Wednesday, February 29, 2012

Kerja vs Kerja


Saya sangat letih. Pulang dari sekolah semalam, tidak semena-mena saya demam. Terasa benar beban di bahu telah menjalar meracuni urat dan saraf saya. Sungguh, saya letih!

Jika ikutkan hati, saya ingin sekali menjadi suri rumah sepenuh masa yang punya bibik untuk diarah itu dan ini. Ingin sekali saya memanjakan diri dengan pelbagai hobi - dari membaca hingga ke membeli belah - tanpa sebarang kekangan. Ingin juga saya bersantai dan berehat di mana-mana sahaja yang saya suka. Ya, saya ingin sekali!

Namun, wujudkah manusia seperti itu di muka bumi ini? Manusia yang tidak perlu berfikir tentang tanggungjawab. Manusia yang digelar ' Lady of Leisure'. Wujudkah?

Jika saya tidak bekerja, siapakah yang sudi menghulur saya sejumlah RM4600 setiap bulan? Memang ia tidaklah sebanyak mana, tetapi tanpa RM itu saya tentu hidup tidak keruan. Dunia masa kini, walaupun wang bukanlah segala-galanya tetapi yang pasti segala-galanya memerlukan wang.

Dan, bila saya bekerja, bebannya kadangkala di luar kemampuan saya. Bukan selalu, tetapi sentiasa sahaja saya berasa diri saya gagal menyusun atur segala tugas yang diberi dengan sistematik. Minggu ini, ia sangat bercelaru!

Selain daripada tugas asasi saya mengajar mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5 (24 masa seminggu), saya juga perlu menyiapkan senarai program kecemerlangan yang dirancang pihak sekolah untuk diedar kepada ibu bapa pada Majlis Rundingcara Khamis nanti. Pada masa yang sama, soalan peperiksaan Matematik Tingkatan Lima juga mesti saya selesaikan kerana ia bakal berlangsung Ahad ini. Lagi, saya perlu membuat pelaporan tentang program Kelas Permata yang tamat hari ini. Bukan itu sahaja, saya perlu siapkan jadual kelas tambahan semasa cuti nanti, secepat mungkin. Semua itu perlu selesai dalam minggu ini.

Dan, semua perkara itu melibatkan ramai manusia yang pelbagai cerita. Saya perlu berurusan dengan semuanya sebaik mungkin, tanpa sedikit pun garis kelat di wajah, kerana saya ini profesional. Aduh!

Mujur pagi ini, saya bangun dari tidur dengan penuh bersemangat. Demam saya semalam sudah hilang. Saya melangkah ke sekolah dengan tekad untuk menyiapkan segala-galanya itu hari ini juga. Semoga Allah mengizinkan.. Amin.

Sunday, February 19, 2012

Keluhan Jiwa

Sering kita berasa tuah itu berada di pihak orang. Kerap kali kita menangis kerana tidak sebertuah orang lain. Malah, kita tidak malu untuk mengeluh betapa malang dan sukarnya jalanan hidup yang kita lalui. Akhirnya kita menjadi manusia pembanding. Membanding nasib kita dan nasib orang. Melihat tuah orang dan meratap nasib diri. Betulkah tindakan kita itu?

Sungguh, kita ini malang apabila berasa diri kita malang. Jika setiap apa yang kita lalui kita hanya nampak sisi negatifnya sahaja maka malanglah kita. Apatah lagi apabila kita melihat hidup orang lain kelihatannya serba indah, maka semakinlah malang diri kita rasakan!

Mengapa mesti begitu?

Berhentilah mengeluh. Cukup-cukuplah membanding. Letakkan diri kita pada satu landasan yang betul, yang membawa kita ke satu tujuan hidup - mencari REDHA Allah. Jika kita sakit, pedih dan kecewa, percayalah bahawa kita ini insan terpilih. Allah memilih kita untuk diuji sebegitu rupa kerana Allah sayang pada kita. Allah mahu kita dekat pada-Nya. Bukankah itu tuah namanya? Atau tuah yang bagaimana lagi yang kita mahu sebenarnya?

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Ar Rahman, 21)

Friday, February 17, 2012

Salam Jumaat

Hari ini penghulu segala hari, dan seperti biasa saya bercuti.

Malam tadi, jam 10.30 malam baru saya pulang kerana membantu apa yang patut di majlis tahlil kak Rohaini. Penat memang penat, tetapi saya wajib ikhlaskan hati.

Pagi ini, saya bangun dengan badan yang masih tidak bertenaga. Saya rasa lesu, dan mudah letih. Kadang-kadang saya terfikir juga, saya ini menghidap apa-apa penyakitkah? Tanpa perlu kerja keras pun saya sering tercungap-cungap. Mungkin masalah berat badan agaknya...

Selesai sarapan dan memasukkan kain kotor dalam mesin, saya berehat-rehat di katil. Mata lena juga, hinggalah jam 9.00 pagi. Oh! Saya tidak boleh berterusan begini. Saya perlu bangkit!

Saya menggosok baju. Kemudian mandi. Dan menyapu di dalam dan luar rumah.

Jam 10.00 pagi, saya dan suami keluar ke kedai. Kali ini ke DZ lagi. Berbelanja apa yang patut. Dari barang-barang dapur hinggalah lauk pauk, juga surat khabar dan majalah.

Pulang ke rumah, saya mengemas di dapur. Suami saya tidak makan tengah hari di rumah kerana dia ada jemputan. Maka saya berfikir-fikir apa perlu dimasak?

Kali ini, saya bercadang ingin makan mi goreng sahaja.

Sebaik suami saya turun ke masjid untuk solat Jumaat, saya mulakan aktiviti memasak untuk diri sendiri. Saya rebus tulang, kupas udang, dan potong cendawan serta lada merah. Saya tumbuk bawang merah dan bawang putih. Saya jerang kuali, panaskan minyak dan tumis bawang yang saya tumbuk tadi. Saya masukkan isi-isi daging dari tulang yang direbus tadi, udang, cendawan dan lada merah. Saya campakkan mi, dan perasakan dengan garam, kicap, sos tiram, sos ikan dan ajinomoto. Saya masukkan air rebusan tulang untuk menjadikan mi goreng saya sedikit basah. Selesai.

Saya sendukkan mi ke dalam pinggan, saya taburkan daun bawang dan daun sup serta sedikit serbuk lada putih. Saya bawa ke dalam bilik, dan bertemankan kenyamanan air-cond, saya santap makan tengah hari saya sambil menonton Al Hidayah di TV3.

Alhamdulillah, saya kenyang.

Sekarang, saya kembali mengantuk. Selepas solat Zohor nanti, saya ingin lena sebentar.

Sekian.

Sunday, February 12, 2012

Inpian Cintaku


Manis sekali bukan?

Kagum saya dengan cinta pasangan tua yang sentiasa segar dan tidak pudar biarpun telah lebih separuh abad hidup bersama. Telah punya berbelas-belas cucu serta cicit. Tidak segan memapar rasa mesra di khalayak. Sungguh bahagia! Inilah pasangan romantis yang sebenarnya. Begitu suci, begitu setia.

Saya doakan cinta mereka bahagia sampai ke syurga, kerana saya juga punya impian cinta yang sama. Amin.

Saja Suka Suka

Saya kekeringan ilham. Sehari dua ini saya tidak punya rasa untuk dikongsi. Bimbang juga jika blog kesayangan saya ini dipenuhi debu dan sawang dek ditinggal lama, lalu hari ini saya mencuri sedikit masa mengisi sesuatu di sini.

Hari ini Ahad. Hari bermula seperti selalu, penuh semangat dan azam. Seawal pagi saya menuju ke sekolah dihantar suami, dan bersedia untuk meneruskan tanggungjawab. Perhimpunan hari ini ditiadakan dan diganti dengan acara membersih kelas kerana persekitaran yang agak kelam kabut dan penuh sampah sarap. Maklumlah, semalam kami menyambut Maulidurrasul peringkat sekolah dengan berkenduri sakan. Ada perarakan, ada ceramah, ada jamuan. Setiap guru diberi peranan dan saya terpilih untuk bertugas di bahagian jamuan guru dan VIP. Suka juga, kerana saya malas memasak! Sekadar menyusun pinggan dan mengisi makanan, saya tidak kisah.

Sewaktu pelajar-pelajar sibuk mengemas dan membersih kelas masing-masing, saya menuju ke kantin untuk sarapan. Sepinggan nasi putih berlaukkan ikan kerisi goreng dan sayur lemak petola, ditemani air teh ais melengkapkan sarapan saya pagi ini. Alhamdulillah. Harganya, RM5.70.

Jam 8.20, saya menuju ke kelas saya yang pertama. 5 Ibnu Qayyum menjadi tatapan saya untuk 40 minit seterusnya. Saya seronok bersama-sama mereka. Mereka pelajar tercorot dan cuma 10 orang, tetapi mereka tidak menimbulkan apa-apa masalah.

Jam 9.00 pagi, saya kembali ke bilik saya. Tugas saya yang seterusnya sedia menanti di depan mata. Headcount 2012. Saya perlu memasukkan segala data sebelum dibuka kepada guru-guru untuk mengisi markah pada setiap kali peperiksaan.

Pun, saya tidak mampu menghadap headcount itu tanpa sedikit rehat. Maka di sini saya mengambil peluang mengintai-intai internet dan menulisi blog ini.

Terjumpa pula sekeping gambar ini.

Agak-agak, siapakah model kacak ini? Anda kenal?

Wednesday, February 08, 2012

Sayangi Rasulullah s. a. w


Rasulullah
dalam mengenangmu

Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umat mu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlak mu
Tidak terbalas segala jasa mu
Sesungguhnya engkau rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir nama mu di dalam Al Quran

Rasulullah
kami ummatmu

Walau tak pernah melihat wajah mu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnah mu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

Saturday, February 04, 2012

Makan makan

Alhamdulillah, saya sudah kenyang. Makan tengah hari saya hari ini ringkas tetapi lazatnya tidak terkira. Saya hanya memasak singgang kepala ikan tenggiri dan sotong goreng kicap sahaja. Tiada sayur kerana buah-buahan dalam peti ais sudah banyak. Ada limau, ada jambu, ada mangga. Sudah cukup untuk menyeimbangkan pengambilan makanan kami hari ini.

Pagi tadi, saya masak juga. Entah kenapa rasa sudah tidak lalu untuk makan nasi berlauk yang dibeli di kedai. Jadi saya masak nasi kerabu goreng untuk sarapan.

Oh ya, malam tadi pun saya memasak juga. Sebaik pulang ke rumah dihantar adik Ismah dan Zahidah, saya terus ke dapur mengeluarkan tulang dari peti sejuk beku untuk dibuat sup. Selain sup tulang, saya goreng telur dadar dan sayur bayam hijau campur bilis.

Sebenarnya, sudah seminggu saya bercuti daripada memasak. Sejak arwah Abang Mahadi meninggal, kami setiap petang ke rumahnya membantu apa yang patut untuk majlis tahlil. Jadi saya tidak memasak di rumah pun.

Sehinggalah hari Jumaat kelmarin.

Dan sebentar nanti, saya bercadang untuk memasak bubur kacang pula. Rasa rindu nak makan bubur kegemaran saya itu. Tambah-tambah lagi cuaca sekarang agak panas. Jika bubur itu disejukkan dalam peti ais, oh sangatlah membangkitkan selera!

Untungnya, sebelah malam nanti suami saya tidak makan di rumah. Dia ke majlis tahlil jiran kami. Maka santapan saya ringkas dan mudah, nasi dan lauk lebihan tengah hari tadi beserta bubur kacang sejuk. Sedapnya...!!

Friday, February 03, 2012

Mencari Lagi

Saya mengharap sesuatu yang lebih bermanfaat kali ini. Dek sentiasa diburu persoalan-persoalan yang tidak mampu saya hadam kerana kecetekan ilmu yang ada, maka saya mencari dan terus mencari.

Siang tadi, bertemankan dua orang adinda saya yang begitu setia di sisi, kami berlegar-legar di KB Mall. Sekadar memenuhi masa luang bersama-sama yang jarang-jarang ada. Kami menjamu selera di Chicken Rice Shop, sebelum membeli belah di sekitar situ. Tempat wajib kami singgah tentulah kedai buku. Di Popular, manusia sangat ramai. Begitu juga di Muda Osman. Pun kami tetap meneruskan hajat kami untuk membeli apa yang kami mahu. Dan inilah santapan minda saya untuk bulan ini.





Kedua-duanya adalah buah tangan Dr. Danial Zainal Abidin yang sangat saya kagumi. Semoga ia memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

Wednesday, February 01, 2012

Corat Coret Masa Senggang



Kenapa ya, saya rasa ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak? Anak sudah tingkatan satu pun belum tentu mampu mengurus diri sendiri kerana segala perkara dibuat ibu!

Saya tidak punya anak, tetapi saya ini seorang anak. Pengalaman saya sebagai anak memang jelas terpahat dalam ingatan. Dalam usia yang masih muda, emak melatih saya berdikari agar tidak kecundang bila hidup bersendirian atau jauh dari keluarga. Seawal umur 10 tahun saya sudah mampu menjaga seorang adik kecil, bukan sekadar mengendong atau menidurkannya tetapi juga menukar lampin dan menyuapnya makan.

Saya turut mengemas rumah, membasuh baju (tanpa mesin basuh), melipat kain, mencuci pinggan dan memasak. Benar, saya tidak suka melakukan semua itu kerana saya hanya seorang kanak-kanak tetapi keadaan tidak mengizinkan saya mengelak. Seringkali saya iri pada rakan-rakan saya kerana mereka punya lebih masa untuk bermain sedang saya perlu menjaga adik di rumah.

Rasa saya, adik-adik saya yang lain juga emak latih begitu sehingga ke si bongsu yang manja! Malah, adik bongsu saya rasanya lebih berkualiti khidmat baktinya terhadap emak berbanding saya!

Sebentar tadi, seorang sahabat sedang berkira-kira untuk mengunjungi anaknya yang sedang belajar di sekolah berasrama pada hujung minggu nanti. Biasalah, mungkin untuk melepas rindu. Tetapi ada satu lagi agenda yang membuat saya sedikit keliru. Dia ke sana kerana ingin membalut buku-buku anaknya! Aduhai!

Seingat saya, saya sudah diajar membalut buku sendiri sejak sekolah rendah lagi. Apabila tingkatan satu, saya sudah sangat mahir membalutnya. Walaupun emak selalu bercerita tentang betapa resahnya dia pada bulan pertama saya berada di asrama, tetapi bukan kerana dia bimbangkan ketidakupayaan saya berdikari, cuma dia menyimpan rindu. Maklumlah, kali pertama berjauhan tentu perasaan rindu seorang ibu tidak mampu dibendung. Sama seperti rindu saya padanya juga.

Ibu bapa zaman sekarang rasanya terlalu mengharap anaknya cemerlang dalam pelajaran sehingga mengabaikan keperluan-keperluan fisiologi yang lain. Tidak hairanlah jika kebanyakan daripada pelajar sekarang tidak mampu bertahan hidup di asrama. Mereka tidak mampu beratur pagi-pagi di bilik mandi, atau beratur panjang di dewan makan. Juga sukar mengemas almari sendiri atau menegangkan cadar di katil. Mereka kekok, kerana kehidupan mereka di rumah hanya disogok dengan belajar. Belajar dan belajar. Bukan belajar untuk hidup, tetapi belajar untuk mengumpul sebanyak mana A yang mungkin. Itulah lambang kejayaan bagi mereka.

Rasanya, sudah tiba masanya untuk ibu bapa kembali mencontohi cara didikan zaman dahulu. Beri masa dan ruang untuk anak-anak meneroka hidup bersama-sama rakan, selain mendidik mereka mengurus diri sendiri. Jangan hanya tahu menghantar mereka ke kelas tuisyen siang dan malam, sedang membalut buku pun mohon bantuan ibu!

Kupercaya Ada Cinta


Mereka meragui
Wujudnya cinta yang sejati
Tidak hati ini
Semenjak dari mula
Ku yakin ada cinta
Cintalah yang memungkinkan segala

Ku rela
Biar betapapun perit tertusuk duri
Jalan berliku tiada bertepi
Ku percaya
Tidak sia-sia aku diuji

Demi cinta
Tersembunyi hikmahnya pasti

Pandang-pandang alam ini
Sambil pandang difikiri
Mana bumbung langit tinggi
Mana lantai bumi

Tiap satu yang terjadi
Tidak mungkin tersendiri
Cuba cari jawapannya andai meragui

Ku rela
Biar betapa pun perit tertusuk duri
Jalan berliku tiada bertepi
Ku percaya
Tidak sia-sia aku duji
Ada hikmahnya pasti

Sejak mula ku percaya ada cinta
Cinta itu memungkinkan segalanya
Cinta suci
Dan abadi

Friday, January 27, 2012

Tercari-cari

Zaman kanak-kanaknya penuh duri. Dalam usia yang masih tidak mengerti apa-apa, dia didera. Bukan penderaan biasa, tetapi seksual. Sukarnya untuk dia menempuh hidup kerana dia masih terlalu kecil untuk mengongsi segala rasa duka dengan siapa-siapa. Dia menangis dan menjerit dalam diam cuma.

Apabila sedikit dewasa, dia mula berani meluah rasa, berkongsi cerita dengan sahabat dan saudara. Malangnya, mereka hanya berkata, "sabarlah, itu ujian Tuhan".

Dia rasa terhina. Dia hanya seorang kanak-kanak sewaktu Tuhan mengujinya dengan penderaan sebegitu. Dia belum mengerti makna hidup dan kehidupan sepenuhnya, tetapi dia sudah diuji sebegitu rupa. Mengapa Tuhan zalim padanya?

Semakin dewasa, dia semakin tercari-cari. Merantau ke luar negara membuka ruang dia mengenali lebih ramai manusia daripada pelbagai agama. Dia melihat dan meneroka, lalu menemui rumusan sendiri. Rumusan yang membawa dia secara perlahan-lahan menjauhi Islam. Dia berasa Islam tidak adil padanya. Islam tidak memberi penyelesaian pada derita yang bertahun-tahun ditanggungnya. Islam hanya mahu dia bersabar, tanpa pernah mahu menghentikan segala. Penderaan demi penderaan masih berlaku pada kanak-kanak dan Islam masih gagal mengatasinya!

Dia lari. Lari sejauh-jauhnya. Dia tidak percaya lagi kepada Tuhan kerana derita yang dirasainya sekian lama, namun Tuhan tidak pernah mahu membantunya.

Lalu, apa tindakan kita yang sewajarnya pada dia? Hukum bunuhkah?

Kita akan berkata dia murtad. Kita akan menghina dia sepenuh rasa, sesuka hati. Namun kita tidak pernah mahu membawa dia ke arah satu penyelesaian yang jitu.

Wahai lulusan agama dan pendakwah-pendakwah sekalian! Insan-insan seperti inilah yang sangat perlu dibantu dengan memberi motivasi dan kesedaran sebenarnya agar dia tidak semakin jauh mencari dirinya sendiri. Agar dia tidak terus-terusan membuat kesimpulan daripada pemerhatian tanpa panduan kalian. Dia sangat perlu dibantu, namun golongan agamawan kini hanya tahu bertelagah sesama sendiri.

Saya simpati padanya. Dia tercari-cari kebenaran yang hakiki.

Thursday, January 26, 2012

Al Fatihah

Al Fatihah buat Allahyarham Mahadi bin Che Noh, 52 tahun yang kembali ke rahmatullah pada jam 10.25 pagi ini kerana kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau bekerja di Hospital Daerah Besut sebagai Pembantu Perubatan.

Beliau ialah biras saya, suami kepada kakak ipar saya, Rohaini Salleh dan bapa kepada tujuh orang anak - Afiqah, Zulhusnie, Faris, Adilah, Aiman, Syahirah dan Ilina.

Beliau seorang yang sangat mudah mesra dan begitu peramah. Sebentar sahaja mengenalinya, kita sudah boleh berbicara macam-macam. Melihat keakraban Allahyarham dengan keluarga dan anak-anaknya, mencetus rasa kagum dalam hati. Beliau seorang bapa dan suami yang sangat baik. Tidak segan silu beliau mempamer kasih sayang dan kemesraan dengan keluarganya di hadapan ramai.

Betapa sukar untuk seluruh keluarganya menerima kehilangan ini namun diharap mereka tabah dan sabar menerima ujian ini. Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

Semoga Allah mengampuninya dan meletakkan Allahyarham dalam kalangan para solihin. Amin.




Cinta

Sekadar berkongsi satu emel yang Ustazah Noraslina Jusin terima daripada pembaca blog ummuhusna99.blogspot.com. Semoga bermanfaat.

“Saya baru lepas membaca blog Ustazah . Dan saya sedar betapa cintanya Ustazah pada suami. Suami saya bukan seperti Ustaz Zaharuddin. Saya berkelulusan Ijazah sedangkan suami hanya diploma. Kehidupan keluarga saya lebih senang berbanding suami dan suami bukanlah pilihan saya.

Tetapi Allah takdir jodoh saya dengan suami yang saya kira baik. tak pernah 'naik tangan' dan menjaga saya dan anak-anak dengan baik. Saya cintakannya kerana Allah. Pada awal perkahwinan, suami tak pernah membaca al-Quran kerana mungkin dia tak tahu. dan saya berdoa dan berdoa. Alhamdulillah dengan Rahmat Allah, sebulan selepas itu suami terbuka hati untuk belajar membaca al-Quran. alhamdulillah. suami saya merokok dan saya berdoa lagi pada yang Esa. alhamdulillah dalam masa sebulan Ramadhan yang lepas suami saya cuba untuk berheti merokok walaupun saya tak pernah nasihat untuk berhenti merokok kerana saya takut dia marah. suami bekerja di sebuah kelab rekreasi menguruskan akaun kelab dan kelab itu menghidangkan arak kepada pelanggan. Dan saya nyatakan tentang hadis Rasullullah tentang golongan yang dilaknat kerana terlibat dengan penjualan arak. Kerana egonya kami bertengkar. Tetapi alhamdulliah tidak lama selepas itu suami diterima bekerja di sebuah bank Islam yang tidak mengamalkan riba.

Semuanya kerana Rahmat Allah. Apa lagi yang harus saya katakan tentang besarnya nikmat Allah dan Rahmat Allah untuk kami sekeluarga. Hari ini ujian datang lagi dan saya cuba bersabar kerana Allah.

Pada pendapat sya, Cinta kerana Allah ialah apabila Allah beri kepada kepada kita apa yang bukan kita idamkan yang kurang sempurna dan kita terima walaupun pahit. Semuanya kerana Allah.
Sekian Wassalam.

JAWAPAN Ustazah Noraslina Jusin

Waalaikumussalam, Puan.

Semoga kita semua sentiasa di dalam peliharaan ALLAH SWT.
Terima kasih kerana berkongsi pengalaman dan pandangan.

Cinta kerana ALLAH pada saya adalah cinta yang ditempatkan sesuai dengan tingkatannya, iaitu cinta ALLAH dan Rasul-NYA mestilah menjadi paksi kepada cinta-cinta lain. Sebagaimana Rasulullah SAW menegaskan dalam sabda baginda tentang keadilan dalam memberikan hukuman, walau sekiranya anak yang dikasihi baginda, Fatimah r.a mencuri, Rasulullah tetap akan menjalankan hukum padanya.

Keadaan cinta begini akan menjadikan pemiliknya seorang yang reda dan pasrah terhadap apa jua takdir yang dilalui. Mengembur usaha tanpa kenal lelah demi membawa orang yang dikasihinya kepada jalan ILAHI.

Pemilik cinta begini selalu menginsafi bahawa sebagai makhluk dia hanya digesa untuk berikhtiar dan berusaha semampunya manakala hasil dari usahanya itu dipulangkan kepada Yang Maha Esa lagi bijaksana. Sabar dan syukur selalu menjadi kekuatan yang menambah keimanan dan ketaqwaan kepada-NYA.
Walau apa yang diimpi tidak menjadi, dia yakin setiap kebaikan dan keburukan itu adalah ujian. Pada setiap nikmat yang disyukuri ada kemungkinan ia mengundang musibah yang perlu disabari. Hanya ALLAH SWT jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-NYA.

Justeru, pegangan saya, usah membandingkan pasangan dengan individu lain kerana hakikatnya kita sebagai manusia yang amat terbatas segala-galanya ini hanya mengetahui sebahagian sahaja kehidupan orang lain, manakala ada sebahagian besar lagi yang tidak kita ketahui, yang hanya dimaklumi oleh individu berkenaan serta pasangannya dan sudah pasti, ALLAH SWT Yang Maha Esa. Rasulullah SAW mendidik kita agar melihat orang yang kurang dari kta dalam urusan dunia, manakala dalam urusan agama, hendaklah kita melihat orang yang lebih atas dari kita. Dengan itu, kita akan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan berusaha untuk memperbaiki diri demi kebahagiaan dunia, lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Buat akhirnya, tahniah atas kesabaran puan dan teruskan usaha.

Salam ukhuwwah.

Wednesday, January 25, 2012

Ombak Rindu vs Hafalan Solat Delisa

Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.

Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?

Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.

Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? Tidak! Kita hanya sibuk mengutuk hasil karya anak tempatan sedangkan kita sendiri tak pernah mampu walau untuk mengedit sebuah video peribadi. Lebih buruk lagi, untuk menaikkan sebuah entri yang bermanfaat di blog pun kita tidak mampu. Malah, selepas gagal menjawab pelbagai isu dan persoalan yang kita naikkan ke facebook pun, kita lebih suka lari dan mengambil jalan pintas menuding kepada pihak lain untuk menjawab.

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?

Bagaimana dengan pemikiran kita?

Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, kita inilah yang perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.

Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?

Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 – RM30 untuk menghadam hasil keringat dan idea orang lain.

Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen “tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia”.

Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!

Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?

Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.

Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. Bak kata kawan-kawan facebook saya, carilah cermin.

OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.

Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan ‘sokong dan dorong’ rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).

Karya kita, cerminan bangsa kita. Tak percaya? Semak profile facebook masing-masing.

saye: ini belum masuk lagi kekangan berkarya akibat dictatorship. Ada beran?

(widura.org)

Carilah Ungkapan Yang Lebih Molek

Antara perkara yang indah yang diajar oleh Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.

Muslim bukan seorang pencarut, atau pemaki hamun orang atau pencerca dengan kalimat-kalimat yang jelik dan keji. Lidah muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).

Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis adalah perkara yang tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:

bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

Di Barat ini walaupun tidak dinafikan ada kesopanannya terutama dalam pengurusan rasmi, namun vulgar language atau bahasa tidak senonoh sudah sebati dalam kehidupan harian mereka. Kalimat f*ck sentiasa di bibir. Di mana sahaja kita dengar mereka bersembang, biasanya perkataan itu akan terbit. Filem mereka, komedi mereka dan segala seni mereka akan diselitkan kalimat-kalimat jelik seperti itu.

Stand-up comedy di sini antara yang dapat sambutan hebat. Ramai yang terkenal dan kaya raya dengan idea-idea lawak mereka. Ada banyak siaran khusus untuk stand-up comedy ini. Namun kesemua lawak tidak terlepas dari perkataan kotor, lucah dan cerita lucah. Makian juga menjadi modal lawak yang mendapat tepukan gemuruh. Tuhan, agama, Jesus, orang politik dan ramai lagi menjadi mangsa maki-hamun yang melucukan pendengar.

Budaya lucah mendapat pasaran dalam masyarakat mereka. Penyanyi seperti Lady Gaga dengan segala kelucahannya mendapat tempat yang hebat. China telah senarai hitam Lady Gaga dan Katy Perry yang menjadi pujaan ramai di Barat, bahkan di pelbagai negara lain juga. Shanghai Baby novel karya Wei Hui, yang meriwayatkan kisah peribadinya yang bercampur lucah, yang telah dibakar sebanyak 40,000 naskah secara terbuka di China, tapi menjadi ‘the international bestseller’ di Barat.

Banyak nilai yang berbeza yang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat Barat. Bayangkan apabila budaya ini berterusan dan setiap anak yang lahir dalam masyarakat ini sudah terbiasa demikian rupa. Cumanya, di atas pentas ilmu atau akademik, nampaknya bahasa mereka masih terkawal dan molek.

Saya teringat hadis apabila sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w dan memberi salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’. Nabi s.a.w menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu.

Nabi s.a.w bersabda:

“Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”. Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikian halusnya contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Jawapan ‘wa ‘alaikum’ juga satu tindak balas atas kebiadapan yahudi, namun ia bebas dari perkataan yang buruk dan keji. Kita tidak pernah menafikan bahawa Nabi s.a.w pernah bertegas dan tinggi nada suara baginda terutama ketika berkhutbah. Namun, baginda tidak memaki hamun atau melaknat orang lain, apatah lagi sesama muslim.

Malanglah jika ada yang memaki hamun orang lain lalu menyandarkan kepada Nabi s.a.w. Bertegas, tinggi nada ucapan, keras amaran tidak sama dengan mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek kepada orang lain. Kata Jabir r.a:

“Nabi ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang member amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh” (riwayat Muslim).

Ini pun mengikut isu yang Nabi s.a.w perkatakan. Ada pelbagai riwayat tentang khutbah baginda.

Ada pula pihak yang apabila mereka memaki hamun orang lain, dia berkata: saya tiru Saidina Umar. Aduhai, nampak buruk khalifah yang mulia itu apabila menjelma dalam tindakannya. Ya, banyak riwayat menunjukkan sikap tegas dan keras Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab, namun bukan bererti dia memaki hamun.

Ada beberapa perbezaan antara beliau dengan kita semua, beliau khalifah yang ada kuasa untuk menghukum rakyat bawahan seperti memukul bagi yang melanggar kesalahan. Sedang kita tiada hak tersebut. Dimensi zaman juga tidak sama, ketika itu tindakan beliau dianggap serasi dengan cara kehidupan di zaman itu. Di zaman kita, tidak perlulah seorang perdana menteri atau presiden negara membawa tongkat memukul rakyat yang melanggar peraturan jalanraya atau seumpamanya. Undang-undang yang detil sudah wujud, mahkamah dan pihak berkuasa berperanan sepenuhnya. Itu lebih dihormati di zaman ini.

Di sana pula ada perbezaan antara ucapan di khalayak umum dan perbualan peribadi. Ucapan buruk di khalayak umum adalah satu kempen secara langsung atau tidak kepada budaya negatif. Tidak sama dengan ‘bersembang biasa’. Walaupun keduanya perlu berakhlak, namun yang dibuat depan khalayak kesan buruknya lebih besar.

Kita tidak temui dalam khutbah para khulafa’ dan insan-insan terhormat menggunakan kalimat-kalimat makian dan hamunan. Firman Allah: (maksudnya)

“dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKU (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia”. (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini:

“Allah memerintah Rasulullah s.a.w memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan setiap kita ada emosi. Kadang-kala terlepas cakap, terkasar bahasa dan tersalah bicara. Namun, itu tidak boleh menjadi budaya lidah. Jika berlaku, ia wajar dikuti dengan penyesalan dalam diri dan memohon yang lebih baik dari Allah. Nabi s.a.w pernah berkata tentang diri baginda:

“Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti” (riwayat Muslim).

Jika seseorang sekali dua termaki orang, mungkin dia terlajak atau gagal kawal emosi disebabkan keadaan tertentu. Namun jika setiap kali berucap atau sering kali menjadi mainan bibir, maka itu sudah macam lelaki Ansar yang Nabi s.a.w tegur dalam majlis tersebut.

Menjadi lebih rosak jika seperti di Barat ini, perkataan buruk dan hodoh itu menjadi satu lawak jenaka yang mendapat sambutan yang gemuruh. Ini mungkin disebabkan jiwa mereka kosong lalu mereka ingin pengisian. Mereka rasa lawak jenaka kasar itu mengubat kekosongan jiwa. Demikian mereka tersalah mengenai rohani insani. Demikian juga ada muslim yang tersilap apabila merasakan duduk mendengar lawak yang bercampur kebiadaban itu sesuatu yang mengisi kekosongan jiwa.

Yang baik tidak sama dengan yang buruk. Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

“dan tidaklah sama antara yang baik dan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau buat demikian maka orang ada permusuhan terhadapmu, seolah-olah menjadi seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang mempunyai kedudukan yang besar (dunia dan akhirat). (Fussilat: 34-35)

Kita semua rindu ingin mengikuti ajaran al-Quran. Kita tahu kita sering gagal, namun kita tetap menyatakan yang teragung itu adalah panduan al-Quran. Kita cuba sedayanya. Jangan apabila kita melakukan yang sebaliknya, kita justifikasikan tindakan kita sehingga menafikan keunggulan al-Quran. Jangan pula kita jadi seperti sesetengah yang berkata ‘puak yang menentang kita pun teruk, kita balas la’. Mengapakah kita jadikan musuh yang kita rasa tersasar dari landasan yang betul sebagai piawaian yang menjadi panduan dalam tindakan?!

Bahasa yang baik Allah suka. Kita mungkin ada kelemahan diri, namun jangan kita zahir dalam bahasa yang hodoh dan penuh dengan cacian dan makian. Bahasa yang baik akan dirahmati Tuhan, bahasa yang jelek akan menimbulkan kekerasan dalam perasaan dan nurani. Diriku dan sahabat sekalian, mari kita cari perkataan yang lebih molek dalam berinteraksi antara kita.

(Minda Tajdid Dr Maza)

Monday, January 23, 2012

Cacamarba

Kelakarlah malam ni, tiba-tiba saja blackout separuh-separuh. Lampu, kipas dan air cond dalam bilik tak hidup tapi TV ok pula. Kat ruang tamu semua padam terus, tapi kat dapur semua ok. Peti sejuk je yang padam. Hahaha!! Kelakar tapi bagus juga sebab still boleh masak. Alah, suami saya tak lapar sangat malam ni. Dia nak makan tom yam je. Bukan susah pun, just campak-campak apa yang patut, tak sampai 20 minit siap!

Sebenarnya, saya mengantuk tapi kepanasan nak tidur dalam bilik. Selepas makan tom yam tadi, suami saya keluar ke majlis tahlil di rumah jiran. Saya bersendirian seperti biasa. Ingat lepas solat Isya' nak terus tidur, tapi panaslah. Mujur juga kipas kat ruang tengah ni hidup. Jadi lepak di sinilah sekejap, sejukkan badan sambil bercacamarba dengan blog kesayangan saya ini.

Pagi tadi, lebih kurang pukul 10, kak Zaiha dan anak-anak datang rumah saya. Selalunya begitulah, setiap kali bertandang rumah ma, rumah saya tidak dilupakan. Sebaliknya, saya belum pernah lagi sampai ke rumahnya di Terengganu. Teruk, kan? Saya bukan tidak sudi, tetapi banyak betul kekangannya.

Apabila bergelar isteri, seorang wanita akan tertakluk seratus peratus kepada suaminya. Itu yang termaktub dalam ajaran Islam. Selagi tidak menyalahi syarak, maka suami adalah keutamaan. Segala yang lain akan jatuh ke nombor-nombor seterusnya. Pendekkan cerita, tiada lagi kebebasan mutlak buat wanita bergelar isteri tanpa keizinan suami.

Bunyi macam veto kan? Kasihan wanita...

Namun selamilah sedalam-dalamnya apa yang tersirat dalam perundangan ini. Sebenarnya, tanggungjawab suami juga bukan mudah. Maka sama-samalah bekerjasama membina rumah tangga bahagia dengan penuh toleransi dan utamakan tanggungjawab berbanding hak. Itu petuanya.

Lalu buat saudara-saudaraku yang masih bujang, tidak perlulah tergesa-gesa berkahwin jika belum puas menikmati kebebasan. Jika zaman dahulu, ibu bapa cepat-cepat mengahwinkan anak daranya kerana khuatirkan banyak perkara. Takut tidak laku pun ya juga. Jika sudah dikahwinkan, beban tanggungan mereka akan semakin ringan. Maklumlah, anak perempuan kita dah ada suami yang jaga. Tak ada apa nak risau lagi. Kalau dapat menantu yang berada, bukan setakat anak kita disaranya, dengan kita-kita sekali boleh tumpang senang!

Tapi itu dulu, waktu perempuan dipingitkan. Sekolah pun tidak, apa lagi nak bekerja.

Sekarang wanita sudah diberi banyak peluang. Tanpa suami pun wanita mampu hidup senang lenang dan penuh gaya. Jadi tujuan perkahwinan bagi wanita zaman sekarang bukan lagi untuk dinafkahi semata-mata (kerana ada kalanya, mereka yang menafkahi suami, kan?) tetapi lebih kepada mencari rakan kongsi. Berkongsi segala-galanya.

Bukanlah saya ingin menegatifkan apa yang positif. Ini sekadar cacamarba saya sementara menunggu suami pulang dari majlis tahlil.

Eh, dia dah pulang. Sekian dulu. Bye!

Serik

Saya bukan pendendam, tetapi mengingat kembali apa yang saya, emak dan suami alami saat bertandang ke rumahnya, saya berasa serik. Berasa enggan lagi berurusan dengan manusia yang saya sangka tinggi ilmu dan akhlaknya, namun menghormati tetamu pun tidak mampu. Apatah lagi saat itu jiwa kami sekeluarga sangat resah memikir kemungkinan yang bakal dihadapi insan yang kami sayangi, namun dia - manusia berilmu itu - tidak menunjukkan sedikit pun simpati. Dia tega membiarkan kami berlama-lama di suatu tempat yang kami sangka sangat islamik, menunggu dengan sabar mengharap buah pertolongannya. Rupanya dia sedang enak tidur di kamar sendiri!

Lucu sekali, bukan? Hati saya menggelegak amat malam itu, namun dengan sedikit pengertian tentang hikmah sabar, saya tahankan kemarahan daripada meletup. Biarlah, biar Allah yang menentukan segala. Saya bukan pendendam.

Peliknya, sebegitu dia melayan saya, emak dan suami namun kami masih juga ingin meneruskan urusan hidup di dunia ini dengannya. Apa hebatnya dia sehingga kami tidak mampu mengelak daripadanya?

Apabila adik perempuan saya memberitahu dia ingin bekerja di situ, saya sangat cuak. Peristiwa dua tahun lalu kembali menerpa dalam benak fikir saya. Bukan dendam, tetapi serik. Saya takut pisang berbuah dua kali. Namun saya bukanlah lulusan agama yang tahu ayat itu dan ayat ini untuk dibaca kepada adik saya agar dia tidak bekerja di situ. Lalu, saya mempositifkan minda dengan menganggap, mungkin ini satu peluang untuk adik saya membina pengalaman dan mencari pendapatan, dengan mengabaikan siapa tuan punya pusat pengajian itu.

Ah, masakan ia semudah itu!

Benarlah. Saya berani merumuskan betapa Islam itu hanya dijadikan topeng dan alat sahaja oleh manusia ini dalam merealisasikan nafsu dan keinginan diri. Dia mencemar nama baiknya sendiri dengan membuka segala pekung yang ada. Berselindung di sebalik gelaran, dia mengonar sesuka hati.

Saya buntu. Saya mahu keluarga saya terpisah daripada dia kerana dia bukan seorang pejuang tulen yang ikhlas dan bersungguh-sungguh menegakkan agama. Dia ego, bangga diri dan tidak pandai menghormati orang lain. Walaupun dia lulusan agama, itu bukan tiket untuk dia merendah-rendah dan menjatuhkan maruah orang lain. Walaupun saya bertemunya hanya sekali itulah, namun saya banyak mendengar cerita-cerita tentangnya. Dan dari situ, saya sanggup membuat rumusan seberani ini.

Sungguh, saya berani berkata begini kerana saya mahu keluarga saya jauh daripadanya. Mungkin ada jasa baktinya pada keluarga kami dan jazakallahu khairan kathira kami ucapkan untuk itu, namun hutang budi biarlah kami bawa ke mati. Tak perlu dibalas di dunia ini!

Saturday, January 21, 2012

Perbukitan Bangi

Jun 1992, kali pertama saya tiba di bumi Selangor untuk bermukim di perbukitan Bangi di bawah naungan langit UKM.

Tempoh lapan semester yang tertera di surat tawaran terasa begitu lama sekali untuk saya habiskan. Bimbang dan resah berbaur menjadi satu rasa yang tidak mampu diungkap dengan kata. Saya bimbang jika saya tidak mampu menjadi pelajar yang baik, yang membahagiakan hati ibu bapa dengan kecemerlangan keputusan pada setiap kali peperiksaan. Saya juga resah kerana sahabat-sahabat rapat saya semuanya tiada lagi di sisi. Saya keseorangan menghadap Fakulti Sains Matematik dan Komputer, pada masa sahabat-sahabat rapat saya Azidah, Azni, Faridah, Salbiah menuju ke Fakulti Perubatan di KL. Maira, Fazlina, Rohaya pula memohon untuk ke Fakulti Perubatan di India. Manakala Fajariah masih berada di Kuala Pilah.

Minggu pertama saya sangat menyakitkan. Orientasi tidak pernah mahu mengambil tahu kesihatan saya yang terganggu. Tuhan maha tahu betapa tersiksanya saya berjalan kaki dari Kamsis Ungku Omar ke Dectar berkali-kali sehari pada saat perut saya menanggung kesakitan bulanan. Pada saat badan saya memerlukan air yang banyak, saya tidak sempat mencari walau sebotol air mineral! Lalu setiap kali pulang ke asrama, saya tega meneguk air paip dek kedahagaan yang tidak tertanggung.

Mujur ia tidak memudaratkan dan mujurlah ia seminggu sahaja. Pada minggu kedua, orientasi di Kamsis pula berlangsung dan ia tidaklah terlalu mendera.

Sebermula perkuliahan, saya semakin betah meneruskan kehidupan. Di sini, saya merapati Opie, Kasma, Zila, Eton, Tena, Rose dan Shima yang dahulunya sama matrikulasi dengan saya. Juga rakan-rakan baru dari UiTM Shah Alam yang menyambung ijazah mereka di sini iaitu Nazihah, Yusnida, Koni dan Rafinah.

Hidup saya berterusan selama lapan semester di sini, penuh dengan warna warni.

Pengajian tidak terlalu menekan, malah saya tenang menghadapinya. Cuma kewangan yang tidak keruan kadangkala meruntun rasa. Saya menerima pinjaman MARA sejumlah RM4200 setahun. Memang sangat tidak cukup tetapi jumlah itulah yang saya guna berdikit-dikit untuk menyempurnai pengajian saya. Pun masih juga mengharap bantuan ayah pada hujung semester yang sentiasa kekeringan.

Alhamdulillah, saya menyelesaikan segalanya dalam tempoh yang ditetapkan.

1996, saya menghadiahkan ayah dan ibu saya Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Matematik dan Pengurusan Perniagaan. Biarpun cuma kelas dua bawah, saya sangat bangga kerana perjuangan selama empat tahun itu selesai juga.

Kini, telah lebih lima belas tahun perbukitan Bangi itu saya tinggalkan. Rindu padanya tidak terhitung, namun peluang mengunjunginya tidak pernah ada. Biarpun tiada cinta yang bersemi di sana, kenangannya tetap manis dan indah untuk saya bawa sampai bila-bila...

Di sinilah saya menginap selama empat tahun. Dahulu ia dikenali sebagai Kamsis Ungku Omar sebelum ditukar kepada Kolej Ungku Omar.

Di Dewan inilah saya memerah otak menjawab segala kertas pada setiap kali peperiksaan. Dan di Dewan ini jugalah majlis Konvokesyen saya berlangsung.