Tuesday, October 05, 2021

Ini Bukan Syurga

 Hujan merenyai sejak semalam. Dingin mencengkam, dan seringnya bila dingin-dingin begini ingatan saya akan terlontar ke suatu masa yang telah tiada. Masa lalu, masa bahagia yang saya rindu.

Ayah, emak dan keluarga. Juga rumah papan yang terbina dari keringat ayah yang masih utuh tersergam di tapaknya, seperti menggamit saya pulang ke sana. Manis wajah ayah dan mesra senyuman emak seperti tidak terhakis oleh masa. Ia ada di mana-mana.

Dahulu, setiap kali pulang bercuti saya akan disambut dengan riuh mesra gurau senda adik-adik kecil saya, yang kini sudah dewasa dan membina kehidupan sendiri. Dahulu, rumah papan itu sangat nyaman walaupun tiada berpendingin hawa. Hidangan emak pula sangat enak walaupun cuma ulam-ulaman yang dipetik di belakang rumah. Tanpa hiburan lain, saya bahagia ditemani adik beradik yang jika berkelahi pun tidak pernah mahu berlarutan. Sekejap saja kami akan saling berbaik semula.

Kehidupan saya kini bukanlah derita, tetapi rindu bahagia pada masa lalu tidak pernah mahu hilang. Saat bertandang ke rumah itu, bertemu emak yang kesepian saya seperti enggan pulang. Saya seperti mahu lupakan dunia masa kini dan kembali mengharungi masa lalu bersama semua yang saya sayang. Tetapi kenyataannya ini bukan syurga, saya tidak boleh memilih apa yang saya mahu sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti garis takdir yang telah ditulis Tuhan.

Liku-liku di hadapan yang entah bagaimana, perlu saya hadap dengan sabar dan reda kerana dalam liku yang pelbagai inilah terselit rahmat Tuhan yang misteri. Syurga itu mahal, saya perlu keras dalam berusaha dan tidak boleh sering-sering dipengaruhi emosi rindu yang tidak bertepi ini.

Saya mahu jumpa ayah di syurga, saya mahu bersama emak juga, dan membina bahagia abadi bersama-sama saudara-saudara saya. Di syurga nanti.

Sunday, October 03, 2021

Menanda

Pentaksiran secara dalam talian dijalankan di sekolah saya untuk semua tingkatan bermula pada 27 September lepas. Awalnya saya agak ragu dan risau kerana murid-murid hanya belajar secara PdPR, tentu sekali tahap penguasaan mereka agak rendah, Guru pula tidak dapat memantau mereka secara bersemuka, dan tugasan mereka juga hanya yang mudah-mudah. Tetapi saya tetap positif, pentaksiran sebegini sebenarnya perlu juga untuk memberi ruang mereka mengulangkaji dengan lebih tekun.

Markah perlu dimasukkan secara dalam talian selewat-lewatnya pada 5 Oktober 2021. Begitu arahan pentadbir. Makluman sudah diberi sejak minggu lepas, dan tapak pengisian markah juga sudah saya siapkan untuk guru-guru capai melalui link yang mudah.

Apabila tarikh akhir sudah dimaklumkan, secara logiknya kita yang menurut perintah ini akan merangka jadual secara peribadi untuk menyiapkan markah supaya tidak terlewat dari tarikh itu. Saya seperti selalu, sangat tidak suka menyusahkan siapa-siapa. Sepantas kilat saya menyusun waktu untuk menyiapkan tugasan menanda yang sememangnya agak sukar kerana semua perlu ditanda secara maya. Tidaklah saya rajin mencetak jawapan murid-murid, sudahnya saya menanda di skrin telefon sahaja. Memang memeritkan mata tua saya tetapi tidak mengapa, saya buat secara slow and steady. Masa yang diberi tidaklah singkat, malah lebih daripada mencukupi asalkan kita bijak mengendali.

Alhamdulillah, hari ini saya selesai memarkahkan keempat-empat kelas saya, dua hari lebih awal dari tarikh akhir. Lega rasanya. Bolehlah saya memberi tumpuan untuk PdPR pula.

Tiba-tiba, seorang sahabat menghubungi saya. Katanya ada guru memohon tarikh akhir dilewatkan lagi kerana dia tidak sempat menyiapkan markah. Kan masih ada dua hari? Entah, tidak sempat katanya.

Saya sebagai SU Peperiksaan yang akan menganalisis, tidaklah mampu memberi apa-apa keputusan. Dia perlu menghubungi Penolong Kanan Pentadbiran untuk memaklumkan apakah masalah yang dia hadapi dan PKP lah yang akan memberi keizinan untuk dia menghantar markah lewat.

Dan guru ini, memang biasa begini. Sentiasa tidak mampu menyiapkan markah dalam tempoh yang diberi. Saya terfikir, kenapa dia suka benar memberi masalah kepada orang lain? Adakah masalahnya sangat besar sehingga boleh sewenang-wenangnya melanggar masa yang diberi?

Cukup-cukuplah hidup dengan mementingkan diri sendiri wahai sahabatku. Tarikh yang diberi sudah difikir lama, sudah dipertimbang seadilnya. Mengapa masih mahu mengutamakan diri kita?

Masa kita, kita yang uruskan. Janganlah menjadi manusia yang diketawakan masa.

Saturday, October 02, 2021

SPM?

Ini tulisan Ustaz Hasrizal dalam media Facebooknya "My Learning Journey" bertarikh 2 Oktober 2019. 

Simpan di sini untuk dibaca berkali-kali.

-------------------------------------

"Bolehkah berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?"

Jawapannya bukan ya, bukan tidak.

Selepas saya tanya soalan ini, ada pelajar kata boleh, ada pelajar kata tak boleh. Mereka berhujah, Tan Sri Boon Siew big boss Honda tak ada SPM pun tapi jutawan dan kaya raya. Saya tanya, kalau Boon Siew tidak miskin dan mampu ke sekolah, rasanya dia akan ke sekolah ke tidak?

Dia kaya dan berjaya, bukan sebab dia tak ada SPM. Dia tidak ada SPM sebab dia orang susah. Tak mampu sekolah. Jadinya, walaupun tanpa SPM, dia adalah seorang yang rajin berusaha, bekerja keras. Dan itu kualiti kehebatan dia.

Maknanya, kalau berusaha bersungguh-sungguh, belajar dengan bijak, tapi for some reason masih tak dapat A, kita tetap sudah membina kualiti orang yang berjaya di dalam diri.

Tapi kalau tak lulus SPM sebab tidur memanjang, melepak, buang masa, usahkan SPM, buat apa pun semua tak menjadi.

Itulah antara butiran ceramah saya dengan budak sekolah setiap kali saya tanya "boleh ke berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?" Isi kandungan ceramah itu bukannya "tak apa dapat E asalkan tak stress"

Apabila saya diminta bercakap dengan budak sekolah calon peperiksaan, objektif saya ialah tolong budak-budak tu cari makna peperiksaan itu untuk diri mereka. Sebab manusia ini 'meaning maker'.

Persoalan ini tak berapa penting zaman saya SPM tahun 1992 dahulu sebab masa itu SPM ialah untuk saya, bukan untuk sekolah, PPD atau JPN. Walaupun SRP saya tahun 1990 dapat 8A1, saya masih boleh ambil bidang yang saya suka iaitu sains sosial dan perdagangan yang membolehkan juga saya ambil bahasa Arab di dalam SPM. Saya sebutkan ini supaya anda faham saya bercakap di atas premis pengalaman yang saya analisis. Bukan bergebang kosong.

Tetapi 20 tahun kemudian, benda ni berubah. Sekolah sudah mula gila ranking. Masyarakat sudah mula gila membandingkan keputusan peperiksaan anak-anak. Dulu takat sembang bawah pokok rambutan je. Tapi zaman internet, bendanya dah jadi viral sana sini. Ekoran daripada itu, budak 'pandai' yang minat sastera tak dibenarkan ambil bidang yang tak menguntungkan sekolah. Kena ambil aliran yang sekolah tetapkan. Hak milik (ownership) pelajar ke atas pembelajaran dan dirinya sendiri dinafikan. Itu belum lagi result cemerlang nak masuk vokasional. Layak buat perubatan tetapi pilih nak belajar Syariah.

Apabila budak-budak dipaksa berusaha keras untuk sesuatu yang bagi dia meaningless, formula itu tak menjadi. Salah dari semua segi. Mak ayah boleh paksa anak belajar sampai mata lebam supaya anak boleh jadi doktor. Dia boleh lulus sekolah perubatan dengan paksaan itu. Tetapi dia nak ke jadi doktor? Yang suka dengan kerjanya? Kalau kerja doktor tapi benci kerja itu, apa implikasinya? Saya jumpa profesional yang kata setiap hari lepas habis kerja di akan lalu pintu pejabatnya dengan gaya meludah ke pintu tu sebab dia benci kerjanya. Itu kisah peribadi dia, tetapi ia mendorong saya berfikir.

Sudahlah belajar di sekolah kena paksa aliran apa yang nak dipelajari, keputusan peperiksaan pula adalah untuk KPI dan kebanggaan sekolah dan emak ayah. Habis yang aku sampai sakit tulang belakang study tak habis-habis ini, untuk puaskan hati korang aje ke? Aku macam mana? Itu yang budak-budak itu rasa. Bukan semua. Tapi selalu jumpa. Ramai.

Menggunakan usaha gigih pelajar dan keputusan peperiksaan mereka untuk menilai prestasi guru, prestasi pengetua, prestasi sekolah, prestasi PPD, prestasi JPN, adalah acuan yang menjatuhkan moral pendidikan. Ia adalah formula yang merosakkan polisi pendidikan awam di USA zaman Bush.

Sudahlah SPM dan persekolahan tidak bermakna, kemudian kena pula solat hajat dan baca yasin, puasa, untuk benda yang tiada makna kepada pelajar.

Maka soalan "boleh ke berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?" itu adalah soalan untuk tolong pelajar cari makna untuk diri mereka sendiri. Supaya mereka boleh ada objektif. Dengan objektif itu mereka lebih bermotivasi dengan motivasi dari dalam diri mereka. Bukan motivasi yang penceramah paksa mereka melalui hype di pentas, melalui menangis dalam gelap, memanipulasi kisah kesusahan mak ayah dan balas jasa mak ayah dengan keputusan SPM. Sedangkan Tuhan pun di dalam al-Quran, timbulkan kisah kesusahan ibu mengandung, bukan supaya taat ibu, tapi supaya bersyukur kepada Allah. Dengan mentaati Allah, kebaikan anak akan turun kepada ibu kepada bapa. Tetapi kita ugut anak-anak dengan susu kita, dengan nasi yang kita suap, dengan yuran yang kita bayar. 

Kita dibentuk oleh pengalaman. Dan pengalaman saya bertemu dengan pelajar pintar yang benci emak ayah dengan 1001 sebab, mendorong saya mencari jalan, bagaimana dilema ini boleh diperbaiki.

Bagi anda yang follow tulisan saya mungkin anda ingat kisah yang pernah kongsikan sebelum ini, apabila saya diminta  berceramah kepada calon PMR paling teruk dalam sejarah sekolah berkenaan. Saya kunci pintu dewan agar cikgu tak masuk. Sembang hati ke hati. Nak faham kenapa trial PMR teruk bebenor.

"Saya nak buktikan walaupun saya tak lulus PMR saya tidak bodoh!"

"Kerajaan nak hapuskan PMR, buat apa saya bersusah payah untuk benda yang kerajaan pun tahu ia tak berguna."

"Saya minat rugby. Saya nak result PMR yang just nice untuk saya masuk sekolah yang power rugby. Kalau cemerlang nanti parents paksa masuk MRSM."

"Kalau result saya cemerlang pun, mak ayah sibuk. Tak ada siapa nak celebrate kejayaan saya."

Itu antara luahan hati mereka.

Apabila sekolah sibuk dengan ranking, nak memuaskan hati orang dewasa, luahan hati budak-budak ni ada sapa kisah?

Saranan saya:

Tingkatkan nilai pembelajaran. Kurangkan nilai peperiksaan.

Kembalikan peperiksaan kepada fungsi asalnya iaitu menilai prestasi pelajar dan seterusnya menggunakan SPM itu untuk pembelajaran beliau yang berikutnya.

Hentikan penggunakan keputusan SPM sebagai KPI guru, pengetua, sekolah, malah menteri. Itulah racun yang menyebabkan 'A' hilang makna, dan mengurangkan nilai pembelajaran di dalam pendidikan kita.

Bersedia ke untuk berubah, wahai orang dewasa?

(Semua perkara ini sudah secara akademiknya saya masukkan di dalam usul Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara dan dipulangkan kepada Menteri Pendidikan pada 2 Mei 2019. Jika Menteri Pendidikan inginkan perubahan, adakah ia disambut positif oleh semua?)

Friday, October 01, 2021

Tiga Suku Tahun

Hari ini, bermulalah bulan kesepuluh dalam tahun masehi 2021. Sembilan bulan sudah berlalu, yang menyamai tiga suku tahun. Pantas sungguh masa bergerak. Itulah yang saya rasa.

Hari ini, Jumaat 24 Safar 1443 Hijrah. Hari yang sunyi dan tenang, juga nyaman. Hujan masih merenyai di luar dan saya menghabiskan hampir seharian hari ini hanya bersendirian di bilik.

Saya tidak ke mana-mana hari ini. Saya menjadikan hari ini hari saya berhibernasi.

Seawal pagi, usai solat Subuh saya akan kembali memanjakan diri di katil. Lena tidak, tetapi saya menatap telefon sambil televisyen terpasang di saluran 106 Oasis yang selalunya pagi-pagi begini ada alunan ayat suci Al-Quran. Kali ini bacaan oleh Ustaz Wan Najdi pada juz dua. Suami saya selalu bersolat di bilik sebelah (jika tidak ke masjid) dan selesai solat dia akan menguruskan kucingnya, juga turun ke tanah memberi makan kambing. Kemudian sekitar jam 7 pagi dia akan keluar membeli sarapan.

Dan saya di rumah benar-benar berehat hari ini. Ada juga saya menghadap kertas soalan ujian murid tingkatan 4 sebentar tetapi tidak betah pula. Malas. Lalu yang enaknya ialah menghadap media sosial. Jam 12 tengah hari baru saya ke dapur bersiap untuk memasak seringkas mungkin. Hanya ikan gelama goreng dan sotong rebus serai.

Begitu seharian hari ini. Aktiviti santai tanpa faedah. Semoga Allah mengampuni saya. Hujan turun agak lebat pada jam 3 petang, dan masih merenyai sehingga kini.

Tiada apa yang penting pun berlaku hari ini. Santai sungguh, tetapi saya bahagia.

Alhamdulillah.

Tuesday, September 28, 2021

Pada Usia Ini

Pada usia ini
Berjuta cerita
Tergaris di wajah.

Dan dunia pun
Kian pudar
Dihijab masa.

Biarkan saja.

Hati tenanglah
Jiwa tenteramlah
Usah tewas lagi
Dengan ujian.

Agar nanti bila pulang
Tuhan terima
Dengan aman.

Amin.




Wednesday, September 22, 2021

Pak Ngah


Hati saya sayu sekali. Sejak emak mengkhabarkan Pak Ngah sakit, saya sentiasa berharap dapat pulang berziarah. Sekali pun jadilah, tetapi apa daya pandemik ini sangat menjarakkan dua negara berjiran ini. Pak Ngah berulang alik masuk hospital sejak awal tahun 2020 dan hingga kini, kami masih tidak mampu merentas sempadan. Ya, hingga Pak Ngah sudah pun dipanggil Tuhan!

Allahuakbar!

Saya pilu, emak lebih-lebih lagilah. Berjuraian air mata emak saat mengimbas kali terakhir dia bertemu Pak Ngah pada Februari 2020, sebelum pandemik melanda. Emak pulang sekejap dan sempat menziarah Pak Ngah di hospital. 

Pak Ngah meninggal dunia pada petang Ahad 19 September 2021 kerana Covid. Sedihnya, Pak Ngah baru sahaja keluar wad kerana sakit batu karang dan kencing manis yang dideritainya tetapi siapa sangka Covid yang menjadi asbab. Begitu tulisan takdir untuk Pak Ngah yang kami kasihi.

Pak Ngah - nama penuhnya Abu Bakar - dilahirkan sebagai anak ketiga daripada sembilan orang saudara. Usia Pak Ngah sekitar 79 - 80 tahun mengikut hitungan saya. Pak Ngah pergi meninggalkan isteri yang setia, Mak Ngah Yah dan tujuh orang anak yang akan merinduinya selalu - Aziz, Farid, Kamal, Naida, Safina, Muhammad dan Hamizah.

Seingat saya, Pak Ngah seorang yang lembut dan pendiam tetapi amat prihatin dan begitu penyayang. Sewaktu arwah Pak Su Soh meninggal pada 2017, dia yang berada di Thailand tetap mahu pergi melawat keluarga Pak Su di Bangi walaupun sukar. Dia bersusah payah menaiki bas malam dari Rantau Panjang dan tiba pada keesokan paginya di rumah keluarga Pak Su.

Kali terakhir saya bertemu Pak Ngah ialah pada Mei 2019, sewaktu pulang bersama emak, Aziah dan Muiz. Sayang saya tidak merakam gambar bersamanya, dan saya memang tiada gambar bersamanya.

Pak Ngah orang baik, tentu sekali Allah akan menjaga Pak Ngah dengan baik juga.

Berehatlah Pak Ngah, hilang sudah sakit dan penat Pak Ngah di dunia. Semoga tenanglah Pak Ngah di sana.



Saturday, September 18, 2021

Shopee



Saya dan Shopee sudah berkawan sejak lama. Saya amat gembira dengan kemenjadian Shopee yang semakin hari semakin mesra. Kalau dulu saya suka Lazada, kini saya lebih selesa dengan Shopee.

Sungguh menyenangkan sekali memiliki Shopee kini. Dengan Shopee Pay, saya lagi seronok menempah dan membeli belah. Kepuasannya tidak terhitung. Apa yang saya mahu kini, hanya di hujung jari. Suami saya tidak kisah pun, malah tidak pernah mahu ambil tahu tentang belian saya di Shopee. Belilah apa sahaja, katanya. Asalkan berguna.

Tetapi kemesraan saya dan Shopee hanya setakat kami berdua. Maksud saya, bila ada orang lain mahu menumpang, Shopee akan menjadi tidak mesra, dan ini sangat kerap berlaku sehingga menjadikan saya trauma.

Jika ada kawan saya meminta tolong saya belikan barang dari Shopee untuknya, tentu selepas menerima barang itu akan ada masalah. Barang rosaklah, baju tak muatlah, salah item lah, dan saya tidak boleh berlepas tangan. Kenalah saya selesaikan urusan seterusnya dan itu saya tidak gemar.

Sama juga dengan suami saya. Sudah beberapa kali barang yang saya beli di Shopee untuknya tidak memuaskan hatinya. Ada sahaja yang tidak kena. Kecil sangatlah, tak sama macam dalam gambarlah, tak berkesanlah. Aduh!

Saya cukup resah bila membeli barang di Shopee untuk orang lain. Tidak tahu mengapa ia sering tidak kena. Pada hal jika untuk saya sendiri jarang benar timbul masalah.

Kesimpulannya, please lah beli sendiri. Janganlah suruh saya!


Thursday, September 16, 2021

Books. And Cats

One more cat he brought home this morning, which he took from his friends place. Happily he came to tell me while I was reading in my room. "See, I have one more cat!"

As happy as he sounds, I can imagine the excitement inside him. How he looks so cheerful and full of energy every time he talks about his cats.

Oh God! I can't help but just let him be. I can't share his hobby because I don't know how to take care of pets. I don't like pets. Never ever. Period.

I like books. I love reading. And songs. And solitude. I love my loneliness.

See the difference?

Thursday, September 09, 2021

Di Ambang Kasih (1984)

Datin Hayati terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan hilang tanpa berita. Suaminya Dato' Rosdi, anak lelakinya Murad dan ahli keluarganya berusaha mencari tetapi tidak berjaya. Setelah segala usaha gagal, mereka lalu menganggap Hayati sudah meninggal dunia.

Bagi mengubati kesunyian hati Rosdi dan kesedihan Murad yang kehilangan Hayati, ayah Hayati mencadangkan agar Rosdi menikahi Hidayu, adik perempuan Hayati. Rosdi dan Hidayu menerima cadangan itu lalu bernikah. Hidup mereka bahagia dan diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki, Jojo.

Masa berlalu, setelah lebih sepuluh tahun hilang, barulah diketahui rupa-rupanya Hayati masih hidup. Dia sebenarnya hilang ingatan selepas kemalangan itu dan dijaga oleh sepasang suami isteri di sebuah kampung. Kini ingatannya sudah pulih dan dia mula mencari keluarganya.

Rosdi dan Hidayu menerima Hayati kembali ke rumah dan melayan Hayati dengan baik tetapi mereka merahsiakan perkahwinan mereka demi menjaga kesihatan Hayati yang baru pulih. 

Walaupun begitu, Hidayu dan Rosdi sangat tertekan dengan keadaan. Rosdi perlu memilih antara Hayati dan Hidayu kerana mereka adik beradik, tidak boleh dimadukan. Hidup dalam satu rumah, mereka perlu berlakon seperti orang asing.

Kesudahannya, apabila rahsia tersingkap, Hayati kembali menjadi tidak stabil. Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan dan bertindak di luar jangka. Dia dihantar ke hospital untuk dirawat kembali dan Rosdi kembali bersatu dengan Hidayu.

Tetapi sebenarnya, Hayati tidak sakit. Dia cuma bertindak begitu untuk memberi ruang kepada adik yang sangat dikasihinya itu dapat meneruskan hidup di sisi Rosdi. Hayati berkorban demi kasih yang tidak terhingga kepada Hidayu.

Tamat.

Pelakon:

Rosdi - Yusof Haslam
Hayati - Rubiah Suparman
Hidayu - Rosnah Mohd Noor
Murad - Raffi Hussin
Ayah - Idris Hashim



Monday, September 06, 2021

Secangkir Kenangan

Pagi ini, seperti pagi-pagi lalu, suami saya keluar membeli sarapan. Seketiadaannya, saya ke dapur membancuh teh. Hari masih awal, saya menuju ke rak buku untuk membelek-belek buku dan fail lama yang tersusun di situ. 

Mata terpandang pada seberkas kertas usang yang berkacip elok, terletak di rak paling atas. Kertas apa ini? Saya menariknya keluar dan tersapa nama ayah tertulis di helaian paling depan.

Ini kepunyaan ayah! Lupa saya tentang kewujudan kertas-kertas bermakna ini, pada hal sayalah yang mengambilnya dari rumah emak beberapa tahun yang lalu dan menyimpannya di sini.

Satu persatu helaiannya saya belek. Saya renung. Saya baca. Mata mula berkaca. Ayah. Ada rindu mencengkam. Tidak terkata.

Selain surat-surat kami, ada banyak lagi yang ayah simpan. Tarikh-tarikh pembayaran hutang, resit-resit penting, keratan akhbar dan banyak lagi. Memang cermat dan terurus sekali ayah menjaga setiap perkara yang penting baginya. Sifat yang satu ini tidak terwarisi kepada saya yang sangat culas dalam pengurusan fail. Patutlah ayah cemerlang sebagai Pembantu Tadbir Kanan, kerjanya teratur sekali.

Hanya doa untuk ayah dari kami setiap masa. Damailah ayah. Kenangan ini menjadi pengubat rindu.

Saturday, September 04, 2021

Kucing

Suami saya sudah bawa balik kucing!

Dulu, masa awal perkahwinan kami dia pernah bela kucing. Saya beritahu dia, saya tak minat dan tak pandai main kucing. Jadi dialah yang uruskan segala. Saya tak selesa juga, tapi biarlah. Asal jangan suruh saya jaga.

Kemudian kucing tu mati. 

Bila pindah rumah sendiri, dia bela juga lagi. Saya biarkan saja. Takkan nak larang. Lagi pun kali ni kucing tu tak naik atas rumah sangat, main kat laman je. 

Kemudian kucing tu hilang.

Lama, dah lima belas tahun hidup tanpa kucing tiba-tiba dia teringin nak bela kucing semula. Macam dulu jugalah, saya biarkan aje. Saya tak akan campur tangan.

Saya dan kucing tidak serasi. Masa kecil dulu saya pelik tengok orang yang boleh bermain dengan kucing. Saya nak pegang pun geli. Kalau ada kucing dekat saya, saya paling risau kalau dia datang menggesel. Perasaan tu macam seram gitu, berdiri bulu roma!

Orang yang berkongsi cerita atau gambar kucing di media sosial tidak mampu menarik minat saya. Saya akan skrol laju-laju dan cari cerita lain untuk dibaca. Saya bukan benci kucing, cuma tidak minat. Tidak pandai. Tiada rasa damai dengannya.

Saya lebih tenang dengan diri sendiri. Tanpa gangguan. Sungguh.

Kali ini saya harap kucing yang sedang berada di rumah saya ini tidak akan berminat untuk mendekati saya. Minggu lepas saya menjerit kuat bila dia datang menggesel kaki saya sewaktu saya di dapur mencuci pinggan. Saya terkejut sebenarnya, sebab selalu dia dikurung dalam sarang di ruang tamu. Rupanya suami saya melepaskan dia sekejap dan dengan laju dia ke dapur menggesel saya. Apa lagi, pecahlah laungan keramat "Auuuuu..!!"

Kini suami saya pastikan saya berada di bilik dahulu sebelum dia membebaskan kucingnya dari kurungan untuk dibelai dan dimanja.

Wednesday, September 01, 2021

Salam September

Assalamualaikum. Salam September. Semoga bahagia semuanya.

Saya sedang sihat, Alhamdulillah. Semoga kesihatan ini berpanjangan sepanjang hayat.

Memang sihat itu yang kita harapkan, tetapi tidak kurang juga yang masih berkira tentang rupa. Apabila wanita menua, segala kejelitaan yang pernah ada akan hilang.

Begitu.

Dalam kumpulan Facebook yang saya sertai, belakangan ini begitu rancak berbicara (baca: berperang) tentang perubahan rupa yang ketara apabila usia meningkat. Perbahasan antara lelaki dan perempuan dengan slogan "Men will be men, women will be makciks". Aduh!

Gender war again.

Whatever. I won't bother to be into the scene. Just read and forgot.

Cuma, saya nak cerita yang masa sekolah dulu saya hodoh. Tak ada peminat pun. Dah lah hodoh, tak peramah, dan kurang bergaul. Tak reti nak approach new friends dan hanya memahami diri sendiri.

Seiring peningkatan usia, banyak yang sudah berubah. Ditambah dengan pengalaman yang mematangkan, saya mula mengerti keutamaan. Kini, saya selesa menjadi diri sendiri.

Biarlah ketuaan semakin menyerlah, saya tidak kisah semua itu. Saya mahu bahagia cara saya dan terus mencari ruang untuk menabur bakti.

Tuesday, August 31, 2021

Mencintai Tanah Ini

MENCINTAI TANAH INI

Siapakah berani merobek angin musim sentosa ini
Sayapnya menebar jauh hingga ke lereng bukit dan denai-denai desa
Siapakah berani memancung damai negeri bertuah ini
Dengan pedang terhunus dendam berpercikan silau kebencian.

Sejarah pertiwi masih cermat tersimpan
Dalam album purbanya ngilu hiris cengkam penjajah
Berganti silih
Mencakar sukma ibunda
Hari ini pun terasa lagi akan pedih siatnya.

Degup ingin anak-anak bangsa
Masih kental mengisi mimpi
Membenteng tanah yang sesusuk ini
Dengan harga cinta tak tertawarkan
Dengan anyam kasih tak tercelakan.

Kemerdekaan yang kita genggam bukan kata hiasan
Seperti kedaulatan bukan hanya seuntai slogan
Telah berjanji kita atas nama bumi pusaka
Sepakat rela kita julang menjunjungnya ke puncak persada.

Marilah kita tentang perobek angin musim sentosa
Hingga luluh sayapnya melayang ke gurun-gurun yang saujana
Marilah kita lestarikan limpah rahmat
Bernafaskan kasih luhur
Dengan jiwa paling bening tunduk dan syukur.

Lim Swee Tin



Saturday, August 28, 2021

Mi Goreng

Bila memikirkan menu untuk hidangan malam, saya selalu buntu. Bukan seperti orang lain, suami saya jenis yang tidak lalu untuk ulang makan menu tengah hari. Terpaksalah saya memasak menu lain untuk makan malam.

Dia bukan jenis makan beria pun bila malam, tetapi tidak boleh tidak makan. Ada waktunya saya hanya sediakan roti atau biskut, dicecah teh atau kopi sahaja. Tetapi takkanlah begitu setiap kali. Jemu juga.

Saya pula, ok sahaja ulang makan makanan tengah hari tadi. Jika masih berbaki, saya akan habiskan pada waktu petang untuk tidak membazir. Jadi bila malam saya sudah kenyang. Memikirkan menu pada waktu perut kenyang memang payah. Apatah lagi untuk orang lain. Aduh!

Dulu, jika ada jemputan majlis tahlil atau solat hajat pada waktu malam, saya lega sungguh. Rasa seperti hilang beban yang memberat di bahu. Tapi sejak covid mengganas ini, mimpi sajalah untuk perkara sebegitu.

Paling mudah untuk saya siapkan untuk dia ialah mi goreng. Jujurnya, saya sudah rasa muak untuk menelan mi goreng buatan sendiri tetapi saya ulang masak juga berkali-kali kerana ia mudah dan tekak suami saya masih mampu menerima. Ada juga sesekali dia mengomen, mi berlengas sangatlah, kering sangatlah, macam-macam. Saya diam saja. Malas nak kata apa sebab saya goreng campak-campak saja. Waktu mengena, ia menjadi. Jika salah campak, lainlah rasanya!

Mudahnya mi goreng ini, saya tak perlu buat rempah yang renyah. Hanya hiris bawang, masukkan lauk dan fish ball, kicap dan sos tiram, sayur dan mi. Gaul, siap. Mudah sungguh, sampai saya pun dah jemu nak makan. 

Entahlah sampai bila episod malas masak ini saya perlu layan. Nak tunggu ada maid, bermimpilah!

Friday, August 27, 2021

Kabinet

Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
YB. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 
Timbalan Menteri : YB. Datuk Lim Ban Hong

Menteri Kanan - Menteri Pertahanan
YB. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri : YB. Datuk Seri Ikhmal Hisham bin Abdul Aziz

Menteri Kewangan
YB. Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Timbalan Menteri I : YB. Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri II : YB. Tuan Haji Yamani Hafez Musa

Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya 
YB. Datuk Seri Haji Fadillah Yusof
Timbalan Menteri : YB. Datuk Arthur Joseph Kurup

Menteri Kanan - Menteri Pendidikan 
YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin
Timbalan Menteri I : YB Senator Dato' Dr Mah Hang Soon
Timbalan Menteri II : YB Datuk Mohamad Alamin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) 
YB Datuk Seri Mustapa bin Mohamed 
Timbalan Menteri : YB Eddin Syazlee bin Shith

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  (Tugas-Tugas Khas)
YB Datuk Dr Hj Abdul Latiff bin Ahmad
Timbalan Menteri : YB Datuk Mastura binti Tan Sri Dato' Mohd Yazid

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
YB Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Timbalan Menteri : Datuk Wira Hajjah Mas Ermieyati binti Samsuddin 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YB Senator Tuan Idris bin Ahmad 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri : YB Dato' Hajah Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan 
YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri : YB Dato' Henry Sum Agong

Menteri Alam Sekitar
YB Datuk Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Menteri : YB Dato' Dr Mansor bin Othman 

Menteri Sumber Manusia 
YB Datuk Seri Saravanan a/l Murugan 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Awang bin Hashim 

Menteri Wilayah Persekutuan 
YB Datuk Seri Shahidan bin Kassim 
Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias 

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat
YB Datuk Seri Rina Binti Harun 
Timbalan Menteri : YB Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi 
YB Dato' Dr Noraini binti Ahmad
Timbalan Menteri : YB Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal bin Muhammad 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli 
YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan 
Timbalan Menteri 
YB Datuk Ali Anak Biju 

Menteri Dalam Negeri 
YB Datuk Seri Hamzah Bin Zainuddin
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Dr Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Timbalan Menteri II : YB Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan
YB Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar 
Timabalan Menteri I : YB Dato' Dr Noor Azmi bin Ghazali
Timbalan Menteri II : YB Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan 
YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Hj Ahmad bin Hamzah 
Timbalan Menteri II : YB Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh 

Menteri Pembangunan Luar Bandar 
YB Datuk Seri Mahadzir Bin Khalid
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Abdul Rahman bin Mohamad
Timbalan Menteri II : YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah 

Menteri Luar Negeri 
YB Dato' Saifuddin bin Abdullah 
Timbalan Menteri : YB Haji Kamarudin bin Jaffar 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna 
YB Datuk Alexander Nanta Linggi 
Timbalan Menteri : YB Dato' Rosol bin Wahid

Menteri Komunikasi Dan Multimedia
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa 
Timbalan Menteri : YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
YB Datuk Seri Reezal Merican bin Naina Merican 
Timbalan Menteri : YB Datuk Sri Ismail bin Abdul Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi 
YB Datuk Seri Dr Adham Baba 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Amzad bin Mohamed @ Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi 
YB Tan Sri Noh bin Haji Omar 
Timbalan Menteri : YB Tuan Muslimin bin Yahaya 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
YB Datuk Dr Hajah Zuraidah binti Kamaruddin 
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Wee Jeck Seng 
Timbalan Menteri II : YB Willie anak Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan 
YB Datuk Seri Hajah Nancy binti Shukri 
Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Dr Santhara Kumar a/l Ramanaidu

Menteri Perpaduan Negara 
YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique
Timbalan Menteri : YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal bin Wan Ahmad Kamal 

Menteri Belia dan Sukan 
YB Datuk Seri Ahmad Faizal bin Datuk Azumu
Timbalan Menteri : YB Senator Datuk Seri Ti Lian Ker

Sunday, August 22, 2021

Apa Yang Saya Rindu?

Jam sudah mahu ke angka sembilan pagi. Saya masih tergolek di katil. Sarapan tadi dibeli suami. Usai makan saya kembali ke bilik, pasang TV, dan berbaring malas di katil.

Saya ada dua kelas PdPR hari ini, jam 8.00 dan 12.30. Yang pertama sedang berlangsung sekarang. Saya sudah habiskan enam bab bersama mereka, dan tinggal lagi dua bab. Hari ini saya cuma mahu menguji ingatan mereka tentang topik tahun lepas jadi saya cuma beri soalan untuk mereka jawab. Mudah.

Mudah begini sesungguhnya tidak memberi kepuasan. Ada yang saya mahu lakukan tetapi tiada ruang. Ada yang saya rindu tetapi tidak terucapkan.

Apa yang saya rindu?

Rindunya saya mahu berada di bilik peperiksaan tempat kerja saya itu. Suasana yang tenang dan sekali-sekala riuh, memang mengujakan rasa. Tiba waktu kelas, bergegas saya mencari buku dan bahan, dan berjalan menuju anak-anak murid yang sedang menanti, lalu disapa dengan jeritan dari jauh tatkala ternampak saya, cikgu! 

Riuh kelas mereka, saya suka. Tawa dan usikan bersilih ganti, menceriakan jiwa. Mereka sudah dewasa, tetapi sifat anak-anak masih ada dalam jiwa tujuh belas tahun mereka. Senyum mereka mengubat rasa. 

Allahuakbar!

Lama benar suasana itu hilang. Saya rindu untuk belanja mereka minum, juga berkongsi coklat dengan mereka. Selalu mereka teruja dan berkata nak lagi! Ah..

Semoga cepatlah kami dapat kembali mengisi ruang sebegitu lagi. Saya sudah tidak tertahan menanggung rindu begini!

Saturday, August 21, 2021

Back to Square One

We're back to square one. 

As it is official now, allow me to vent my spleen. I just need to get this out of my chest. Feel free to skip reading, especially if you don't like to read about politics. 

Semasa Muhyiddin meletakkan jawatan, rata-rata kenalan saya di Sarawak agak bersedih. Mereka suka Abah. They drew comparison of him with the late Adenan Satem. Mungkin mereka tidak suka drama politik sekarang, tetapi jelas, mereka suka dan menyokong Abah. 

Jadi, persoalan saya, politik ini sebenarnya sokongan kepada individu atau kepada parti? Ismail Sabri vs Anwar Ibrahim. Yang bertandingnya individu, tetapi yang menentukan kemenangan adalah parti. Jadi, rakyat perlu sokong individu atau parti? 

Secara peribadi, as a human being, saya pun suka Muhyiddin. Perwatakannya baik. Tetapi cara PN membentuk kerajaan dan cara beliau menjadi Perdana Menteri, walaupun mengikut perlembagaan, tetap salah di mata rakyat. It is an insult to the people who gave the rightful mandate to PH in PRU14. Tapi ramai juga yang bersyukur bila Muhyiddin menjadi PM. Jadi, rakyat suka Muhyiddin, tapi tidak suka PN. Suka Muhyiddin, tapi tidak suka kabinet dan menteri beliau. How does that work? 

Yes, we can blame UMNO for all this recent conundrum. Menarik sokongan kepada Muhyiddin, kemudian beri sokongan kepada Ismail. Sedangkan Ismail jelas tidak patuh keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini dan kekal menyokong Muhyiddin. But suddenly UMNO said, all is forgiven and you are our Prime Minister. Apa ni?

Anwar dan pembangkang pula kata bukan salah mereka Muhyiddin letak jawatan. Itu salah UMNO. Tapi desakan mereka setiap hari untuk Muhyiddin mengundur diri dan laungan berterusan bahawa kerajaan sebelum ini gagal bukanlah suatu rahsia. Mereka kata merekalah penyelesaian. Mereka kata beri peluang pada Anwar. Tetapi setelah Muhyiddin akhirnya berundur, mereka tetap tidak mampu untuk membentuk kerajaan. Jadi desakan berterusan sebelum ini untuk apa? 

Akhirnya, kita sebenarnya menyokong individu atau komponen parti? Kalau ramai yang membenci UMNO dan PN, kenapa banyak rakyat yang menyatakan sokongan terhadap Khairy Jamaluddin untuk dicalonkan sebagai PM? Kenapa UMNO tidak mencalonkan KJ? Mereka ini mewakili suara parti atau suara rakyat?

Dulu semua, termasuk ahli politik parti komponen PN sendiri, asyik melaungkan perkataan "kerajaan gagal". Tapi akhirnya, "kerajaan gagal" yang sama kembali berkuasa. Muka yang sama juga. Jadi segala usaha dan emosi untuk kecelaruan politik dan ketidakstabilan negara selama ini untuk apa? Apa hasilnya? 

We're back to square one! 

Sudah-sudahlah berpolitik. Kerajaan atau pembangkang, sila duduk! Sehingga PRU15 tiba, rakyat sudah tidak kisah lagi siapa yang memerintah dan siapa yang jadi PM. Dalam keadaan sekarang, tumpukan sepenuh masa dan tenaga anda betul-betul untuk membantu rakyat dan negara. Bukan asyik nak tunjuk siapa yang lebih layak dan lebih bagus memerintah. 

Because frankly, I don't give a s**t!

(From FB Aimir Ma'rof)

Friday, August 20, 2021

Raniah

Anakanda Raniah binti Rosdi yang saya kasihi kini sedang ditidurkan kerana Covid 19. Anak manis yang sentiasa peramah dan mesra ini sedang diuji. Anak yang begitu dekat di hati saya, yang saya kasihi kerana Allah.
Saudara dan sahabatku, doakanlah Raniah. Dia masih kami perlukan. Anak-anak dan suaminya menanti dalam kerinduan. Ibunya apatah lagi, kehilangan kata namun masih penuh dengan harapan. Harapan agar puterinya Raniah disembuhkan Tuhan.

Ya Allah, Engkau berilah kesembuhan untuk anak ini. Hanya kepada-Mu kami bermohon. Perkenankanlah.

Amin.


 

Berita Terkini Hari Ini


Dah tak terkini pun. Dah empat jam lebih dah. Dah basi eh?

Tak apa lah. Ulasan saya bukan penting pun. Saya terima keputusan Agung walaupun hati saya kecewa. Semoga ada hikmahnya.

Saya tidak tahu bagaimana masa hadapan Malaysia. Saya tidak punya apa-apa kuasa untuk menentukan, saya hanya mampu menunggu. Semoga sejahtera.

Saya cintakan negara saya.


Wednesday, August 18, 2021

Diburu

Bertalu-talu saya menerima berita kematian orang terdekat yang berada di sekitar saya kerana Covid. Bermula dengan kakak ipar saya Rohaizan, kemudian ibu saudara jauh saya Mak Su Yah, jiran sewaktu kecil saya Sukri, dan terbaru hari ini ayah anak murid saya yang juga abang ipar sahabat saya, Sulaiman.

Yang sedang tenat dirawat kerana Covid juga ramai, antaranya dua orang jiran kami Dato' Rosdi dan Abang Dollah. Yang terjangkiti dengan gejala ringan dan dikuarantin tidak terkira bilangannya, dan semua mereka ini adalah jiran-jiran kami - penduduk Batu 8 Jalan Kuala Krai.

Saya terasa seperti sedang diburu. Entah siapa pula nanti yang akan menjadi mangsa, entah diri sendiri atau orang-orang yang saya kasihi. Ya Allah jauhkanlah!

Tidak mampu saya memikirkan getir perasaan berada dalam suasana seperti ini. Seperti sedang bertempur dan peluru yang tiba tidak bermata. Sungguh!

Ya Allah, ampuni dan lindungilah kami, dan kembalikan sejahtera untuk negara kami.