Saturday, April 29, 2017

Hujah

Semalam, ketika berlegar-legar di ruang Facebook, saya terpandang satu post daripada seorang doktor muda yang meminta supaya memboikot Asiah Abd Jalil, yang dilabelnya sebagai liberal dan sekutu Syiah. Kata doktor itu, Asiah Abd Jalil sangat bahaya kerana penampilannya yang berjubah dan bertudung labuh boleh mengelirukan ramai orang dengan pemikiran yang tidak selari dengan pakaiannya.

Marah benar nadanya.

Saya tahu, bukan doktor itu sahaja yang berasa terancam dan bimbang dengan Asiah tetapi ramai lagi yang mahu Asiah berhenti menulis dan bertaubat. Seperti biasa, tidak dapat tidak, suaminya juga turut diheret sama dalam kes ini dengan tuduhan dayus dan tidak pandai mendidik isteri. Orang kita begitulah. Tidak pernah kenal pun suaminya, tetapi menuduh tanpa rasa bersalah.

Wahai sahabat seagamaku, orang-orang seperti Asiah ini sebenarnya tidak tergugat sedikit pun dengan ancaman kalian. Hujah yang dibawanya (tidak kiralah sama ada hujah itu kuat atau lemah, ia masih dipanggil hujah) tetap tidak dibalas dengan baik. Saya mengikuti Facebooknya sudah bertahun-tahun, sejak sebelum dia dikenali dengan ke sebegini lagi. Waktu itu saya kagum dengan banyak sisi pandangannya yang berbeza daripada arus perdana. Pemikirannya bagi saya boleh diambil sebagai penanda aras untuk para agamawan lebih ke hadapan dalam berhujah. Saya bukan menyokong keseluruhan ideanya, tetapi ada ruang untuk kita mengambil idea-idea itu untuk dibahas dan diberi pencerahan. Bukan dihentam, diboikot, dimarah-marah.

Saya ini jahil adanya. Tidak berilmu. Kerana itu saya mencari-cari. Apa yang saya dapat daripada Asiah Abd Jalil memberi saya rasa ingin tahu dan mengharap ada agamawan yang boleh mencerahkan. Malang, ia tidak begitu. Nada yang saya temui di ruang komen hanyalah emosi dan amarah. Begitu rupanya cara dakwah di sini. Langsung tidak mampu memberi jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan.

Terlintas juga di hati, adakah Islam ini hanya menerima semberono tanpa perlu mencari hujah di sebaliknya? Lalu apabila ada yang mempersoal tentang isu-isu sensitif tiada jawapan yang boleh diberi, selain marah dan mohon bertaubat. Saya jadi tidak enak dan tidak puas. Saya mahu hujah yang boleh mematahkan apa-apa yang tidak sesuai daripada golongan ini tetapi agamawan yang ada bagai kaku dan kelu. Lalu salahkah jika nanti saya terpengaruh dan menyokong Asiah?

Mungkin saya tidak begitu. Cuma pada saya, Asiah bukanlah satu ancaman sebaliknya dia menjadi pembuka ruang untuk para agamawan kita lebih jauh merenung ke hadapan dan menelaah lebih lagi agar segala persoalan ummah masa kini boleh dijawab dan ditangani penuh hemah. Penuh hikmah. Tanpa emosi. Agar Islam terlihat sebagai agama orang-orang yang bijaksana. Bukan mengikut membabi buta.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, April 28, 2017

Kenangan


Gambar ini berusia 12 tahun. Adik bongsu saya Zahidah yang baru tingkatan 3, di sisi Aziah yang meriba Kak Yong, dan emak memerhati dengan kegembiraan. Ia diambil dengan kamera Canon Digital yang baru sahaja saya beli. Tarikhnya sekitar Oktober 2005.

Lokasinya, di dapur rumah saya. Waktu ini rumah saya baru sahaja dihuni. Dan belum ada rumah-rumah lain di sekitarnya. Setiap hari saya membuka luas pintu dapur itu, membiar angin yang nyaman memenuhi ruang. Tenang sekali. Seluas mana pun ia terbuka, tiada mata yang memerhati kerana di belakang rumah itu hanyalah sawah padi. 

Kini ia tidak lagi begitu. Sebelah pagar rumah ini sudah ada rumah lain yang tingkapnya menghala ke dapur kami. Tiada lagi bukaan pintu untuk saya, kerana ruang privasi sudah dicuri.

Dunia dan perubahan, tidak dapat dipisahkan. Entah nanti 12 tahun lagi, perubahan bagaimana pula yang terjadi, biarlah misteri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Baju

Menjadi guru, tentunya saya memerlukan baju kurung yang banyak. Saya tidak memakai fesyen lain ke sekolah, selain baju kurung pesak potongan tradisional. Ia selesa, sesuai dengan saiz badan saya yang XXL ini. 

Setiap kali sahabat guru membawa kain pasang untuk dijual di sekolah, saya akan sentiasa menjadi sasaran utama. Apa tidaknya, saya memang jarang berpeluang untuk membeli belah kain pasang di kedai-kedai terkemuka. Gulati's, Jakel, Nagoya, Salem Aziz, malah Hasmadi pun hanya sekadar singgah di telinga cuma. Langkah untuk ke sana tidak berapa panjang. Jadi, saya gemar benar membeli kain yang sahabat-sahabat saya bawa.

Jika kain batik Terengganu, Siti Noor sentiasa ada corak terkini dengan harga berpatutan. Jika kain pasang biasa, Mas Adiera tidak pernah jemu membawanya. Lalu apa perlu lagi saya ke kedai?

Tukang jahit saya juga begitu mudah dicapai. Kedainya cuma di tepi jalan dan saya boleh singgah setiap kali pulang dari sekolah. Zaidi, pemilik kedai Pesona Anggun itu baik orangnya. Walau pun ada ketikanya terlambat juga dia menyiapkan tempahan saya, tetapi pada kebanyakan waktu dia menepati masa. Upah pun pada kadar piawai sahaja.

Baru-baru ini dia menegur saya yang kerap benar menempah baju. Sekejap-sekejap hantar lima pasang. Sekejap-sekejap lagi tiga pasang. Malah pernah sampai tujuh pasang sekali hantar.

"Akak ni letak kat mana baju banyak-banyak ni ha? Banyak betul. Ada sampai lima puluh pasang ke baju akak semuanya?"

Agaknya sayalah pelanggannya yang paling banyak menempah baju!

"Ada..." jawab saya bersahaja.

Pada hal, bukanlah lima puluh pasang baju saya semuanya. Sudah hampir seratus!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, April 26, 2017

Pantau

Sejak berminggu-minggu, kami di sekolah ini menyediakan diri untuk pemantauan daripada pasukan Task Force JPN. Mereka dijangka turun ke sekolah-sekolah untuk memeriksa fail-fail, melihat suasana dan juga memantau guru-guru mengajar.

Lalu banyaklah benda-benda diadakan. Keceriaan pun ditingkatkan. Suasana pun kelihatan indah dan nyaman. Guru-guru sibuk menyiapkan segala fail dan dokumentasi, termasuklah saya.

Saya hanya terlibat dengan tiga perkara. Kelab Pengguna, Jadual Ganti dan Analisis Peperiksaan. Rasanya saya tidaklah terlalu tertekan untuk mengemaskini fail-fail berkaitan kerana semuanya lengkap. Semuanya ada dalam komputer saya, tinggal dicetak sahaja dan dimasuk ke dalam fail berkaitan. Semudah itu.

Yang lebih mencabar bagi saya ialah pemantauan di kelas. Katanya, mereka mahu melihat adakah guru-guru benar-benar melaksanakan Pengajaran Abad ke-21.  Pengajaran yang bagi saya di awang-awangan, entah nyata atau khayalan.

Apabila mereka semua bersiap sedia dengan pelbagai bahan PA 21, saya masih termenung. Terasa benar malas dan tidak berdaya memenuhi kehendak yang satu ini. Terasa benar PA 21 bukan untuk saya! Salahkah jika pengajaran saya tidak mengikut kehendak PA 21 tetapi murid-murid saya faham dan mampu menjawab dengan baik? Malah lebih daripada itu, mereka senang dan sayang dengan saya. Bukankah itu lebih daripada memadai? Apa perlu lagi PA 21?

Tetapi begitulah. Saya tidak boleh semudah itu mengambil jalan sendiri. Saya tertakluk kepada banyak perkara biar pun saya tidak suka. Lalu saya berkira-kira juga tentang PA 21 untuk tajuk Geometri Koordinat Tingkatan Empat dan tajuk Fungsi Trigonometri Tingkatan Lima.

Hari yang dinanti pun tiba. Kelas saya bermula jam 8.40 pagi. Waktu itu, pemantau belum tiba. Dalam masa sejam itu saya pun mencubalah PA 21 dengan memberi kertas graf kepada murid-murid yang sudah disusun dalam kumpulan. Mereka melukis satah Cartesan, menanda koordinat dan mencari jarak, titik tengah dan titik pembahagi tembereng garis dalam nisbah m:n. Nampaknya, mereka tetap perlu dipandu dengan banyaknya walaupun hakikatnya saya mahu mereka meneroka sendiri.

Tamat kelas, tiada pemantau pun yang datang melawat kelas saya. Rupanya mereka sudah tiba tetapi sedang menyemak fail-fail di pejabat. Kelas saya yang seterusnya pada jam 10.10 pagi.

Sebaik saya keluar dari bilik saya untuk ke kelas, nampaklah mereka sedang bergerak untuk memantau dan langkah mereka sememangnya ke arah kelas yang sedang saya tuju. Aduhai! Bagaimanakah?

Saya memperlahankan langkah mengekori mereka. Mereka masuk ke kelas 5 IBS yang bersebelahan dengan kelas saya, dan pastinya mereka akan melangkah ke kelas saya pula selepas itu! Sekali lagi, aduhai!

Saya cekalkan hati, menuju juga ke kelas saya. Mata saya menjeling kelibat mereka di kelas 5 IBS itu. Cikgu Rusok sedang mengendali kelas dan mereka, pemantau-pemantau itu, berdiri di belakang. Saya akan sangat kekok jika sayalah cikgu Rusok itu. Sungguh!

5 IBR yang saya tuju itu rupanya kosong tidak berpenghuni. Baru saya teringat, mereka sedang berkelas Kimia di makmal waktu ini dengan cikgu Wan Azman. Pantas saya mendail nombornya dan meminta dia meneruskan eksperimen di makmal dan tidak perlu menyuruh anak-anak itu kembali ke kelas. Saya beri waktu saya percuma sahaja untuk dia. Baik kan saya?

Cikgu Wan Azman setuju. Saya gembira, dan bergerak kembali ke bilik saya. Sempat saya memaklumkan kepada Guru Kanan yang mengiringi pemantau-pemantau itu yang murid-murid saya meneruskan eksperimen di makmal. Pemantau-pemantau itu memasuki juga kelas 5 IBR dan memuji-muji keceriaan kelas mereka. Itu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya tidak dipantau. Allah memberi saya ruang hari ini. Terima kasih.

Begitulah. Selagi mampu, saya akan cuba mencari jalan untuk tidak dipantau!

Saturday, April 22, 2017

Gema

Katalah apa sahaja. Semua orang berhak memberi pandangan.

Dan tentunya saya juga ada pandangan.

Saya suka rancangan ini. Gema Gegar Vaganza. Indah lagu-lagunya. Lirik yang bukan sahaja puitis tetapi penuh menyentuh. Jika Gegar Vaganza pun saya tidak terlepas menonton, apa lagi yang ini.

Katalah apa sahaja. Negatif difikir, negatif lah hasilnya. Saya tidak nafikan sudut-sudut kekurangan yang ada, tetapi bukankah itu sesuatu yang boleh diperbaiki?

Katalah apa sahaja. Saya sudah lali dengan sikap orang kita. Segalanya payah kena.

Saya suka rancangan ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, April 20, 2017

Cabang Dua

Pada awalnya, saya dan suami sudah merancang untuk berehat di Cameron Highland pada hujung minggu itu. Cadangnya ke sana pada Jumaat 14hb April dan pulang keesokan hari. Tiada tempahan hotel dibuat, kerana kami akan redah sahaja mana-mana hotel yang sesuai.

Malam Khamis itu, emak menelefon. Katanya, bonda Rafeah menjemput kami ke rumahnya pada Sabtu untuk sedikit jamuan laksa. Bonda Rafeah, atau mesra kami sapa sebagai Mak Ah ialah adik emak yang tinggal di Kampung Cabang Dua, Waeng, Narathiwat. Kebetulan anak-anaknya yang tinggal jauh di Bangkok pulang sempena cuti sekolah di sana, lalu dia mahu mengadakan sedikit majlis makan-makan beserta tahlil pada malamnya. Kami pun dijemput sama.

Saya teruja sebenarnya, tetapi tidak dapat memberi kata putus dek perancangan yang ada. Tentunya saya perlu berbincang dengan suami dahulu. Semasa emak menelefon, suami saya tiada di rumah kerana keluar bermain badminton di sekolahnya. Apabila dia pulang, saya sudah mahu lena.

Esoknya, semasa di sekolah, suami menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan sepupunya, Mazlam mengajak suami saya menemaninya ke Alor Setar pada Jumaat esok untuk mengambil kereta yang dibelinya di sana. Dia meminta keputusan saya.

Apa lagi, saya terus menelefon dan memaklumkan boleh sahaja jika dia mahu ke sana, kerana saya mahu mengikut emak ke Cabang Dua pada Sabtu itu. Dan itulah kesudahan perancangan kami untuk hujung minggu kali ini.

Esoknya, usai solat Jumaat, suami saya menghantar saya ke rumah emak dan dia bergerak ke Alor Setar. Saya bermalam semalaman di rumah emak ditemani Aziah dan Muiz.

Sabtu menjelma, kami bertolak ke sana menaiki Proton Exora Husna yang dipandu suaminya, Hawari. Menyertai kami tentunya anak-anak lelaki Husna yang begitu lasak itu. Perjalanan mujurlah dipermudahkan Allah. Tiada sebarang kesulitan menimpa, dan urusan lancar segalanya.

Jam sebelas kami tiba di rumah Ayah Mat. Dalam usia lapan puluh lapan tahun itu, Ayah Mat masih gagah dan melayan kami penuh mesra. Isterinya, yang kami panggil Mak, kelihatan sedikit uzur dan katanya dia sukar tidur malam. Semoga Allah memberi mereka kesihatan yang baik pada hujung usia mereka ini.

Jam dua belas tengah hari, kami bergerak ke rumah Mak Ah. Mereka masih sibuk menyediakan segala masakan untuk jamuan ini. Jam menghampiri dua petang, barulah kami menikmati laksa yang istimewa itu.

Memang sungguh istimewa. Sedap tidak terkata. Kuah Siam yang dua jenis itu sedap-sedap belaka sehingga saya langsung tidak menjamah kuah putih yang sudah terlalu kerap saya rasa. Sebelum pulang pada jam lima petang, saya sempat merasa sekali lagi laksa istimewa itu. 


Ayah Mat. Semoga Allah mengganjari mu pahala yang berganda-ganda atas setiap keprihatinanmu kepada kami.

Tuhan, beri kami peluang untuk berkumpul lagi di sini, dengan lebih meriah dan lebih ramai lagi.
Berehat di rumah Munirah dan Majidah, menikmati bubur jagung sementara menunggu laksa masak.

Nur Fateehah, sepupu yang sudah sepuluh tahun tidak bertemu. Moga nanti kita jumpa lagi ya!

Mak Su Saadiah. Masih jelita dan sihat walau sudah berusia.

Terliurnya setiap kali melihat gambar ini. Memang sedap sungguh!


Saya tiba di rumah pada jam 6.45 petang, dan suami saya pula tiba sejam kemudian. Penat benar rasanya tubuh badan, tetapi hati saya gembira apabila dapat bertemu saudara mara di seberang sana. Tentunya saya menaruh harapan untuk ke sana lagi dalam tempoh terdekat ini. In Shaa Allah.

Monday, April 17, 2017

Aduh!


Demi terbaca ini, hati menjadi terlalu sakit! Beginikah cara dakwah yang mereka semua mahu?

Bertudung (menutup aurat) itu wajib. Semua pun tahu itu. Celupar mulut seperti penulis ini hukumnya bagaimana pula?

Orang kita suka sangat bercerita tentang hukum. Itu dosa. Ini masuk neraka. Seolah-olah itulah dakwah dalam Islam yang sebenarnya. Dalam Islam tiada lain, hanya menghukum. Ah, indahnya!

Apabila seorang wanita itutidak bertudung, maka segala kebaikannya yang lain tidak bermakna lagi. Pada orang kita, hanya tudung penentu syurga neraka. Sekian.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, April 14, 2017

Hari Minggu

Saya selalu mengharapkan hari minggu yang sangat santai. Hari minggu yang hanya untuk saya. Yang "ikut suka saya nak buat apa!"

Tetapi ia tidak pernah muncul.

Teringatlah kembali kenangan di universiti dahulu. Sabtu dan Ahad seringnya menjadi kepunyaan saya sungguh-sungguh, terutama pada tahun akhir pengajian. Usai Subuh tidur saya bersambung hingga jam sebelas. Sarapan saya disekalikan dengan makan tengah hari, yang juga satu langkah penjimatan. Saya ke sana ke mari sesuka hati, menonton TV, mendengar radio. Membasuh kain baju juga tidak melelahkan kerana ia boleh dibuat pada masa yang saya suka. Ya, "ikut suka saya nak buat apa!"

Kini, tidak lagi ia berlaku begitu. Hari minggu pun saya perlu jadualkan kerja. Pagi menguruskan rumah, kemudian keluar berbelanja di kedai. Tengah hari memasak. Mengemas dapur. Membasuh kain baju. Semuanya perlu disusun pada hari minggu. Terasa singkat benar dua hari itu.

Sedang pada hari bekerja, saya sudah tidak mampu melakukan kerja rumah dek penat dan letih. Sebaik kaki melangkah ke pintu rumah sekitar jam tiga setiap hari - kerap juga menjangkau ke empat atau lima petang - apa yang terbayang di fikiran hanyalah rehat. Saya mahu merebahkan diri di katil, tidur sepuasnya. Biar bakul kain melimpah. Biar beranda rumah bersepah. Saya enggan peduli. Fizikal saya sudah penat. Mental pun juga.

Apabila cuti sekolah menjelma, ada pelbagai agenda pula yang diatur. Ke bank, ke pasar raya, ke kenduri, dan entah ke mana lagi. Sukar sungguh rupanya mencari sehari untuk diri saya sendiri.

Apa pun, Alhamdulillah. Saya tetap mensyukuri setiap apa yang saya lalui. Letihkah, penatkah, semua itu tetap ada ganjaran di sisi Tuhan. Mudah-mudahan. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, April 08, 2017

Rawatan

Isnin 3 April. Saya membawa diri ke klinik kesihatan Perol sebaik tamat waktu persekolahan. Sekitar jam 3.00 petang, saya sampai. 

Orang tidaklah ramai mana. Saya pun cuma mahu buat check up dan sambung ubat darah tinggi sahaja. Harap-harap tidak lama.

Nombor yang diterima, 1086. Seperti biasa, tempat pertama dilalui ialah kaunter pemeriksaan tekanan darah. Di sekolah tadi saya sudah menguji dengan alat ujian Omron milik saya yang sengaja saya letakkan di sekolah untuk kegunaan sendiri. Bacaannya agak tinggi. 148/94. Mungkin saya agak stress hari ini menguruskan pelbagai perkara.

Bacaan di klinik ini pun hampir sama juga, 142/93. Saya kemudian diarahkan menunggu di bilik 2.

Masih ada pesakit dalam bilik itu. Lama juga doktor ini memeriksa, lebih sepuluh minit baru pesakit itu keluar dan giliran saya tiba.

Belum sempat nombor giliran saya dipanggil, seorang jururawat masuk ke bilik doktor dan meminta agar seorang pakcik yang sudah berusia dirawat terlebih dahulu.

Tak mengapalah. Saya beri laluan. Badan saya sudah penat sebenarnya tetapi saya tetap bersabar. Tenangkan hati. Teruskan menunggu.

Lama juga doktor merawat pakcik itu. Saya sudah kebosanan. Tiba-tiba apabila pakcik itu keluar, dan nombor saya dipanggil, seorang pesakit lain pula memotong giliran saya. Ah!

Rupanya dia cuma meminta surat MC kerana rawatannya sudah diselesaikan oleh MA di bilik sebelah. Mujur tidak lama.

Doktor mula membaca kad rawatan saya. Katanya tekanan darah saya agak tinggi. Dia melihat bacaan gula saya yang tertera di slip ujian darah saya beberapa bulan lepas. Katanya gula saya juga merisaukan kerana sudah di sempadan normal.

Keputusannya, dia mahu saya melakukan ujian kencing manis dengan meminum air gula untuk memastikan saya mengidap diabetes atau tidak. Tarikhnya, 2 Mei nanti.

Saya tenang-tenang sahaja dan berdoa semoga segalanya baik-baik sahaja nanti.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, April 06, 2017

PIBG

Setiba di sekolah, terus menghadap komputer. Bukan setakat jadual ganti hari ini, saya juga perlu selesaikan buku program untuk majlis Ahad nanti.

Sedondon kami berpakaian demi PIBG petang ini. Saya cuma AJK Sijil. Tetap dan berpencen.

Makan tengah hari nasi bungkus RM5.00.

Memberi

Azam saya untuk terus-terusan memberi tanpa mahu berhenti. Itu yang saya tanamkan dalam hati sejak usia diri semakin bertambah ini. Saya mahu memberi. Memberi. Balasannya biar tiada di sini, kerana saya mahu di sana nanti saya tidak rugi.

"Ti, kalau saya nak pakai hotspot Ti boleh tak? Bagi password..."

"Ok."

"Ti, tolong tempah barang ni kat Lazada. Saya tak tau nak buat sendiri. Lagi pun tak ada kad kredit.."

"Ok."

"Ti, nak minta tolong print kan boarding pass saya dan anak-anak. Kami nak bercuti ke Sabah."

"Ok."

"Ti, bayarkan bil ni kejap. Tak sempat nak pergi bank."

"Ok."

Dan macam-macam lagi.

Ada waktu-waktunya saya terasa penat melayan karenah mereka, tetapi apabila teringat azam diri mahu sentiasa memberi, saya cuba lupakan semua itu. Saya masih mahu terus memberi. Saya tidak punya upaya lain untuk memberi selain perkara-perkara yang mereka minta itulah.

Dua hari lepas, seorang pentadbir datang meminta saya mencetak markah pelajarnya dari SAPS. Saya layankan juga. Dia bertanya,

"Ti pakai internet sendiri?"

"Ya."

"Printer dan dakwat sendiri?"

"Ya."

"Laptop sendiri?"

"Ya."

"Eh, kenapa begitu?"

Saya jelaskan, saya tidak mahu kerja saya tertunda jika menggunakan kemudahan yang disedia pihak sekolah, yang sekejap ada sekejap tiada.

Dia tidak memberi apa-apa respon. Hanya senyum dan pergi.

Saya pun tidak mengharap apa-apa dari manusia. Biar Allah menghakimi.

Wednesday, April 05, 2017

1986

Pantai Merang, Setiu.

Homeroom C2. Aini, Ja, Elin, Liza, Nik, Yati.

Yati, Dahlia, Fina, Elin
Gambar-gambar lama ini, tiada dalam simpanan saya. Pun ada yang sudi mengongsinya di dalam kumpulan WhatsApp. Menatap dan menilik, menjemput semula rindu yang telah hilang.

1986. Saya dalam Tingkatan Dua Al-Kindi di MRSM Kuala Terengganu.

Gambar 1 dan 2 ialah sewaktu kami berkelah di Pantai Merang, Setiu. Waktu itu pantai ini belum dimajukan sebagai tempat pelancongan. Ia cuma pantai nelayan di sebuah kampung terpencil. Perkelahan ini diatur oleh guru penasihat homeroom kami, Pn. Zuraida dan Pn. Rohani. 

Masa bertolak, kami diminta memakai t-shirt dan seluar trek kerana kami akan bermandi-manda di sana. Selesai mandi dan mahu pulang baru kami bersalin pakaian, memakai baju kurung pula. Saya memang sentiasa cuai. Sewaktu berpakaian t-shirt itu, kami bertudung ikat belakang sahaja. Apabila bersalin pakaian baru saya sedar saya tidak membawa tudung tiga segi untuk dipadan dengan baju kurung. Maka saya teruskan memakai tudung topi keledar itu. Saya seorang sahaja yang terlupa membawa tudung tiga segi, tetapi seperti biasa saya selamba sahaja. 

Gambar 3 diambil pada waktu petang, sekitar jam 5.30 iaitu waktu saya dan rakan-rakan baik saya gemar bersiar-siar sekitar kawasan maktab. Pada awal Tingkatan Dua itu saya masih belum ada rakan-rakan baik ini. Setiap petang saya akan penuhi dengan tidur sahaja di asrama. Tetapi apabila Elin mendekati saya, dia selalu mengajak saya berjalan-jalan setiap petang. Katanya, lagi best dari tidur. Jadi setiap petang selepas Asar, kami berlima - saya, Elin, Fina, Dahlia dan Fidah - akan keluar berjalan-jalan. Kami menamakan kumpulan kami, Sehati Sejiwa. 

Begitu kenangan yang ada, indah dan membahagiakan.

Tuesday, April 04, 2017

Bukit Keluang

Kadang-kadang saya terfikir, perlu apa Hari Keluarga diadakan setiap tahun? Tidak bolehkan dijarakkan sekadar dua tahun sekali? Tetapi mungkin fikiran yang begitu hanya wujud dalam diri seorang saya. Mereka yang lain menggemari acara sebegini kerana mereka berpeluang untuk bersantai dan membawa anak-anak bermain-main di kolam.

Kenapa saya berfikir begitu?

Kerana ahli keluarga saya cuma saya dan suami. Tentunya saya lebih gembira jika hujung minggu yang singkat ini diberi ruang untuk saya mengurus perkara-perkara lain di rumah. Bukankah?

Mungkin ia hanya alasan untuk saya tidak beramai-ramai dalam kumpulan yang saya tidak biasa. Entahlah.

Petang Jumaat itu kami bergerak ke Bukit Keluang Beach Resort untuk acara Hari Keluarga SMK Kadok. Setiba di sana, saya berbual-bual dengan rakan-rakan guru SMK Kadok di tepi kolam sambil menyaksikan anak-anak bermandian. Menjelang Maghrib, kami beredar ke bilik. Selepas Isyak, kami sama-sama menikmati barbecue di dewan makan.

Esoknya, selepas sarapan kami bersegera untuk pulang. Hujan renyai-renyai membasahi bumi pada pagi ini menambah dingin dan kebekuan. Mungkin cuaca sebegini menggamit kami untuk segera beredar sebelum sempat bersukaneka dan makan tengah hari.

Begitulah.

Dan saya menanti lagi untuk acara sebegini pada tahun depan pula, jika masih ada usia. Menanti tanpa keterujaan.

Friday, March 31, 2017

Tekanan

Akhir-akhir ini, banyak kisah kematian yang tiba mengejut. Elok-elok hari ini, esok sudah tiada. Bukan seorang dua, tetapi berita tiba berturut-turutan. Dua minggu lepas, minggu lepas dan hari ini.

Terbaru, seorang guru lelaki yang tinggal berjiran dengan sahabat saya. Dia sentiasa bergerak aktif ke sana ke mari, menjadi AJK dalam setiap program di sekolahnya dan turut menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa tanpa gagal. Ya, jika dikira ajal, maka ajalnya sudah sampai tetapi jika dari segi logik pemikiran hamba manusia seperti saya, tentunya disebabkan tekanan yang hebat dan rehat yang tiada. Tiba-tiba sahaja dia rebah di tangga rumahnya dan disahkan meninggal pada jam 5 petang semalam, pada hal sewaktu di sekolah pagi itu dia sihat segar bugar dan begitu aktif menyiapkan dewan serta mengambil dan menghantar pegawai polis yang bertindak sebagai perasmi program. Siapa menyangka?

Rasa saya, bekerja juga perlu ada hadnya. Carilah ruang untuk diri sendiri dan lupakan sekejap kerja yang tidak pernah mahu habis itu. 

Hari ini, saya benar-benar merehatkan diri saya. Bukan tiada kerja, tetapi saya memilih untuk tidak melakukannya. Saya perlu legakan tekanan dan ketegangan dengan melayan hobi sendiri, dan tidur. Tuhan tahu betapa kelegaan yang saya rasa!

Semalam, selepas Asar, saya dan suami beserta emak berkunjung ke Panji, memenuhi jemputan kak Azizah yang mengadakan majlis tahlil untuk arwah suaminya. Petang nanti saya akan menemani suami pula menyertai acara Hari Keluarga sekolahnya di Pantai Bukit Keluang dan kami akan bertolak sekitar jam enam. Lalu ruang untuk diri saya kelihatannya sempit. Kerana itu saya enggan memenatkan diri dengan tekanan kerja, selain berehat. Untungnya, tengah hari ini ada jemputan jadi saya tidak perlu memasak. Usai solat Jumaat nanti suami saya akan pulang mengambil saya untuk ke sana. Mek juga akan menyertai.

Begitulah. Jangan ditekan diri sendiri dengan kerja-kerja yang tidak pernah mahu habis. Diri kita, biar kita yang jaga. Orang lain tidak sudi pun mengambil tahu!

Wednesday, March 29, 2017

Hadiah

Tudungku ditiup angin!
Baju kurung saya hari ini adalah daripada kain pemberian anak murid saya, Salsabila. Kami memanggilnya Bella.

Tahun lepas, saya mengajarnya Matematik. Dia berada di kelas kelima daripada tujuh kelas yang ada. Sewaktu menengah rendah, dia bersekolah agama rakyat. Katanya, penekanan subjek akademik agak kurang di sekolah itu jadi asas Matematiknya sangat lemah.

Bella budak rajin. Walaupun asasnya lemah tetapi semangatnya untuk belajar sangat tinggi. Setiap hari dia membuat latihan Matematik dan sentiasa datang bertanya saya jika ada masalah.

Kerajinannya membuahkan hasil. Dia mendapat gred A- untuk Matematik SPM nya yang diumum baru-baru ini. Pencapaiannya itu sangat hebat kerana hanya dia seorang yang mendapat A- dalam kelasnya.

Baju saya itu, dia hadiahkan sewaktu dia sedang menghadapi SPM tahun lepas. Dia meletakkannya di atas meja saya beserta catatan di sekeping kertas. 

Saya terharu sangat waktu itu. Sebak dan mengalir air mata membaca catatannya. Sayang saya tidak sempat bertemu dia untuk mengucapkan terima kasih atas ingatan itu.

Harapnya, Bella akan datang bertemu saya juga sebelum dia menyambung pengajiannya ke mana-mana nanti. Saya mahu memeluk dia, dan menghadiahkan sesuatu untuk dia. Anak sebaik ini susah benar mahu ketemu pada zaman kini.

Doa saya untuk Bella, agar masa hadapannya secerah mentari.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, March 25, 2017

Akhir

Hari ini penutupnya. Esok kembalilah kami para guru ke tempat kerja yang kami sayangi.

Seharian semalam saya berpenatan di rumah mek, membantu mana yang perlu untuk majlis tahlil pada malamnya. Memang penat dan cuaca yang panas menambah bahang ketidakselesaan. Untung rumah ma dekat, dapatlah saya menyelinap ke sana saat diri mahu mencari rehat. Jam 10.15 malam baru saya pulang ke rumah.

Hari ini, saya peruntukkan untuk diri sendiri. Bahagianya rasa apabila tidak perlu memikir apa-apa selain menyelesaikan tunggakan kerja sendiri. Menggosok, melipat kain, memasak. Oh ya, suami saya masih berkenduri. Saya memasak hanya untuk diri sendiri sahaja dan ia tiada tekanan langsung! Cuma nasi goreng mudah. Cukuplah.

Melayan diri sendiri sambil mendengar lagu-lagu dari corong laptop amat menenangkan. Sambil-sambil juga menjawab beberapa mesej WhatsApp yang bertanya tentang masalah pengisian SAPS yang akan ditutup esok. Bertubi-tubi juga masalah mereka tiba di WhatsApp saya. Tenang saya menjawab, tanpa sebarang tekanan pun. Ya, tugas saya menyelia perisian SAPS ini sudah sebati. Sudah lebih enam tahun saya menggalasnya, dan apa sahaja masalah mereka saya sudah tahu jawapannya. Saya seronok membantu mereka dan tugas ini memang kegemaran saya. Alhamdulillah. 

Benarlah, jika kita seronok dan bahagia dengan tugas dan amanah yang dipikul, tentu tekanan tidak sudi menyinggah. Malah kita akan begitu bersedia untuk membantu sehabis daya siapa-siapa yang perlu dibantu agar hasilnya nanti memberi kepuasan kepada kita.

Ya, ia benar begitu. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sahabat

Tuhan, ampuni dia, kuatkan dia, sembuhkan dia.

Berjuraian air mata saya saat mendengar berita tentang dia. Patutlah akhir-akhir ini dia nampak pucat dan tidak bermaya. Hari terakhir di sekolah pada Khamis itu, saya tersapa kelibatnya sedang duduk keletihan di dalam bilik peperiksaan. Waktu itu masih pagi dan semua guru dan pelajar berkumpul di dataran untuk majlis bacaan yasin. Saya biasanya tidak menyertai kerana urusan jadual ganti.

Saya menegurnya. Dia menjawab dia penat dan tidak sihat, mahu berehat seketika. 

Sangka saya dia cuma penat biasa. Atau mungkin demam. Dan saya tidak bertanya banyak. Saya biarkan dia berehat.

Saya memang jarang-jarang berkesempatan berbual panjang atau bergurau senda dengannya. Saya setia di bilik peperiksaan dan dia di bilik guru. Tetapi saya senang dengannya. Dia peramah, rajin dan begitu komited. Dia bertugas menyediakan jadual ganti bersama saya pada tahun lepas, setiap Selasa. Saya tahu dia memang cekap dan komited dengan tanggungjawab yang diberi. Dia sahabat guru yang begitu saya hormati dan sayangi.

Jumaat lepas, dia dimasukkan ke wad. Rupa-rupanya penat dan pucat dia bersebab. Doktor mengesahkan dia menghidap Leukemia. 

Begitu saya enggan percaya. Begitu berita ini mencucuk sanubari saya. Tuhan! 

Esok, kemoterapi pertama akan dia lalui. Saya masih belum berkesempatan menziarah dia tetapi doa saya buatnya tidak pernah putus. Saya tahu dia kuat. Saya tahu Allah sayang padanya. Saya mohon kesembuhan buatnya.

Tabahlah adikku. Kami semua menyayangimu dan tidak akan berhenti berdoa untukmu.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, March 23, 2017

Kenangan Pak Su


Dia abang kepada emak, tetapi kami memanggilnya Pak Su. Selalu kawan-kawan saya di UKM dulu keliru dengan panggilan itu apabila saya maklumkan yang Pak Su ialah abang emak saya. Kenapa Pak Su? Bukankah itu panggilan untuk bapa saudara bongsu?

Saya jelaskan, Pak Su ialah anak bongsu dari ibunya. Emak saya anak yang sulung dari ibu yang lain pula.

Saya mengingati Pak Su sebagai bapa saudara yang paling mesra. Saya hanya anak kecil berusia lima tahun sewaktu Pak Su pulang dari belajar di Baghdad, Iraq. Setiap kali dia datang ke rumah kami, saya akan dipeluk erat sehingga saya meronta-ronta mahu dilepaskan.

Hujung 1978 (jika tidak silap), Pak Su berkahwin. Waktu itu Pak Su sudah bergelar ustaz dan bertugas di Melaka. Saya tidak begitu mengingati majlis itu, entah kenapa. Rasanya emak menghantar saya ke rumah arwah datuk Haji Walong di Golok semasa majlis itu berlangsung di rumah emak. Agaknyalah, saya lupa.

Isteri pilihan Pak Su memang sangat baik dan kami begitu menyenanginya. Mak Su Hasnah, anak kelahiran Bachok sangat peramah dan mesra. Dia juga seorang guru seperti Pak Su. Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tujuh orang cahaya mata, Fatma, Nazifah, Amirah, Ibtihal, Irfan, Sakinah dan Fattah.

Selama saya menuntut di UKM, kerap juga saya berkunjung ke rumah Pak Su. Malah semasa saya belajar di Matrikulasi Kuala Pilah pun Pak Su datang menjemput saya berhari raya Aidil Adha di rumahnya (1991). Waktu itulah kali pertama saya merasa lontong masakan Mak Su yang sedapnya tidak terkira. Apabila saya pulang ke asrama, Mak Su bekalkan pula sambal tumis ikan bilis yang sangat sedap. Semuanya masih tersimpan rapi dalam ingatan saya.

Sewaktu pendaftaran saya di UKM, di rumah Pak Sulah kami menginap. Sewaktu majlis Konvokesyen saya, di rumah Pak Su jugalah kami menginap.

Pada tahun akhir di UKM, kamsis saya kerap ketiadaan air berhari-hari. Saya menelefon Pak Su meminta dia datang menjemput saya ke rumahnya untuk mandi. Dia lantas menyuruh saya mengajak kawan-kawan saya sekali ke rumahnya. Apa lagi, ramailah yang mahu mengikut!

Selesai mandi dan makan, kawan-kawan saya dihantar balik ke UKM tetapi saya mahu tidur di rumah Pak Su. Keesokan paginya baru Pak Su menghantar saya pulang.

Saya tidak kekok dengan Pak Su dan Mak Su. Mereka umpama ibu dan ayah saya yang tidak pernah mengecewakan saya.

Tahun 2006, Pak Su diserang strok. Pada masa yang sama saya menjalani pembedahan di HUSM. Saya tidak dapat menziarah Pak Su waktu itu, tetapi tetap berdoa agar Pak Su sembuh. Alhamdulillah, Pak Su pulih juga walaupun mengambil masa.

13 Januari baru-baru ini, kami terkejut lagi. Pak Su dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri di rumahnya. Alhamdulillah, Pak Su kembali pulih walaupun terpaksa berada di wad dalam tempoh yang lama. Kata doktor, Pak Su perlu menjalani rawatan dialisis untuk buah pinggangnya.

Kita merancang, Allah jua penentunya.

Tanpa sebarang petanda, Pak Su tenang dipanggil pulang pada 18 Mac lalu, sekitar jam sebelas pagi di rumahnya. Semudah dan setenang itu Pak Su pergi, meninggalkan kami yang bakal merindui. Hanya Tuhan tahu tangis di dalam hati saya, sewaktu menerima berita itu.

Hari ini, sudah hari keenam kami kehilangan Pak Su. Setiap kali teringat, saya doakan keampunan buatnya. Sunggu dia insan yang sangat baik, sangat prihatin dan tidak pernah menyusahkan. Saya tahu saya akan rindu Pak Su sampai bila-bila.

Semoga Allah merahmati Pak Su.

Dr. Jusoh bin Kadir, 1947 - 2017



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, March 22, 2017

Sepulang

Sebaik pulang dari menziarah keluarga arwah Pak Su pada petang Ahad itu, jadual saya mula penuh.

Isnin saya memenuhi tuntutan kenduri yang bersusun-susun. Itu pun ada yang terpaksa diabaikan. Selasa pula membawa saya ke sekolah untuk urusan yang masih banyak belum selesai. Tiada ruang untuk saya ke rumah ma.

Dan hari ini, suami saya seawal pagi sudah keluar ke Kuala Krai untuk urusan jual beli tanahnya itu. Saya bersendirian di rumah dengan tuntutan tugas lain pula. Saya perlu mengemas bilik dan mencuci bilik air sebelum pasukan servis air cond tiba petang nanti. Saya tiada pilihan.

Walaupun jauh di sudut hati saya mahu sekali berada di rumah ma. Bukankah adik-adik saya sedang berkumpul di sana?

Oh tidak. Ismah sudah pun bertolak pulang ke Putrajaya. Ma, Rifqi dan Zahidah pula sedang bersiap untuk ke Golok. Muhammad dan keluarganya juga katanya bakal bergerak hari ini ke Perak.

Cutikah ini?

Kadang-kadang hati saya rasa mahu menjerit. Betapa cuti ini yang seharusnya saya penuhi dengan ketenangan di sisi keluarga, telah menjadi waktu yang sempit dan penuh dengan agenda. Saya tiada banyak pilihan kerana hanya pada waktu cuti beginilah segala urusan dapat diselesaikan. Jika tidak, kami terikat dengan kerja. 

Ma menelefon saya seawal pagi ini dan saya telah memberi jawapan yang akhirnya menikam hati sendiri. Maafkanlah!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, March 21, 2017

Pak Su


Masih seperti bermimpi, masih seperti Pak Su ada di sisi. Nyatanya, Pak Su sudah pergi.

Pagi Sabtu yang cerah itu, saya berkira-kira untuk bersantai di rumah Ma. Baru hari kedua bercuti sekolah, saya masih malas untuk menghadap timbunan kertas peperiksaan pelajar saya. Biarlah dulu. Mood saya mahu bersama-sama Ma dan keluarga.

Jam 11.00 pagi saya tiba di rumah ma, disambut mesra adik Zahidah dan Rifqi sekeluarga. Adik Ismah dan Husna pula sudah dalam perjalanan pulang dari Putrajaya. Saya berharap saya masih di rumah Ma apabila mereka sampai nanti. Tidak sabar mahu mencium harum bau Huda dan Hana yang tentunya sudah pandai senyum apabila diagah.

Baru sekejap bersembang dan bercerita isu-isu berat dan semasa, saya dikejutkan dengan pesanan WhatsApp daripada Ismah. Pak Su sudah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi di rumahnya, mengejut. 

Tuhan!

Sebak. Kelu. Pilu.

Dalam kejutan sebegitu, saya gagahkan diri mencari tiket penerbangan untuk ke sana. Saya mahu ke sana. Dia bapa saudara yang banyak berjasa kepada saya. Saya mesti ke sana. 

Air Asia AK6439, 5.10 petang, KB-KL. Tiga tiket ditempah untuk saya, Ma dan Zahidah.

Segera teringat di minda kerja-kerja saya di sekolah esok. Ada kelas tambahan. Ada janji untuk menyerahkan analisis asrama. Ada janji untuk hadir kenduri sahabat.

Ah! Lupakan sahaja semua itu. Saya batalkan kelas tambahan, dan batalkan janji untuk kenduri. Pun bagaimana dengan analisis? Itu tiada kompromi kerana pihak atasan memerlukannya untuk dimesyuaratkan pada Isnin.

Jam 1.00 sayang pulang. Mengemas apa yang perlu, bersolat dan terua menghadap komputer menyelesaikan analisis yang masih belum siap itu.

Alhamdulillah ia sempat siap. Dengan kecanggihan teknologi yang ada, saya cuma perlu emailkan sahaja analisis itu tanpa banyak soal. Biar Puan Juliana penyelia asrama itu menyudahkan bahagian mencetak dan membukukannya.

Selepas makan tengah hari, suami tersayang menghantar saya, ma dan Zahidah ke airport. Segalanya berjalan lancar walaupun ada sedikit penundaan waktu berlepas. Kami tiba di KLIA2 pada jam 6.55 petang dan dijemput Ismah dan suami.

Jam 7.45 petang kami tiba di Jalan Melati 2, Sungai Ramal. Ramainya manusia yang ada, yang turut bersedih dan merasai kehilangan Pak Su yang kami sayangi. Mak Su dan anak-anak kelihatan sayu tetapi tenang menangani situasi. Ya, yang pergi biarlah pergi. Hidup tetap terus.

Malam ini saya dan Husna bermalam di rumah Ismah di Putrajaya manakala Ma dan Zahidah bermalam di rumah Mak Su. 

Seawal pagi esoknya, Ismah dan keluarga disertai Husna turun bertolak ke kampung dan saya dihantar ke rumah Mak Su.

Sepanjang hari ini ramai sungguh tetamu yang menziarah. Mujur anak menantu Mak Su cekap dan mampu mengendalikan segala urusan walaupun dalam kesedihan.

Tiada lagi Pak Su di alam nyata ini, tetapi dia tetap ada di dalam hati. Saya akan merindui Pak Su yang begitu baik dengan saya. Banyak kenangan antara kami sejak saya kecil sehingga ke hari ini. Dia satu-satunya bapa saudara yang pandai memesrai saya. Yang suka memeluk dan mengusik saya sewaktu saya kecil dahulu. Semasa saya belajar di UKM, saya kerap juga ke rumahnya. Pak Su dan Mak Su sangat baik. Mereka tiada bandingan di hati saya.

Damailah Pak Su. Hanya syurga bagimu.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.