Esok, 18hb November 2009 akan bermulalah peperiksaan SPM, dimulakan dengan kertas Bahasa Melayu.
Tahun ini saya hanya mengajar satu kelas tingkatan lima sahaja. Itu pun mata pelajaran Matematik, bukan Matematik Tambahan seperti selalunya. Apa pun mata pelajaran yang saya ajar, saya pastikan saya buat sehabis baik dan sedaya upaya demi membantu pelajar-pelajar saya mencapai kecemerlangan.
Bagi pelajar-pelajar aliran Sains, mata pelajaran Matematik bukanlah dianggap 'killer subject' malahan mata pelajaran ini antara yang paling mudah sebenarnya. Mereka lebih memberi tumpuan kepada mata pelajaran seperti Fizik, Kimia, Biologi, dan Matematik Tambahan yang lebih susah. Maka beruntunglah saya mengajar Matematik, kerana pelajar-pelajar telah memiliki kemampuan untuk 'score' mata pelajaran ini, walaupun hakikatnya masih ada segelintir yang perlu dibimbing. Setiap tahun, jika dianalisis keputusan peperiksaan SPM, maka akan nampak sangat jelaslah bilangan pelajar mendapat A bagi Matematik mengatasi mata pelajaran lain. Memang nyata, Matematik SPM sekarang amat mudah.
Teringat kisah sewaktu saya belajar dahulu. Dari tingkatan satu, malahan dari sekolah rendah lagi mata pelajaran yang saya gemari hanya satu - Matematik. Bagi saya inilah mata pelajaran yang paling senang dan seronok dipelajari. Saya tidak perlu bersengkang mata mentelaah, cuma memberi tumpuan sewaktu guru mengajar hingga faham sepenuhnya dan teruskan dengan membuat latihan. 'Nikmat'nya membuat latihan Matematik bagai satu terapi buat saya. Tiada satu mata pelajaran pun boleh menandingi kenikmatan belajar Matematik (juga Matematik Tambahan).
Waktu itu, saya paling tidak suka mata pelajaran Geografi. Pada saya, ia tidak menarik dan saya malas membaca buku teksnya. Teruk, kan?
Apabila saya melangkah ke tingkatan empat, saya jatuh cinta dengan Matematik Tambahan sehinggakan saya abaikan mata pelajaran lain. Itulah sahaja mata pelajaran yang saya 'hadap' setiap hari tanpa jemu. Kimia? Fizik? Saya rasa pening bila memikirkannya! Malah Matematik juga saya ambil lewa kerana ia tidak mencabar langsung!
Kesannya, dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan empat, saya amat cemerlang dalam Matematik Tambahan, tetapi mata pelajaran lain cuma cukup-cukup makan sahaja. Tetapi entah mengapa nama saya tersenarai dalam kelas pelajar cemerlang di tingkatan lima. Saya rasa nak pengsan bila nampak nama saya berada sebaris dengan 24 orang pelajar lain yang memang cemerlang habis-habisan! Bila saya tanya cikgu, rupanya mereka menyusun kelas hanya berpandukan markah Matematik Tambahan tanpa mengambil kira mata pelajaran lain. Pada pandangan mereka, pelajar yang bijak Matematik Tambahan ialah pelajar yang cemerlang dan boleh dilentur dengan mudah untuk mata pelajaran lain. Saya kelu seketika.... Bukan apa, saya takut sebab bakal dikelilingi pelajar-pelajar hebat seperti Fadzli, Juli, Zamzila, Azni dan Maizan. Kerdilnya rasa diriku waktu itu! Apatah lagi sahabat-sahabat baik saya semua di kelas lain. Lagilah saya rasa risau, macam mana saya nak belajar dalam kelas yang dipenuhi kawan-kawan baru ini?
Rupanya hikmah yang tersembunyi sangat besar. Dengan berada di dalam kelas golongan 'elit' ini, saya mula berubah. Saya tingkatkan 'darjah kerajinan' saya dan cuba untuk bersaing dalam mata pelajaran lain juga. Kelas saya mendapat guru-guru yang hebat-hebat belaka. Cikgu Zawawi Ahmad (Matematik Tambahan), Cikgu Mek Eshah Awang (Matematik), Cikgu Mohd Noor Che Lah (B. Melayu), Cikgu Zuraida Zakaria (English), Ustaz Yusoff Salleh(PAI), Cikgu Ahmad Zaki Esa (Sejarah), Cikgu Siti Fatimah (Biologi), Cikgu Yusof Ahmad(Kimia) dan Cikgu Ahmad Kamal Abu Bakar (Fizik). Dengan bantuan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik kami, maka saya dapatlah menduduki SPM dengan jiwa yang tenang dan tenteram, dengan penuh keyakinan. Terima kasih guru-guruku....
Esok, perasaan yang bagaimanakah bakal dirasai oleh anak-anak murid saya? Baru tadi salah seorang daripada mereka memberitahu, "Cikgu, saya rasa berdebar. Tak boleh nak study..". Saya cuma meminta agar mereka jangan rasa tertekan dan tenangkan jiwa. Harap-harap mereka akan dapat menduduki peperiksaan yang sangat penting ini dengan dada yang lapang. Insya Allah!
No comments:
Post a Comment