Saturday, November 04, 2023

Solidariti Palestine

Kami bersamamu, Palestine, Allahu Akbar!




Pada Rabu 1 November lepas, kami di SMKKC telah melancarkan Minggu Solidariti Palestine sebagaimana arahan pihak KPM. Antara tujuan minggu ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada murid tentang isu semasa yang sedang berlaku sekarang, selain mendoakan keamanan sejagat. Semoga Allah melindungi saudara-saudara kami di Palestine.

Monday, October 30, 2023

Di Kedai Makan

Selalu perut terasa lapar
tetapi aku malas memasak
badanku selalu penat
terutama pada hari kerja 
seperti hari ini

Tadi kami pulang hampir jam lima
badan lesu fikiran pun buntu
sebentar lagi aku kena gosok baju
lepas itu bersiap pula untuk ke rumah ibu

Aku penat
malasnya aku memasak
untuk makan malam

Abang, marilah kita ke kedai
beli nasi goreng

Mujur dia baik
selepas Maghrib kami ke kedai makan
bungkus nasi goreng
untuk makan malam ini

Sekian sajak serabut dariku

Saturday, October 28, 2023

Solat Hajat dan Jamuan

Pada Rabu 25 Oktober lepas, SMK Kampong Chengal mengadakan solat hajat perdana yang disertai seluruh warga Chengal dan diimamkan oleh Ustaz Asri.

Seterusnya pula, kami penerima APC berbesar hati untuk menaja satu jamuan ringan di bilik peperiksaan untuk semua warga Chengal. Menu ringkas kami ialah Mi Kari, Mihun Goreng, Lompat Tikam, kuih muih, jus kurma dan air oren.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tiada sebarang kesulitan melanda. Terima kasih semua warga Chengal, sudi hadir memeriahkan jamuan yang tidak seberapa ini.














Saturday, October 21, 2023

Sedikit Catatan

Alhamdulillah, saya telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 dan majlis diadakan pada 16 Oktober lepas di The Grand Renai Hotel, Kota Bharu.

Ini merupakan kali ketiga saya menerima APC sejak mula berkhidmat pada 1998. Kali pertama di SMK Kuala Krai (2004) dan kali kedua di SMK Kampong Chengal (2012).

Anugerah ini menjadi satu pemangkin untuk saya terus memberi khidmat yang terbaik sehingga ke hujung kerjaya.

Alhamdulillah.






Thursday, October 19, 2023

Bersalah

Sudah Khamis. Sepanjang minggu saya diulit kesibukan sehingga sering terlupa menghubungi Ma. Adik lelaki saya pula tinggal bersama Ma sejak beberapa bulan lalu, jadi saya berasa agak lega kerana Ma sudah ada teman di rumah. Ini membuatkan saya sedikit lalai untuk menghubungi Ma. 

Petang Ahad lalu saya singgah sebentar di rumah Ma, sempatlah berbual sekejap dan Ma kelihatan sihat. Biasalah, apabila ke sekolah, saya akan jadi leka dengan tugas. Pulang ke rumah saya akan sibuk pula dengan urusan kain baju dan memasak selain tidur dan rehat.

Ma, saya akan telefon selang dua hari tetapi entah kenapa minggu ini saya ralit. Sehinggalah petang tadi, saya tersedar yang sudah tiga hari saya tidak bertanya khabar Ma. Terus saya menekan nombor Ma, mulanya tidak berjawab tetapi kemudian Ma menelefon kembali.

Suara Ma kedengaran agak tenang, katanya baru lepas membakar sampah di belakang rumah. Kata Ma lagi, Rifqi tidak balik Johor minggu ini sebab esok dia mahu ke Golok menziarah ibu saudara kami yang sakit.

Ma tak ikut? Tanya saya. Tak, Ma tak larat, malam tadi Ma sakit perut. Demam juga dua hari, tapi hari ni dah baik.

Allahuakbar! Saya rasa dada saya seperti dihentak-hentak. Air mata saya terus berderai. Ma sakit tetapi saya tidak tahu, anak apa saya ini? Rasa sangat tidak berguna!

Ma terus bercerita, dan saya terus bertanya. Kenapa Ma tak beritahu Ma demam? Ma tak ajak Rifqi pergi klinik ke? 

Ma demam sikit saja, telan panadol Ma ok lah. Sakit perut pun dah kurang hari ni. 

Tuhan, kenapa saya leka dan lupa menghubungi Ma? Rasa bersalah ini seperti menyiat-nyiat jiwa saya.

Maafkan saya Ma, ikutkan hati saya mahu saja ke rumah Ma malam ini tetapi biarlah Ma rehat dan tidur. Saya tidak mahu ganggu. Pagi esok kita jumpa ya Ma!

Semoga Ma sentiasa dalam lindungan dan jagaan Allah setiap masa. Amin.

Juvana

Segalanya menjadi-jadi. Tahun ini saja sudah tiga kes di sekolah kami dalam siasatan polis. Buli, rogol dan scam. Allahuakbar!

Kes-kes ini melibatkan anak-anak murid kami yang baru berusia belasan tahun. Malah kes rogol itu berlaku antara pelaku yang berusia 14 dan 15 tahun. Saya mengurut dada mendengarnya. Sungguh menakutkan!

Persekitaran sekarang memang mengundang. Segalanya sangat mudah diteroka dek kecanggihan teknologi di hujung jari. Demi mendengar kes-kes sebegini, saya terbayang wajah-wajah suci anak-anak buah saya. Saya tidak dapat membayangkan jika mereka tergelincir, nauzubillah! Mohon Allah melindungi anak-anak kita dari segala gejala yang menakutkan.

Pagi ini, pihak sekolah telah menjemput seorang peguam hebat, En. Azeezi Nordin untuk menyampaikan ceramah berkaitan jenayah juvana. Ceramahnya sangat berkesan dan memberi banyak maklumat untuk kami warga SMK Kampong Chengal. Semoga ada kesedaran dalam kalangan murid-murid kami untuk sentiasa berhati-hati dalam pergaulan dan menjaga diri sehabis baik agar tidak terjebak dalam kancah kebinasaan.

Kepada Allah kami memohon perlindungan.





Sunday, October 15, 2023

Sebelum Senang

Selalu, mereka yang berjaya akan bercerita tentang keperitan hidup masa lalu yang membawa mereka kepada kejayaan hari ini. Selalu, kesusahan yang mereka lalui itu menjadi mangkin untuk terus berusaha melawan kemiskinan.

Selalu, begitulah. Beruntunglah mereka kerana telah mampu mengubah hidup susah menjadi senang. Syukurlah kerana mereka mampu memberi kelegaan buat keluarga yang dahulu bersusah payah membanting tulang mengais rezeki.

Syukur.

Dan apabila sudah senang, mereka membina keluarga, membesarkan anak-anak dalam lega dan lapang. Dan anak-anak mereka tidak melalui jalan perit seperti mereka.

Apakah anak-anak mereka mengerti kesusahan lalu?

Saya pernah terbaca kata-kata ini - zaman sekarang ialah zaman anak-anak hidup lebih susah daripada ibu bapanya. Seperti ada benarnya.

Memerhati sekitar, saya nampak ia berlaku begitu. Ibu bapa sampai tua masih menyara anak-anak yang tidak bekerja. Entah di mana silapnya, anak-anak menjadi begitu manja dan terlalu bergantung pada ibu bapa. Bukan tiada kerja untuk mereka tetapi mereka menjadi pemilih. Kerja yang tidak seronok dan agak mencabar, akan mereka tinggalkan dan pulang menganggur di rumah. 

Mungkin benar juga, kehidupan yang senang sejak kecil menjadikan daya tahan anak-anak kita begitu rendah. Mudah punah. Senang kata, manja. Apa tidaknya, dari kecil dimudahkan segala. Ibu bapa menjadi terlalu melindungi sehingga anak-anak mahu pulang ke kampus menaiki bas malam pun tidak dibenarkan. Ibu bapa rela mengambil cuti dan menghantar anak-anak setiap kali semester baru bermula. Bagaimana anak tidak menjadi manja? Berdikari apatah lagi!

Wang ringgit pula seperti air mengalir, asal mahu saja boleh minta. Anak-anak tidak pernah berasa susahnya hidup tanpa wang. 

Kadang-kadang, sedikit cabaran perlu direntang di hadapan jalan anak-anak kita agar mereka faham kenyataan sebuah kehidupan. Biar ada liku yang akan mengganggu sedikit kelancaran perjalanan mereka, agar mereka tahu bersedia. 

Friday, October 13, 2023

Demam

Rabu 11 Oktober, kami ke sekolah seperti biasa. Dalam kereta, suami saya memberitahu dia rasa sakit kepala. Mungkin sebab dia batuk agak kuat sehari dua ini.

Di sekolah, dia semakin tidak selesa. Dua biji panadol ditelan, mengharap kelegaan. Pulang ke rumah saya meminta dia berehat. Tetapi selepas Asar dia keluar juga ke rumah mek, menjenguk mek yang masih sakit.

Pulang ke rumah, dia kelihatan semakin letih. Batuk dan badannya panas. Risau pula saya kalau melarat. Malam itu kami ke klinik dan doktor memberi cuti sakit untuk esok.

Khamis 12 Oktober, selepas menghantar saya ke sekolah pada pagi itu, dia pulang berehat di rumah. Dua kali saya menghubunginya bertanya khabar. Katanya badan masih panas dan tidak lalu makan. Pun dia tetap keluar menjemput saya pulang dari sekolah.

Saya memeriksa suhu badannya, sangat tinggi - 39.3 darjah. Makin risau saya. Selepas menelan dua biji panadol, saya lap badan dan dahinya dengan kain tuala basah. Hati saya sayu benar melihat keadaan dia begini. Rasa bersalah pula membiarkan dia memandu mengambil saya di sekolah pada hal saya boleh saja pulang sendiri.

Sebak, mengalir air mata saya melihat keadaan suami saya begini. Doa mencurah-curah untuknya, semoga Allah memberi kesembuhan.

Menjelang malam, panas badannya berkurang. Alhamdulillah. Dan dia dapat tidur lena sehingga pagi.

Jumaat 13 Oktober, saya memasak sarapan nasi lemak. Suami saya tidak begitu berselera, tidak habis pun sepinggan. Panas badannya sudah berkurang tetapi masih belum kebah.

Kami keluar juga sebentar pada jam 9.30 pagi menziarah mek, dan saya sempat ke rumah ma sekejap. Maaf ma, tak boleh berlama-lama. Seterusnya kami pulang ke rumah kami semula pada jam 10.30 pagi. Suami saya menyambung rehat sehingga waktu solat Jumaat.

Untuk makan tengah hari saya sediakan ikan singgang dan ayam goreng sahaja. Suami saya masih tidak berselera, pahit mulut katanya.

Semoga cepatlah sembuh suamiku!

Sent from my iPhone

Act of Kindness

Tahun 1998, saya dihantar mengajar di SMK Mahmud, Raub manakala suami saya di SMU(A) Rahmaniah, Kuala Krai. Kami menyewa rumah di Taman Orkid di hadapan Sekolah Menengah Teknik.

Hari pertama saya ditinggal suami, sedih di hati tidak terkira. Maklumlah, pengantin baru tiba-tiba kena berpisah. Tetapi bukan tentang itu saya mahu kisahkan kali ini. Ia kisah tentang Act of Kindness.

Setiap hujung minggu, saya akan pulang ke Kuala Krai. Selalunya saya menumpang van Cikgu Aziz, tetapi pada suatu minggu itu, dia tidak pulang jadi saya membeli tiket bas. Itu kali pertama saya menaiki bas dari Raub. Bas itu menuju ke Kota Bharu jadi saya perlu meminta pemandunya menurunkan saya di Kuala Krai kerana suami saya menunggu di situ, di hadapan Sekolah Menengah Teknik.

Sebaik menaiki bas, saya terus memberitahu pakcik yang memandu itu, saya mahu turun di Kuala Krai. Boleh, tetapi nanti bila dah nak sampai kena beritahu pula ya, takut pakcik lupa. Baik pakcik.

Perjalanan waktu malam tentunya melelapkan mata saya. Saya sudah cukup berhati-hati agar setiba di tempat itu nanti, saya akan bersedia untuk memberitahu pemandu saya mahu turun.

Tetapi apa daya saya, saya tertidur. Bila terjaga, saya jadi terkejut dan tidak pasti sudah di mana bas itu berada. Waktu itu jam sekitar 5 pagi. Terus saya menuju ke tempat pemandu dan bertanya, "Pakcik, kita dah kat mana ni?"

"Kuala Krai," jawabnya.

"Saya nak turun kat Sekolah Teknik," ujar saya.

"Dah lepas!" Jawabnya.

Hah! Saya terkejut betul. Macam mana ni? Kalau turun di Kota Bharu, jauh. Lagi pun macam mana nak hubungi suami saya suruh ambil saya di sana? Rumah kami tiada telefon, apatah lagi telefon tangan.

"Pakcik, tak boleh ke pusing balik?" Saya merayu. 

"Mana boleh!" 

"Kalau gitu saya turun sini je lah, boleh kan?" Dengan beraninya saya memperjudikan nasib. 

"Eh, gelap macam ni, sorang-sorang, bahaya! Turun KB je lah, suruh orang datang ambil kat sana."

"Tak boleh, rumah saya takde telefon..." Nada suara saya sudah seperti mahu menangis.

Pakcik itu wajahnya serius, tetapi hatinya mungkin terkesan dengan nasib saya. Lalu dia berpatah balik membawa saya ke tempat saya mahu turun. 

"Tak pernah dibuat orang, patah balik macam ni," katanya. Memang dia seperti agak marah, tetapi saya tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepadanya. Penumpang-penumpang lain semuanya tengah nyenyak tidur jadi mereka tidak perasan pun bas itu berpatah balik untuk menghantar saya. 

Suami saya sedang menunggu saya di dalam kereta Nissan Bluebird BCD9168 nya dan bersyukur melihat saya turun dengan selamat. 

Sehingga hari ini, saya benar-benar terhutang budi dengan pakcik itu. Setiap kali saya teringat kisah ini, saya akan mengirim doa agar Allah memudahkan urusan pakcik itu walau di mana dia berada. Ya, sejak lama saya mendoakannya kerana budinya kepada saya sangat besar. Bayangkan kalau dia menurunkan saya dalam gelap malam, akan bagaimanakah saya? Atau dia meneruskan perjalanan ke KB tanpa menghiraukan permintaan saya, akan risaulah suami saya menanti isterinya tak sampai-sampai!

Semuanya ketetapan Allah, dan saya akan terus mendoakan pakcik itu dan seluruh ahli keluarganya dirahmati Allah selalu.

Ustazah

"Assalamualaikum Puan," sapa saya sebaik melangkah masuk ke bilik Puan Pengetua yang baru melapor diri di sekolah kami. Dia menjawab salam saya dan mempelawa saya duduk.

Manis dan ramah orangnya.

Saya menghulur dokumen Analisis Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan Lima kepadanya. Dokumen yang perlu dia telaah sebelum berlangsung mesyuarat Pasca Nilai petang nanti.

Dia membelek dokumen itu dan bertanya saya beberapa perkara. Saya memberi sedikit penerangan tentang isi dokumen itu. Tentang target, tentang pencapaian semasa dan beberapa perkara lagi.

"Tetapi Puan, mesyuarat petang nanti saya tak masuk," maklum saya kepadanya.

"Kenapa pula? Siapa nanti yang akan bentangkan analisis ini?" Tanyanya.

"Saya tidak mengajar Tingkatan Lima tahun ini Puan. Jadi saya tak masuklah. Analisis ni PKP yang bentang nanti."

"Ooo.. Ti ajar subjek apa? Ustazah ke?" Tanyanya lagi.

"Tak, saya ajar Add Maths."

Begitulah. 

Sejak lama, saya sentiasa disangka ustazah. Jika sebelum tahun 2009, memang saya bertudung labuh. Tetapi sejak datang ke SMK Kampong Chengal, saya menukar penampilan saya dan tidak lagi bertudung labuh. Saya mengenakan tudung bawal bidang 60" dengan gaya kontemporari. Dan akhir-akhir ini saya gemar memakai selendang (shawl) sahaja yang lebih mudah dan selesa. Jika santai-santai, saya cuma memakai tudung sarung saiz XL atau L. Ya, masih lagi labuh dan besar tudung saya itu tetapi tidaklah selabuh dahulu.

Pun, dengan stail begitu pun saya tetap disapa ustazah. Assalamualaikum ustazah itu biasa saya terima walaupun di tangan saya ketika itu ialah buku teks Matematik Tambahan.

Aura, mungkin. Apa pun, saya terima ia sebagai satu penghormatan.

Saturday, October 07, 2023

Pengetua Baru


Selepas tiga bulan menanti, akhirnya SMK Kampong Chengal menerima Pengetua baru secara rasmi pada 2 Oktober baru-baru ini. Alhamdulillah.

Selamat datang dan selamat bertugas diucapkan kepada Puan Hjh Azizah binti Abdullah. Semoga Puan dapat menerima segala kekuatan dan kelemahan sekolah ini dan kami akan memberi kerjasama sebaik-baiknya demi kemenjadian murid-murid yang dikasihi.

Kami berharap agar ada sinar baru yang menceriakan suasana dan menggembirakan warga dengan kehadiran Puan. Amin.

Wednesday, October 04, 2023

Kalkulator




Semalam saya diarahkan hadir ke bengkel penggunaan kalkulator Casio Classwiz anjuran PPDKB dan Casio. 

Saya ini, bila terima arahan, tiadalah mahu berbasa-basi, pergi sajalah. Tetapi jauh nun di sudut hati saya yang paling dalam saya tertanya-tanya, kenapa saya, tiada orang lainkah?

Bukan apa, kalau tentang kalkulator, saya sudah cekap. Bagilah kalkulator model mana pun, saya boleh guna. Saya tidak perlu hadir bengkel pun sebab semua itu saya boleh teroka sendiri. Google ada, Youtube ada. Dan semua pun tahu "kelebihan" saya ini.

Peliknya, nama saya yang naik untuk menghadiri bengkel begini. Kenapa tidak Marina, atau Ramli, atau Rusok, atau guru Matematik lain yang masih tidak cekap menggunakan kalkulator? Pun, saya tidak pula mahu bersuara. Saya hadir saja.

Sesungguhnya, kebosananlah yang saya rasai sepanjang bengkel itu. Saya diajar benda-benda yang saya sudah tahu, dan kalau yang saya belum tahu pun, saya pasti saya boleh tahu apabila saya mencari. Betul, saya bosan sungguh sepanjang bengkel itu semalam. Menguap. Hampir tertidur!

Pada hal, jika saya di sekolah, banyak yang saya boleh siapkan. Saya boleh cetak analisis dan slip peperiksaan yang belum selesai lagi itu. Juga tidaklah saya meninggalkan Laili kepeningan menyediakan relief yang sangat sukar semalam kerana ada program Temu Murni Tingkatan 5. Kasihan Laili. Juga, kelas Matematik Tambahan tingkatan 4 terlepas begitu sahaja sedangkan saya sudah kesuntukan masa untuk menghabiskan sukatan.

Tetapi begitulah. Mereka memilih saya untuk ke sana, entah atas dasar apa.

Sekadar luahan.

Wednesday, September 27, 2023

Hidup Ini Keras

Selagi ada nyawa di badan, selagi itu kita harus berjuang. Hidup bukan hanya keras dari satu segi, tetapi bersegi-segi.

Hari ini saya tidak teruji dengan kerasnya hidup tanpa wang. Alhamdulillah saya sentiasa diberi penyelesaian dari segi ini dan punya upaya yang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia fana ini. Pun, bukanlah saya tidak diuji langsung dengannya, cuma seginya berbeza.

Dek saya terlihat lapang selalu dan punya upaya yang luas dalam berbelanja, maka saya didatangi orang-orang yang meminta bantuan. Bukan ramai, tetapi ada.

Seorang itu (bukan guru), terjebak meminta bantuan saya sejak beberapa bulan lalu. Awalnya dia hanya meminta saya membuat pindahan sejumlah wang ke akaun rakannya dan dia membayar saya waktu itu juga. Ok. Selesai.

Ingatkan sekali itulah, tetapi pada minggu hadapannya dia meminta saya melakukan lagi perkara sama, dan dia membayar semerta. Ok. Selesai.

Katanya dia tiada perbankan internet. Mahu ke ATM jauh pula. 

Minggu seterusnya, dia meminta bantuan begitu lagi, tetapi kali ini tanpa membayar semerta. Esok ya Ti, katanya. Ok. Saya percaya.

Rupanya bila kita memudahkan urusan dia, maka dia mengambil kesempatan. Bayaran menjadi semakin tertangguh dan ada kalanya dibayar beransur. Eh?

Tetapi mengapa saya terus menerus membantu dia? Kerana pada saya, itu satu khidmat yang boleh saya beri kepada seorang yang memerlukan. Memang dia semakin lewat membayar, tetapi setakat ini dia tidak pernah lupa.

Oh ya, bayaran apa sebenarnya itu? Katanya dia berhutang sebanyak RM15K dengan seorang rakan sewaktu mahu memulakan perniagaan pada Mac lalu dan berjanji membayar secara mingguan. Jadi setiap minggu dia perlu membayar RM1K dan akan selesai pada hujung September ini.

Jadi, minggu ini mungkin yang terakhirlah saya membuat pindahan wang untuknya. Dia baru membayar separuh, mungkin separuh lagi akan dijelaskan minggu depan. Saya menanti.

Kisah kedua, seorang guru muda yang sering kesempitan wang. Tadi dia memohon pinjaman dari saya sebanyak RM1K (sahaja) dan berjanji untuk membayar ansuran 200 sebulan. Ini kali ketiga dia meminjam dari saya. Sebelum ini rekodnya baik - membayar dengan berdisiplin - jadi kali ini saya membantu lagi. Mengalir air matanya saat menerima wang daripada saya.

Begitulah. Kerasnya hidup mereka, saya turut ditempiaskan. Tetapi tidak mengapa. Saya yakin, Allah tidak marah dengan apa yang saya lakukan. Saya ingin membantu. Itu sahaja.




Monday, September 18, 2023

Buah Dokong

Buah dokong sangatlah saya suka. Saya boleh makan dengan banyak terutama jika ia manis dan segar. Lazatnya tidak terkira. Berbanding rambutan dan manggis, buah dokong lebih saya gemari.

Sekarang musim buah dokong. Pokok dokong yang suami saya tanam pada 1997 dulu di sekitar rumah emaknya sedang berbuah dengan lebat sekali. Pada Sabtu lalu, suami saya mengupah orang memanjat pokok-pokok itu dan buah-buahnya dibahagi-bahagikan kepada jiran tetangga, masjid dan surau.

Seronok sekali saya menikmati buah ini. Siang, malam, pagi, petang saya asyik memakannya. Kata orang, jangan makan banyak sangat nanti sakit urat.

Hari ini, badan saya memang sakit-sakit. Rasa lenguh atas belakang sejak malam tadi lagi. Kalau ada orang picit-picitkan belakang saya ini tentu sedap. Mungkin dokonglah puncanya.

Tapi tidak mengapa, setakat sakit begini saya masih boleh bertahan. Bukanlah teruk sangat, hanya lenguh-lenguh saja. Saya sudah minta suami saya dapatkan lagi buah dokong untuk saya bawa ke sekolah dan berkongsi kelazatannya dengan rakan-rakan saya. Suami saya setuju saja. Terima kasih.

Sunday, September 17, 2023

Peribadi

Melihat pelbagai situasi di sekitar, saya sentiasa mengaitkan dengan apa yang saya ada. Walaupun terlalu banyak yang saya tidak punya, saya mahu bersyukur dengan segala kurnia.

Semalam, seseorang telah mengucapkan kata-kata ini kepada saya dan suami,

"Jadinya, kamu berdua ni memang kesudahannya tiada zuriatlah ya?"

Tidak pula saya tahu kenapa kata-kata sebegitu diaju kepada kami. Jika dia bertanya, jawapan sudah dia tahu. Mungkin sekadar mahu mengisi perbualan walaupun banyak lagi isu lain yang boleh dibincang.

Saya tidak mahu isu tiada zuriat ini berlanjutan. Saya tahu bagi sesetengah manusia, tiada zuriat itu adalah sesuatu yang sangat malang. Mereka akan menggeleng-geleng kepala sambil berkata "kasihan" dalam nada sedih sambil memandang kami. Kasihan apa?

Jawapan saya kepada orang yang bertanya itu ialah, "Alhamdulillah, hok Tuhan bagi tu hok molek doh untuk kami," beriring senyum seindah suria.

Dia menyambung lagi dengan pertanyaan, "Tak ambil anak saudara ke untuk dijaga?"

Suami saya memberi jawapan kepadanya, dan saya malas masuk campur.

Sebetulnya saya tidak berasa hati pun, cuma hairan dengan manusia yang bertanya-tanya tentang situasi kami yang tiada zuriat ini. Demi Allah, saya tidak pernah mahu menyibuk dengan hal peribadi orang lain. Saya tidak pernah bertanya lebih-lebih tentang kehidupan orang lain yang tiada kena mengena dengan saya. Lambat kahwinkah, berceraikah, tiada anakkah, tiada kerjakah, gagal universitikah, belum gradkah, dimadukankah, semua itu bukan urusan saya dan tidak perlu pun saya tahu kenapa dan mengapa.

Jadi mengapa orang lain begitu kisah dengan hal saya? Tidak bolehkah kita berbual tentang makanan seimbang untuk elak penyakit, atau cara-cara nak mendidik anak pada zaman sekarang atau tentang kaedah berjimat cermat pada zaman madani ini? Itu lebih memberi jiwa dan tidak menyentuh peribadi orang!

Tetapi begitulah masyarakat kita. Semakin personal sesuatu perkara itu, semakin suka dikorek-korek. Teruk betul!


Friday, September 15, 2023

Apa Pun

Apa pun adanya, waktu tidak pernah akan berhenti. Aku berlari atau aku berdiam, waktu tetap berlalu pergi meninggalkan aku. Tidak sekali-kali ia menunggu.

Akulah yang ditinggalkan waktu lantaran langkahku yang kerap tersadung.

Dan di sisi aku hanyalah ada rindu. Rindu pada putaran waktu yang tidak mungkin akan kembali menemuiku.

Begitulah aku mengulang rasa di dada, sehingga sampai ke saat aku pula meninggalkan waktu, dan semua yang ada, untuk pulang menemui-Nya.

Thursday, September 14, 2023

Menemani

Malam ini sudah sebelas malam saya tidur di rumah mek, menemani mek yang sakit. Suami saya tidur di luar, bersebelahan mek dan saya tidur di bilik.

Mek patah tulang paha kerana jatuh pada petang Isnin minggu lepas. Semua anak mek yang ada mengambil giliran menjaga mek. Saya dan suami memilih shift malam kerana siang hari kami berdua bekerja.

Menjaga mek pada waktu malam agak mencabar bagi suami saya. Apabila mek terjaga, suami saya akan turut terjaga dan bertanya apa mek mahu. Kadang-kadang mek haus, suami saya ambilkan air. Ada kala mek kesakitan, suami saya akan mengurut-urut perlahan dan menyapu minyak. Tidur suami saya tidak begitu sempurna sejak mek sakit.

Saya? Saya mampu tidur dengan baik di bilik yang selesa. Suami saya tidak pernah lagi mengejutkan saya di tengah malam, hanya dia yang mengurus mek bila mek memerlukan. Saya dibiar tidur lena setiap malam.

Begitulah, suami saya sedang melaksanakan tanggungjawabnya kepada dua orang wanita penting dalam hidupnya - ibu dan isteri. Semoga Allah mengganjari suami saya dengan sebaik-baik ganjaran. Dan semoga mek cepat sembuh. Amin.

Sunday, September 03, 2023

Adik Ipar Baru

Adik bongsu suami saya selamat melangsungkan pernikahan pada Sabtu semalam, bersama jejaka pilihan hatinya yang berasal dari Kamunting, Perak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan cuaca begitu baik sekali, seakan turut mensyukuri rahmat Allah ini.

Norhafizah, puteri bongsu yang lahir pada 25 Oktober 1979 ini seorang gadis yang pendiam dan perahsia orangnya. Tidak banyak yang saya tahu tentang isi hatinya, kerana kami tidak pernah berbicara tentang perkara-perkara peribadi. Mungkin sebagai kakak ipar, saya terlalu berhati-hati dengannya dan dia juga tidak begitu mahu berkongsi cerita. Apa pun, sebagai seorang lulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa, dia tentunya punya kematangan dan kebijaksanaan dalam mengemudi kehidupannya.

Jodoh itu rahsia Tuhan. Apabila waktunya tiba, segalanya akan dipermudah. Begitulah. Sejak lama, sudah beberapa kali tiba lamaran tetapi dia sering menolak. Kali ini jejaka tampan kelahiran Perak itu berjaya membuka hati Norhafizah untuk memikul peranan sebagai seorang isteri.

Selepas mengikat tali pertunangan selama lebih kurang tiga bulan, akhirnya mereka disatukan dalam majlis serba sederhana semalam. Dengan sekali lafaz, mereka sah bernikah pada jam 11:45 pagi di masjid Ar-Rahman Batu 8.

Sebagai kakak ipar yang melihat perjalanan hidupnya, saya yakin Norhafizah bakal menjadi isteri setia yang solehah. Doa saya, semoga rumahtangga mereka damai dan sejahtera, dan dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri jiwa.

Tahniah dik, doa kakak sentiasa mengiringi perjalananmu.



Friday, September 01, 2023

Nasi Goreng Ma

Apabila suami saya ada jemputan, saya akan mula mencari menu yang mudah dan sedap untuk diri sendiri. Seperti hari ini, suami saya akan menghadiri kenduri sebaik usai solat Jumaat, jadi saya hanya perlu memasak untuk saya seorang sahaja.
Tentunya saya akan memasak sesuatu yang enak di lidah saya tanpa perlu memikir lidah suami. Wah!

Teringat pada nasi goreng Ma, yang selalu ma buat waktu saya kecil dahulu. Ok, itulah menu saya hari ini.

Sebaik suami saya turun ke masjid, saya pun bergerak ke dapur. Nasi saya jerang dahulu dan saya guna air panas supaya nasi cepat masak. Nasi dari beras cap serindit ni boleh je digoreng panas-panas, sebab ia tidak lembik. Sejukkan beberapa minit saja dah cukup.

Seterusnya saya potong ayam, sotong dan kacang buncis. Untuk rencah, saya guna tiga biji lada kering, seulas bawang putih dan dua ulas bawang merah. Semuanya ditumbuk dengan lesung batu dicampur sedikit garam supaya cepat lumat. Tak maulah kisar, nanti rasanya tak sama dengan nasi goreng ma dulu.

Sementara nasi masak, saya solat Zohor dulu. (Eh, kena beritahu jugak ke?)

Saya panaskan minyak dalam kuali, dan tumis bahan tumbuk tadi sehingga wangi. Kemudian saya masukkan isi ayam dan sotong, kacau-kacau sampai masak. Saya masukkan juga kicap dan sos ikan. Seterusnya saya masukkan kacang buncis dan nasi, dan kacau sehingga mesra semuanya. Saya tutup api, sendukkan ke dalam pinggan dan bawa ke bilik untuk dinikmati. Makan di bilik lebih selesa sebab ada air-cond, kat dapur panas.

Alhamdulillah, rasanya sangatlah sedap dan membangkit nostalgia hampir 40 tahun dahulu, sewaktu ma mengajar saya resipi nasi goreng ini.

Terima kasih ma. Inilah nasi goreng tersedap dalam hidup saya.


Wednesday, August 30, 2023

Kuasa Media

KUASA MEDIA 

Pujangga menyebut:

"Whoever controls media, controls the mind" 

Zaman 22 tahun, hampir semua media UMNO kuasai. Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan News Straits Times. RTM usah cerita la, media Kerajaan. Sekali TV3 pun depa sapu. 

Yang tinggal hanya Harakah di situ. Kena bagi lah akhbar Pembangkang seketul. Takde la nampak sangat cengkaman bersuara itu. 

Akibatnya, kebanyakan rakyat pajak otak kepada parti dan pemimpin. Kita tak paham dan tak diberitahu, ada garis membezakan Negara, Kerajaan dan Parti. Depa dok ajar semuanya sama. Tak sokong parti mereka sama dengan tak sokong Kerajaan dan negara. 

Sejak sekian lama, mereka dapat undi 2/3. Tambah dengan ada ISA, pantang orang bersuara sikit semua ke Kemunting. Kerajaan nampak bersih dan toyibban sepanjang masa. Apa saja perkara buruk digelapkan dari pandangan kita. 

Propagandist ditempatkan di syarikat akhbar dan media utama. Kerja mereka mencorak pemikiran kita semua. 

Sampai lah zaman media baru. Zaman internet dan blog. Orang dapat berita bukan di TV dan akhbar lagi. Banyak berita dalam talian yang jadi alternatif. Sampai tercetuslah gerakan Reformasi. 

Kena ingat, tahun 2008, Pakatan Rakyat menang 58% undi Melayu. Tahun 2018, Kerajaan Parti Keramat tumbang dan kalah kebanyakan kerusi. 

Bukan sebab apa. Sebab Kerajaan hilang kuasa media. Orang tak percaya kata mereka. 

Sekarang, Indeks kebebasan Media kita antara terbaik di Asia. Tahun ini naik 40 anak tangga. Nombor satu di ASEAN. Menteri punyalah bangga. 

Namun, pada saya kebebasan bersuara kena juga datang dengan kematangan politik orang kita. Kalau semua bebas bersuara tapi semuanya fitnah dan bohong belaka, tambah main isu 3R senantiasa. Yang  orang kita dok telan sahaja, jadi stabil kah negara? 

Kalau dulu, cerita Gerakan bantah program hadis di sekolah akan jadi isu front page! Zaman 22 tahun, ini yang dibuat ke atas DAP. Akan berterusan jadi boogeyman Melayu. 

Tapi zaman Kerajaan Reformasi ini, akhbar membisu. Takde pula dimainkan sentimen Melayu Islam itu. 

Itu bezanya sekarang dan dulu. 

Again, 

"He who controls media, controls the mind of the people"

Kerajaan tak perlu jadi diktator seperti zaman 22 tahun. Cukup buat kawalan sederhana, untuk kestabilan negara. Perlu bagi juga ruang untuk Pembangkang dan kami mengkritik secara membina. 

Tapi kalau jenis suka kebebasan bersuara secara total, bila orang Malaysia tak bersedia, banyak yang suka pajak minda, jangan la melompat kalau sepenggal sahaja. 

Salam hormat,
Liyana Marzuki