Thursday, November 26, 2009

Untukmu Husna - Kenangan 1981



Sewaktu emak mengandungkanmu, aku sudah berusia 9 tahun. Dalam usia sebegitu, aku sudah boleh mengingati setiap detik waktu yang emak lalui selama 9 bulan 10 hari membawamu di dalam rahimmya dengan penuh kasih.

Aku bersekolah petang dalam darjah tiga di SK Mulong. Hanya aku yang bersekolah petang waktu itu. Abang Lutfi dalam darjah lima dan bakal berhadapan dengan peperiksaan penilaian. Aziah pula baru masuk darjah satu, dan baru berkenalan dengan dunia persekolahan. Rifqi sedang lasak dalam usia 5 tahun dan Muhammad masih seorang anak kecil berusia 2 tahun yang manja dan merengek meminta itu dan ini.

Ayah akan keluar ke pejabat seawal jam 7 pagi. Kami tidak perlu dihantar ke sekolah kerana jarak sekolah yang sangat dekat dengan rumah, membolehkan kami berjalan kaki sahaja. Hm, cukup praktikal dan strategik sekali kedudukan rumah sewa kami di Kedai Mulong waktu itu. Sekurang-kurangnya, kos tambang bas sudah mampu ayah jimatkan. Sebaik abang Lutfi dan Aziah ke sekolah, akan tinggallah emak, aku, Rifqi dan Muhammad di rumah.

Sebagai suri rumah, emak memang cekap. Namun dengan situasinya yang sedang membawa kandungan baru itu, tentu sahaja tenaga emak tidak sekuat mana. Rutinnya, emak akan memulakan tugas dengan mengemas rumah, kemudian membasuh kain (waktu itu tiada mesin basuh) dan memasak sebelum ayah pulang makan tengah hari jam 12.45. Waktu tidak sepanjang mana, rengekan Muhammad pula tidak mengira masa. Mujur Rifqi sudah boleh dilepas bermain dengan anak-anak jiran di halaman rumah.

Sebagai anak perempuan sulung yang sudah pun sunti, tentu tenagaku berharga juga. Lalu selesai sarapan, mandi dan mengemas beg sekolah, emak akan meminta aku menjaga Muhammad. Memang susah sebab Muhammad sangat 'melekat' dengan emak. Tetapi umpanan yang paling mengena ialah mengajaknya ke kedai untuk membeli gula-gula sugus. Dia akan dengan rela hati mendepangkan tangannya untuk turun dari dukungan emak, dan menerima dukungan aku pula! Maka aku pun terhinggut-hinggut berjalan sambil mendukung adik kecilku itu ke Kedai Mulong, berbekal duit dari emak (selalunya 20 sen saja) untuk membeli gula-gula sugus. Aku tidak terus balik, kerana emak pesan, biar dia siap membasuh dan memasak dulu baru bawa adik pulang. Aku akan bertenggek di pasar yang masih kosong (waktu itu pasar basah di Kedai Mulong hanya dibuka selepas zohor) dengan kawan baikku, Wan Fairoz, yang ayahnya ialah pekedai runcit di situ. Kami akan bersembang sambil bermain-main dengan Muhammad yang sudah hanyut dalam nikmat sugusnya... Kadang-kadang Wan Fairoz bawakan ais krim dari kedainya untuk kami. Hampir jam 11 pagi, barulah aku pulang semula ke rumah.

Setiba di rumah, emak sudah siap menyidai kain, maka bolehlah aku serahkan Muhammad padanya dan giliran aku pula untuk bersiap ke sekolah. Aku akan turun jam 12 tengah hari.

Hari minggu pula, emak akan meminta aku membantunya membasuh kain. Selalunya, dia akan menyental kain-kain kotor dan meminta aku membilasnya, jadi cepatlah siap basuhan emak. Aku masih boleh ingat wajah emak dengan perutnya yang memboyot menyental kain waktu itu, sambil mulutnya bercerita itu dan ini, kadang-kadang gigih berleter... hehehe!!

Emak melahirkanmu sewaktu musim hujan, dalam cuti sekolah. Jam 2.30 petang, suara tangisan pertamamu memecah kesunyian dan kami yang berada di ruang tamu tersenyum gembira. Dapat adik baru... yea!!!

Bila tiba waktu menamakan bayi, maka kami mula memikirkan pelbagai nama yang indah-indah. Mo' Ma' yang sedang menunggu keputusan STPM waktu itu, turut memberi cadangan. Semua nama yang dicadang bermula dengan Noorul. Tetapi kami tidak berani memberitahu ayah, entah kerana segan, ataupun takut!

Rupanya ayah tahu kami sukakan nama Noorul, sebab itulah dia memilih nama Noorul Husna - cahaya kebaikan. Kami hanya tahu nama pilihan ayah itu apabila ayah menunjukkan surat beranak kepada kami.

Sewaktu darjah empat, aku bersekolah pagi. Rutin yang kulalui sewaktu darjah tiga sudah tiada lagi. Abang Lutfi dan Aziah pula yang bersekolah petang, maka tugas menjaga adik terpikul di bahu mereka pula! Bila aku pulang dari sekolah, adik Husnaku sedang nyenyak tidur di dakapan ibu. Hanya pada waktu petang sahaja aku akan berpeluang membawanya bersiar-siar (berderap!!) ke rumah kawan-kawan aku.

Hari ini, adikku genap berusia 28 tahun dan sudah pun bergelar ibu. Satu gelaran keramat yang memang menjadi impian setiap wanita. Maka syukurilah anugerah Allah ini, kerana dengan pengalaman yang satu ini memberi kelebihan untukmu mengerti kesukaran seorang ibu membesarkan bayinya. Engkau akan lebih memahami kasih sayang seorang ibu kerana engkau juga seorang ibu.

Selamat Ulangtahun buat Husna, semoga sentiasa ceria, sihat dan bahagia. Hargailah setiap detik usiamu kerana ia anugerah tidak terhingga. Jaga Sufi dan Abe Yi baik-baik.....

2 comments:

  1. sayu hati di aidil adha mengenang pengorbanan ibu dalam membesarkan seorang anak.untuk ma,x mampu untuk kubalas sgalanya. untuk kakak dan abang2,aku amat bertuah menjadi salah seorang daripada kalian. Ya Allah rahmatilah kami semua.

    ReplyDelete