Friday, November 29, 2013

Sayu

Tiba-tiba, saya menjadi cengeng. Hiba menjelma dan semudah itu saya menangis. Menangis tanpa sebab.

Semalam saya menonton drama Filipina, "Be Careful With My Heart". Apabila melihat watak Abby di layar, saya rasa sayu tiba-tiba. Abby kanak-kanak yang sangat comel, tetapi dia tidak mampu bersuara. Walaupun babak itu bukan babak sedih, tetapi jiwa saya melihat sisi Abby sahaja. Bukan mengikuti cerita yang ingin disampaikan. Dan saya menangis kerana saya simpati pada Abby.

Tadi, saya menonton filem Sangam. Entah kali keberapa puluh filem ini saya hadap, tetapi tetap ingin juga saya tonton. Bukan kerana ceritanya, atau pelakonnya, tetapi kerana lagu-lagunya yang nostalgia.

Saat berkumandang lagu "Har Dil Jo Pyar Karega", tiba-tiba hati saya tersentuh. Bukan kerana liriknya, tetapi kenangan di sebalik lagu itu. Dan, saya menangis lagi.

Tahu apa kenangannya?

Saya baru berusia enam tahun waktu pertama kali menonton cerita ini. Saya menonton di rumah bersama-sama arwah ayah. Setiap babak cerita tidak saya fahami pun, kerana minda saya belum mampu menerima kisah-kisah sebegini. Lalu, saya bertanya ayah. Ayah, kenapa begitu? Ayah, kenapa begini? Dan ayah tidak jemu melayan tanya saya. Dia menjawab semuanya.

Dan yang paling saya ingat, dialog saya dan ayah sewaktu babak lagu "Har Dil Jo Pyar Karega" inilah. Saya bertanya, "ayah, kenapa bila lelaki tu gi dekat perempuan tu, perempuan tu lari gi kat lelaki lagi satu?"

Ayah jawab, "sebab lelaki tu nak kat perempuan tu tapi perempuan tu nak kat lelaki yang sorang lagi tu."

Saya pun berfikir, kalau macam tu sepatutnya kena la ada perempuan seorang lagi barulah cukup. Tapi saya tak cakap pun macam tu pada ayah.

Dialog sebegitu memang remeh dan tidak punya apa-apa nilai pada orang lain. Pun, ia kenangan antara saya dan ayah yang saya ingat sampai kini. Apabila ia ditayang kembali, saya jadi rindu. Rindu pada waktu yang telah tiada.

Sayu di hati saya sehari dua ini berlainan benar. Entah kerana apa. Jika kerana saya sudah sampai ke penghujung usia, maka molek benarlah saya mempersiapkan segala yang perlu untuk saya bawa ke sana. Mungkin rindu saya pada ayah akan terubat apabila dapat berkumpul dengannya di alam itu.

Siapa tahu?

Thursday, November 28, 2013

Matematik


Lama saya menanti ilmuwan Islam tempatan menyentuh hal ini. Lama sungguh. Sudah berkali-kali saya diasak dengan pelbagai tanya oleh pelbagai peringkat manusia - yang terpelajar ataupun tidak - apa perlunya belajar matematik yang susah-susah?

Tuhan, Engkau memilih aku untuk beratur dalam jalan ini, dan membimbing anak-anak Malaysia menguasai Matematik. Engkau memilih aku untuk berjuang dengan cara ini, dan sesungguhnya aku redha.

Cuma, apabila tanya mereka bernada senda, aku ragu untuk menjawab.

Seorang pentadbir sekolah yang beropsyen Bahasa pernah bertanya saya saat mendengar ceramah Matematik PMR di dewan sekolah. Soalnya, apa perlunya belajar benda-benda seperti ini yang dalam kehidupan seharian, tidak pernah pun kita guna?

Sempit sungguh.

Saya malas menjawab kerana ia sangat tidak perlu. Orang begini yang tidak tahu menghargai ilmu tidak wajar dilayan dengan jawapan bernas. Mungkin saja akal mereka yang dangkal akan gagal mencari tafsiran jawapan saya.

Di facebook, seorang guru bertaraf ustaz juga pernah memprovokasi subjek matematik dengan soal perlu atau tidak. Sekali lagi, dangkal sungguh akal yang dia ada.

Tolonglah. Jika anda lemah matematik, tidak perlu mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan kelemahan anda. Ia hanya mempamer kebodohan sendiri. Jangan anggap semua orang bodoh Matematik seperti anda.

Matematik di peringkat menengah atas menjadi subjek teras tetapi silibusnya sangat mudah. Segala yang susah payah sudah dialih ke subjek Matematik Tambahan yang menjadi subjek elektif cuma. Tidak minat, jangan ambil. Semudah itu. Perlu apa lagi soalan yang bodoh dan dangkal dilontar hari ke hari? Untuk mengharamkan subjek inikah?

Tak hairanlah kenapa umat Melayu sangat lembab belajar Matematik. Mereka disogok dengan dogma seperti ini rupanya. Jujur, walaupun saya Melayu tetapi sangat banyak peel Melayu yang menyakitkan hati saya. Ini salah satunya.

Terima kasih UHAJ. Jawapan anda untuk soalan yang sama pernah saya terima sangat melegakan jiwa raga saya.

Ini bunyi soalan hamba Allah itu.

"Pekerjaan skarang smuanya ada software tolong calculate utk kita. We just key in the numbers. Jadi apa perlu kepada addmath dan cabang2nya? Tapi, itu lah yg kita belajar smpai degree.

Rasanya itu lar dilema siswa, apa perlunya sesuatu subjek itu berbanding aplikasi di dunia sebenar? Apa2 aliran pon, last kali akan sampai pada tahap, what will your education do for you?
"

Wednesday, November 27, 2013

Sang Ketua Itu

Sudah acap kali dia bersikap begitu. Sikap yang memberi ruang untuk saya membuat satu penilaian yang kurang enak. Bukan salah saya, tetapi dia sendiri.

Benar, ada klausa dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam etika kakitangan awam. Tetapi akan rugikah dia jika mengutamakan sedikit ruang untuk budi bicara? Saya bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Saya cuma memohon apa yang dibenarkan. Tidak langsung dia bertanya kenapa dan mengapa saya perlu ke sana. Nada bicaranya kedengaran angkuh dan saya hilang rasa hormat yang selama ini cuba saya kepilkan di sudut naluri saya buat dia.

Benar, dia meluluskan permohonan saya itu tetapi dengan penuh keterpaksaan. Seolah-olah apa yang saya pohon itu satu kesalahan yang tidak sepatutnya saya lakukan. Sungguh, itu yang saya rasa hingga kini.

Telah hampir tiga bulan peristiwa itu berlaku tetapi saya masih gagal melenyapkan dari fikiran.

Tadi, sekali lagi naluri kepekerjaan saya tersentuh. Melihat dia terpaku di meja sambil menelaah akhbar tanpa sedikit pun bertanya perihal saya yang bakal berdepan dengan persoalan hidup dan mati, menimbulkan rasa cuak yang berkepul-kepul dalam jiwa. Saya bukan kecil hati, apa lagi tersinggung kerana saya tidak rugi apa-apa pun tanpa keprihatinan dia. Cuma saya sedikit keliru kerana saat saya menghampirinya untuk memohon tandatangan, masih dia enggan bertanya apa-apa. Apakah ini?

Kerana saya tidak bercerita secara langsung padanya kah?

Saya ini anak buah dan dia ketua. Jika sekalipun saya tidak bercerita kepadanya, masih dia wajib mengambil tahu. Jika sekalipun saya ini sukar meluah kata, menjadi tugasnya untuk memulakan sebuah bicara. Kenapa perlu meletak nilai diri setinggi langit sehingga gagal saya menggapainya?

Saya bukan marah. Bukan juga kecil hati. Saya cuma keliru.

Sesaat Untukku


Ini Amira. Dia peserta Akademi Fantasia 2013.

Saya suka lagu ini. Amira menyanyi dengan baik sekali dan saya sungguh terhibur. Saya kongsikan di sini untuk sama-sama kita dengari. Sekadar halwa telinga, itu sahaja.

Kau datang lagi
seperti selalu
seperti biasa

kau tak pernah jemu
temaniku dalam lenaku

kau buat kumerasa
kuada segalanya
kau buat kumerasa
hidupku sempurna

sentuh hatimu
rasai kehadiranku
buka matamu
lihatlah segalanya

agar kau tahu bahawa aku
bukan wanita biasa
yang bisa kausakiti 

tetaplah jadi yang terbaik
biarpun sesaat sahaja
namun ianya bermakna bagiku 

Tuesday, November 19, 2013

Rehat

Mereka kata, menjadi guru sekarang sangat penat. Banyak betul kerja yang tak berkaitan dan yang tak pernah terfikir pun dalam akal seorang guru pada dua puluh tahun lalu, kini terbeban di bahu para guru millenium ini.

Lalu, terdengarlah bisik-bisik daripada kalangan yang sudah berada dalam zon pencen untuk memohon pencen awal. Tidak larat lagi mereka berdepan dengan segala beban yang tidak berkesudahan ini.

Saya?

Nak pencen, lambat lagi. Nak berhenti, sayang juga. Ini profesion saya dan saya mahu menabur segala khidmat bakti selagi boleh. Pun, dengan bebanan dan tekanan yang tidak pernah mahu mengenal waktu dan ketika, saya rasa mahu juga berehat. Seketika, jadilah.

Apabila doktor menyarankan saya menjalani pembedahan, saya pun berangan-angan. Jika diizin Tuhan, hujung Disember ini saya akan memasuki OT dan bermulalah episod saya sebagai pesakit. Dan, jika pembedahan itu berjaya, saya bakal berada di wad selama seminggu dan akan diberi MC sekurang-kurangnya untuk enam minggu.

Saya pun akan berehat daripada mengajar buat seketika.

Tentunya saya tidak lagi terbeban dengan perkara-perkara yang menekankan itu untuk selama beberapa minggu. Tentunya saya tidak lagi perlu berdepan dengan murid-murid saya, dan tidak perlu menyediakan rancangan juga bahan mengajar.

Saya mahu rehat, sungguh-sungguh. Jika tidak cukup, saya akan tambah lagi cuti saya itu dengan memohon cuti tanpa gaji selama sebulan atau lebih.

Ya, saya mahu rehat. Sungguh-sungguh.

Doakan agar perancangan saya ini diizin-Nya.

Thursday, November 14, 2013

Akhir

Semua orang sedang sibuk. Ada yang kalut menyiapkan buku rancangan mengajar. Ada yang baru mahu memasukkan daftar nama murid dalam buku daftar agung. Ada yang memanggil murid membantu memasukkan eviden ke dalam fail PBS. Ada yang khusyuk menutup buku kedatangan. Ada yang mengemas barang. Ada yang mengutip yuran. (Dan ada juga yang sedang mengemaskini blog. Sayalah tu...)

Begitulah suasana hari akhir persekolahan hari ini. Semua sibuk, kecuali saya.

Saya sedang menyantaikan diri sendiri di hadapan laptop saya walaupun dikelilingi guru-guru yang sedang sibuk di kiri dan kanan saya. Entah, saya tidak tahu nak buat apa. Buku rancangan mengajar sudah saya hantar ke pejabat. Manual pengurusan sudah saya serahkan kepada pembantu am pejabat. Borang prestasi pun sudah selamat berada dalam fail di pejabat. PBS, saya tidak berkenaan. Buku kedatangan, saya bukan guru kelas.

Hmmm...



Kertas jawapan murid masih ada yang belum bertanda tetapi saya bukan mahu siapkan hari ini. Tarikhnya lambat lagi, tidak perlu tergesa-gesa. Selain itu, saya tidak tahu mahu buat apa.

Sebentar tadi saya memanjakan diri bermain games di hp saya, tetapi rasa segan bila rakan-rakan lalu lalang melihat saya seronok bermain. Mereka sibuk, saya tidak.

Tak mengapalah. Siapa suruh mereka melengah-lengahkan kerja? Nampak tak akibatnya?

Hehe... seronok saya memuji diri sehari dua ini. Jangan marah ya!

Wednesday, November 13, 2013

Perasan

SPM sedang berlangsung. Untungnya mereka, banyak selang hari antara mata pelajaran yang mereka duduki. Dua hari periksa, selang lima hari baru periksa semula.

Kami sebagai guru tidak memandang sepi ruang yang ada ini. Saya sebagai Setiausaha Kecemerlangan SPM telah siap merangka satu jadual kelas tambahan untuk mengisi masa-masa selang itu. Minggu lepas lagi jadual itu saya edar kepada semua pelajar SPM dan guru-guru terlibat.

Isnin dan Selasa semalam, kami di Kelantan bercuti sempena Keputeraan Sultan. Dalam jadual itu tertera mata pelajaran Matematik Tambahan pada Isnin dan Matematik pada Selasa selain Sejarah pada kedua-dua hari.

Nama saya hanya tercatat pada mata pelajaran Matematik Tambahan pada Isnin walaupun saya juga mengajar mata pelajaran Matematik. Tetapi saya ikhlaskan diri untuk hadir juga pada Selasa itu kerana terasa bertanggungjawab memantau perjalanan kelas pelajar-pelajar saya ini.

Guru yang bertugas untuk mata pelajaran Matematik telah saya sediakan seramai tiga orang. Guru A telah memaklumkan yang dia tidak dapat hadir kerana ada urusan. Guru B pula meminta saya menyediakan bahan kerana dia tiada di sekolah pada hujung minggu lepas tetapi dia berjanji akan hadir membimbing pelajar-pelajar itu walaupun guru lain tiada. Guru C, tidak berkata apa-apa.

Pagi Selasa itu, saya menuju ke sekolah walaupun saya tidak bertugas.

Slot pagi ialah mata pelajaran Sejarah dan dikendali dengan baik oleh guru-guru Sejarah. Slot kedua barulah mata pelajaran Matematik, bermula 10.30 pagi.

Saya menunggu di bilik peperiksaan. Bahan-bahan untuk pelajar telah ada di sisi saya. Jangkaan saya, guru B akan tiba sebelum 10.30 untuk mengambil bahan dan memulakan kelas.

Jam 10.20, guru C datang.

"Eh, ada juga awak ya. Bukan ke awak tak bertugas hari ni? Ganti siapa?"

"Memang tak ada nama saya, tapi saja nak datang. Tak ganti siapa-siapa pun. Cikgu A memang tak dapat datang sebab dia ada hal tapi cikgu B kata dia datang."

Kami pun menunggu lagi.

Jam 10.30, masih tiada lagi guru B itu. Saya dan Guru C turun ke dewan. Selesai mengagih bahan kepada para pelajar, saya menelefon guru B tetapi tiada jawapan. Kami teruskan kelas tanpa Guru B. Tidak mengapalah.

Kehadiran pelajar pula tidaklah seramai mana. Kami bahagikan pelajar kepada dua kumpulan. Kumpulan cemerlang di bawah seliaan saya dan kumpulan sederhana dan lemah bergabung di bawah seliaan cikgu C. Pelajar kumpulan cemerlang memang tiada masalah, mereka menjawab dengan tekun dan sesekali bertanya apabila ada kemusykilan. Di kelas Guru C, pelajar kumpulan sederhana ramai juga tetapi kumpulan lemah hanya dua orang yang hadir. Pada hal, masa slot Sejarah mereka ada. Setamat kelas Sejarah pada jam 10.00 mereka terus pulang tanpa menunggu kelas Matematik. Biarlah mereka. Saya tahu mereka memang tidak mahu belajar Matematik.

Pagi ini, Rabu.

Guru B datang ke bilik saya dan memaklumkan dia lupa langsung yang semalam ada kelas. Saya kata tak apalah. Mujur saya datang, kalau tidak kumpulan cemerlang ketiadaan guru. Dia hanya tersenyum dan meminta maaf. Saya tidak rasa apa pun. Dia lupa, apa nak buat.

Benar, saya tidak apa-apa. Sedikit pun saya tidak marah cuma saya mengingatkan dia yang hari Sabtu ini ada satu lagi slot Matematik. Saya maklumkan saya tidak akan datang pada hari itu dan dia mesti datang mengendalikan kelas tersebut. Bahan sudah pun saya sediakan. Dia cuma perlu memantau dan membantu seadanya.

Apabila saya memberitahunya yang pelajar lemah dalam kelas Guru C hanya dua orang sahaja yang datang semalam, responnya mengejutkan saya.

"Oh, mungkin sebab saya tiada.."

Selamba sungguh! Saya hampir tergelak.

"Hah? Apa dia?"

"Sebab saya tak ada kot, tu diorang tak datang." Jelasnya lagi. Yakin.

"Eh, tak lah! Diorang mana tau awak tak datang. Lepas Sejarah je terus chow!!"

Ya, budak-budak itu tidak tahu pun guru B tidak datang kerana mereka pulang sebaik slot Sejarah tamat. Dalam jadual yang saya edar, memang tertera dengan jelas ketiga-tiga nama guru A, B dan C yang akan mengendalikan kelas tambahan Matematik itu. Nama saya sahaja yang tiada. Logiknya, budak-budak itu lari pulang kerana mereka nak belajar dengan saya, tetapi saya tiada. Rasanya, jika saya maklumkan lebih awal yang saya akan datang juga walaupun tidak bertugas, tentu mereka akan tunggu. Mereka pulang kerana saya yang tiada, bukan kerana guru B yang tiada.

Kan?

Hahahaha!!! Memang saya perasan.

Monday, November 11, 2013

Tabahlah

Saya tiba di wad pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab sekitar jam 1.00 tengah hari. Cucu saudara kami - anak sulung Atiyah dan Fitri - sedang dalam kesukaran. Atiyah menyambut kami dengan tangisan sayu seorang ibu.

Walaupun saya bukan seorang ibu, sebak di dada tidak mampu saya bendung. Pelukan Atiyah bersama sedu-sedannya amat berbekas di jiwa saya.

Kasihan Hazeeq. Sekecil itu dia menerima ujian sebegini. Doktor mengambil air tulang belakangnya untuk prosedur yang kami rakyat marhaen ini tidak pernah tahu buruk baiknya. Pun kami tiada pilihan. Itu sahaja jalan yang ada.

Sabarlah Atiyah. Allah ada dan dia sentiasa mendengar. Mohonlah tanpa jemu. Kita tidak pernah tahu hikmah bagaimana yang Dia ingin anugerahkan. Yakin dan sabar, mohon dan pasrah. Semoga tiap yang berlaku menjadi satu pengalaman terbaik, biar manis ataupun pahit.

Saturday, November 09, 2013

Hanya Tiga Hari

Ahad, Rabu dan Khamis.

Itu sahaja hari-hari bekerja yang bakal saya tempuhi sebelum cuti akhir tahun bermula 15hb November ini. Isnin dan Selasa menjadi cuti umum di Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V. Tiga hari cuma, dan saya sungguh bahagia.

Saya tidak mampu menjangka apa yang akan tiba depan nanti tetapi saya diberi ruang untuk merancang.

Usai peperiksaan Matematik Tambahan SPM pada 21hb November ini, maka usailah tugas saya untuk tahun ini selaku guru Matematik Tambahan tingkatan 5 Ibnu Sina. Bermulalah tempoh percutian buat saya, yang tentunya mahu saya isi dengan agenda-agenda kegemaran.

Pun rasanya, tidak banyak yang mampu saya isi. Selasa 3hb Disember, saya akan ke HUSM untuk temujanji dan mendapatkan tarikh pembedahan saya. Tidak dapat saya teka tarikhnya, tetapi saya berdoa agar hujung Disember itu masih kosong dan nama saya diselit di dalamnya.

Jika benar begitu, saya akan bercuti sepanjang Januari dan Februari 2014 sebagai seorang pesakit yang baru menjalani pembedahan. Ia tempoh yang sangat saya tunggu-tunggu dan saya bakal mengisinya dengan penuh kerehatan. Itu pun, jika pembedahan saya itu berjaya.

Ya Allah, perkenankanlah.

Amin.

Friday, November 01, 2013

November

Salam 1 November.

Saat ini saya sedang berada di MARDI Cameron Highlands untuk sesi lawatan rombongan yang saya sertai ini. Cuaca dingin sekali, saya kesejukan.

Mereka semua sedang meninjau-ninjau apa yang ada di dalam sana tetapi saya mohon daripada suami saya untuk berada di luar ini sahaja. Tiada mood rasanya kerana sudah banyak kali saya ke sini. Lebih nyaman dan damai untuk saya duduk di kerusi kayu ini sambil menghirup udara pagi daripada meletihkan diri berjalan-jalan dalam orang ramai untuk melihat pokok-pokok dan tanam-tanaman di dalam sana.

Rasanya, saya sudah jemu ke sini. Apatah lagi bersama rombongan sekolah. Riuh dan bising gelak ketawa anak-anak pelajar itu yang sudah sering saya dengari, menjadikan ia bukan irama yang merdu.

Mungkin selepas ini saya mahu ke tempat lain, tempat yang berbeza.

Thursday, October 31, 2013

Restu

Setiap tahun, apabila majlis Restu Ilmu SPM diadakan saya kerap kali gagal hadirkan diri. Entah mengapa majlis ini sering dibuat secara tidak rasmi, dan guru-guru yang terlibat dengan pengajaran perlu masuk ke kelas. Apa daya saya, sentiasa sahaja berkebetulan majlis ini berlangsung saat saya perlu ke kelas.

Lalu, sebaik majlis berakhir akan berbondong-bondonglah anak-anak didik saya mencari saya untuk bersalam-salaman. Mereka akan datang beramai-ramai membawa sedikit cenderahati, mahu bergambar dan meminta autograf. Seterusnya, memohon maaf dan minta mendoakan kejayaan mereka.

Ada sebak terasa di hati. Mereka sesungguhnya anak-anak yang baik dan tahu menilai diri. Saya cuma guru, penyampai ilmu Allah dan tiada hak untuk saya tidak menghalalkan setiap yang saya beri. Mereka meminta maaf, sedang pada saya setiap hari maaf saya berikan kepada mereka. Malah saya juga wajib memohon maaf daripada mereka kerana walaupun saya guru mereka tetapi saya tetap manusia yang tidak pernah gagal membuat kesilapan.


 
 
Selamat berjuang anak-anak didikku. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan memberi kejayaan buat kalian di dunia dan di akhirat.

Tuesday, October 29, 2013

Tahan Sakit

Apalah yang mampu saya lakukan apabila ia tiba. Menahan segala sakit yang menyerang dengan penuh rasa ketidakselesaan dalam diri, tanpa siapa pun mengerti.

Zahirnya, pada waktu-waktu saya sihat, tiada siapa akan berkata saya ini berpenyakit. Hanya beberapa hari sahaja dalam sebulan saya terseksa, selebihnya saya normal. Dan sejak semalam, saya dalam mode kesakitan. Saya terpaksa berehat di rumah kerana tidak mampu melakukan apa-apa jika ke sekolah.

Sakit saya ini semakin lama semakin tidak mampu saya tanggung. Malam semalam lena saya terganggu kerana kesakitan. Menjelang pagi, saya menelan pil penahan sakit Tenoxicam yang diambil dari klinik Sayyida. Seperti tiada apa-apa kesan, sakit saya terus menyerang. Berbaring sakit, berdiri sakit, duduk pun sakit. Saya tidak tahu apa perlu saya buat.

Jam tiga setengah petang, saya ke klinik. Saya meminta pil Synflex daripada doktor kerana tenoxicam tidak menjadi. Kata doktor, Synflex kehabisan. Dia mahu memberi Arcoxia. Saya tahu Arcoxia itu pil penahan sakit yang sangat kuat. Harganya pun mahal. Bulan lepas saya membeli Arcoxia di farmasi, tetapi tidak hilang juga sakit saya. Doktor kata, saya perlu mengambil Arcoxia bersekali dengan pil Buscopan untuk kesan yang lebih baik. Saya setuju saja.

Pulang ke rumah, saya terus menelan pil-pil tersebut. Sebiji Arcoxia 120mg dan dua biji Buscopan 10mg. Saya berdoa agar kesakitan saya hilang kerana saya sangat tidak mampu menderitainya lagi.

Alhamdulillah, sakit saya beransur-ansur kurang dengan izin Allah. Walaupun rasa bengkak dan tegang di perut masih ada, sekurang-kurangnya sakit itu hilang juga. Syukur, dan saya berehat dengan lebih tenang walaupun mata tidak mahu lena juga.

Pagi ini, saya menyambung rehat saya di rumah. Sakit datang juga sekali sekala tetapi tidak berpanjangan. Semoga esok, saya mampu ke sekolah untuk menyambung tugas yang bertimbun-timbun itu.

Friday, October 25, 2013

Berkongsi

Selepas berkahwin, banyak perkara baru perlu saya pelajari. Sangat banyak, tidak mampu saya senaraikan di sini. Apabila kita hidup bersama orang yang sangat asing, yang baru beberapa detik  kita kenali, yang langsung tidak sama dengan apa yang kita baca dalam novel cinta, atau apa yang kita gambarkan sebagai putera idaman kita selama ini, tentunya timbul sejuta konflik dan permasalahan yang sangat sukar untuk ditangani jika tiada rencah sabar dan bertolak ansur dalam diri. Ya, dalam diri kedua-dua suami dan isteri.

Seringnya, perkahwinan digambarkan sebagai satu perkongsian hidup. Tidak ramai yang menekankan bahawa perkahwinan juga memerlukan satu pengorbanan. Bukan sekali dua saya mendengar wanita yang menyesal selepas berkahwin. Mereka kehilangan banyak waktu untuk diri sendiri, menjadi murung dan berharap untuk keluar dari sebuah ikatan. Mereka tidak mendapat apa yang mereka bayangkan tentang sebuah perkahwinan.

Sebagai wanita, memang sangat banyak yang perlu dikorbankan apabila merelakan diri menjadi isteri. Tiada lagi waktu santai yang bebas kerana tanggungjawab sebagai isteri mula mengambil tempat. Kalau dahulu bebas berada di sisi keluarga, bebas bersama rakan-rakan, bebas ke mana-mana sahaja, apabila bergelar isteri secara automatik semua itu sirna. Kalau pun suami memberi izinnya apabila kita memohon untuk ke mana-mana, separuh hati kita tetap berada dalam genggaman suami. Kita tidak bebas sepenuhnya kerana teringat-ingat adakah sudah langsai segala yang perlu kita buat dan sediakan untuk dia pada saat kita berada di tempat yang kita berada itu.

Bukan itu sahaja, selera sendiri pun perlu diubah. Apatah lagi jika lidah suami dan lidah kita berbeza. Semua makanan kegemaran dia tidak sama dengan makanan kegemaran kita. Terpaksalah kita memasak sesuatu yang kita tidak gemar kerana ia kegemaran suami. Terpaksalah kita ketepikan masakan kegemaran kita kerana suami tidak lalu menelannya.

Maka, mudahkah melayari kehidupan bersuami isteri ini?

Simpulkanlah. Apabila seorang suami kematian isteri, sesegera itu dia mencari pengganti kerana tanpa isteri hidupnya tiada aturan. Anak-anaknya susah nak makan. Rumahnya akan berselerakan. Tetapi sebaliknya, apabila seorang wanita kematian suami, mereka tidak langsung berfikir untuk berkahwin lagi. Kenapa? Kerana cinta abadikah? Mungkin begitu, tetapi rasanya ada faktor lain, iaitu mereka mahu menikmati satu kebebasan. Mereka tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab lagi.

Benarkah kupasan saya kali ini?

Masalah

Nak kata sedih sangat tu tidaklah, tapi memang sangat tidak menggembirakan hati!



Sejak awal minggu ini lagi saya sudah perasan yang Samsung Galaxy Note II saya sedikit sukar untuk dicas. Apabila dimasukkan kabel charger, selang beberapa minit baru menjadi. Rasa hati dah tak sedap dah, tapi malas nak layan. Biarlah dulu, bukan tak boleh cas langsung.

Petang Selasa baru ni, selesai berfacebook dan berinternet bagai, bateri dah tinggal 35%. Saya pun tanpa lengah mula mengecas. Dekat sepuluh minit dah saya masukkan kabel charger tu tapi tak bergerak langsung. Isk!! Tak boleh jadi ni...

Bila suami saya pulang, saya test charger tu dengan telefon dia, ok je. Memang sah telefon saya yang problem! Aduh! Rasa nak menjerit!

Saya selongkar telefon-telefon lama yang ada sebab Note saya ni memang nak kena hantar masuk ward. Malangnya, semua telefon yang ada tu tak boleh pakai. Sedihnya....

Hari Rabu, saya bertahan dengan Note saya yang masih ada bateri sekitar 17%. Itu pun kejap on kejap off. Berjimat cermat gitu...

Habis sekolah, kira-kira jam 3.15 petang, kami ke kb mall. Rupanya kami silap tempat sebab kalau nak baiki telefon kena ke Samsung Service Centre di Lundang. Kecewa lah jugak, tapi tak apa, kita gi esok aje. Hari ni beli dulu telefon baru.

Kalau ikutkan hati nak sambar smartphone jugak yang harga empat lima ratus tapi takut nak minta izin dengan suami. Dah dapat agak yang dia tak bagi sebab nak buat apa smartphone banyak-banyak? Jadi saya cakap saya nak beli telefon murah yang seratus lebih aje sebagai back-up sementara Note saya dibaiki.

Tak sempat nak tinjau banyak-banyak sebab perut dah lapar sangat. Jam dah dekat Asar dah, belum lunch lagi.  So tunjuk je kat model Nokia 110 berharga RM128. Dapat, terus balik. Beli roti dulu kat bakery sebelah tu buat bekal makan dalam kereta. Nasi nanti boleh beli kat Nilam Puri.

So, bergayalah saya dengan Nokia klasik tu dulu. Memang sangat tak selesa sebab dah lama tak pakai telefon tekan-tekan ni, tapi ok lah. Boleh je nak surf internet, nak berfacebook, nak berblog tapi interfacenya tak cun lah. Tak macam Note saya tu!

Khamis semalam, kami ke Lundang. Aduhai, ramai giler orang kat Centre tu. Petugas dia pun sibuk sungguh sampai tak ada pun yang bertanya, "ya puan, boleh saya bantu?" Dahlah susunatur pejabat yang sempit itu sangat tidak mesra mata memandang.

Tiba-tiba saya terpandang notis kat dinding pejabat. Katanya, kalau masalah hp tak boleh cas, kena bawa sekali dengan charger. Rupa-rupanya masalah Note saya ni sangat global hingga dah tertulis kat notis. Hmm, apa nak buat, saya tak bawa charger! Baliklah kami tanpa sempat berurusan apa-apa.

Hari ini, Jumaat. Suami saya ke Kuala Krai. Saya sendirian di rumah. Rindunya nak bersantai dengan Note saya tapi apakan daya, belum sempat berjumpa doktor lagi. Insya Allah esok kami akan ke Lundang lagi, kali ini saya akan bawa selengkapnya, siap dengan kotak dan manual gitu! Harap-harap segeralah ia dibetulkan agar terubat sunyi saya ini.

Sekian.

Thursday, October 24, 2013

Masa Lalu

Memori 1996.

Awal tahun, saya adalah pelajar tahun kepujian yang sedang menyiapkan projek Matematik saya di Fakulti Sains Matematik, UKM. Ia sungguh mencabar namun saya bersyukur kerana dapat menempuh liku-likunya biarpun dengan linangan air mata.

Segala resah itu berakhir pada penghujung April.

Jun, saya menerima tawaran KPLI dan mendaftar sebagai pelajar di MPKT Batu Rakit pada Julai.

Berkursus selama setahun di maktab yang berhampiran dengan rumah sungguh menyeronokkan. Pengajiannya santai, tiada tekanan. Rakan-rakan saling memahami dan akrab sekali. Waktu itu saya bagai tiada masalah langsung. Hampir saban minggu saya pulang ke rumah untuk bersama-sama dengan keluarga kerana tidak tahan rindu. Ya, waktu itu keriangan bergurau senda dan bergelak ketawa dengan dua orang adik manis Ismah dan Zahidah yang masing-masing berusia 9 dan 6 tahun sangat mengujakan. Keceriaan mereka menjadi penawar segala resah yang berbuku dek cinta yang tidak kesampaian!

Kini, ia hanyalah memori.

Sungguh saya amat merindui waktu-waktu itu. Waktu yang tenang tanpa tekanan hidup. Berelaun RM500 cuma, tapi nikmatnya tiada terhingga. Sesekali ke bandar, saya membawa adik-adik menikmati hidangan di restoran KFC. Saya mahu mereka lebih kenal dunia berbanding saya yang hanya melangkah ke KFC buat kali pertama saat diri sudah berusia lapan belas tahun.

Menjelang 1997, saya semakin santai. Apabila tawaran mengajar di Sabah saya tolak, saya sebenarnya menyediakan diri untuk sebuah kerehatan. Biarpun rehat itu seketika cuma, saya amat menghargainya dan sehingga kini saya masih terkenang-kenang betapa bahagianya hidup waktu itu. Bukanlah tiada langsung perasaan sayu dan syahdu tetapi ia terhakis dengan sejuta ketenangan.

1998, saya bergelar isteri seawal Januari. Tamatlah pengembaraan seorang dara dalam alamnya yang tersendiri kerana tanggungjawab sebagai isteri yang sangat besar dan berat ini telah mengambil ruang. Tanggungjawab yang masih saya pikul hingga kini, yang telah mengurangkan waktu saya untuk bersama-sama ibu dan adik beradik.

Itulah hidup dan kehidupan. Bila ia berlalu, barulah kita terkenang-kenang.

Tuesday, October 22, 2013

Harga

Setiap kali saya membeli belah, harga bukanlah sesuatu yang saya kisahkan sangat. Bukan kerana saya ini kaya atau banyak wang, tetapi jika saya berkenan saya tidak kisah harganya selagi ia dalam kemampuan saya. Jarang benar saya tawar menawar hingga tidak jadi beli!

Paling tidak pun, saya cuma bertanya, "berapa boleh kurang?" dan terpulang kepada penjual itu untuk memberi diskaun. Saya tidak pandai meminta harga yang saya mahu kerana saya khuatir ia bakal mengecilkan hati penjual itu. Jika saya rasa mahal, saya tidak beli. Semudah itu.

Di kedai makan pun begitu juga. Apa yang saya makan itulah yang saya bayar. Saya masih punya rasa yakin dengan kejujuran peniaga kedai makan di negara kita. Kalau nasi saya berlaukkan ikan kerapu dan sambal sotong, takkan saya mengharapkan harganya cuma tiga ringgit?

Cuma saya sedikit tidak selesa jika pekedai itu berkata, "hmm.. ikan mahal sekarang. Susah nak dapat yang murah" atau "sotong ni dekat dua puluh ringgit sekilo" Seolah-olah saya mahu harga yang murah, yang tidak setimpal dengan apa yang saya makan. Seolah-olah saya tidak tahu kenaikan harga yang berlaku sekarang.

Saya hanya menjawab, "tak apa, saya tak kisah. Dah saya makan banyak tu, saya bayar banyak tu lah".

Harap kata-kata saya tidak menggores hatinya.

Saturday, October 19, 2013

Mabrurkah?

Esok, 15 Zulhijjah 1434H bermulalah penerbangan pulang jemaah Malaysia ke negara ini setelah 45 hari diberi ruang berada di tanah suci.
Seringnya, sepulang daripada menunaikan fardhu haji di Mekah, ramai yang mahu melihat perubahan baik seseorang individu itu. Kata ulama', ada tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu mendapat haji mabrur. Antaranya ialah perubahan akhlak menjadi lebih baik, semakin rajin beribadat dan meninggalkan maksiat.

Nabi SAW juga bersabda, haji mabrur itu tiada balasan selain syurga.

Tahukah kita adakah kita mendapat haji yang mabrur? Kita sentiasa bermohon dan berharap daripada-Nya, sama ada sebelum ke tanah suci, semasa di sana atau setelah pulang semula ke rumah kita. Sentiasa sahaja kita bermohon agar Allah menerima amal ibadat kita dan memabrurkan haji kita. Sentiasa, sehingga ajal kita tiba.

Apa pun, jawapannya tidak pernah kita tahu. Kita hanya mampu menyimpan harap dan tidak akan sekali-kali berhenti berharap, walaupun setelah bertahun-tahun kita pulang daripada menunaikan haji kerana kita tetap seorang manusia yang sering berdosa. Tiada seorang insan pun yang pulang dari Mekah, mendapat haji mabrur lalu Allah menjadikannya malaikat!

Apabila kita masih lagi manusia, rutin hidup seorang manusia akan terus kita lalui.

"Ustaz, mabrurkah haji seseorang itu yang masih lagi suka marah-marah dan panas baran selepas pulang ke Malaysia?"

Itu soalan seorang penonton dalam rancangan Salam Baitullah yang sedang saya saksikan sekarang.

Saya pun berfikir. Menaakul dan mencari satu rasionalnya. 

Friday, October 18, 2013

Celaru

Kestabilan emosi saya hari ini sedikit tergugat. Entah. Tidak tahu mengapa. Bagai ada yang tidak kena tetapi tidak dapat saya cari di mana dan apa puncanya. Hari ini saya cuma bersendirian di rumah, seharian. Saya langsung tidak ke mana-mana. Bukan tidak mahu, tetapi tidak berlaku. Saya memaku diri di sini, di rumah ini.
 
Pagi tadi, saya memasak. Tengah hari ini, pun saya memasak. Dan sebentar lagi, untuk makan malam, saya akan memasak juga. Aduh! itu sudah satu tekanan buat saya. Berkali-kali memasak dalam sehari bukanlah sesuatu yang enak. Malang, tiada satu jemputan pun untuk kami hari ini seperti hari-hari kelmarin.

Tetapi saya yakin, bukan itu faktornya emosi saya jadi tergugat. Bukan itu yang menyebabkan hati saya terasa hiba. Ada sesuatu yang lain, yang saya sendiri tidak dapat mencarinya.

Mungkin saya perlukan sedikit ruang kebebasan. Ya, berjalan-jalan di shopping complex contohnya. Melayan kehendak sendiri dan melihat-lihat persekitaran yang berbeza mungkin boleh menjadi penawar ketidakstabilan ini. Makan dan berbelanja seadanya. Saya rasa saya perlukan itu. Sendirian pun tidak mengapa, malah mungkin lebih menyeronokkan.

Harap-harapnya, akan ada ruang buat saya menyelesakan diri sendiri.

Thursday, October 17, 2013

Qurban

Salam Aidil Adha.

10 Zulhijjah telah dua hari berlalu. Suasana hari raya masih lagi ada kerana pada setiap hari, kami ada jemputan makan. Hari raya pertama, kami dijemput makan di rumah kak Rohaini, Abang Deraman dan Asmadi. Ketiga-tiganya kami hadir dan alhamdulillah kami kenyang sampai malam.

Semalam, juga ada tiga jemputan pada siang hari dan satu jemputan untuk malam. Keadaan hanya mengizinkan kami hadiri hanya dua daripadanya. Dan hari ini, jemputan yang ada cuma satu sahaja dan kami tiada aral untuk ke sana. Alhamdulillah.

Esok dan lusa, kami belum menerima apa-apa panggilan lagi. Jika ada, pasti kami akan menyudikan diri.

Beginilah suasana hari raya korban di negeri Kelantan ini. Rasanya, untuk tahun-tahun seterusnya wajarlah kerajaan mempertimbangkan untuk memanjangkan sedikit cuti bagi memberi ruang saudara-saudara kami yang jauh pulang beraya lebih lama. Bukan apa, cuti sehari tidak memadai langsung kerana majlis korban berlangsung empat hari. Jika boleh, pendekkan cuti raya aidil fitri kerana dalam bulan Syawal, puasa enam lebih diberatkan.

Semoganya.

Wednesday, October 16, 2013

Hakikat

Hati manusia memang penuh dengan misteri. Penuh dengan ketidaktentuan dan sukar mencari ruang ketenangan yang hakiki. Hati manusia memang begitu. Hati aku tidak terkecuali kerana aku ini manusia.

Saat fizikal lelah dengan pelbagai tugasan, terasa mahu bercuti dan bersantai di rumah. Apabila cuti hadir, sukarnya mencari ruang untuk melayan diri sendiri sepenuh hati!

Itulah hakikat kehidupan yang perlu aku lalui. Banyak yang diingini tidak mampu aku gapai, tidak berdaya aku capai, kerana aku ini manusia yang terlalu meminta-minta!

Tuhan, ampuni aku!