Saturday, November 07, 2009

Sejukkkkkk......

Musim tengkujuh tiba lagi. Saya sentiasa gemarkan musim ini kerana suasananya sejuk, nyaman dan tenang. Tetapi kasihan pula kepada mereka yang terlibat banjir, kerana bukan sesuatu yang menyeronokkan untuk berpindah randah. Setakat hari ini, sudah ada pusat pemindahan banjir dibuka kerana hujan yang turun tanpa henti sejak seminggu lalu sudah mula melimpahkan air sungai Kelantan.

Teringat musim banjir sewaktu di asrama, 20 tahun yang lalu. Hujan lebat sedikit pun tidak meresahkan kerana setiap jalan yang kami lalui - dari asrama ke kelas, ke dewan makan atau ke surau - semua berbumbung, maka tiada payung diperlukan, tetapi asrama kami pernah dinaiki air sehingga ke tangga, dan kami terpaksa mengharung air untuk ke dewan makan. Mujurlah ia berlaku pada hari minggu. Jika tidak sukar juga untuk mengharung air dengan pakaian sekolah!

Apabila air sudah mengelilingi kami, maka akan wujud pelbagai idea bukan-bukan terutama dalam kalangan pelajar putera. Bayangkan, mereka mengutip udang-udang kecil dan memasukkannya ke dalam mi segera sebagai penyedap rasa! Boleh pula tekak mereka menerima udang-udang tersebut ya!

Saya teringat sebuah lagu dendangan Allahyarham Zubir Ali dan kumpulan Harmoni yang dirakam sekitar tahun 80-an. Lagu puisi itu menceritakan nasib nelayan pada musim tengkujuh. Indah sekali melodi dan liriknya, tetapi saya lupa tajuknya.

Ini liriknya.

Wajah laut dan perahu tua
Adalah rakan setia hidupku
Aku yang sentiasa
Merindukan senyum
Dan tawa anak isteriku

Ombak laut Cina Selatan
Adalah suara tangisan ku
Sorang nelayan kecil
Memperjudikan hidup
Bersama doa dibibir gersang

Ikan dan camar lebih mengerti
Tragedi hidup kami
Dari mereka yang berjanji
Dengan kata bak puisi

Laut ngeri di bulan Disember
Adakalanya lebih simpati
Kerana mengambil diri
Dan melimpahkan rezki
Serentak pada hidup kami

Tiap subuh pantai berselimut sepi
Menanti berita kematian
Dari saujana lautan


No comments:

Post a Comment