kerat yang masih ada kudrat."

"Abang tahu, awak mesti pelik dengan adik beradik abang kan? Entahlah. Abang nak betulkan pun, nak tegur, semuanya dah besar panjang. Abang tak mampu. Biarlah abang betulkan diri abang sendiri, buat apa yang mampu, biar raya ni semua gembira.. biarpun abang letih sikit."

Saya dengar je apa dia cakap. Saya akui dia memang seorang yang baik. Mudah minta tolong. Tak banyak membantah.

"Lagipun, abang kesiankan mak. Masa abang bersihkan bilik mak semalam, abang kutip rambut-rambut dia yang gugur. Banyak. Semuanya dah putih."
"Abang masuk toilet mak. Abang nampak gigi palsu mak. Rupa-rupanya mak dah pakai gigi palsu. Abang tak tahu pun."

Percakapan dia dah mula sangkut-sangkut. Bicara dia mengandungi sebak.

"Kalau abang tak boleh bagi mak duit banyak, biarlah mak rasa senang dengan kehadiran abang. Redha dengan abang. Tu pun dah cukup"
Saya menangis. Saya tak tahu nak kata apa. Saya pegang tangan dia. Saya salam dan saya kucup. Saya minta maaf atas soalan saya tadi tu.
Masa dakap dia, dia cakap, "abang harap anak-anak kita nanti pun akan buat benda yang sama kat awak. Jaga awak. Hormati awak. Sayang awak, macam abang buat kat mak."

Ya Allah. Ampuni saya dan rahmatilah dia.