Sunday, November 15, 2009

Anak emak, anak ayah


Jam menghampiri dua petang. Saya baru selesai mengawas peperiksaan di kelas tingkatan satu yang terletak di aras tiga bangunan. Entah kenapa hati saya terasa hendak turun melalui tangga hujung bangunan dan melintasi kelas-kelas kosong di aras satu. Tiada apa-apa niat di hati, sekadar ingin melihat-lihat suasana sahaja, sementelahan pula sudah hampir sebulan kelas-kelas itu kosong kerana pelajar-pelajar tingkatan tiga tidak lagi menggunakan kelas sebaik tamat PMR baru-baru ini.


Dari jauh saya bagai ternampak kelibat manusia di dalam salah satu kelas kosong tersebut. Saya menjenguk melalui tingkap yang terbuka, dan saya dapati ada dua pasangan ‘kekasih’ sedang ber’dating’. Seorang pelajar lelaki tingkatan empat yang saya cukup kenal kerana saya mengajar kelasnya sedang ber’dating’ dengan pelajar perempuan tingkatan tiga. Satu lagi pasangan ialah pelajar lelaki tingkatan lima yang akan menduduki SPM tiga hari sahaja lagi, dengan teman wanitanya yang saya kurang pasti dari tingkatan berapa.


Hati saya rasa terbakar. Saya melontarkan suara yang agak kuat, meminta mereka segera keluar. Pelajar lelaki tingkatan lima itu dengan selamba menjawab, “release tension, cikgu!” tanpa ada rasa bersalah sedikit pun. Saya makin sakit hati.


“Kamu buat perkara tak baik macam ni, ingat mak bapak kamu kat rumah tu suka sangat ke?”

Mereka masih tidak berganjak, dan menjawab lagi, “Alah cikgu, kami jauh ni, bukan rapat!” sambil mengisyaratkan pada ruang antara mereka yang sejarak tak sampai dua kaki pun!

“Kalau dah benda tak baik, tak baik jugalah..! Cepat keluar!” Belum sempat banyak lagi leteran saya hamburkan, guru disiplin rupanya sudah berada di belakang saya. “Ada apa cikgu?” Guru itu bertanya.

“Ni hah! Dua pasangan kekasih sedang ber’dating’”, jawab saya dan terus berlalu untuk memberi ruang kepada guru disiplin itu bertindak. Memang ‘rezeki’ budak-budak itu, kerana guru disiplin tersebut tiba tepat pada waktunya.


Dalam hati, saya berkira-kira sendiri. Suatu waktu dahulu saya juga pernah remaja. Jiwa saya juga seringkali terusik dan terbuai dengan keseronokan sedemikian rupa. Apatah lagi belajar jauh dari keluarga, yang tidak tahu pun kelakuan anak gadis mereka ini. Baikkah di sana? Bercampur dengan budak-budak masjid pun emak ayah tidak tahu, bergaul dengan budak-budak nakal pun emak ayah tidak mampu melarang. Semuanya terlindung selagi bijak menyimpan rahsia.


Tetapi hati saya terlalu sayangkan emak dan ayah. Saya tidak tergamak melakukan perkara yang saya tahu akan menjadi kemarahan mereka. Saya tidak sanggup melihat emak dan ayah kecewa kerana saya. Jangankan melakukan kesalahan disiplin, terlebih menggunakan wang yang ayah kirim pun boleh mengundang tangisan pada malam hari. Bersalah rasanya apabila wang yang ayah kirim untuk bekalan dua minggu diguna hanya untuk beberapa hari. Saya dapat rasakan betapa susahnya ayah mencari duit, menyara kami lapan orang, kerana itu saya cuba untuk berhemah dalam perbelanjaan harian saya.


Walaupun semua kesilapan dan kejahatan itu terlalu dekat dengan saya, terlalu hampir bagai dialas sehelai kain nan nipis namun wajah emak dan ayah lebih kuat menabiri tindakan saya. Bukan tiada senior atau rakan sebaya yang bercinta, berdating dan tertangkap lalu dihukum sewaktu perhimpunan mingguan. Malah kesalahan-kesalahan lain seperti merokok, ragging, mencuri, ponteng, keluar asrama tanpa kebenaran sering sahaja berlaku. Nama sahaja asrama penuh tetapi masalah disiplin tetap wujud. Seringkali apa yang saya fikirkan apabila mendengar kes-kes sebegini ialah, tidakkah mereka sayangkan emak dan ayah mereka? Sebelum melakukan apa-apa tindakan, tidakkah mereka rasa bersalah melukakan hati kedua-dua insan yang telah terlalu berjasa kepada mereka?


Entah mengapa, saya rasa simpati kepada ibu bapa pelajar-pelajar tadi. Anak-anak mereka lebih mementingkan perasaan sendiri berbanding ibu bapa mereka. Semoga Allah membuka dan melembutkan hati-hati mereka, dan insaf sebelum perkara-perkara yang lebih dahsyat berlaku.


Amin.

No comments:

Post a Comment