Friday, July 31, 2020

Aidil Adha

 Jumaat 31 Julai 2020, kami menyambut Aidil adha secara sederhana. 




Wednesday, July 29, 2020

Haji

Tahun ini hanya 1000 orang sahaja jemaah yang dipilih oleh kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji, berbanding 3 ke 4 juta orang pada tahun- tahun sebelum ini. Begitu aturan Tuhan, yang menghantar sekecil-kecil makhluk bernama Covid19 ke seluruh dunia yang memberi kesan yang sebesar-besarnya.

Setiap yang berlaku pastinya ada hikmah, dan kita sebagai hamba wajib reda dan menerima segala takdir dengan penuh keimanan.

Ada yang sedih dan kecewa kerana nama terpilih untuk mengerjakan haji pada kali ini tetapi terpaksa ditunda ke tahun hadapan. Sedih dan kecewa itu biasa, kerana kita manusia. Cuma berdoalah agar Allah mengangkat musibah ini dari berterusan sehingga ke tahun hadapan.

Hari ini 8 Zulhijjah, tentunya jemaah sedang bersiap untuk bergerak ke Arafah dan melaksanakan ibadah wukuf pada 9 Zulhijjah dan seterusnya mabit di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah. Seterusnya pada pagi 10 Zulhijjah jemaah akan berada di Mina dan melakukan ibadah melontar pula.

Kenangan 10 tahun dulu masih sangat jelas dalam ingatan. Jika Allah izinkan benar saya mahu mengulang kembali ibadah suci ini. Apakan daya, kekangan yang ada seperti tidak memungkinkan. Pun siapa tahu kuasa Tuhan?

Selamat hari raya Aidil Adha. 

Tuesday, July 28, 2020

Kes

Dua benda bising-bising di media sosial hari ini.

Satu, Najib Razak bersalah dan dikenakan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Dua, kes Covid19 kembali meningkat dengan jumlah kes hari ini 39, 11 import dan 28 tempatan.

Reaksi saya? Nantilah. Tak ada mood lagi ni.

Friday, July 24, 2020

Sepupu

Saya kadang-kadang berasa ralat dengan diri sendiri yang seperti jauh dari mengenali saudara mara. Ramai saudara sepupu yang tidak saya kenali, apa lagi memesrai. Sekitar saya hanya di sini, di sisi keluarga sendiri.

Pagi tadi, adik saya Rifqi di Johor mengkhabarkan kematian sepupu saya dalam kemalangan pada jam 11 malam tadi. Sepupu saya itu ialah Muhammad Faiz, 16 tahun anak kepada Kamarudin, adik bongsu emak saya. 

Kamarudin yang saya sapa sebagai Pok Din seusia saya, dan arwah Faiz ialah anak ketiganya. Saya mungkin hanya sekali sahaja bertemu Faiz iaitu enam tahun lalu sewaktu saya ke Johor menziarah Rifqi di hospital. Waktu itu Faiz baru berusia sepuluh tahun.

Sepupu, tetapi hanya sekali berjumpa. Malah ada lagi sepupu-sepupu lain yang saya tidak pernah berjumpa. Apa daya, jarak dan masa sentiasa dipersalahkan seolah kita terbelenggu dalam dunia kita sendiri. Ralat sungguh rasa di hati.

Doa saya, semoga arwah Faiz ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang dikasihi. Semoga Pok Din sekeluarga diberi kekuatan menghadapi ujian getir ini.



Saturday, July 18, 2020

Ingin Tenang

Makkah al Mukarramah.

Pertama kali tanah itu saya pijak, terasa damai dan tenteram sekali biar pun manusia bersesak-sesak. Pertama kali binaan Kaabah itu saya tatap, sayu dan sebak bertingkah dalam jiwa. Tuhan, aku datang!

Itu sepuluh tahun dahulu. Lama, tetapi terasa baru. Saya ulang lagi ke sana berkali-kali, tetapi hati tidak pernah jemu. Malah semakin rindu.

Tenang itu berbeza sekali, kerana itu saya rindu. Perasaannya tidak sama dengan bercuti ke tempat lain. Saya pernah ke Bangkok, tetapi saya tidak rindu untuk kembali. 

Duhai! Baru enam bulan lalu saya berada di situ tetapi setiap hari saya menggelintar kembali gambar yang saya ambil dan kisah perjalanan yang saya catat. Terasa tidak puas. Terasa mahu kembali.

Bolehkah jika saya mahu berada di sana selama-lamanya?




Thursday, July 16, 2020

Hidup

Terima kasih Tuhan, atas kurnia yang tidak terhingga.

Melalui fasa kehidupan yang tidak menentu, ada waktunya saya lupa untuk terus bersyukur. Sesekali diuji, saya menangisi diri sendiri. Pada hal ujian itu adalah anugerah. Mengapa saya lupa?

Tuhan, ampuni saya.

Di sini dunia. Ada dosa yang terbawa. Tuhan masih memberi ruang untuk saya bersihkannya sebelum pulang ke sana. Tetapi saya selalu lalai. Saya selalu abaikan waktu yang ada ini.

Tuhan, ampuni saya.

Saya kadang-kadang mahu hidup yang tiada onak, tiada ranjau. Saya nampak ada orang yang begitu di sekitar saya. Hidupnya aman, hatinya tenang. Kenapa saya Tuhan uji dengan pelbagai duri? Salah saya apa?

Tidak, saya tidak boleh dikuasai perasaan. Saya perlu sedar hakikat saya diciptakan.

Tuhan, ampuni saya.

Saya mahu hidup dalam kasih Tuhan. Selamanya.

Tuesday, July 14, 2020

Opsyen

Setiap guru ada opsyen masing-masing. Macam saya, opsyen saya Matematik. Maksudnya saya boleh mengajar mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan untuk semua tingkatan dari tingkatan 1 hingga 6. Jika sekolah memberi saya tanggungjawab itu, saya tidak boleh menolak kerana itu opsyen saya.

Begitu juga bagi guru dengan opsyen mata pelajaran lain. Jika di sekolah menengah, mesti bersedia untuk mengajar mana-mana tingkatan yang diberi.

Malangnya realiti yang berlaku tidak begitu. Tidak tahu mengapa, ramai guru yang mahu fokus pada tingkatan tertentu sahaja.

Apabila bilangan kelas tingkatan 5 bertambah dari 7 kelas menjadi 12 kelas, beban guru tingkatan 5 sangat berat. Bilangan kelas bagi ting 1, 2 dan 3 pula berkurang daripada 20 kelas menjadi 17 kelas, jadi beban mereka berkurang. Sepatutnya boleh sahaja mereka diberi kelas tingkatan 4 atau 5 bagi menyeimbangkan tugasan tetapi ramai yang menolak.

Kalau cikgu Matematik, mereka kata mereka tidak biasa dengan sukatan menengah atas. Pada saya alasan itu sangat tidak patut kerana sewaktu belajar dahulu kita bukan memilih tingkatan mana sebagai fokus kita. Mungkin mula-mula akan sedikit mencabar, tetapi lama-lama okay lah. Saya sendiri sentiasa bersedia untuk mengajar mana-mana tingkatan, walaupun tingkatan 6 atau matrikulasi. Saya tidak kisah bersusah-susah sedikit untuk opsyen saya. Lainlah jika diminta mengajar mata pelajaran yang bukan opsyen. 

Hairan saya dengan sikap guru begini. Sepertinya mahu sentiasa dalam zon selesa tanpa mahu lebihkan usaha. Kesannya, kami guru tingkatan 4 dan 5 terpaksa memikul beban sehingga jadual kami menjadi banyak, sedangkan jadual mereka guru tingkatan 1, 2, 3 semakin berkurang.

Saya bukan dengki, dan saya reda dengan ketetapan ini cuma sedikit terkilan dengan situasi guru yang enggan berkorban.

Saturday, July 11, 2020

Bebas

Saya terkena lagi.

Adakah kerana saya ini sangat naif dan mudah diperdaya? Walaupun oleh kawan sendiri?

Dalam tempoh PKP baru-baru ini, kawan ini meminta bantuan saya lagi untuk membayar bil telefon dan baju raya anak-anaknya secara online. Saya ini berhati lembut, mudah simpati walaupun saya pernah terkena dengan dia sebelum ini. Tambah lagi musim PKP tentu dia sukar untuk keluar. Online banking dia tak pandai walaupun umur dia jauh lebih muda daripada saya.

Jumlah semuanya RM545, dan dia bersetuju untuk membayar apabila sekolah buka nanti. Tarikh dia meminjam itu ialah pada 27 April 2020.

Apabila sekolah buka, saya menanti. Hari pertama, kedua, ketiga tiada apa-apa. Pada Khamis 18 Jun, baru dia bersuara. Katanya, nanti gaji ya kak. Saya ok saja.

Gaji pun tibalah pada 24 Jun. Saya menanti lagi. Sehari, dua hari, tiga hari, senyap. Jumaat semalam sudah dua minggu. Saya menghantar pesanan WhatsApp padanya, bertanya bila dia boleh bayar.

Jawapannya masih mahu membodohkan saya. Lupa, katanya. Eh, ingat saya percaya? Bertubi-tubi dia mohon maaf dan berjanji akan membayar apabila gaji Julai masuk. 

Begitu kisah sehingga hari ini. Esok entah bagaimana.

Apa yang terlintas di fikiran saya ialah, betapa gaji bulanan seorang guru bergred DG44 masih tidak cukup untuk belanja hidup. Dia perempuan, ada suami, tentunya ada nafkah tetapi kenapa sangat terdesak menggunakan orang lain untuk membayar keperluan dan kehendak? Dan lupa membayar pula!

Di sini saya simpulkan dia tidak pandai mengurus kewangan. Dia suka berbelanja melebihi kemampuan. Tentu sekali hutangnya keliling pinggang, bukan sahaja hutang bank malah hutang dengan kawan-kawan. Kemudian cuba mengelat dengan alasan lupa. Mudahnya!

Kalau saya, saya tak sanggup hidup begitu. Biarlah saya tidak memiliki gaya dan penampilan asalkan saya tidak berhutang. Sudah bertahun-tahun saya bebas dari hutang dan saya rasa nikmatnya hidup tanpa hutang ini tidak terbanding apa pun!

Saya tidak akan membiarkan dia menggunakan saya lagi selepas ini. Sungguh!

Friday, July 10, 2020

Jumaat

Sejak semalam saya resah menanti hujung minggu. Saya takut saya penat kerana kerja di rumah tersangatlah banyak!

Jumaat lepas saya berada di rumah ma kerana suami saya ke Batu Kurau, Perak bersama kawan-kawannya mencari durian. Dua hari di rumah ma saya seronok, tetapi urusan rumah sendiri tentunya tidak bersentuh. Suami saya pula hanya pulang pada Maghrib petang Sabtu itu. Memang setiba di rumah kami, saya sudah tidak berbuat apa-apa lagu selain menyediakan diri untuk bekerja pada Ahad esoknya.

Hari ini Jumaat tiba lagi. Lima hari bekerja minggu ini saya memang tidak punya ruang untuk urusan rumah. Selasa hingga Khamis saya pulang menghampiri empat petang kerana kelas tambahan dan majlis persaraan. Badan penat, saya melayan tidur sahaja. Malam pula memasak dan menggosok. Lain-lain kerja saya tangguh ke hujung minggu.

Jadi, hari inilah masanya untuk menyalin cadar, membasuh dan melipat kain, mengemas dapur, mencuci bilik air, menyapu rumah dan membersih beranda. Aduh! Memasak tengah hari juga!

Jam sudah lapan pagi. Jomlah kita! 

Thursday, July 02, 2020

Frontliners

Kini tibalah masanya kami para guru bertungkus lumus pula di medan kami setelah doktor, jururawat, polis, askar, imigresen dan yang seumpamanya sudah melaluinya pada awal PKP dahulu.

Persekolahan dibuka dengan suasana yang berbeza. Jika dahulu di SMK Kampong Chengal ini ada 35 kelas, kini jumlahnya menghampiri 50 kelas. Jika dahulu jadual cikgu setakat maksimum 35 masa seminggu, kini jumlahnya bakal berganda. Jika dahulu sekolah cuma satu sesi, kini akan menjadi dua sesi.

Jika dahulu masa rehat murid tidak perlu ada guru mengawas, kini guru perlu berada di setiap kelas selain mengawas di kantin juga. Jika dahulu kehadiran murid disambut pengawas sahaja, kini guru perlu bersama mengimbas suhu mereka.

Itu belum dikira dengan sukatan pelajaran yang tertinggal dan yang perlu diulang semula, yang menuntut banyak usaha dan tenaga. Pendek kata, sesi persekolahan kali ini sangat mencabar.

Saya berasa malu apabila guru-guru mula meluah rasa dengan nada yang tidak indah. Lupakah mereka selama tiga bulan lalu para 'frontliners' tidak sempat berehat pun menangani wabak Covid19 sedang guru diarah berada di rumah sahaja? Adakah mereka merungut?

Apabila tiba giliran kita untuk melaksanakan tanggungjawab, maka bersedialah. Kita sudah berjanji untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah. Tunaikanlah.

Semoga kita terus tabah dan kuat menggalas segenap amanah dan tanggungjawab.

Friday, June 26, 2020

Artis

Kadang-kadang, artis menjadi asbab untuk kita berubah.

Saya memang meminati artis nan satu ini sejak dia remaja. Dia bermula dengan iklan. Saya ingat lagi dia dalam iklan bedak Johnson semasa dia baru 14 tahun, comel sangat. Kemudian pada usia 18 tahun dia berlakon untuk iklan Rexona, McDonalds dan banyak lagi. Lama-lama, dia ditawarkan menjadi pelakon.

Apabila ada media sosial, saya mengikuti instagramnya. Saya seronok melihat aktiviti harian dia bersama keluarganya. Sungguh, saya tidak tahu kenapa saya begitu meminati dia. Agaknya kerana wajahnya cantik, atau lakonannya hebat, dan keluarganya baik-baik. Tapi semua artis pun begitu. Entah kenapa dia menjadi kegemaran saya.

Aktiviti dia dan keluarganya yang dikongsi di story dan status instagramnya sangat mengujakan saya. Ada tarikan yang istimewa yang menyebabkan saya suka sangat mengikuti setiap update daripadanya. 

Seperti artis lain, dia pun tidak lekang dari kontroversi. Pernah gambar seksinya menjadi viral dan netizen mula menjalankan tugas mengutuk kaw-kaw. Saya menanti reaksi darinya, tetapi tiada. Dia tidak melayan pun, dan meneruskan hidup seperti biasa. Lama-lama kontroversi itu hilang begitu sahaja.

Pada saya dia bijak apabila tidak menjawab dan melayan kutukan netizen. Sebab, lagi dia menjawab lagilah akan dikutuk. Bagusnya dia, apa yang berlaku itu hanya sekali itulah. Dia tidak mengulang kesilapan yang sama.

Tahun lepas, dia berumrah. Sepulang dari umrah dia berhijab. Semakinlah saya suka melihat dan menyusur setiap gambar dan video di instagramnya.

Saya kata dia asbab saya berubah. Ya benar. Saya kagum dengan kesungguhannya memperbaiki diri, saya teruja dengan kerajinannya berkongsi aktiviti ilmiah yang dia lalui, juga saya terasa saya ini masih sama sahaja dengan saya yang dahulu. Kerana dia, saya rasa mahu berubah.

Tidaklah perlu saya nyatakan perubahan yang bagaimana yang saya lakukan, tetapi tentulah perubahan yang positif. Terima kasih untuk artis ini yang memberi saya rasa, dan kekuatan. Saya doakan Allah melindunginya selalu.

Takwim

Pada hari saya melihat Takwim Persekolahan 2020 yang dipinda, hati saya sebenarnya terdetik rasa syukur. Saya seperti begitu lega apabila ada masa yang panjang untuk bersama anak-anak didik saya yang selama tiga bulan seperti diabaikan. Saya mahu menebus setiap waktu yang hilang itu dan memastikan mereka mendapat apa yang sepatutnya sebelum SPM tiba. Begitu hati saya bersentimen.

Apabila saya menyusuri laman-laman di Facebook, rupa-rupanya ramai dalam kalangan guru yang merungut dan tidak berpuas hati. Kebanyakannya adalah yang berada jauh dari keluarga.

Barulah saya tersedar yang perasaan syukur saya ini tidak dikongsi semua orang. Ada pelbagai sisi yang perlu dilihat kerana situasi setiap guru tidak sama.

Mujurlah setiap rungutan guru itu ada kesannya dan sampai juga ke Kementerian. Kata pihak KPM, takwim itu akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak menyukarkan guru-guru.

Semoga nanti takwim yang baharu akan mengambilkira banyak aspek tanpa mengabaikan mana-mana pihak. Saya akan cuba berlapang dada untuk setiap arahan yang tiba.

Wednesday, June 24, 2020

Menikmati Kepenatan

Selasa semalam, seperti biasa saya berada di sekolah dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Tidaklah banyak sangat kerja yang sempat saya buat kerana pada jam 10.00 kami perlu menghadiri taklimat Pengetua yang tamat pada jam 12.00 tengah hari. 

Pulang dari sekolah, kami singgah di rumah mek. Suami saya mahu menghantar nasi kukus untuk mek sebagai makan tengah hari. Mek tiba-tiba meminta kami membawanya ke klinik kerana bahunya sakit. Kami pulang dahulu ke rumah di Chenok untuk makan dan solat, jam 2.35 petang barulah kami turun untuk membawa mek ke klinik. Mek mahu ke klinik Ariffin di Wakaf Che Yeh. Mujur orang tak ramai, jadi kami tidak menunggu lama.

Selepas menghantar mek pulang, saya singgah pula di rumah ma. Ma sendirian sahaja tetapi bila saya ajak untuk ke rumah saya ma menolak. Semoga Allah menjaga ma selalu.

Sewaktu kami di rumah tadi, sahabat suami saya mengajak kami ke rumahnya di Pasir Putih selepas Asar. Saya mula-mula mahu menolak tetapi suami saya tidak tergamak. Jadinya selepas Asar kami turun ke Pasir Putih pula. Saya penat sungguh kerana dari pagi lagi belum sempat berehat.

Kami tiba semula di rumah sekitar jam 7.45 malam. Usai solat Maghrib barulah saya sempat merebahkan badan sekejap. Ya Allah penatnya, dan mengantuk! Makan malam belum lagi. Menggosok pun belum. Badan dah lemah dah ni..

Mujur suami cuma mahu makan apa yang ada sahaja. Kebetulan di sekolah tadi saya beli pulut panggang, jadi itulah yang kami makan malam ini.

Seterusnya saya menggosok baju, solat Isyak dan tidur. Lena sungguh tidur saya, hanya terjaga apabila jam berbunyi pada 5.06 pagi. 

Maka bersiaplah pula kami untuk ke sekolah. Jam 6.30 kami turun, dan jam 2.30 kami pulang. Suasana sekolah agak tenang, tetapi dek kerana lama tidak mengajar, saya menjadi penat pula menghabiskan empat masa PdPc saya hari ini. 

Pulang ke rumah, saya rehat dan tidur. Sepertinya saya mengganti balik masa rehat saya semalam. Jam 3.15 saya tidur dan bangun jam 4.50 petang. Leganya rasa!

Untuk minum petang saya cuma goreng keropok lekor, dan untuk makan malam saya sediakan nasi goreng dan ikan gelama goreng.

Begitulah catatan diari saya hari ini.


Tuesday, June 23, 2020

Tenangkah?

Saya selalu menganggap sekolah saya sebagai rumah kedua saya. Sebab itu saya selesakan tempat bekerja saya itu semampunya. Saya lengkapkan dengan segala peralatan agar ia terasa dan terlihat seperti rumah. Ada kipas (kini air cond), ada peti ais, ada karpet, ada meja kerusi dan komputer.

Dengan pentadbir dan rakan setugas, saya mencari ruang untuk sentiasa patuh dan bekerjasama. Saya mahu jiwa saya tenang, reda dan selesa. Jika pincang sedikit sebanyak, itu normal. Jika tidak menyusahkan dan masih boleh diterima akal, saya akan patuh tanpa banyak soal.

Bukan mudah mencari kesempurnaan kerana kita manusia yang sentiasa ada kekhilafan. Bertolak ansur dan saling memahami adalah kunci kesejahteraan dalam meneruskan khidmat bakti.

Namun sedihnya saya pagi ini, setiba sahaja di bilik peperiksaan dan belum pun sempat sarapan saya sudah mendengar bebelan dan rungutan dari rakan yang tidak berpuas hati dengan arahan pentadbir. Saya cuba mengelak daripada melayan tetapi ada pula rakan lain yang menambah dan menyokong. Ia menjadi semakin berapi-api dan saya hilang arah. Mahu ke mana saya? Terpaksalah saya duduk dan mendengar walaupun hati meronta-ronta mahu pergi dan berlalu.

Aduhai rakan-rakanku, cukup-cukuplah. Apa yang tidak puas di hati usahlah dileterkan begini. Jika benar tidak suka, salurlah ke tempat yang betul. Saya sakit telinga mendengar leteran dan bebelan yang tidak akan membawa apa-apa erti.

Saya mencari tenang di tempat kerja saya, tetapi hari ini saya dilanda keserabutan. Mujur juga tidak berpanjangan.

Monday, June 22, 2020

Lima Puluh

Kalendar hijrah memang jarang benar kita tekuni, selain pada Ramadan dan Syawal. Itu pun awal-awal Syawal sahaja, apabila menghampiri hujung, kita pun kembali lalai.

Hari ini 30 Syawal 1441 Hijrah. Esok menjelanglah Zulkaedah, dan pada 23 haribulan genaplah usia saya lima puluh tahun Hijrah.

Pada belakang surat beranak saya, ayah catat tarikh itu dengan pensel. 23 Zulkaedah 1391 Hijrah. Ya, saya masih menyimpan surat beranak saya yang asal. Walaupun lusuh, ia sungguh berharga.

Separuh abad sudah saya menghuni dunia ini dan syukur saya kepada Allah tidak pernah saya lupa kerana memberi nikmat hidup yang agak panjang begini. Tidaklah saya tahu sempat atau tidak saya merasa usia lima puluh tahun masihi sekitar lapan belas bulan lagi, tetapi saya akan reda sentiasa atas segala ketetapan dari -Nya.

Doa dan harapan saya untuk masa hadapan sentiasa saya panjatkan. Saya yakin Allah maha mendengar dan maha memberi. Kepada-Nyalah saya berserah segala. Semoga rahmat-Nya melimpahi kita.

Amin.

Sunday, June 21, 2020

Bekerja

Hari ini sudah minggu kedua saya kembali bekerja di sekolah. Walaupun Menteri Pendidikan mengumumkan tarikh sekolah dibuka ialah pada Rabu nanti, tetapi kami para guru sudah perlu hadir ke sekolah dan menyelesaikan banyak perkara.

Saya sebenarnya tiada masalah dengan arahan ini. Saya tanpa banyak soal hadir setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan melunaskan setiap tanggungjawab yang diberi. Pada saya, bekerja begini terasa tenang dan lebih bebas kerana tidak tertakluk dengan jadual mengajar. Saya boleh selesaikan tugas dalam masa yang lebih fleksibel.

Ada sahaja rakan-rakan guru yang merungut dengan arahan ini. Kata mereka sekolah lain tidak pula mengarahkan guru setiap hari ke sekolah seperti sekolah kami. Nanti Rabu ini barulah ya.

Entahlah. Pada saya ok sahaja, kerana sudah lama kan kita bercuti PKP. Tidak enak sungguh bekerja dari rumah sebegitu dan saya seronok dengan arahan ini. Saya tidak tahu atas alasan apa guru-guru lain seperti tidak suka kerana pada saya sekolah saya umpama rumah saya juga, sentiasa memberi kegembiraan.

Rabu ini, akan hadirlah anak-anak murid memenuhi kelas menanti guru-guru berkongsi ilmu. Walaupun dalam norma baharu, saya benar-benar berharap semangat mereka sentiasa berkobar-kobar dan lebih membara daripada sebelum ini.

Semoga Allah reda.

Thursday, June 18, 2020

Pulut Dakap

Bukan, saya bukan jenis yang terikut-ikut dengan trend. Saya suka identiti sendiri dan susah terpengaruh dengan apa sahaja yang tular di media sosial. Fesyen saya ialah fesyen saya, tidak sama dengan orang lain. Kononnya, kelas tersendiri gitu. (Kelaslah sangat!)

Tetapi kali ini ia berlaku tanpa dirancang. Pada hari saya ke kedai emas untuk menjual emas lama mek, saya turut menjual gelang emas klcc saya yang jarang-jarang dipakai itu. Waktu beli dahulu nampak cantik, lama-lama saya rasa tidak suka. Ish! Jadinya ia tersimpan sahaja dalam beg kecil tanpa dipakai. Daripada tersimpan sahaja, baiklah saya tukar dengan design baru.

Di kedai emas Lee Wah itu, tidak banyak gelang rekaan baru kecuali pulut dakap. Gelang lain semua corak lama dan saya tidak berkenan. Dek kerana sudah berniat mahu gelang baru jadi saya belilah juga seutas gelang pulut dakap dan sebentuk cincin. Begitulah yang berlaku tanpa saya rancang. Tak apalah, saya reda.

Gelang itu ringan sahaja tetapi harganya mahal sebab musim ini harga emas naik. Saya tidak mahu menyesal dengan apa yang telah berlaku dan saya berjanji untuk tidak menjual gelang ini sampai akhir hayat saya kerana ia menjadi gelang termahal pernah saya miliki. Nilainya bukan lagi sentimental, tetapi black metal!

Tinggal kenangan

Bergaya dengan pulut dakap

Cantik pula gelang ini bila digaya sahabat saya, Mariam.



Semoga bergunalah ia untuk saya, walaupun sekadar barang perhiasan.

Wednesday, June 17, 2020

6 hari

Sepuluh tahun lalu, Suzila dan Faizal ialah pasangan kekasih yang telah melakukan jenayah mencuri berlian bernilai RM5.2 juta dari seorang hartawan. Faizal ditangkap, dibicarakan dan didapati bersalah. Dia dihukum penjara lapan tahun. Suzila pula dibebaskan, dan berjanji akan menunggu Faizal keluar penjara. Berlian itu disimpan Suzila di suatu tempat rahsia, dan apabila Faizal bebas nanti mereka akan menjual berlian itu.

Namun apa yang terjadi seterusnya tidak seperti yang dirancang. Suzila akhirnya bernikah dengan seorang ahli perniagaan yang kaya bernama Ismal dan menjadi isteri ketiga. Suzila merahsiakan kisah lalunya daripada Ismal, manakala Ismal pula telah membimbing Suzila menjadi wanita yang patuh pada suruhan agama. Suzila berubah dan berazam untuk tidak lagi mengulangi perangai lamanya.

Selepas lapan tahun dipenjara, akhirnya Faizal dibebaskan. Dia yang mengetahui status Suzila telah menceroboh masuk ke rumah Suzila, sewaktu suami Suzila berada di rumah isteri pertama dan keduanya. Dia mahu mendapatkan kembali berlian yang dicuri dahulu tetapi Suzila enggan menyerahkan berlian itu.
Faizal terus berada di rumah Suzila dan mengugut untuk mendedahkan kisah silam mereka kepada Ismal jika Suzila enggan menyerahkan berlian itu. Suzila pula yang merasa bersalah kerana memungkiri janji pada Faizal dahulu tidak berdaya menolak kehadirah Faizal di rumahnya. Dia cuba meminta pendapat sahabat baiknya Linda tentang apa yang dilakukan ini tetapi sulit bagi Suzila untuk meluahkan secara terang. Dia cuba berlapik, tetapi Linda pula tidak faham.

Selama enam hari Faizal tinggal di rumah Suzila, yang turut dihuni oleh pembantu rumah, Ana dan tukang kebun, Faiz.

Dalam enam hari itu, pelbagai peristiwa berlaku. Faizal tersentuh dengan kehidupan Suzila yang sudah benar-benar berubah dan menjadi isteri yang taat pada perintah Allah. Suzila pula akhirnya memberitahu Faizal tempat berlian itu disimpan, dan menyerahkan berlian itu kepada Faizal. 

Kesudahan kisah, Faizal memulangkan berlian itu kepada pemiliknya dan meninggalkan perangai lamanya kerana insaf melihat perubahan Suzila. Suzila pula bersyukur dengan perubahan Faizal. Hatinya sentiasa mengasihi Faizal dan mendoakan Faizal selalu.

Faizal meninggalkan rumah Suzila sebelum suami Suzila pulang.

Begitulah lebih kurang inti cerita telemovie Astro berjudul "6 hari" yang disiarkan pada 13 Jun lalu. Sebak menonton pengakhirannya walaupun babak-babak awal penuh dengan kelucuan.

Saya suka telemovie ini. Ada banyak dialog yang lucu, yang menginsafkan dan yang menyedihkan.




Perfect. At least for me.

Tuesday, June 16, 2020

Tercapai Jua

Akhirnya, setelah lebih sepuluh tahun saya bekerja di bilik peperiksaan yang panas, hari ini pendingin hawa sudah dipasang. Esok saya akan bekerja dalam suasana nyaman.

Alhamdulillah.

Saya sudah merajuk sebenarnya, sudah malas untuk memanjangkan isu ini apabila permohonan pada tahun lepas ditolak tanpa alasan munasabah. Saya berasa sangat berjauh hati tetapi biarlah, saya tahu siapalah kami di bilik ini. Bukan sepenting mereka di pejabat.

Rupa-rupanya sahabat saya Hj Yuswadi masih mahu mencuba. Dia masuk berjumpa dan bersemuka dengan Tuan Pengetua (yang baharu) pada hujung Mei lalu (sewaktu PKPB) memohon pendingin hawa di bilik peperiksaan yang dihuni kami berlima. Terkejut Pengetua kerana tidak menyangka bilik kami masih berpanas. Diringkaskan kisah, Tuan Pengetua bersetuju tanpa soal.

Hari ini segalanya selesai. Dua biji pendingin hawa berkuasa 1.5 sudah siap dipasang dan akan menyejukkan bilik kami ini. Semoga ia panjang umur dan dapat berkhidmat dalam tempoh yang lama, amin.

Monday, June 15, 2020

Anak-anak

Mendampingi anak-anak seusia remaja sememangnya mencabar. Bukan mudah menyelam gelora hati mereka. Seperti saya dahulu pada usia sebegitu sering berperang dengan naluri yang memberontak. Saya ada ego yang kuat, sering berasa tindakan sendiri itu betul dan apabila ditegur emak atau ayah, rasa sangat marah. Rasa terhina, begitu.

Selalu apabila emak menegur (marah), saya rasa seperti dibenci. Saya anggap saya anak yang paling emak tidak sayang. Saya rasa saya anak yang gagal memenuhi impian emak. Tetapi apa yang saya rasa itu tidak saya luah. Ia menjadi air mata yang meneman saya pada malam sepi. Saya pendam semuanya, dan ia sungguh menyakitkan. Untuk melegakan rasa, saya mencurah perasaan itu dalam diari.

Menginjak dewasa, sedikit demi sedikit ego itu saya rombak. Dari pengalaman dan persekitaran, timbul kesedaran tentang erti teguran (marah) walau daripada siapa pun ia datang. Benar, teguran itu bukan penghinaan atau kebencian. Ia tanda prihatin dan kasih sayang. Sulit juga mengubah sikap tetapi itulah perjuangan saya, membetulkan persepsi sendiri. 

Saya tidak boleh memutar kembali masa lalu untuk membaiki segala kesilapan, tetapi saya cuba untuk tidak menjadikan masa lalu saya itu sesuatu yang berulang. Saya tidak mahu anak-anak remaja memiliki rasa seperti saya dan hanya menyedari segalanya apabila dewasa. Kerana itu saya tidak suka marah-marah mereka, dan teguran saya selalunya dengan kata-kata yang berlapik. Saya mahu jadikan mereka sahabat, menyelami jauh ke dasar hati mereka tanpa perlu menegur dengan nada kasar.

Mudahkah?

Saya tidak tahu. Saya tidak punya anak-anak untuk merealisasikan hajat saya itu. Pun saya tahu, ibu bapa kini lebih hebat skil keibubapaan mereka dan tidak lagi suka marah-marah anak seperti generasi dahulu.